Kenyataan Media DAP Sabah Mengecam Pendakwaan Terhadap Penganjur Bersih Sabah

1:57 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA DAP SABAH MENGECAM PENDAKWAAN TERHADAP PENGANJUR BERSIH SABAH

DAP Sabah kesal dan mengecam sekeras-kerasnya pendakwaan ke atas penganjur Bersih Sabah yang juga mantan Pesuruhjaya SUHAKAM Jannie Lasimbang dan menyifatkan pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Majestret Kota Kinabalu 21 Oktober lalu tidak adil dan tidak berperlembagaan.

Sebagai Pengerusi DAP Sabah, saya kesal dengan pendakwaan terhadap Jannie. Saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa menyekat pengembangan demokrasi adalah tindakan autokratik bertentangan dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan.


Dalam pendakwaan ini, Jannie berhadapan dengan dua pertuduhan iaitu:

1) Dituduh menganjurkan perhimpunan di pusat rekreasi awam di Teluk Likas antara jam dua petang hingga 9.30 malam dan pada 29 Ogos tanpa memberi notis 10 hari kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

2) Dituduh tidak menyerahkan notis yang menyatakan masa dan tarikh acara bagi perhimpunan pada 30 Ogos di tempat yang sama.

Telah lama Sabah dihantui dengan dilemma Pendatang Asing Tanpa Izin dan Projek IC dimana ia banyak didedahkan dalam laporan media tempatan serta dapatan dari Laporan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing Tanpa Izin berhubung pemberian kad pengenalan kepada warga asing secara ‘ekspress’. Akhirnya, keadaan itu telah menyebabkan demografi politik, budaya dan ekonomi Sabah terancam.

Apa yang diperjuangkan Bersih Sabah ialah menuntut sebuah pilihanraya yang adil dan bersih, namun penganjur Bersih diancam dengan pelbagai ugutan dan kecaman. Yang menyedihkan saya, ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meraikan Sambutan Hari Malaysia di Sabah 16 September lalu, kerajaan dilihat sengaja memberi ruang kepada perhimpunan rasis ‘Baju Merah’ di Kuala Lumpur. Ini amat tidak adil.

DAP Sabah bersolidariti dengan Bersih Sabah dan Janni Lasimbang dan berharap pertuduhan ini digugurkan dalam perbicaraan pada 23 dan 24 November depan.

Sekian terima kasih.

Jimmy Wong Sze Phin
Pengerusi DAP Sabah
Ahli Parlimen Kota Kinabalu


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.