Tukar Pegawai SPRM Ke JPM : Siasatan Tempang, Rakyat Hilang Kepercayaan - Khairuddin Aman Razali
Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)
TUKAR PEGAWAI SPRM KE JPM :
SIASATAN TEMPANG, RAKYAT HILANG KEPERCAYAAN
1. Adalah sangat luar biasa dan amat mencurigakan apabila Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob dan Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin ditukarkan serta merta ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) bermula Isnin ini.
2. Pertukaran tersebut kelihatan dibuat Kerajaan setelah mereka berdua bersikap tegas dan telus dalam penyiasatan isu 1MDB yang turut dikaitkan dengan YAB Perdana Menteri.
3. Ada dua implikasi yang signifikan berikutan pertukaran yang dibuat ini :
(i) Proses siasatan isu 1MDB akan menjadi tempang dengan gangguan dan tekanan yang sering diberikan Kerajaan kepada SPRM serta tanpa pegawai SPRM yang berintegriti tinggi seperti Datuk Rohaizad dan Datuk Bahri. Jika diteruskan sekalipun, siasatan seperti dipaksa untuk membersihkan 1MDB dan DS Najib Razak daripada semua tuduhan yang dipalitkan ke atas mereka; bukannya mendedahkan kebenaran.
(ii) Persepsi rakyat bahawa Kerajaan dan YAB Perdana Menteri memang mengetahui dan terlibat dengan skandal 1MDB itu serta sedang menyembunyikan sesuatu yang amat sulit kepada rakyat semakin meluas dan dikuatkan lagi dengan pertukaran ini. Kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan sedang dan semakin melumpuh.
4. Kedua-dua keadaan ini merupakan bencana besar kepada negara dan rakyat; dan hanya mungkin dapat 'menyelamatkan' dua tiga orang penyangak dalam kalangan orang-orang besar di negara ini.
5. Sekiranya Kerajaan benar, sepatutnya membiarkan sahaja SPRM dengan bebas melakukan penyiasatan tanpa memberikan tekanan kepada mereka termasuk membuat serbuan, tangkapan dan pertukaran seperti yang sudah terjadi ini.
Sekian.
DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Sabtu, 8 Ogos 2015 | 23 Syawal 1436H
_____ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. :
Sila kongsi artikel ini...