Jerebu: Malaysia Perlu Gerakan Inisiatif Proaktif Sebagai Pengerusi ASEAN - ABIM

4:11 PM 0 Comments A+ a-



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan Malaysia menggerakkan langkah proaktif selaku Pengerusi ASEAN untuk menangani masalah jerebu yang melanda dengan lebih efisyen. Masalah jerebu yang melanda negara ini telah menjejaskan kualiti kehidupan harian rakyat Malaysia dalam pelbagai sektor dan aktiv iti. Maklumat terkini menunjukkan sekurang-kurangnya empat kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat di negara kita.

Peningkatan IPU ini akan memberikan kesan negatif terhadap kesihatan khususnya kerana pencemaran jerebu membawa asap dan bahan-bahan lain semasa bertiup dari kawasan pembajarans eperti alergen, toksik, mikrob dan partikel. Penyebaran bahan-bahan ini boleh menyebabkan pelbagai penyakit berkaitan pernafasan yang tidak sahaja boleh menghakis kualiti kesihatan manusia, tetapi juga menjejaskan ekosistem (haiwan serta tumbuhan), dan peningkatan kos pengurusan berkaitan (penyelenggaraan dan kebersihan pejabat).

Jerebu juga mengakibatkan gangguan yang sangat serius terhadap kegiatan seharian rakyat Malaysia. Sebagai contoh dalam penutupan sekolah misalnya, merupakan isu penting yang menjejaskan proses pembelajaran murid, peperiksaan dan memberikan kesulitan kepada ibu bapa dan penjaga yang terpaksa memikul tanggungjawab tambahan – untuk menguruskan anak-anak yang bercuti sekolah.

Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana turut memberi kesan kepada produktiviti negara. Memandangkan jerebu merupakan masalah serantau, ABIM mendesak kerajaan Malaysia menerusi kapasiti sebagai pengerusi ASEAN agar bertindak segera dengan memanfaatkan instrumen yang wujud menerusi platform serantau ASEAN. Malaysia perlu menyelesaikan isu ini secara tuntas dan tegas dalam Persidangan ASEAN yang akan datang. ABIM juga menuntut penegasan kerajaan Malaysia untuk melaksanakan ketetapan-ketetapan yang digariskan menerusi Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution).

Perjanjian tersebut antara lain menetapkan setiap negara anggota perlu bekerjasama untuk memantau serta bertukar-tukar maklumat untuk melancarkan penyelarasan tindakan di kalangan negara anggota untuk menghadapi masalah jerebu. Dalam kesempatan ini, ABIM menyeru kepada sekalian umat Islam agar dapat memperbanyakkan berdoa serta mengerjakan solat hajat bagi memohon kesejahteraan serta keselamatan negara yang kita cintai ini, daripada sebarang keburukan mahupun bencana.

Akhir sekali, ABIM menyeru orang ramai supaya menjaga kesihatan dan mengambil langkah-langkah pencegahan agar tidak terkena jangkitan serta masalah kesihatan. Antaranya, mengelakkan serta hentikan sebarang bentuk pembaka ran terbuka, banyakkan minum air, kurangkan aktiviti di luar rumah, selain memakai penutup hidung.

MOHAMMAD RAIMI ABD RAHIM, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.