Kenyataan Media Persatuan Bekas Pegawai Sprm

5:33 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA PERSATUAN BEKAS PEGAWAI SPRM
9 OGOS 2015

1. Wartawan dan kawan telah menghubungi saya berkenaan dengan SMS yang tersebar luas sejak awal semalam. Pelbagai reaksi telah dikongsi berkenaan dengan kandungan SMS berkenaan. Saya mengucapkan terima kasih, khususnya kepada pihak media yang telah menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan.


2. Justeru, saya ingin menjelaskan bahawa kandungan dalam SMS dimaksudkan bertujuan memperlihatkan keprihatinan ke atas pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini berhadapan dengan situasi yang amat mencabar.

3. Oleh itu, Persatuan Bekas Pegawai SPRM bertanggungjawab untuk sama-sama mempertahankan kepentingan pegawai dan juga SPRM, yang telah diberi amanah mewujudkan persekitaran bebas rasuah.

4. Selepas melihat kepada perkembangan yang berlaku dan memperoleh maklumat mutakhir daripada pelbagai sumber, selaku Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM, saya menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa tiada tindakan lanjut akan diambil ke atas pegawai-pegawai SPRM yang telah dan akan diambil keterangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melainkan mereka didapati melakukan sesuatu kesalahan jenayah. Saya juga menyambut baik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dikeluarkan di Pulau Pinang malam tadi.

5. Saya amat berharap perkembangan terbaharu ini akan menjadi kenyataan demi keharmonian PDRM-SPRM serta menjaga moral pegawai-pegawai SPRM yang sedang menyiapkan siasatan mereka berkaitan dengan 1MDB khususnya dalam isu SRC International. Saya juga berharap dua pegawai SPRM yang ditangkap baru-baru ini dan dilepaskan atas jaminan, dibebaskan daripada sebarang tindakan bagi membolehkan mereka terus menjalankan tugas dalam siasatan kes SRC International.

6. Saya juga mengucapkan terima kasih atas sokongan berhemah yang telah diperlihatkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Khairy Jamaluddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low serta Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Johan Jaaffar berhubung tindakan menukar Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategi, Datuk Rohaizad Yaakob agar dihentikan apa yang boleh dilihat sebagai intimidasi ke atas SPRM dan dengan itu, pertukaran kedua-dua pegawai itu pada suasana begini adalah tidak wajar sama sekali.

7. Persatuan Bekas Pegawai SPRM, oleh itu, mahu keputusan menukar kedua-dua pengarah terbabit ke Jabatan Perdana Menteri ditarik balik dan dibatalkan dengan segera bagi mengelak persepsi negatif dan tidak sihat ke atas Kerajaan.


8. Semua pihak menerima hakikat bahawa SPRM dan PDRM mempunyai peranan masing-masing demi mempertahankan kepentingan negara. Saya mempunyai ramai rakan yang merupakan bekas pegawai SPRM dan PDRM, di mana sentiasa berkongsi maklumat mengenai isu-isu semasa.

9. Oleh itu, diharap tiada pihak yang mengambil kesempatan dengan mengeruhkan keadaan atau mengenakan tekanan. Kita harus memberi ruang kepada pegawai-pegawai SPRM menjalankan tugas mereka dalam apa jua situasi dengan bebas dan profesional.

10. Saya juga mengambil kesempatan mahu mengesyorkan agar cadangan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah dilaksanakan dengan segera bagi memastikan kebebasan SPRM terus terjamin.

DATUK RAZAK IDRIS
PRESIDEN
PERSATUAN BEKAS PEGAWAI SPRM


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.