IKRAM Pandang Serius Kenyataan Yang Meremehkan Larangan Agama

11:30 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3 Ogos 2015 bersamaan 18 Syawal 1436H

IKRAM Pandang Serius Kenyataan Yang Meremehkan Larangan Agama


Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius laporan berita yang dikaitkan dengan pandangan YB Datuk Seri Azalina Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Kenyataan yang menyebut bahawa “…isu mengenai adegan pasangan bercinta berpegangan tangan atau berpelukan tidak perlu diperbesarkan memandangkan ia sekadar lakonan yang tidak mengundang maksiat…” amat mendukacitakan.

Sekiranya laporan ini benar, adalah tidak wajar bagi seorang Menteri beragama Islam yang telah diberikan amanah kepimpinan dan bakal menjadi teladan kepada rakyat di negara ini untuk membuat komen sedemikian.

IKRAM berharap beberapa peraturan yang telah diperkenalkan oleh pihak LPF khasnya merujuk kepada Panduan Penapisan Filem Stesen TV ke atas elemen seks / lucah / kelakuan sumbang perlu dipertahankan malah ditambah baik selaras dengan peraturan-peraturan yang telah disarankan oleh syarak selari dengan Islam sebagai agama rasmi negara.

IKRAM suka merujuk kepada Indeks Syariah Malaysia yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada Februari tahun ini yang telah menganjurkan agar perjalanan kementerian dan agensinya mengambil kira Maqasid al-Syariah.

Sudah pasti kesemua kementerian dan agensinya tidak boleh tidak harus berpaksi kepada tuntutan Maqasid al-Syariah iaitu meletakkan elemen pemeliharaan agama, pemeliharaan nyawa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan pemeliharaan harta diberi perhatian dalam membuat polisi dan peraturan. Malah diharapkan LPF juga mengguna pakai Indeks Syariah Malaysia sebagai rujukan.

IKRAM menyeru pemimpin negara dan rakyat bersama-sama membangunkan negara ini atas prinsip yang telah disebut dalam al-Quran yang berbunyi:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.” (al-Maidah: 2)

Hj Abdul Aziz Bin Abd Jalal
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Umat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Sumber: http://bit.ly/1IdSEyA









--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.