Bajet 2015: Sekilas Ikan Di Air - Anina Saadudin
BAJET 2015: SEKILAS IKAN DI AIR
1. Bajet kali ini tiada unsur baru yang ketara. Ianya jelas stereotyping dari bajet tahun lepas.
2. Faktor kesejahteraan rakyat adalah berlandaskan kepada prinsip "cash is king". BRIM diteruskan, angkanya ditingkatkan beberapa puluh sen sehari dan jumlah penerima dipertingkatkan dengan kumpulan pendapatan yg diperluaskan. Impaknya tidak mampu mengubah hidup rakyat utk jangkamasa panjang. Hanya gula-gula yang cair sekelip mata dalam mulut. Ianya hanya memberi kesan emosi sementara utk penerima tetapi tidak mampu mengubah kehidupan.
3. Konsep kesejahteraan rakyat sepatutnya melihat kepada pembinaan keupayaan survival jangka masa panjang. Kerajaan sepatutnya mencari mekanisma untuk menganjak naik taraf hidup, bukannya membantu dengan wang saku. Ianya penghinaan utk rakyat bagi sebuah negara yg dikenali dunia sebagai negara progresif yang menuju negara maju pada 2020. Pendekatan wang percuma adalah seperti wang kebajikan. Ianya tidak mengambarkan kemajuan. Negara maju sepatutnya rakyatnya juga maju dan mampu berdiri di atas kaki sendiri. Ini yg sepatutnya dilakukan oleh kerajaan.
4. Saya juga mencari di mana pulangan kutipan gst yg benar-benar setimpal dengan jumlah yg dibayar oleh rakyat. Ianya bukan sahaja berkaitan gst, malah harga barangan juga meningkat. Sejauh mana bajet ini akan mengubat keperitan rakyat.
5. Bajet ini tidak meletakkan mekanisma asas untuk mengawal kenaikan harga barang termasuk harga rumah. Ianya lebih bersifat "accomodating", bukan memperbaiki keadaan. Ianya tidak menyelesaikan masalah sebenar. Tiada usaha untuk membendung sebaliknya hanya memberi "sedatives" untuk menahan kesakitan.
6. Bajet ini juga tidak mengambarkan keikhlasan sebenar untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Nampak jelas, ianya lebih bersifat membeli hati rakyat, bukannya membina masa depan rakyat. Rakyat bukannya isteri yang perlu dimanjakan dengan hadiah. Rakyat adalah nyawa yang menghidupkan negara.
7. Berdasarkan itu, tumpuan ketara untuk sarawak dilihat sebagai ada maksud yang terselindung. Ianya wayang yang berlandaskan skrip lapuk. Saya tidak mempertikaikan hak rakyat sarawak terhadap pembahagian kek ekonomi tetapi apakah niat sebenar kerajaan. Setiap kali pilihanraya, rakyat mendapat habuan luar biasa. Adakah itu sahaja nilai rakyat di mata kerajaan. Saya faham ianya strategi biasa dalam pilihanraya tetapi bilakah "methodology" ini akan berubah. Tahap kematangan kerajaan sepatutnya membangun seiring masa. Ianya juga membuktikan bahawa DSN sedar dan tahu rakyat Sarawak juga sangsi dengan beliau. Pemimpin BN sarawak sepatutnya sedar, mereka berhadapan kesukaran dalam pilihanraya kali ini bukan kerana rakyat menolak BN, tetapi kerana rakyat sarawak menolak DSN. Jika BN sarawak ingin kekal berkuasa, mereka harus mendesak DSN berundur dengan segera. Kunci kebahagiaan rakyat sarawak kali ini adalah isu yg menghantui pengerusi BN. Saya harap BN sarawak sedar dari lamunan. Jika perubahan corak sokongan rakyat ini tidak dijiwai, sarawak berhadapan segala kemungkinan.
8. Saya juga ingin menyentuh tentang kegagalan DSN untuk menyentuh isu kesejahteraan rakyat dari aspek alam sekitar khususnya masalah jerubu. Ianya mengancam kehidupan manusia. Kesihatan rakyat terjejas. Apakah peranan kerajaan dalam memastikan rakyat dapat bernafas dalam udara bersih sepanjang tahun. Kesihatan rakyat bukan hanya berkaitan harga rawatan, tetapi juga dalam hal pencegahan.
9. Selain itu, saya ingin menyentuh isu 1mdb dan derma 2.6 billion yang bukan sahaja menjadi isu nasional, tetapi juga isu antarabangsa. Ianya isu besar dalam kesejahteraan ekonomi negara. DSN ada menyentuh tentang musuh-musuh yang kononnya cuba menjejaskan imej negara, tetapi beliau tidak langsung menyentuh tentang perkara pokok yang mendasari kritikan dari pihak yg kononnya dilabel sebagai musuh tersebut. Ianya sepatutnya medan keemasan utk melegakan hati rakyat. Fikiran rakyat sedang diselubungi skandal berbilion-bilion yg dikaitkan dengan DSN. Rakyat tidak akan dapat menghadam bajet yg beliau bentangkan.
10. Jantung saya seakan berhenti berdegup disaat DSN mengucapkan beliau adalah manusia biasa yang ada kekurangan. Ketika itu saya fikir beliau akan mengakui kesilapannya dalam pentadbiran, namun saya kecewa kerana ianya hanya sebaris ayat. Selebihnya beliau terus mendabik dada seolah-olah beliau pemimpin terbaik yang pernah rakyat negara ini miliki.
Anina Saadudin
Sila kongsi artikel ini...