'DAP Jangan Usik Sentimen Umat Islam' - Ustaz Mohammad Ibrahim

11:30 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
22 Syawal 1436 | 7 Ogos 2015

"DAP Jangan Usik Sentimen Umat Islam"


Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa kesal dengan penegasan keras Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua Kiam Wee yang mengeluarkan kenyataan bahawa selagi DAP berada di negara ini bermakna hudud tidak boleh dilaksanakan.

Kenyataan seperti itu ternyata membakar sentimen dan mengapi-apikan sensitiviti agama. Sedangkan perkara sedemikianlah menyebabkan rakyat negara ini membenci Umno.

Begitu juga kumpulan-kumpulan ultra perkauman dan agama yang bertindak secara keterlaluan menimbulkan rasa tidak aman dan harmoni dalam masyarakat.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, DAP setelah menang dan kekal di Pulau Pinang, selain menang besar di kawasan bandar, telah menyerlahkan wajah sebenar parti itu.

Fokus serangan bertalu talu dihadapkan kepada PAS yang kononnya menjadi batu penghalang kepada kejayaan menguasai Putrajaya.

Kecaman dan fokus dihalakan kepada topik khas membabitkan PAS antaranya dalam isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah.

Walaupun serangan itu beralasankan prinsip demokrasi dan isu persetujuan dalam Pakatan Rakyat, namun kritikan dilemparkan itu sebenarnya menimbulkan rasa kurang senang masyarakat. Terutamanya kaum Melayu Islam, mereka merasa tersentuh akibat layangan persepsi buruk oleh DAP ke atas Islam.

Malah DAP paling awal memanaskan pentas politik apabila PAS mahu meneruskan usaha membawa pindaan enakmen ini ke Parlimen setelah diluluskan pindaan di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Setiap hari DAP menghentam PAS khasnya batang tubuh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hingga ke pemilihan parti PAS juga diheret sama dalam amarah DAP.

DAP mungkin lupa tindakan menyerang itu sebenarnya bukan sahaja mengusik sensitiviti ahli PAS, malah umat Islam yang terdiri dari kalangan pelbagai bangsa. DAP lupa bahawa terdapat kaum Cina dan India yang juga beragama Islam.

DAP bukan sekadar membakar sentimen dalam kalangan Melayu Islam bahkan juga bangsa Cina, India, dan pelbagai kaum lain yang beragama Islam.

Inilah sentimen kebencian yang sangat tebal dan berupaya membangkitkan kemarahan bukan sahaja Melayu, tetapi juga umat Islam di negara ini.

Demikian itu, tatkala Umno-BN semakin menghimpit pembangkang dengan sentimen bangsa dan sekularisma, juga ekonomi yang parah, DAP tidak perlu menekan suasana menambah kehangatan hingga membakar jambatan hubungan bangsa Malaysia yang telah terbina lebih separuh abad.

USTAZ MOHAMMAD IBRAHIM
Pengerusi
Lajnah Perpaduan Nasional Dan Hubungan NGO
Dewan Pemuda PAS Malaysia


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.