Bagaimana anak muda dapat mengharapkan Pakatan Harapan? – Nik Aziz Afiq Abdul

11:45 AM 0 Comments A+ a-

Kita kena akui. Anak muda meluat dengan politik negara. Bahkan hampir setiap peringkat umur juga ada golongan meluat ini.

Mereka bukan tidak tahu atau jahil mengenai politik. Mereka ambil tahu juga dan cuba untuk berminat. Namun minat itu dirobek bila setiap kali yang terpampang ialah perbalahan antara parti politik dan tokoh-tokohnya. Seakan politik ini gelanggang untuk bergaduh dan bercakaran.

Mata anak muda bukan terlalu murah untuk membaca dan terus membaca perbalahan dalam politik ini. Kesusahan menanggung hutang pelajaran, ketidaktentuan pasaran kerja, kegetiran untuk mengubah nasib keluarga jauh lebih penting daripada melihat pertikaian ahli politik lebih-lebih lagi bila pertikaian itu sangat kebudak-budakan.

Lalu politik bagaimana yang anak muda inginkan?

Politik yang profesional. Lebihkan kerja daripada bercakap. Andai pertikaian tidak dapat dielakkan jadikan pertikaian itu berada dalam aras intelektual yang tinggi. Bukan setakat ibarat laungan di pasar malam. Laung bukan main produk hampeh.

Politik yang bermaruah. Bukan kerja nak cari salah musuh setiap masa tapi tampilkan kelebihan diri. Berhenti politik fitnah dan caci maki. Serlahkan akhlak yang cantik. Sedia rendahkan ego dengan memohon maaf bila tersalah bukan bermati-matian pertahankan yang salah itu.

Politik yang berprinsip. Cukuplah dengan ahli politik isu. Hanya reti menjadikan sesuatu isu viral sebagai lagak untuk lebih terkedepan namun perjuangannya kosong. Semua benda ditoleransikan sehingga sesebuah parti atau ahli politik itu berubah setiap hari. U-turn sana sini seakan tiada pendirian langsung.

Saya mengandaikan Pakatan Harapan sedar perkara ini. Mereka seharusnya merebut kekosongan dan kelemahan pihak lawan melalui cara adakan penampilan yang jauh lebih baik. Mereka sepatutnya membawa arus perubahan (mungkin mereka lebih suka jika saya gelar reformasi) untuk politik dan Malaysia yang lebih baik.

Namun secara peribadi walaupun sangat terlalu awal harapan saya yang juga anak muda mula terhakis pada Pakatan Harapan. Ini disebabkan baru beberapa hari ditubuhkan (sekalipun tidak didaftar) Pakatan Harapan mula menunjukkan perangai politik tidak sihat seakan mahu menunjukkan mereka sama seperti Barisan Nasional.

Betapa tergamamnya saya saat membaca portal berita mengenai kenyataan pemimpin Amanah (Khalid Samad) dan DAP (Ong Kian Ming) yang memberi respons kepada persoalan media mengenai ketiadaan PSM sebagai ahli pakatan ini.

Dengan begitu terburu-buru mereka mengatakan alasan PSM tidak menyertai pakatan ini kerana PSM menolak Artikel 153 Perlembagaan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Saya kenali kedua-dua pimpinan dua parti ini sebagai tokoh. Sebagai ahli politik berpengalaman yang hebat. Terlalu disegani dan hormati. Bukan ahli politik baru yang mentah. Kerana pengenalan itulah saya jadi tergamam kenapa mereka boleh keluarkan kenyataan ini. Jika kenyataan ini dikeluarkan oleh orang seperti saya yang masih kuat berhingus dalam dunia politik itu tidak mengejutkan. Tetapi bila dikeluarkan oleh otai bertaraf "legend".

Kemudian bila dikecam oleh PSM saya lebih tergamam melihat ego dan kerasnya mereka. Masing-masing meletakkan kesalahan itu pada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Katanya itulah jawapan yang diterima melalui taklimat dalam mesyuarat tersebut. Tiada rasa mahu memohon maaf dan selesaikan terus tetapi memanjangkan lagi isu. Pandai mereka "menggalas beban bersama". Heret sekali Wan Azizah dan PKR untuk menjawab.

Tergamam kali ketiga bila Tian Chua, seorang yang juga otai "legend" mengeluarkan kenyataan Wan Azizah tidak pernah keluarkan kenyataan sedemikian!

Sengaja ingin saya tegaskan, Wan Azizah, Khalid Samad, Ong Kian Ming, Tian Chua bukan nama kecil. Mereka tokoh besar. Kedudukan mereka dalam parti masing-masing sangat berpengaruh. Mereka bukan baru dalam sepak terajang politik. Bagaimana ada kenyataan sebegini rupa?

Apa bahayanya PSM pada mereka sehingga beberapa hari penubuhan peluru disasarkan pada parti kecil yang hanya mempunyai seorang wakil rakyat ini? Mengapa tidak dihalakan peluru itu pada musuh sebenar (yang kononnya pakatan ini ditubuhkan bagi melawan musuh itu).

Dan andai kata tersalah tembak cepat-cepatlah rawat luka itu. Ini pergi siram garam pada luka tersebut macam budak-budak.

Tergamam saya yang terakhir bila Wan Azizah terus mendiamkan diri. Ini tergamam paling besar. Saya tak rasa jerebu tebal buatkan "iron lady" ini hilang suara. Jika benar Kak Wan tersalah beri taklimat maka tak rugi dan tak luak jika beliau jernihkan keadaan dengan memohon maaf. Tarik balik kenyataan salah tersebut.

Kebisuan ini menimbulkan persepsi negatif siapakah pengemudi bahtera yang sebenar?

Setakat pusingan pertama Pakatan Harapan menangani isu kali ini amat mengecewakan. "Isu kecil" seperti ini pun tidak berupaya hadapi bagaimana harapan mahu diletakkan?

Buat masa ini, saya selaku anak muda, tak mampu berharap apa-apa pada Pakatan Harapan. Harapan awal saya yang menjangkakan politik berwajah baru terburai dirodok mereka. – 28 September, 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.