Jawapan Terhadap Kenyataan Media Darul Hadis Pulau Pinang - Dr MAZA

2:40 PM 0 Comments A+ a-

JAWAPAN TERHADAP KENYATAAN MEDIA DARUL HADIS PULAU PINANG


Sumber
Pagi ini saya terlihat kenyataan mudir Darul Hadis Pulau Pinang di akhbar SH yang menyebut nama saya berhubung dengan what's app yang diviralkan oleh pihak tertentu. Beliau meminta secara terbuka saya memberikan penjelasan kerana nama saya telah diviralkan oleh pihak tertentu berkaitan dengan pusat mereka. Di sini saya ingin jelaskan seperti berikut;

1. Saya telah dimaklumkan tentang isu ini sejak semalam. Saya mengambil langkah mengelak untuk mengulas dengan harapan isu ini reda dan tiada pihak yang kesukaran. Bahkan, saya telah meminta agar pihak admin mengeluarkan kenyataan bahawa KENYATAAN RASMI saya hanyalah yang disiarkan di FB ini sahaja. Pun begitu nampaknya pihak mudir berkenaan memilih untuk memanjangkan isu ini.

2. What’s app berkenaan bukanlah kenyataan rasmi. Ia satu kenyataan pihak lain untuk diperbincangkan bersama dalam group kecil khusus. Ia belum satu keputusan rasmi, tetapi ketika itu masih di peringkat perbincangan yang belum final. Kenyataan yang dibincangkan itupun tidak menyebut secara khusus nama tempat mudir berkenaan, cuma menyebut di negeri Pulau Pinang. Kesalahannya ialah apabila ada pihak yang menyebarkannya secara meluas.

3. Perbincangan itu terjadi rentetan sebaran tentang nama ‘darul hadis’ yang ingin mengutip derma. Secara kebetulan saya dalam bidang berkaitan dan juga pensyarah hadis di universiti, maka ada pihak yang mengemukakan perbincangan tersebut. Ia sesuatu yang normal untuk mana-mana what’s app group membincangkan sesuatu isu secara tertutup.

4. Punca perbincangan ialah kerana mudir darul hadis berkenaan DILIHAT telah menyebar dan mengamalkan hadis-hadis yang tidak sahih seperti al-Musalsal bi Ilbas al-‘Imamah iaitu hadis musalsal memakaikan serban kepada pihak lain. Gambar majlis tersebut disiarkan di media social secara meluas. Secara umumnya musalsal bermaksud setiap periwayat sesuatu hadis meniru perbuatan seperti mana yang diriwayatkan kepadanya oleh rawi sebelumnya sehingga kepada Rasulullah s.a.w. Kebanyakan hadis musalsal adalah tidak sahih bahkan palsu. Kata al-Imam al-Zahabi (meninggal 848H) yang merupakan tokoh hadis agung: “Secara umumnya hadis-hadis musalsal adalah dhaif, kebanyakannya pula adalah batil, disebabkan pembohongan perawinya” (al-Dhahabi, al-Muqizah fi `ilm al-Mustalah al-Hadith, m.s. 44. Syria: al-Matbu`at al-Islamiyyah).

5. Walaupun saya tidak kenal mudir berkenaan, tapi saya sendiri pernah berforum dengan beliau yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Ketika itu beliau telah pun memakai gelaran mudir darul hadis. Saya telah pun memberikan pandangan balas mengenai hadis daif yang beliau baca dalam forum berkenaan. Boleh ditonton forum tersebut di youtube. Ini antara perkara yang menyebabkan tajuk itu rancak diperbincangkan, sejauh manakah jenama ‘darul hadis’ itu digunapakai. Saya sendiri selepas majlis itu mencadangkan kepada mudir berkenaan agar beliau menyambung pengajian dalam bidang hadis ke peringkat yang lebih tinggi. Tidak mencukupi jika sekadar asas yang terlalu basic untuk mengendalikan darul hadis.

6. Gambar-gambar beliau dengan individu yang memakai darul hadis di negeri tertentu yang pernah membuat dakwaan ganjil seperti keanjaiban angka tertentu, Nabi Adam turun di negerinya, kapal Tariq bin Ziyad dibuat oleh orang negerinya, kapur Firaun diambil dari negerinya dan seumpamanya, juga menjadi asas kepada perbincangan itu.

7. Masih banyak perkara jika hendak dibangkitkan di sini. Apapun, seperti yang dijelaskan bahawa sebaran what’s app berkenaan BUKANLAH kenyataan rasmi. Ia satu perbincangan dalaman yang belum ke peringkat untuk sebaran awam secara meluas. Walaupun secara peribadi, saya merasakan penggunaan jenama ‘darul hadis’ memerlukan penelitian yang lebih cermat agar tidak berulang seperti yang sedang berlaku di darul hadis negeri tertentu yang membuat dakwaan-dakwaan yang ganjil itu.

Saya harap jawapan memadai bagi menunaikan tuntutan kenyataan media pihak mudir berkenaan yang ingin saya membuat kenyataan balas. Saya mendoakan agar Allah memberikan KEBAIKAN dan KERAHMATAN kepada beliau dan niat baik beliau. Perbincangan ilmu tidaklah memutuskan persaudaraan dan kasih sayang sesama muslim yang ada antara kita. Dr MAZA,
Kangar, Perlis







--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.