Mempergunakan Mimbar - Zulhazmi Shariff

3:02 PM 0 Comments A+ a-



MEMPERGUNAKAN MIMBAR

Sebenarnya ini bukan perkara baru.... Ini adalah perkara yang sudah biasa berlaku dan kebiasaan ini tidak diambil perhatian sehinggakan kebiasaan ini dianggap sesuatu yang tidak salah.

Banyak kali sangat ke masjid untuk solat Jumaat dan semasa mendengar khabit membaca khutbah, isi khutbahnya tidak sahih dan tidak tepat. Ada teks khutbah yang mencedok tulisan-tulisan orang yang tidak dikenali di laman maya. Ada teks khutbah yang menyatakan perkara-perkara yang tidak tepat tanpa sebarang bukti dan fakta. Sebelum ini berkali-kali isu mazhab dibacakan dengan menyatakan fakta-fakta yang tidak tepat.


Terbaru apabila teks khutbah di Pahang yang menuduh sebuah parti politik khususnya DAP yang kononnya secara terang-terang menentang Islam. Tuduhan tanpa sebarang fakta dan bukti adalah jelas suatu fitnah yang amat memalukan. Lebih memalukan ianya dijadikan teks rasmi yang dibaca oleh khatib-khatib di dalam masjid.

Mempertahankan tindakan tersebut atas alasan ianya suatu nasihat adalah tindakan yang lebih memalukan. Apakah ianya suatu nasihat jika dengan terang, jelas lagi nyata menuduh suatu pihak menentang Islam tanpa membawa sebarang bukti? Apakah bukti DAP menentang Islam? Di mana faktanya DAP menentang Islam?

Ya... Ada para penulis di alam cyber memberikan contoh antaranya tindakan DAP tidak bersetuju dengan hudud, DAP mempertahankan sekular, DAP itu dan DAP ini sebagai hujah dan bukti bahawa DAP menentang Islam. Adakah tindakan DAP secara keseluruhannya menolak hudud? Adakah DAP memperjuangkan negara sekular sehingga menafikan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan? Ini semua perlu dibahaskan secara ilmiah bukan tuduhan melulu tanpa fakta jelas.

Alasan-alasan tersebut hanya ditulis mereka di alam maya tetapi yang dipersoalkan ialah di mana bukti oleh penulis teks khutbah? Penulis teks khutbah hanya sewenang-wenang menulis bahawa "DAP secara terang-terang menentang Islam". Dengan hanya menulis ayat sebegitu, adakah ianya wajar dimaksudkan sebagai nasihat? Mengajak atau menasihat ummat Islam supaya bersatu amatlah baik tetapi mengajak untuk bersatu dalam keadaan memfitnah pihak lain itu suatu kecelakaan.

Mimbar khutbah lebih-lebih lagi masjid sepatutnya dijadikan tempat penyatuan dan perpaduan untuk kebaikan bukan memecah belah dan memfitnah.

Malanglah ummat Islam bila mimbar masjid dijadikan tempat memfitnah dan lebih dari itu dipertahankan pula fitnah yang berlaku atas nama agama. Agama hanya menjadi mainan mereka yang berkuasa untuk melakukan apa saja demi kepentingan mereka.

BERANI BERUBAH

ZULHAZMI SHARIFF
28092015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.