Isu Sumpah Cerai Taklik - Ustaz Ahmad Awang
Kewujudan baiah sumpah taklik cerai talak 3 bagi calon-calon PAS dalam pilihan raya umum yang lalu adalah sesuatu yang misteri.
Pimpinan PAS pusat berkali-kali menafikan wujudnya baiah tersebut sejak 2009 lagi.
Terbaru 3 hari yang lalu Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) PAS Datuk Nik Zawawi Salleh menegaskan mereka tidak pernah meluluskan baiah sumpah taklik cerai talak 3 itu.
Ini bererti PAS Kelantan tidak mematuhi keputusan MSU sekiranya benar baiah tersebut di kenakan ke atas wakil-wakil rakyat PAS di negeri tersebut.
Ini bermakna baiah sumpah tidak diperakui oleh ulama PAS sendiri, dan dengan sendirinya tindakan PAS Kelantan itu adalah bukti tidak walanya mereka kepada kepimpinan ulama.
Maka tidaklah sepatutnya isu tersebut dibangkitkan oleh pimpinan PAS Kelantan khasnya apatah lagi pimpinan PAS Pusat amnya.
Kesungguhan sesetengah pemimpin PAS yang begitu ghairah mahu meruntuhkan rumah tangga di kalangan wakil-wakil rakyat PAS Kelantan yang kini bersama Parti Amanah Negara (Amanah) menimbulkan kehairanan besar di kalangan masyarakat umum.
Seolah-olah mahu dipisahkan semua wakil-wakil rakyat ini dengan pasangan masing-masing tanpa sedikit pun ingin melihat hujah dan pandangan fuqaha' yang memberi jalan keluar kepada persoalan hukum yang kini menjadi polemik di dada-dada media.
Tidaklah dinafikan adanya pendapat-pendapat fuqaha' yang menghukumkan jatuh talak dengan sumpah taklik oleh suami terhadap isterinya, tetapi ia tidak ada kena mengena dengan sifat taklik dalam baiah politik seperti dilakukan PAS.
Lebih menyedihkan apabila mereka yang bersungguh-sungguh ini seakan-akan mahu membalas dendam dan “gembira” melihat rumah tangga sahabat yang dahulunya berjuang dalam PAS, runtuh dan musnah.
Seakan-akan tiada ruang untuk hujah menyelamatkan rumahtangga ini dikedepankan. Islam diwajahkan dengan pandangan yang cukup jelek seolah-olah politik kepartian Islam ini kerjanya mencerai-berai rumah tangga orang semata-mata dengan cuba menjadikan perjuangan politik Islam sebagai alasan untuk menjustifikasikannya.
Instituisi keluarga
Insituisi keluarga merupakan entiti penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat dan negara, bahkan terhormat dan mulia kedudukannya di sisi Islam.
Melindungi keluarga termasuk dalam kategori melindungi kehormatan dan zuriat keturunan yang merupakan salah satu daripada maqasid syariah yang 5 perkara.
Jelas keutuhan integriti keluarga merupakan sesuatu yang dilindungi dalam syariat Islam. Walaupun perceraian antara suami isteri dibolehkan dalam Islam tapi itu adalah perkara yang hanya wajar dilakukan dalam suasana yang amat mendesak dan tidak ada jalan keluar yang lain untuk mengatasi masaalah rumah tangga.
Bahkan dalam masalah perbuatan ilaa’ atau bersumpah tidak menyetubuhi isteri dalam tempoh lebih 4 bulan pun jelas kesukaan Allah terhadap pernikahan berbanding penceraian.
Allah SWT berfirman (Al-Baqarah, 226-227) yang bermaksud: “.. kemudian jika mereka kembali (kepada isterinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Dan pada waktu mereka berniat memilih talak (pencerian), maka Allah berfirman: “Dan jika mereka berazam (untuk) talak, maka sesunngguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.
Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin menyebut dalam “Durus wa Fatawa Haramul Makki”: Ini menunjukkan Allah tidak suka terhadap orang yang memilih jalan talak daripada kembali menyambung tali pernikahan.
Bahkan Rasulullah SAW sendiri menganggap orang yang menjatuhkan talak 3 sekali gus adalah mempermain-mainkan kitab Allah.
“An-Nasai meriwayatkan dari Mahmud Bin Labid: ada seorang memberitahu kepada Rasulullah ada orang yang menceraikan isterinya dengan talak 3 sekaligus. Baginda bangkit dengan berang seraya berkata : Apakah ada yang berani mempermain-mainkan kitab Allah sedangkan aku masih hidup di kalangan kamu? Kemudian seorang bangun dan berkata di hadapan Rasulullah: Biar aku bunuh dia wahai Rasulullah?”
Walaupun akhirnya sahabat itu tidak dibenarkan meneruskan hasratnya untuk membunuh pihak yang menjatuhkan talak, peristiwa ini menunjukkan soal hubungan suami isteri dan keluarga sesuatu yang tidak wajar dihubungkaitkan dengan sebarang kepentingan politik kepartian demi menjaga keutuhan dan nama baik keluarga itu sendiri.
Allah berfirman dalam surah Al Maidah ayat 89:
“Allah tidak menghukum kamu lantaran sumpah-sumpah yang kamu lafazkan secara tidak sengaja, tetapi Dia menghukum kamu lantaran sumpah yang kamu sengajakan. Bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka atau memerdekakan seorang hamba. Sesiapa yang tidak berupaya untuk melunaskan denda tersebut, maka dia hendaklah berpuasa selama tiga hari. Ini sebagai denda penebus sumpah kamu apabila kamu terlanjur bersumpah. Oleh itu, berhati-hatilah apabila bersumpah. Demikianlah Allah menerangkan titah perintahNya kepada kamu supaya kamu bersyukur.”
Umat Islam dituntut agar berhati-hati berkaitan dengan sumpah ini dan tidak bermudah-mudah mengheret institusi dan kehormatan keluarga dalam pertarungan politik kepartian.
Maksud firmanNya: “Jagalah dan berhati-hatilah terhadap amalan sumpah di kalangan kamu.”
Dengan perkataan lain, jangan mempermudah dan memperbanyak sumpah dalam budaya hidup kamu.
Dalam sumpah laknat, rahmat Allah mengatasi kemurkaanNya, sesuai dengan perutusan Islam itu sebagai rahmat untuk seluruh alam.
Bermohon istighfarlah dengan Allah. Sungguhpun mungkin si pelafaz sumpah memohon kecelakaan dan laknat terhadap dirinya, namun Allah bukan Tuhan yang suka-suka hendak menurunkan laknat kerana Dia Tuhan Yang Maha Mengasihani .
Allah Maha Mengetahui sumpah itu bukanlah niat sebenar bagi calon itu melainkan hanyalah tatacara yang dipaksakan ke atasnya oleh partinya yang mahu memastikan calon itu patuh kepada parti berkenaan dan tidak melompat kepada parti lawan (Umno-BN).
Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang sama sekali tidak tunduk kepada kebencian dan kegeraman manusia pendendam yang mendoakan keburukan kepada orang yang hanya berbeza pendapat atau yang memasuki wadah politik Islam yang lain.
Apatah lagi si pelafaz sumpah berkenaan masih komited terhadap perjuangan Islam dengan wadah yang baru, bukanya melompat kepada parti lawan yang dimaksudkan ketika melafazkan sumpah baiah dahulunya.
Realiti kerosakan masyarakat
Realitinya ketika ini, memang terdapat kerosakan masyarakat yang parah; rasuah dibudayakan demi memenangi tampuk kuasa dan pilihanraya.
Malah ada kerajaan yang sedia berkuasa di sesebuah negara lumrah membeli calon dan pemimpin dengan mengajukan rasuah bernilai jutaan ringgit.
Sehingga – dengan sebab itu – ada parti politik yang terlanjur melibatkan institusi keluarga untuk menjamin kesungguhan dan integriti calon mereka; agar tidak mudah dipujuk dan dibeli.
Mereka mengadakan semacam sumpah hingga mentaklikkan cerai isteri; baik satu atau tiga sekali gus dengan tindakan politik tertentu oleh penutur sumpah itu sendiri.
Amalan politik mempertaruhkan rumah tangga calon sememangnya tidak dapat diterima masyarakat yang bertamadun.
Ia merupakan ciri warisan masyarakat jahiliyah. Kerana itu PAS sendiri melakukanya dalam keadaan misteri dan menyembunyikan amalan yang boleh mengaibkan imej parti
Pendapat fuqaha
Walaupun ada ulama yang menganggap jatuh satu talak dalam kes berkenaan namun ada juga ulama yang menganggap ikatan sumpah itu tidak sah kerana ia bercanggah dengan maqasid ammah yang lebih utama iaitu keutuhan dan integriti keluarga mengatasi apa juga perhitungan.
Ini dianggap sebagai menghalalkan apa yang haram dan mengharamkan apa yang halal. Oleh itu sumpah berkenaan dianggap tidak sah. Sebaliknya dianggap lagha dan terbatal dengan sendirinya sebab bercanggah dengan maslahah yang lebih utama.
Menurut Ibnu Taimiyah, talak tidak jatuh kerana:
“Penutur sumpah tidak berniat menjatuhkan talak tapi sekadar untuk melarang dan menakutkan dan dia sendiri membenci talak berkenaan.”
Pendapat ini juga merupakan pendapat Abu Hanifah, segolongan sahabat Al-Syafie seperti al-Qaffal, Abu Sa’id Al Mutawalli dan difatwakan oleh kadi-kadi kalangan mutakhir daripada para sahabat Abu Hanifah, Al Syafie dan lain-lain.
Namun dituntut pihak yang membuat sumpah taklik berkenaan hendaklah membatalkan sumpah itu dengan memberi sedekah satu So’ atau sekitar 1 ½ kilogram makanan (beras atau gandum ) kepada sepuluh orang fakir miskin untuk melepaskan dirinya daripada sumpah berkenaan.
Bahkan dalam hal ini, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut: Pendapat seperti ini juga yang terpakai dalam undang-undang keluarga Islam di mesir, Algeria dan Libya semenjak lebih daripada pertengahan abad yang lalu
“Sesungguhnya talak muallaq (talak yang terikat dengan sesuatu atau larangan sesuatu) bukanlah talak yang disyariatkan oleh Allah untuk memisahkan hubungan suami isteri. Akan tetapi ia berkaitan dengan sumpah. Melanggar sumpah itu maka cukuplah bagi dia untuk membayar kafarah sumpah iaitu memberi makan atau pakaian kepada 10 orang miskin.” (Fatawa Muasirah, Jilid 3, m/s 342, Cetakan Darul Qalam Linnasyar Wa Tauzi’).
Muslim yang baik dan wadah politik Islam yang progresif masa kini tidak mempermudah kedudukan institusi keluarga dan anak isterinya untuk meraih kedudukan politik dalam arena politik demokrasi.
Mereka tetap menjunjung cita-cita memperjuangkan Islam dalam perspektif keilmuan yang lebih anjal dan syumul, sesuai dengan ‘angkubah’ dan realiti yang semakin rencam dan terkini.
Perjuangan mendaulatkan cita-cita Islam dalam arena politik demokrasi pelbagai parti tidak lagi boleh menggunakan pendekatan keterlaluan (fanatisme) sehingga menimbulkan suasana haru biru dalam keluarga dan masyarakat.
Segala perbezaan dan gerak kerja politik mesti berlandaskan rasionaliti yang tinggi, adab yang mulia dan tindakan bijaksana untuk tidak melibatkan kehidupan peribadi seseorang kerana gerak kerja meraih undi dan kedudukan dalam masyarakat.
Setiap usaha ke arah meraih kuasa perlu dilakukan dengan tatacara yang lebih beradab, demokratik dan bertamadun bagi menampilkan keadilan dan kemesraan terutama dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Berasaskan bacaan baharu terhadap rujukan politik Islam yang terkini oleh ilmuan, ulama masa kini yang dapat menggarap bentuk-bentuk pemerintahan yang berintegriti sesuai dengan lunas demokrasi yang disesuaikan dengan nilai dan ajaran Islam.
Dalam kondisi dan situasi politik yang mengarahkan kepada kepelbagaian atau ta’addud(berbilang) parti politik, Islam memberi ruang kepada aktivis umat dan ahli-ahli Parlimen berkaliber yang sedia bertugas untuk berperanan dalam wadah parti politik baharu berteraskan ajaran Islam berlandaskan Kaedah Fiqh:
- Sesuatu itu jika menyempitkan akan diperluaskan.
- Kesusahan akan membawa keringanan.
Bahkan juga dasar-dasar lain yang dihuraikan dengan panjang lebar oleh Dr Al Fateh Abdullah Abdul Salam dalam tulisan beliau mengenai persoalan ini .
Selaras dengan itu kita juga bersetuju dengan penjelasan Pengerusi Multaqa Asatizah & Du'at (Murshid), Dr Zaharuddin Abd. Rahman yang menyatakan :
Keluarnya seseorang calon daripada PAS tidak semestinya ia terus mengkhianati perjuangan Islam secara total, malah terdapat kemungkinan ia akan terus aktif dalam perjaungan Islam melalui platform jemaah-jemaah lain yang mungkin tidak bersifat politik seperti tabligh dan lain-lain.
Justeru, mengenakan dua mudarat ke atasnya adalah tidak wajar kerana dia belum boleh dikira mengkhianati Islam secara sepenuhnya, hanya kerana ia meninggalkan PAS.
Menggunakan sumpah setia dengan lafaz taklik sebagai pengikat juga tidak wajar kerana melafazkan talak 3 dengan satu lafaz dianggap satu kesalahan dan dosa oleh majoriti ulama,malah penceraian sebegitu juga dibenci oleh Rasulullah serta para sahabat.
Maka mengapakah diambil jalan yang dibenci ini sebagai strateginya, sedang boleh difikirkan cara-cara lain untuk mengikat calon untuk kekal.
Seperti sumpah laknat atas diri, dicagarkan harta tertentu kepada parti dan sebagainya yang bersifat neutral, bukan sumpah yang tercela dan dikira dosa.
Bukankah talak adalah perkara yang dibenci oleh Allah walau ia diharuskan? Ia juga adalah ihsan yang diberi oleh Allah bagi suami isteri yang benar-benar memerlukan, ia juga diajar oleh Allah untuk mengikut tertib kiraannya.
Mengapa perlu hal sebegini dijadikan pengikatnya? Amat sedih jika terputus hubungan suami isteri, bukan kerana krisis dan ketidaksefahaman tetapi disebabkan perkara luar daripada urusan dalam peribadi mereka berdua.
Maqasid syariah dalam peruntukan cerai dalam Islam adalah untuk keharmonian rumah tangga dan keluarga, peruntukan 3 kali diberikan oleh Allah adalah khas untuk suami isteri yang bercerai agar memikir kembali kebaikan kedua-dua pihak dan dibenarkan mengikat semula perkahwinan selepas muhasabah.
Lalu, sebarang penggunaan “cerai” untuk tujuan luar rumah tangga memerlukan nas dan hujjah yang benar-benar kukuh. Kerana ia aakan memadam seluruh objektif asal peruntukan cerai yang diberikan oleh Allah.
Kesimpulanya kami Parti Amanah Negara mengambil pendirian isu baiah taklik talak 3 adalah tidak jatuh talak berdasarkan pada pendapat Syeikh Dr Yusuf Al Qardhawi dan ibnu Taymiah dan serta lain-lain ulama yang sealiran dengannya.
Apatah lagi baiah taklik talak 3 yang di lakukan oleh PAS Kelantan terhadap wakil-wakilnya di liputi berbagai-bagai keraguan dan misteri.
Di samping itu wakil-wakil rakyat yang terlibat dengan baiah itu tidak lagi mewakili PAS bukan di sebabkan melompat kepada parti lawan (Umno-BN) bahkan sebenarnya disebabkan mereka disingkir parti. Ini bererti mereka tidak melanggar baiah. – 11 September, 2015.- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/isu-sumpah-cerai-taklik-ahmad-awang#sthash.gDzNKqCt.dpuf
Sila kongsi artikel ini...