IKRAM Ucap Takziah Kepada Keluarga Nahas MH370

9:32 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
6 Ogos 2015 bersamaan 21 Syawal 1436H

IKRAM Ucap Takziah Kepada Keluarga Nahas MH370


Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga nahas MH370 setelah mendapat pengesahan rasmi bahawa penemuan serpihan kapal terbang di Reunion Island baru-baru ini adalah dari pesawat tersebut.

Marilah kita rakyat Malaysia sama-sama mendoakan agar keluarga mangsa nahas MH370 tabah dan sabar menerima hakikat tragedi pahit yang berlaku pada 8 Mac 2014 yang lalu. Untuk mangsa nahas, kita doakan agar mereka dicucuri rahmat dan keampunan oleh Allah.

IKRAM juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khasnya kepada “Joint Agency Coordination Centre (JACC)” yang telah bertungkus lumus berusaha di dalam misi mencari MH370 tersebut. Semangat kerjasama dan usaha yang tidak mengenal lelah dalam pencarian yang paling sukar dalam sejarah penerbangan negara tersebut seharusnya diberikan penghargaan yang sewajarnya.

IKRAM berharap usaha pencarian baki bangkai kapal terbang MH370 dan mengenalpasti lokasi terhempas serta punca tragedi tersebut dapat dipercepatkan. Moga jawapan sebenar punca tragedi tersebut berjaya diperolehi dalam masa terdekat.

Dalam masa yang sama, IKRAM berharap segala kelemahan dan kekurangan yang berlaku rentetan dari nahas MH370 ini dapat diperbaiki dan ditambah baik dengan kadar segera. Adalah menjadi satu tanggungjawab besar kepada pihak berkuasa khasnya kementerian dan agensi yang berkaitan untuk mengenalpasti sebarang kelemahan dalam menangani tragedi tersebut supaya perkara yang sama tidak berulang dan dapat dielakkan pada masa hadapan.

IKRAM juga berdoa agar negara Malaysia dan rakyatnya terus-menerus dirahmati dan dilindungi oleh Allah dari sebarang nahas dan tragedi lagi selepas ini. Moga semua pemimpin dan rakyat terus berusaha menjadikan negara ini sebuah negara yang mendapat rahmat dari Yang Maha Pencipta selari dengan anjuran al-Quran yang berbunyi:

"...Sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi..." (al-'A'raaf: 96)

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.