[SIARAN MEDIA ABIM]
[9 Februari 2016]
ABIM TUNTUT PEMBEBASAN ANWAR IBRAHIM.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru rakyat Malaysia mengimbau semula pemenjaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang genap setahun pada 10 Februari 2016.
Sesungguhnya peristiwa pemenjaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Pembangkang merupakan peristiwa hitam yang tragis dalam sejarah politik dan perkembangan demokrasi negara yang kita cintai.
Anwar Ibrahim merupakan simbol dan lambang keberanian pemimpin yang sanggup mengambil segala risiko - hatta mengorbankan kebebasannya jasadnya - demi perjuangan membela hak rakyat dan menyanggah kezaliman elit pemerintah.
Tampak semakin jelas, dalam situasi negara yang terus-terusan dilanda krisis kepimpinan dan integriti yang mencemar reputasi rakyat Malaysia seantero dunia, pemimpin berjiwa besar yang sanggup mengenepikan kepentingan peribadi bagi menempuhi perit-jerih perjuangan bersama rakyat terbanyak semakin sukar dicari.
Justeru amatlah malang; tatkala negara memerlukan lonjakan gergasi untuk segera keluar dari kemelut sosio-politik dan ekonomi yang kian mencengkam, pemimpin pejuang rakyat yang komitmennya telah diuji dan kualiti kepimpinan telah diiktiraf di peringkat antarabangsa di dibiarkan mendekam di penjara selama 5 tahun.
Anwar Ibrahim - tanpa ragu - merupakan seorang tahanan politik yang dipenjarakan secara arbitrari, yakni pemenjaraan salah yang dilakukan tanpa bersandarkan bukti yang kukuh.
Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Working Group on Arbitrary Detention – UNWGAD) telah sebulat suara mendapati Anwar dipenjarakan secara haram, dan melanggar undang-undang antarabangsa melalui Pendapat No. 22/2015:
“Pemenjaraan Saudara (Anwar) Ibrahim adalah arbitrari. . . mengambil kira semua hal dalam kes tersebut, Kumpulan Kerja ini berpendapat bahawa jalan untuk membetulkan keadaan adalah untuk membebaskan Saudara (Anwar) Ibrahim dengan serta merta, dan memastikan hak-hak politik beliau yang dirampas oleh kerana pemenjaraan beliau ini dikembalikan”.
Pemenjaraan politik bukanlah sesuatu yang baru lagi menghairankan.
Dalam apa pun nama sistem dan istilahnya dalam liku-liku sejarah peradaban manusiawi, hakikatnya tetap sama - bahawa wujud insan-insan tidak berdosa sepanjang zaman yang dihumbankan di balik jeriji dek pertuduhan palsu yang menjengkelkan dan dakwaan memualkan!
Hanya segelintir yang buta sejarah berani menafikan betapa undang-undang telah disalahgunakan oleh pemegang tampuk kekuasaan untuk memenjarakan secara zalim seteru politik dan para penentang yang lantang memperjuangkan prinsip kebenaran dan keadilan.
Demikianlah juga, hanya pemerintah yang telah tercabut rasa kemanusiaannya laksana Al Sisi dan Shekh Hasina yang tega memekakkan telinga dan memejamkan mata dan terus-terusan membelenggu musuh politik sementelahan dikutuk masyarakat bertamadun seantero dunia.
Walaupun demikian, ABIM berkeyakinan majoriti rakyat Malaysia masih punya ketinggian akalbudi, naluri kesedaran yang mendalam dan dhamir yang suci, untuk mengakui hakikat bahawa Anwar Ibrahim merupakan mangsa politik keji konspirator, yang sanggup menggunakan apa sahaja helah bagi mengaibkan dan merampas hak kebebasan seteru yang tidak dapat ditundukkan dalam gelanggang politik demoktratik -- secara budiman, adil dan saksama.
Pertuduhan dan sabitan kesalahan seksual ke atas beliau melalui kerahan dan sebaran propaganda lucah yang diarusperdanakan buat tontonan umum telah meninggalkan warisan memori yang memalukan khususnya buat generasi muda negara.
ABIM menilai bahawa seluruh episod serangan yang jijik terhadap peribadi DSAI telah membiakkan budaya fitnah dalam masyarakat dan menyuburkan amalan Qazaf - menuduh wanita dan lelaki yang baik berzina atau liwat tanpa mendatangkan 4 orang saksi - yang amat dibenci oleh ajaran agama.
Bahkan sebaliknya, penekanan terhadap pemeliharaan maruah (hifz ‘ird) dan kemuliaan insaniah yang digariskan dalam objektif pensyariatan Islam telah dilanggar dengan wewenangnya dalam siri serangan propaganda terhadap beliau.
Sahsiah peribadi dan komitmen keIslaman Anwar Ibrahim, yang diiktiraf oleh ulama-ulama’ muktabar dan cendiakawan Islam di pelbagai belahan dunia dari usia mudanya sewaktu memimpin gerakan Islam sehinggalah saat dan tika ini telah tercalar dan tercemar dengan tuduhan Qazaf yang dipropagandakan pada peringkat nasional.
Marilah kita bersama-sama merenung dan menghayati mesej penting Syeikh Dr. Yusuf Qaradhawi dalam surat umumnya kepada seluruh rakyat Malaysia pada 27 Oktober 2014 sewaktu Dato Seri Anwar Ibrahim melalui fasa-fasa terakhir kes perbicaraan beliau di Mahkamah Persekutuan:
“Dalam kaitan inilah, Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin besar. Dengan jejak sejarah perjuangan dan pengalamannya, kesabaran, ketahanan dan kegigihannya sejak muda hingga sekarang, seharusnya beliau dihormati dan dilayani selayaknya, sesuai dengan perjuangannya, dan tidak wajar sama sekali beliau dilempari tuduhan-tuduhan palsu yang tidak berasas.”
Bersempena genap setahun penahanan Dato Seri Anwar Ibrahim pada 10 Februari 2016, ABIM dengan ini menuntut agar Dato Seri Anwar Ibrahim dibebaskan segera secara sah menurut saluran perundangan dan dibersihkan dari segala sabitannya melalui semakan kehakiman yang sedang diusahakan oleh barisan peguam beliau.
Sementara proses tersebut berlangsung, beliau haruslah diberikan segala haknya sebagai tahanan politik yang dijamin di bawah perundangan antarabangsa termasuklah hak bagi mendapatkan rawatan berterusan menurut pilihannya bagi mengubati kesakitan dan kecederaan beliau yang kini telahpun berusia 68 tahun.
ABIM turut menuntut agar hak untuk bertemu dengan peguam-peguam beliau yang dijamin oleh peruntukan undang-undang diberikan sepenuhnya tanpa sekatan-sekatan politik dan birokratik yang menjejaskan akses beliau terhadap nasihat perundangan yang selayaknya. Keluarga Dato Seri Anwar Ibrahim juga haruslah diberikan akses sepenuhnya untuk bersua, bertemu mata dan berkomunikasi tanpa sebarang halangan dengan beliau sewaktu di penjara.
Akhir sekali, jika ada satu pengajaran penting yang perlu kita insafi dari peristiwa pemenjaraan insan bernama Anwar Ibrahim ialah beliau mengajar setiap daripada rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan keadilan untuk menjadi berani – berani menyatakan keberanan dan keadilan, dan berani menguasai ketakutan yang membelenggu diri dari menyatakan dengan penuh lantang bangkangan terhadapan kebatilan dan kezaliman.
Inilah mesej penting pemimpin pejuang rakyat seperti yang diungkapkan oleh pejuang pembebasan apartheid Nelson Mandela; “I learned that courage was not the absence of fear, but the triumph over it. The brave man in not he who does not feel afraid, but he who conquers that fear”.
Jika takut pada risiko, jangan bicara soal perjuangan!
MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
Presiden
SIARAN MEDIA] ABIM BANTAH RANG UNDANG-UNDANG MAJLIS KESELAMATAN NEGARA 2015
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) amat prihatin terhadap isu-isu keselamatan dalam negara dan menyokong usaha terbaik pihak berwajib untuk menangani sebarang aktiviti yang memudaratkan keselamatan negara.
Walaubagaimanapun ABIM menilai sebarang usaha yang dibuat perlu berlandaskan prinsip keadilan sejagat dan kedaulatan undang-undang serta menepati aspirasi demokrasi yang diamalkan dalam negara.
ABIM merujuk kepada Fasal 5 Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 meletakkan kuasa yang besar kepada Majlis yang dipertanggungjawabkan yang dinyatakan seperti berikut -“Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis yang lain, Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk melakukan segala benda yang perlu atau suai manfaat bagi atau yang berkaitan dengan pelaksanaan fungsinya”.
Selain itu, merujuk kepada Fasal 6 Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 tersebut menyenaraikan keanggotaan Majlis tersebut yang terdiri dari pihak eksekutif yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dibantu oleh Timblan Perdana Menteri serta beberapa Menteri yang lain.
Ini secara jelas memberi kuasa yang terlalu besar kepada badan eksekutif dalam mengambil tindakan dalam aspek keselamatan tanpa melibatkan institusi lain seperti legislatif dan kehakiman.
ABIM khuatir, menerusi kuasa yang luas yang diberikan kepada eksekutif ini tanpa pemantauan dari institusi yang bertanggungjawab khususnya institusi Kehakiman termasuk institusi Raja-Raja akan mendedahkan kepada penyalahgunaan kuasa sewenang-wenangnya.
Sementara itu, ABIM berpandangan Rang Undang-Undang yang ingin digubal ini bercanggah dengan pelan Transformasi yang dijanjikan Perdana Menteri sebelum Pilihanraya Umum ke 13 yang menjanjikan transformasi sistem undang-undang dalam negara kearah penekanan kepada aspek keadilan dengan memansuhkan Akta Hasutan 1946, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), serta Proklamasi dan Ordinan Darurat.
Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden ABIM
[Info Grafik:- Malaysia Kini]
Al Fatihah : Kembalinya Seorang Pejuang melalui Tali Gantung.
Dengan dukacitanya dimaklumkan bahawa seorang lagi pejuang agama dan kebenaran di Bangladesh telah kembali menemui Allah SWT setelah digantung mati oleh pemerintah Bangladesh.
Maulana Ali Ahsan Mujahid merupakan Setiausaha Agung Jamaat-e Islami Bangladesh . Beliau telah dijatuhkan hukuman gantung pada awal pagi (waktu tempatan), 22 November 2015 bersama seorang lagi pemimpin kanan Bangladesh Nationalist Party (BNP) Salahudin Chowdry melalui konspirasi politik yang kotor dan jijik.
ABIM mengutuk sekeras-kerasnya penerusan hukuman mati dan penjara yang digunakan oleh rejim Sheikh Haseena ke atas seteru-seteru politiknya tanpa ihsan.
Buat Ali Ahsan Mujahid, kembalilah menemui penciptaMu dalam kegembiraan kerana engkau sesungguhnya telah bebas dari penjara dunia yang zalim menuju kebebasan yang hakiki.
Mohamad Raimi Ab.Rahim
Presiden ABIM
[Kenyataan Media] Lawatan Presiden AS ke Malaysia:- ABIM Gesa Kerajaan Tegas Dalam Isu TPPA dan Palestine
Angkatan Belia Islam Malaysia merujuk kepada lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barrack H Obama ke negara ini mulai 20 November 2015.
ABIM menilai lawatan beliau ke negara ini strategik dari segi diplomasinya tatkala Malaysia masih berperanan sebagai Pengerusi ASEAN dan di tengah kehangatan isu Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA).
ABIM melalui penglibatannya dalam gabungan NGO Bantah TPPA menilai wujud ketempangan dan ketidakadilan yang nyata dalam isi kandungan TPPA yang perlu disuarakan oleh kerajaan kepada Presiden Obama.
Semenjak isi kandungan draf perjanjian TPPA ini disiarkan secara umum, pelbagai maklumbalas bernadakan kebimbangan terhadap implikasi perjanjian TPPA ini telah disuarakan oleh rakyat dalam pelbagai kapasiti, sektor, serta bidang yang berbeza. Ternyata kebimbangan ini terbukti benar.
Malaysia adalah sebuah negara yang merdeka serta berdaulat. Malaysia seharusnya berdiri sama tinggi serta duduk sama rendah dengan negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat. Malaysia tidak seharusnya rasa rendah diri dalam mengambil pendirian terutama sekali dalam isu TPPA dan isu-isu antarabangsa yang menyentuh kepentingan umat Islam di persada global. Atas dasar ini, pihak ABIM menuntut agar YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak dan kerajaan Malaysia agar tidak menandatangani TPPA, demi kesejahteraan negara dan generasi akan datang.
Untuk makluman; ABIM telah menfailkan semakan kehakiman berhubung dengan TPPA dan kes ini akan diperdengarkan di Mahkamah Jalan Duta, pada 19 November 2015, jam 9 pagi.
Pada masa yang sama, ABIM sebagai badan gabungan Save Al Quds International Campaign turut menggesa agar YAB Perdana Menteri amenyuarakan secara tegas pendirian umat Islam agar Amerika Syarikat menghentikan samasekali sokongan dan bantuan politik, ekonomi dan ketenteraan kepada sekutu rapatnya Israel yang kini agresif menceroboh Masjid al Aqsa. Gesaan ini adalah lambang solidariti negara serta rakyat dan rantau ASEAN (selaku pengerusi ASEAN) terhadap perjuangan rakyat Palestin yang ditindas negara “haram” Zionis- Israel.
Mohamad Raimi Ab.Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
#bantahTPPA #TPPA
KENYATAAN MEDIA
ABIM FAILKAN SEMAKAN KEHAKIMAN TUNTUT KERAJAAN HENTIKAN TPPA
4 NOVEMBER 2015/ 22 MUHARRAM 1437 H
Pada hari ini, 4 November 2015, bertempat di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menfailkan permohonan Semakan Kehakiman terhadap Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri & Kerajaan Malaysia sebagai Responden mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di antara Malaysia, Australia, Brunei, Canada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Amerika Syarikat.
Permohonan Semakan Kehakiman ini dibuat kerana kami menilai bahawa TPPA akan merosakkan struktur asas Perlembagaan Persekutuan, serta merendahkan sistem perundangan dan kehakiman negara seterusnya menggugat kedaulatan negara. Selaku pertubuhan yang berperanan untuk mengetengahkan Islam sebagai teras utama tatacara politik, ekonomi serta sosial, ABIM menilai TPPA akan mencemarkan peruntukkan istimewa yang merujuk kepada kedudukan Islam sebagai agama utama persekutuan yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, TPPA juga dicermati akan menggugat struktur asas utama dalam Perlembagaan Persekutuan seperti hak-hak Keistimewaan Orang Melayu dan orang-orang asal Sabah dan Sarawak (Perkara 153), bahasa kebangsaan (Perkara 152), dan tanah rizab Melayu (Perkara 9) dan beberapa peruntukan serta polisi perundangan lain yang menyentuh garis panduan pemuliharaan alam sekitar, penjagaan hak-hak pekerja dan buruh, serta hal-hal berkaitan keselamatan dan kesihatan awam sekiranya didapati tindakan berasaskan Perlembagaan Persekutuan tersebut menyebabkan kerugian terhadap sesebuah syarikat asing di Malaysia.
Sebagai contoh; menerusi pembentukan Investor-State Dispute Settlement (ISDS) selaku mekanisme timbang tara menjamin kelancaran TPPA, responden-responden berkemungkinan menghadapi tindakan undang-undang sekiranya mereka menguatkuasakan atau melaksanakan kewajipan berkenaan peruntukan yang menjadi sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan.
Dalam erti kata lain, pembentukkan ISDS yang terdapat dalam perjanjian TPPA akan memberikan hak dan kedudukan yang istimewa kepada para pelabur seterusnya peruntukan ini mendedahkan pihak-pihak responden kepada pelbagai kemungkinan tindakan undang-undang daripada pihak pelabur.
Sekiranya ini berlaku ia mengganggu gugat kedaulatan negara di mana asas-asas utama kenegaraan sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan akan dicabar bagi menyesuaikannya dengan kehendak para pelabur.
Justeru, kami percaya menerusi TPPA, kepentingan pelabur asing akan mendahului ketinggian Perlembagaan Persekutuan dan sistem perundangan negara memandangkan setiap polisi dan perundangan yang ingin dikuatkuasakan Responden demi menjaga kepentingan rakyat akan terhalang.
Permohonan ini juga dibuat kerana kami bimbang bahawa perjanjian TPPA ini boleh disimpulkan tanpa persetujuan Parlimen dan tanpa isi kandungan TPPA didedahkan kepada umum. Natijahnya, TPPA ini secara rasmi “akan” dianggap sah dan diterima kerajaan Malaysia. Atas dasar ini, permohonan semakan kehakiman difailkan atas perkara-perkara seperti berikut:-
1. Pihak kami memohon satu perintah mandamus bagi mewajibkan Responden-responden untuk dengan serta-merta menzahirkan dan mendedahkan teks Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (“Perjanjian TPPA”) dan menyerahkannya kepada kami dan rakyat secara umum;
2. Pihak kami memohon satu perintah mandamus bagi mewajibkan Responden-responden untuk dengan serta-merta menzahirkan dan mendedahkan segala dokumen yang berkaitan proses rundingan Perjanjian TPPA dari peringkat permulaan sehinggalah Perjanjian TPPA dilaporkan disimpulkan termasuk semua set analisis penuh kos dan faedah menandatangani Perjanjian TPPA;
3. Pihak kami memohon satu deklarasi bahawa menandatangani Perjanjian TPPA adalah suatu tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan;
4. Pihak kami memohon Mahkamah Tinggi mengeluarkan suatu perintah larangan (prohibition) bagi melarang Responden Pertama, Kedua dan Ketiga sama ada melalui dirinya sendiri atau agennya atau wakilnya daripada menandatangani Perjanjian TPPA;
5. Pihak kami memohon satu perintah penggantungan terhadap Responden dari meneruskan dengan proses menandatangani Perjanjian TPPA tersebut sehingga Semakan Kehakiman ini didengar di atas meritnya dan diputuskan oleh Mahkamah Yang Mulia.
MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
PRESIDEN
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
ABIM KECAM USAHA MENGEMBALIKAN PPSMI MELALUI PINTU BELAKANG
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada laporan yang dibuat oleh Performance Management & Delivery Unit (PEMANDU) dan Education Performance and Delivery Unit (PADU)dalam mencari mekanisme untuk memperkasa penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah.
Antara cadangan yang telah diketengahkan adalah untuk melaksanakan Program Dwi-Bahasa (DLP) untuk membolehkan beberapa mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris bagi sekolah-sekolah tertentu. Menurut laporan tersebut matapelajaran Sains, Matematik, dan Reka Bentuk dan Teknologi/ Teknologi Maklumat dan Komunikasi adalah matapelajaran yang wajib untuk diajar menggunakan Bahasa Inggeris.
Munurut laporan tersebut, program DLP tersebut akan dilaksanakan untuk pelajar Tahun 1 dan Tahun 4 untuk Sekolah Kebangsaan dan Tingkatan 1 untuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) bermula tahun 2016 yang akan melibatkan 300 sekolah rintis.
ABIM menegaskan program DLP yang dicadangkan ini adalah satu usaha terancang untuk mengembalikan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains Matematik dan Bahasa Inggeris (PPSMI) yang terbukti gagal dan terpaksa dimansuhkan oleh kerajaan secara rasmi pada tahun 2012.
PEMANDU dan PADU adalah badan yang dirujuk serta dianggap mempunyai “autoriti” dalam merangka sesebuah dasar. Justeru sebarang cadangan ataupun dasar yang dikemukakan akan dijadikan sebagai rujukan ataupun narasumber. Oleh itu ABIM menuntut pihak PEMANDU dan PADU memastikan sebarang cadangan yang ingin diutarakan khususnya dalam bidang pendidikan sejajar dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Dalam konteks DLP, PEMANDU dan PADU WAJIB merujuk dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sepertimana yang telah diputuskan semenjak tahun 2009.
Dasar MBMMBI yang diputuskan kerajaan telah menetapkan kesemua Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan akan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk semua subjek bermula 2016 melainkan pelajar tingkatan enam.
Cadangan yang diutarakan menerusi laporan tersebut juga seolah-olah bertujuan untuk membezakan kelas golongan pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang akhirnya akan menghasilkan generasi pelajar yang “caca merba” terutama dari sudut tahap pemahaman sesuatu mata pelajaran.
ABIM turut menegaskan pandangan bahawa mata pelajaran sains dan matematik perlu diajar melalui pengantar Bahasa Inggeris sudah disangkal oleh banyak kajian ilmiah sama ada dalam negara mahupun kajian di peringkat antarabangsa.
Selain itu, pemimpin dari kalangan pertubuhan bukan kerajaan, ahli bahasa dan golongan cendikiawan sebelum ini telah menegaskan bahawa usaha untuk memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan tetapi tidak dengan menggantikan bahasa pengantar dari Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris.
Justeru, ABIM menyatakan bahawa masalah kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris bukan terletak kepada faktor bahasa pengantar yang diguna dalam sistem pendidikan, tetapi ialah pendekatan pengajaran yang digunakan.
Dalam perkembangan berkaitan, ABIM juga menuntut semua pihak melihat dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) ini secara menyeluruh yang turut menekankan hasrat besar untuk memastikan pelajar sekolah menguasai Bahasa Melayu dengan baik.
Justeru itu, selain memperkukuh bahasa Inggeris, dasar MBMMBI tersebut perlu melihat keperluan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi memastikan bahasa tersebut menjadi bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran dalam usaha kita membina sebuah negara bangsa yang kukuh dan bersatu padu.
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
SETIAUSAHA AGUNG
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
KENYATAAN MEDIA PKPIM
JANGAN JUAL NEGARA: PKPIM RAGU KEBOLEHAN KERAJAAN URUSKAN "PERJANJIAN RAHSIA" TPPA
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyatakan kesedihan dan kekesalan kami atas berita kesepakatan yang dicapai oleh 12 buah negara termasuk Malaysia dalam perundingan peringkat akhir di Atlanta, Amerika Syarikat, semalam. Ternyata, setelah sekian lama berdolak-dalih, akhirnya kerajaan bakal "jual negara".
Sikap dolak-dalih Kerajaan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terhadap isu Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership Agreement - TPPA) akhirnya membuahkan jawapan. Setelah lima tahun "penelitian" dan "kajian" dibuat oleh MITI, dengan pelbagai rintihan dan kerisauan rakyat, kerajaan masih yakin bahawa "TPPA baik untuk negara".
PKPIM mewakili kelompok pelajar dan mahasiswa Tanah Air sekali lagi menegaskan bahawa kami tidak akan mudah berpuas hati dengan jaminan Dato' Sri Mustafa Muhammad yang menggunakan skrip jawapan yang sama setiap kali rakyat menyatakan kerisauan: "kerajaan akan memastikan kesemua aspek yang menjadi keprihatinan dan sensitiviti Malaysia diambil kira". Dalam kenyataan media beliau ketika rundingan di Hawaii penghujung Julai lalu, Dato' Sri Mustafa Muhammad memberikan jawapan yang masih belum cukup meyakinkan. Itulah juga jaminan yang beliau janjikan dalam kenyataan media MITI semalam (05 Oktober 2015).
Dalam hiruk pikuk keresahan rakyat dengan situasi ekonomi gawat hari ini, mana mungkin kami boleh berasa yakin dengan kebolehan negara menangani TPPA, sedangkan skandal besar politik dan ekonomi negara yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara pun kerajaan tak mampu mengendalikannya. Inikan pula isu yang mungkin berbangkit dengan pihak pelabur luar dengan peruntukan perundangan ISDS (Investor-to-State Dispute Settlement) dalam TPPA ini?
Pelajar dan mahasiswa Malaysia sudah hilang percaya terhadap integriti kerajaan. Cukuplah kami dijanjikan oleh para menteri tentang kebaikan GST dan ia akan beri kesan baik kepada rakyat. Ternyata, kerajaan sendiri gagal mengawal kesan kenaikan harga barang selepas implementasi GST. Bagaimana mungkin kerajaan mampu mengawal harga barangan penting seperti ubat-ubatan apabila tempoh pempatenan dipanjangkan? Atau harga buku apabila hayat hak cipta diperpanjangkan sehingga 120 tahun, mengakibatkan harga buku naik disebabkan kos yang meningkat?
Kesimpulannya, kami meragui TPPA seluruhnya. Memang kami ragu-ragu dengan kerajaan. Jangan gadai masa depan kami. PKPIM bersama dengan pertubuhan pelajar dan mahasiswa akan terus mendesak kerajaan dalam isu ini. Rakyat seluruh dunia sedang bangkit menyatakan kekesalan kepada negara masing-masing atas peristiwa malang ini. Walaupun kesepakatan sudah dicapai oleh kesemua perunding terbabit, kami akan pastikan kerajaan terus ditekan!
Jangan jual negara dengan kejahilan pemimpin!
Hidup Biar Berjasa
Mohammad Fazril bin Mohd Saleh
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
06 Oktober 2015