Bajet 2016 pembuka laluan kepada kadar GST lebih tinggi - Tuan Ibrahim Tuan Man

12:29 PM 0 Comments A+ a-



Bajet 2016 pembuka laluan kepada kadar GST lebih tinggi

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak RM225.7 bilion untuk 2016, peningkatan sebanyak RM3.2 ringgit berbanding 2015, tatkala anggaran sumber daripada GST meningkat sebanyak RM12 bilion di 2016 berbanding kutipan di 2015.

Antara faktor terbesar menyebabkan perbezaan ketara ini ialah penurunan dividen daripada PETRONAS dan cukai petroleum sebanyak RM30 bilion berbanding 2015.


Ini jelas menunjukkan di dalam Bajet 2016 ialah sumber pendapatan kerajaan semakin terhad dan kerajaan kehabisan dana. Kerajaan kini bergantung hidup dengan duit rakyat melalui GST.

Tahun lepas, ekoran kejatuhan harga minyak sedunia, Najib mengumumkan langkah intervensi ke atas Bajet 2015 untuk mengurangkan kadar operasi pengurusan berkurang sebanyak RM5.5 bilion manakala mengekalkan perbelanjaan pembangunan pada RM48.5 bilion. Contohnya, antara langkah yang dibuat ialah menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara – yang membawa penjimatan sebanyak RM400 juta. Ketika itu, GST belum dilaksana sekali lagi.

Ini menunjukkan sebenarnya kerajaan mampu mengurangkan perbelanjaan mengurusnya. Sepatutnya langkah itu diteruskan. Namun tidak, di dalam bajet 2016, PLKN muncul semula dengan peruntukan sebanyak RM360 juta dalam keadaan kerajaan kehilangan sumber pendapatan daripada Petronas.

Katakanlah jika di tahun 2016 kerana situasi ekonomi di dunia menyebabkan anggaran perbelanjaan Bajet 2016 tersasar lagi, cuba teka apakah langkah intervensi yang akan diambil kerajaan?

Apakah kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan mengurusnya seperti di 2015? Sudah hampir pasti tidak. Kali ini, PAS percaya kerajaan akan menaikkan kadar GST sebagai penyelesaian mudah daripada berusaha mengurangkan perbelanjaan mengurusnya.

Dengan tumpuan sebegitu berat kepada GST dalam Bajet 2016, PAS ingin melahirkan kebimbangan terhadap kenaikan kadar GST.
Tidaklah melampau untuk dikatakan bahawa Najib telah membuka laluan kepada kenaikan kadar GST yang lebih tinggi di 2017 dan tahun-tahun seterusnya untuk menampung operasi pengurusannya yang sentiasa ketirisan dan bertambah jika sumber pendapatan kerajaan dan harga minyak sedunia tidak banyak berubah. Ini tidak termasuk lagi kesan kejatuhan nilai Ringgit dan 1MDB kepada pendapatan negara yang langsung tidak disentuh di dalam Bajet 2016.

Bersedialah dengan tali di perut, rakyat Malaysia. Sesungguhnya BR1M itu hanyalah seperti ajinomoto yang menyedapkan makanan seketika tapi meninggalkan kehausan berpanjangan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
24 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.