Nilai Ringgit Merudum Sama Semacam Tahap Kepercayaan kepada Najib - Dr Dzulkefly Ahmad
Nilai Ringgit Merudum Sama Semacam Tahap Kepercayaan kepada Najib.
www.harapanbaru.net
1. Tidak syak lagi nilai mata wang ringgit sedang mengalami keruntuhannya paling parah.
Berpandukan kadar penurunannya, ada pihak penganalisis meramalkan tidak mustahil akan mencecah pertukaran RM4=1US$ minggu hadapan.
Kesan terhadap kos sara hidup, inflasi diimpot dan kesan kepada pengimpot dan pengekspot pasti terjejas. Peniaga yang berniaga dsempadan Thailand dan Singapura, sedia maklumi penguncupan nilai wang kita. Yang menghantar wang kepada anak-anak yang belajar di luar negara juga tahu.
2. Semalam ringgit menjunam ke paras 3.9125 berbanding Dollar Amerika,
paling rendah dalam 17 tahun sekaligus menyaksikan Indeks komposit Bursa Malaysia kehilangan 30.92 mata. Ringgit, matawang Asia paling teruk di segi prestasi, kehilangan 9.8% berbanding Dollar Amerika, Baht-Thailand sebanyak 6.4%, Peso-Filipina sebanyak 2.2% dan Rupiah-Indonesia kehilangan 8.4%.
3. Pelabur-pelabur asing telah menjual pegangan saham mereka sejak 14
minggu lalu secara agresif kerana semakin hilang kepercayaan terhadap ekonomi Malaysia. Mereka akan mengalami kerugian dalam pertukaran asing atau
‘Forex’ apabila melabur dalam syarikat-syarikat di Bursa kerana ringgit susut nilainya.
4. Tekanan atas nilai ringgit berpunca, antara lain, dari harga minyak mentah yang turut jatuh. Perkara ini bersangkutan dan sentimen buruk akibat tidak kemampuan 1MDB membayar hutang korporatnya RM42 bilion. PM Najib wajar insaf apabila sentimen menjadi jelek dan celaka menimpa negara, apabila pasaran kewangan tempatantahu berita ‘perpindahan’ RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya menjadi viral.
5. Meskipun Bank Negara Malaysia (BNM) telah nyatakan untuk tidak lakukan
‘tambatan ringgit’ sekali lagi, polisi itu mungkin terpaksa digunakan apabila ringgit mencecah pertukaran 4.10 atau 4.20, mengikut pandangan penganalisis. . Pada krisis kewangan 1997, kadar pertukaran mencecah RM4.80 = 1US$ serentak menuntut langkah intervensi ‘tambatan ringgit’.
6. BNM diketahui telah ‘mempertahankan’ ringgit dengan membeli ringgit apabila pelabur menjual secara drastik bagi mengelak suasana ‘volatility’ atau ‘ketidakentuan’ yang melampau. Betul, kesannya penurunannya semacam ada baik-buruk. Ekpot jadi murah, impot jadi mahal dan sebagainya. Namun, pelabur dan pasaran (market) resah dan tidak suka suasana ini. Mereka memerlukan situasi nilai matawang yang lebih stabil.
7. Seperkara lagi, ekonomi sesebuah negara ditentukan oleh beberapa ‘fundamentals’ atau ‘asas’. Antara faktornya ialah ‘Simpanan Asing’ atau ‘Foreign Reserves’. Simpanan asing kita telah menguncup secara drastik dari tahap US$140bilion (RM541b) pada tahun 2013 kepada US$100.5 (RM350b) pada 15 Julai lalu.
8. Pada awal Julai lalu, simpanan asing menurun sebanyak US$5 bilion.
Ini menandakan BNM telah menggunakan simpanan asing kita untuk ‘pertahankan’ dengan membeli ringgit apabila penjualan besar-besaran dilakukan oleh pelabur asing.
9. Penjualan besar-besaran ini menurunkan nilai ringgit. Penjualan ringgit bermakna ‘Permintaan’ jatuh, sekaligus menurunkan nilai ringit, apabila bekalan meningkat. BNM membeli bagi pertahankan ringgit, menggunakan ‘simpanan asing’nya. Namun langkah intervensi ini adalah berita buruk bagi rakyat, sama seperti berita ‘bailout’ syarikat sakit kerajaan (GLCs) kerana mengurangkan simpanan asing negara.
10. Mengurang simpanan asing mengurangkan keupayaan dan ‘options’ untuk BNM bertindak semasa berdepan dengan krisis kewangan. Penurunan simpanan asing juga bakal mengancam penurunan ‘penarafan negara’ atau ‘downgrading sovereign rating’.
11. Ini berita buruk buat negara dan bakal menjadikan kos pinjaman di
pasaran kewangan di Malaysia tinggi atau mahal. Kos menjalankan perniagaan akan menjadi mahal dan tidak menarik. Malaysia tidak lagi menjadi destinasi pelaburan yang menarik.
12. PM Najib selaku Menteri Kewangan wajar faham kesemua kesan ini
apabila mengurus ekonomi dan kewangan negara secara culas, curang dan tempang. Pilihan untuk menggunakan kaedah monitari bagi menggamit pelaburan atau mengelak pelabur menjual ringgit, seumpama meningkatkan kadar faedah (yakni Kadar Pinjaman Semalaman atau Overnight Policy Rate, OPR), pastinya akan membebankan lagi rakyat.
Harap Pak Menteri tidak menggunakan hujah Pak Pandir acap-acap. Bukan matawang kita sahaja turn, semua matawang negara lain pun turun. (Bukan anak kita sahaja mati, anak orang pun mati juga).
- Dr Dzulkefly Ahmad
Setiausaha Gerakan Harapan Baru.
Sila kongsi artikel ini...