Kenyataan Media Oleh Yb Nurul Izzah, Yb Hee Loy Sian Dan Yb Sivarasa Rasiah

12:25 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA OLEH YB NURUL IZZAH, YB HEE LOY SIAN DAN YB SIVARASA RASIAH

Langkah Kerajaan Malaysia Melanggar Hak dan Kebebasan Masyarakat Madani termasuk Ahli-Ahli Parlimen Malaysia Mendapat Perhatian Serius Inter-Parliamentary Union (Kesatuan Antara Parlimen)

Pada 2 Julai 2015 yang lalu, Kesatuan Antara Parlimen (IPU) di bawah Jawatankuasa Hak Asasi Ahli-ahli Parlimen (CHRP) telah menghantar misi penyiasat berkait tekanan undang-undang yang bertentangan dengan hak asasi terhadap ahli parlimen pembangkang di Malaysia yang telah menyuarakan tentang isu-isu skandal rasuah dan salah guna kuasa. Pasukan IPU juga menggesa agar kerajaan memberikan akses rawatan perubatan diberikan segera kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan Ketua Pembangkang Malaysia yang ditahan sebagai tahanan politik di Malaysia. Kenyataan ini dikemukakan setelah sesi lawatan diadakan ke penjara pada minggu yang sama siasatan IPU dilaksanakan.

IPU menggesa agar siasatan dan dakwaan terhadap lapan ahli parlimen pembangkang di bawah Akta Hasutan digugurkan. Beberapa ahli-ahli parlimen juga didakwa atau disiasat kerana terlibat dalam perhimpunan aman, atau dalam melaksanakan tugas mereka dalam memastikan pihak kerajaan sentiasa telus. YB Nurul Izzah sendiri telah disiasat dan ditahan kerana ucapan beliau di Parlimen yang didakwa sebagai mengkritik institusi kehakiman.

Misi IPU dimaklumkan oleh kerajaan Malaysia bahawa Akta Hasutan akan dipinda seiring dengan usaha memastikan akta tersebut tidak disalah guna. Justeru awalnya IPU melahirkan rasa optimis bahawa Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan Akta Hasutan melanggar Perlembagaan Persekutuan, menerusi kes yang dibawa oleh Professor Azmi Sharom.

Malangnya, pada 6 Oktober 2015, Mahkamah Persekutuan mengumumkan Akta Hasutan adalah sah dan mengikut perlembagaan. Keputusan ini merupakan bencana besar buat penyokong hak asasi manusia di Malaysia terutamanya buat aktivis sivil kemanusiaan, aktivis pembangkang dan rakyat biasa yang menyuarakan hak dan kebebasan bersuara, menyampaikan pendapat dan berhimpun dengan aman. Dalam pada itu, sehingga ke hari ini, Dato' Seri Anwar Ibrahim masih belum menerima rawatan fisioterapi intensif disebabkan kecederaan bahu yang serius.

Pada 19 Oktober 2015, YB Nurul Izzah telah member penerangan terkini dalam sidang CHRP-IPU. Berikut merupakan antara tiga input utama yang dikemukakan:


1. Malaysia masih diselubungi skandal ‪#‎1MDB‬ yang melibatkan Perdana Menteri dan menjadi skandal yang dirujuk Fitch sebagai alasan penurunan taraf Petronas dan juga krisis matawang yang jatuh beserta inflasi bertambah akibat pengurusan yang tempang. Kemelut ini mendorong kerajaan menggunakan segala jentera untuk mengambil tindakan yang bertentangan hak asasi manusia dan prinsip-prinsip keadilan. Kajian terkini menunjukkan hanya 23% sokongan buat Kerajaan Barisan Nasional Pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Najib Tun Razak.
2. Kondisi kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang semakin merosot - Pada 25 Jun 2015, doktor melaporkan beliau mengalami kecederaan Chronic Severe Rotator Cuff dan menunjukkan bukti kecederaan di bahagian bahu kanan. Penafian hak rawatan fisioterapi intensif sekurang-kurangnya 2 hingga 3 kali seminggu seperti yang disarankan oleh doktor pakar yang memeriksa beliau pada Julai lepas telah menyebabkan kecederaan bertambah teruk. Hanya selepas lawatan anggota CHRP IPU, Saudara Juan Pablo dan Saudara Abatalib ke penjara barulah proses kemasukan Datuk Seri Anwar ke hospital dilunaskan selama beberapa hari. Datuk Seri Anwar juga berhadapan dengan siasatan di bawah Akta Hasutan.

3. Kesemua cubaan dan siasatan yang dijalankan kepada ahli politik pembangkang adalah bertujuan untuk menidakkan hak mereka untuk bertanding pada PRU14 serta usaha mereka dalam memecah belahkan pasukan pembangkang yang telah memenangi 52% undi popular pada PRU13. Antara ahli-ahli Parlimen yang terkesan termasuklah YB Teresa Kok, N Surendran, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Rafizi Ramli,Steven Sim, Teo Kok Seong, Ng Wei Aik, Khalid Samad, Tony Pua dan yang terkini Sim Tze Zin dan Sivarasa Rasiah.

Kerajaan Malaysia harus mengambil pendekatan yang cermat dalam mengambil kira imej yang dipaparkan kepada dunia luar serta menamatkan siri penganiayaan terhadap suara pembangkang hanya kerana ingin mengalih pandangan daripada dakwaan rasuah terhadap Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak. Seraya dengan usaha ini, Speaker sebaiknya melunaskan usul memansuhkan Akta Hasutan di Parlimen pada sidang ini.

NURUL IZZAH ANWAR, AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
SIVARASA RASIAH, AHLI PARLIMEN SUBANG
HEE LOY SIAN, AHLI PARLIMEN PJ SELATAN


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.