Kenyataan Media: ISMA Saman Eric Paulsen
--KENYATAAN MEDIA
Tarikh: 11 September 2015
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), melalui Tetuan Fuad Abi & Aidil, telah memfailkan writ saman ke atas peguam Eric Paulsen, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2hb September 2015 yang lalu.
Writ Saman ini difailkan berhubung tindakan Eric Paulsen yang mengeluarkan kenyataan yang bersifat fitnah terhadap ISMA melalui akaun twitternya pada bulan Januari tahun ini.
Kenyataan bersifat fitnah itu, sama ada dalam maknanya yang biasa dan lazim atau tersirat, antara lain membawa maksud ISMA adalah kumpulan ekstrimis yang cenderung melakukan tindakan keganasan seperti insiden Charlie Hebdo di Paris pada 7 Januari tahun ini.
Sebelum daripada memfailkan writ saman ini, ISMA melalui peguamnya telah terlebih dahulu mengeluarkan surat tuntutan kepada Eric Paulsen agar memadam kenyataan bersifat fitnah dalam akaun twitternya, serta menuntut permohonan maaf yang tiada berbelah dan tanpa bersyarat.
Walaubagaimanapun, Eric Paulsen telah menyatakan keengganan untuk memenuhi tuntutan tersebut.
Sehubungan itu dalam writ saman yang difailkan ini, ISMA menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta atas kerosakan dan kecederaan reputasi yang dialami, selain ganti rugi teruk dan ganti rugi tauladan yang terserah kepada taksiran Mahkamah, serta turut menuntut permohonan maaf yang tiada berbelah dan tiada bersyarat.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Tuan Azmil Muntapha telah mengesahkan melalui surat bertarikh 7 September 2015 bahawa Writ Saman ini telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Bahagian Sivil NCVC 10, dan telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 5 hb Oktober 2015 pada jam 9.30 pagi. Plaintif dalam tindakan ini adalah Salman al-Farisi bin Selamat, yang merupakan pegawai awam ISMA.
ISMA, melalui tindakan saman ini, mewakili umat Islam di negara ini bagi memberikan pengajaran kepada mereka yang sering mengeluarkan kenyataan celupar terhadap Islam serta badan-badan yang berjuang mempertahankan kedudukan istimewanya dalam Perlembagaan negara.
Mohd Hazizi bin Ab Rahman
Ketua Penerangan Isma
Sila kongsi artikel ini...