Kes Saman Usul Persendirian Hudud: Kebenaran Cepat Terserlah - Nazman Che Iberahim
Kes Saman Usul Persendirian Hudud: Kebenaran Cepat Terserlah
1. Pemuda PAS Kelantan melahirkan rasa sedih dan kecewa berhubung isu saman oleh beberapa individu yang beragama Islam ke atas Presiden PAS yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang serta Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin bin Hj Mulia dan beberapa nama lain. Usaha mereka untuk menyekat Usul Persendirian berkaitan pindaan Akta 355 ini memperlihatkan wajah sebenar golongan yang sememangnya tidak mahu melihat hukum Islam berkembang subur di bumi Malaysia ini.
2. Mereka yang menyaman Tuan Guru Presiden PAS juga dilihat sebagai kelompok yang berada di garisan keras dalam memperjuangkan demokrasi, kononnya. Padahal dalam masa yang sama mereka tidak cuba untuk memahami bahawa Kelantan sendiri telahpun bertindak dalam kerangka demokrasi untuk mendaulatkan hukum Islam di negeri ini. Bermula dengan pembentangan di Sidang DUN pada tahun 1992 dahulu, kemudiannya pindaan dibentang pada awal tahun ini, serta dibawa ke Parlimen dalam bentuk usul persendirian selepas UMNO melalui kuasa yang ada padanya kelihatan tidak berminat untuk berada di hadapan.
3. Walaupun sudah dua kali ia berada di nombor yang terakhir dalam senarai pembentangan usul usul di parlimen, sehinggakan tidak sempat dibentang, namun Kelantan telah berusaha dengan prosedur dan sifir yang ada untuk mendirikan syariat di Tanah Serendah Sekebun Bunga ini. Bahkan dengan tekanan dan sekatan melalui saman ini, ia menambahkan lagi rencah dan mehnah dalam perjuangan Islam yang dipelopori oleh PAS.
4. Beberapa individu yang menyaman Tuan Guru Presiden dilihat mesra, cenderung, menyokong dan bersama-sama dengan parti baru yang sedang dalam proses pendaftaran beberapa minggu lepas. Adakah mereka telah diperalatkan oleh kumpulan lain yang lebih dominan untuk memulakan kes saman ini? Hakikatnya, niat sebenar kumpulan tersebut yang kononnya membawa tema Islam Progresif dan Rahmatan lil 'alamin telah mudah ditelah dan dilihat bahawa ianya adalah palsu semata mata. Bayangan kuasa di Putrajaya telah menghakis akidah perjuangan yang dipasak sekian lama oleh almarhum Tok Guru Nik Aziz. Lambaian jawatan dan kedudukan di GLC kerajaan telah mengaburkan impian untuk melihat Islam terlaksana di puncak Putrajaya. Semangat untuk menumbangkan BN semata mata sehingga mungkin akan menaikkan satu jahiliyah baru menggantikan yang sedia ada adalah amat tidak wajar sekali. Dan yang paling menyedihkan apabila perkara utama dalam kehidupan seorang Muslim seperti hidup dan ingin mendapatkan keredhaan Allah SWT dipermainkan secara wewenang sahaja oleh kumpulan tersebut.
5. Pemuda PAS Kelantan juga mengalungkan jutaan tahniah dan syabas kepada kumpulan peguam yang dibarisi oleh Dato' Hj Sulaiman Abdullah, Raja Mohd Mokhzarudin dan Dato Takiyudin Hassan. Semoga jasa dan bakti tuan semua dalam membantu mendaulatkan agama Islam di bumi Malaysia ini diterima sebagai amal kebajikan di sisi Allah SWT.
6. PAS Kelantan Insya Allah akan terus teguh dan kuat dalam mendepani arus semasa perjuangan Islam di negara ini. Episod saman oleh mereka yang benci kepada syariat Allah ini bukanlah satu perkara yang baharu. PAS pernah berdepan dahulu dengan Dato Zaid Ibrahim dalam isu ini, pernah disaman juga oleh MCA berkaitan isu judi di Kelantan dan saman yang terbaru ini hanyalah menambah satu siri lagi kepada perjalanan jauh gerakan Islam di bumi Kelantan yang kita kasihi ini.
7. Kami menyeru dan mendesak agar kumpulan yang terbabit bertaubat dan menarik balik saman mereka agar keuntungan akan diperolehi bukan sahaja di mata masyarakat dunia saat ini, namun juga tidak akan mengalami kerugian di akhirat sana nanti. Dan dengan perkembangan semasa ini, kebenaran telah jelas berada di pihak Tuan Guru Presiden yang sentiasa ikhlas dalam memperjuangan hudud dan syariat Islam walaupun berdepan dengan pelbagai tekanan dan sekatan serta permainan daripada mereka yang memusuhi Islam.
Nazman Che Iberahim
Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan
Sila kongsi artikel ini...