KENYATAAN MEDIA Bersama Pimpinan AMANAH, DAP DAN KEADILAN

9:28 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA BERSAMA PIMPINAN AMANAH, DAP DAN PKR PUSAT
(Sempena Majlis Pelancaran Parti Amanah Negara peringkat negeri Johor)

12 September 2015
Taman Puteri Wangsa, JB


Dato' Saifuddin Nasution Ismail - Pengarah Pilihanraya PKR Pusat dalam majlis pelancaran Parti Amanah Negara (AMANAH) peringkat negeri Johor malam tadi menyatakan bahawa keadaan vakum dalam kepimpinan menjadi antara faktor penting untuk kemunculan parti baharu AMANAH disokong penuh.

Beliau berkata dalam satu sidang media sebaik sahaja selesai majlis pelancaran Parti Amanah Negara (AMANAH) peringkat negeri Johor di Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru malam tadi.

Turut hadir ialah Tuan Hj Mohamad Bin Sabu, Pengerusi AMANAH Pusat dan Sdr Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP.

"Saya hadir malam ini dan beberapa lagi siri pelancaran AMANAH di beberapa buah negeri sebagai tanda sokongan penuh dan mengalu-alukan kemunculan parti baharu ini dalam arena politik nasional" ujar Saifuddin.

Menurutnya, ia selaras dengan pendirian Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang telahpun mengadakan pertemuan dengan pimpinan AMANAH baru-baru ini, PAS pada 14 September nanti dan seterusnya DAP.

"Untuk merealisasikan sistem politik dua parti di Malaysia, ruang vakum ini perlu diisi seterusnya pakatan pembangkang yang baru perlu segera dibentuk" tambahnya lagi.

Mohamad pula turut menyatakan bahawa beliau telahpun mengarahkan AMANAH Johor untuk berbincang tentang penubuhan pakatan baharu melibatkan AMANAH, DAP dan PKR diperingkat negeri Johor seberapa segera yang mungkin.

"Johor boleh teruskan perbincangan segera. Di peringkat pusat, siri-siri perbincangan sedang berjalan kearah pembentukan pakatan baharu" jelas Mohamad.

Lim Kit Siang dalam kenyataannya pula menegaskan keyakinan beliau bahawa negeri Johor bakal menjadi 'engine head' dalam membawa perubahan ke seluruh negara.

"Cita-cita mengambil alih Putrajaya tidak akan berjaya jika Johor gagal. Johor bakal menjadi 'engine head' kepada arus perubahan Malaysia. Perbincangan pakatan pembangkang baharu Johor perlu disegerakan. Johor akan jadi tauladan kepada perubahan di Malaysia" ujar beliau.

HJ MOHAMAD BIN SABU
Pengerusi AMANAH

SDR LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP

DATO' SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Pengarah Pilihanraya PKR


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.