RAKYAT BEBAS SERTAI HIMPUNAN TUNTUT HAK RAKYAT, TAPI BUKAN HIMPUNAN PERKAUMAN
Rakyat Malaysia berhak menyertai mana-mana himpunan aman untuk menuntut hak-hak mereka yang dinafikan seperti gaji minima, hak bersuara, keadilan pilihan raya, kebebasan media, dan menentang rasuah dan penyelewengan, sama ada terhadap majikan mahupun pemerintah.
Jika tujuan himpunan seperti saya sebutkan di atas itu, saya sendiri akan turut menyertainya dan mengajak rakyat untuk bersama-sama, tanpa mengira siapa penganjurnya.
Tetapi, jika himpunan itu berunsur perkauman, membela kezaliman, mempertahan orang yang dituduh rasuah atas nama kaum, maka himpunan seperti itu wajar dijauhi.
Himpunan seperti itu hanya akan menimbulkan perselisihan antara kaum dan agama, dan bukan dibuat atas kepentingan rakyat secara keseluruhan.
Oleh itu, rakyat perlu membuat pertimbangan waras sama ada perlu atau tidak, untuk menyertai himpunan yang akan dibuat kumpulan yang menamakan mereka sebagai Baju Merah, pada 16 September ini.
HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
9 September 2015
KENYATAAN MEDIA
AMANAH NEGARA ULANGI PENDIRIAN SEDIA BERKERJASAMA DENGAN SEMUA PIHAK TUMBANGKAN BN
www.harapanbaru.net
1. Sejak daripada awal penubuhan Gerakan Harapan Baru, saya telah menyatakan sikap kami bahawa sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada parti politik, NGO's atau mana-mana individu yang meletakkan matlamat menyelamatkan Malaysia dan masa depan rakyat dan negara.
2. Saya ingin menegaskan bahawa pendirian itu tidak pernah berubah sekalipun kami kini bergerak atas nama Parti Amanah Negara (Amanah Negara) yang akan dilancarkan secara rasmi pada 16 September ini.
3. Amanah Negara komited untuk meneruskan kesinambungan perjuangan rakyat bersama semua parti-parti politik pembangkang melalui muafakat politik baru, Pakatan Rakyat 2.0 yang akan diwujudkan nanti, dalam usaha untuk menumbangkan Barisan Nasional.
4. Sebagai sebuah parti politik Islam yang mengangkat nilai inklusif, tentunya Amanah Negara terbuka untuk berunding termasuk dengan PAS, atau mana-mana pihak lain, jika wujudnya keperluan itu.
5. Bagi Amanah Negara, jiwa besar kami adalah mahu mengembeling semua pihak, agar negara ini dapat diselamatkan daripada segala kebejatan yang berlaku akibat tindakan rakus dan salah urus kerjaan Barisan Nasional.
Amanah. Progresif. Peduli.
SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Pengerusi
Parti Amanah Negara
8 September 2015
YB RAJA KAMARUL BAHRIN CABAR PESURUHJAYA PAS TERENGGANU BENTANG PRESTASI AHLI2 PARLIMEN PAS TERENGGANU SEBELUM DESAK LETAK JAWATAN
Saya mohon pesuruhjaya PAS Terengganu terlebih dahulu menyiasat perkara di bawah kerana kesemua ahli parlimen, yang bersidang hanya tiga kali setahun, dibayar gaji serta elaun untuk berkhidmat untuk rakyat. Saya menuntut pesuruhjaya PAS Terengganu membentang rekod rasmi aktiviti ahli parlimen PAS dari Terengganu, termasuk juga saya, seperti di bawah:
(i) Kehadiran harian termasuk beberapa jam sehari setiap sesi oleh ahli parlimen Terengganu sejak PRU13 dari rekod kedatangan rasmi Parlimen sendiri.
(ii) Kekerapan bilangan ucapan serta isu yang dibawa oleh ahli parlimen PAS Terengganu dalam Dewan.
(iii) Apakah prestasi sidang akhbar isu Rakyat setiap ahli parlimen Terengganu melalui kemudahan yang disediakan di Parlimen untuk mereka keluaran akhbar dan media alternatif – sosial.
(iv) Adakah ahli parlimen Terengganu terlibat dalam aktiviti melibatkan imbuhan berbayar lain semasa waktu sesi parlimen sedang berjalan dari jam 10 pagi hingga tamat sesi malam memandangkan mereka dibayar gaji khidmat Parlimen.
(v) Rekod kehadiran ahli parlimen Terengganu di Mesyuarat Pengurusan Mingguan Ahli Parlimen PAS di Pejabat Pembangkang Tingkat 14 Parlimen yang dipanggil oleh Ketua “whip” PAS Dato’ Mahfuz Omar.
Setelah pesuruhjaya membentang prestasi dan kehadiran setiap Ahli Parlimen Terengganu barulah beliau dan rakyat – pengundi boleh membuat penilaian siapakah sebenarnya yang patut meletak jawatan sebagai ahli parlimen.
Saya mohon fakta ini diperjelaskan dahulu 14 hari dari sekarang. Biarlah hukuman yang hendak di jatuhkan berasas pada fakta di atas.
Saya juga mohon pesuruhjaya menjelaskan kenapa tiada ahli parlimen dari Terengganu yang berlatar belakang agama mengambil bahagian berucap pada 18 Jun 2015 hari akhir sesi parlimen.
Pada waktu itu, Datuk Mahfuz Omar menimbulkan kegagalan kerajaan dan parlimen sekali lagi membentang Akta Pindaan Enakmen Syariah Kelantan 355 Hudud di Parlimen.
Kenapa mereka yang sepatutnya lebih arif dalam isu ini memilih berdiam diri di parlimen dalam isu yang selama ini digegarkan di kawasan masing-masing.
Saya memberi 14 hari dari tarikh ini untuk pesuruhjaya PAS Terengganu membentang kepada rakyat rekod ahli parlimen Terengganu. Biarlah rakyat jelata mengetahui fakta sebenar prestasi ahli parlimen mereka sebelum menjatuhkan apa-apa hukuman. Sesungguhnya Islam menuntut pertimbangan fakta-fakta yang benar untuk proses keadilan sebelum menjatuhkan hukuman.
Kesemua pengundi termasuk ahli biasa PAS berhak mengetahui prestasi sebenar wakil rakyat mereka di Parlimen.
RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD
MP Kuala Terengganu
7 Sept 2015
APABILA MEREKA TIDAK MENGHARGAI WANITA - PARTI AMANAH NEGARA BANGKIT MEMBELA
Seluruh negara terpukau dengan keberanian seorang wanita, Anina Saaduddin. Ketika seorang lelaki veteran seperti Timbalan Presiden UMNO dibuli semata-mata kerana cuba melaksanakan amal nahi mungkar; wanita ini bangkit menyambung perjuangan lelaki mantan Timbalan Perdana Menteri itu, dengan menyaman Presiden UMNO.
Ketika wanita ini dipecat dari UMNO, beliau terus berikrar mempetahankan agama, bangsa dan tanah air, sebagaimana dia ungkapkan dalam sajak indahnya itu.
UMNO kehilangan seorang wanita berani dengan menyingkirya dari parti. UMNO mempamerkan sifat tidak menghargai wanita kental seperti ini, malahan membunuh semangat seluruh kaum wanita.
Dari satu sudut yang lain pula, ada organisasi yang bertema mewakili Islam, mempertaruhkan wanita-wanita mulianya sebagai cagaran mempertahankan tiket partinya dalam kerusi Parlimen mahupun DUN.
Wanita-wanita salihah yang ikhlas, yang tidak berdosa, seolah-olah menjadi mangsa hukuman terhadap suami yang terpaksa membuat keputusan baharu, selepas partinya mengubah orientasi perjuangan asalnya.
Beberapa pemimpinnya dengan tidak segan-silu seolah-olah turut bergembira dan mengumumkan rumah tangga bekas ahli mereka sudah runtuh sedang mahkamah syariah belum membuat apa-apa keputusan.
Wanita-wanita dari pelbagai NGO Islam, NGO masyarakat sivil dan penjawat-penjawat awam dan sektor korporat membantah tindakan-tindakan dari kedua-dua parti berkaitan terhadap wanita.
Teman-teman bukan Islam kehairanan dan kebingungan, inikah keindahan Islam yang sebenarnya? Wanita dipandang rendah dan diperlakukan sedemikian rupa?
PARTI AMANAH NEGARA bangkit membela kaum wanita dan akan sentiasa menyakini akan kemuliaan wanita seperti mana yang telah dijaminkan haknya oleh ad-Diinul Islam.
Tindakan terhadap Anina Saaduddin adalah tidak wajar. Tekanan perasaan yang dikenakan ke atas para isteri dan keluarga bersabitan lafaz taklik juga sangat tidak wajar.
AMANAH NEGARA menawarkan seluas-luas gelanggang, kepada seluruh wanita Malaysia, tidak kira apa agama mahupun bangsa, untuk berjuang mempertahankan hak mereka.
Seluruh ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO termasuk Anina Saaduddin, diseru untuk meninggalkan parti yang telah tersasar dari perjuangan itu.
Seluruh wanita yang merasai mereka dianiaya, semata-mata kerana kerakusan pemimpin yang berpolitik secara sempit, diseru untuk berjuang bersama-sama kami dalam sebuah wadah baru, sebuah parti yang memperjuangkan Islam atas nama Parti AMANAH NEGARA.
Mari bersama membina Malaysia yang lebih baik yang memberi bahagian dan tempat yang adil kepada wanita tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.
“Sebuah HARAPAN BARU, untuk masa hadapan kita bersama".
USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS
7 September 2015
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Parti Pekerja)
KENYATAAN MEDIA UNTUK SIARAN
7hb SEPTEMBER 2015
Hari ini, 6 September lebih kurang jam 3 petang, telah berlangsung satu dialog sempena pelancaran Parti Amanah Negara di Hotel Grand Continental di Kuching, Sarawak.
Dalam dialog tersebut saya ditanya tentang pendirian Parti Amanah Negara berkenaan hudud jika di bawa ke Parlimen.
Saya menyatakan bahawa, kami mengambil pendirian sebarang Rang Undang-Undang (RUU) apa sekalipun termasuk undang-undang syariah, hendaklah dibincangkan terlebih dahulu di atas konsep pegangan perjuangan kami iaitu memlih secara demokrasi, konsultasi (perundingan) dan mengambilkira Perlembagaan negara.
Oleh itu, sekiranya isu ini timbul pada masa akan datang, persetujuan di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat 2.0 jika ianya terbentuk nanti, hendaklah dibincang bersama terhadap sebarang pindaan perlembagaan atau hal-hal yang terlalu penting, sama ada untuk bersetuju ataupun tidak.
Kekeliruan yang timbul akibat laporan daripada The Malaysian Insider seolah-olah meletakkan bahawa saya akan mengarahkan anggota parlimen daripada Parti Amanah Negara untuk menolak RUU hudud jika dikemukakan.
Saya jelaskan sekali lagi, sebarang persetujuan atau penentangan hendaklah dibincang bersama dalam komponen Pakatan Rakyat 2.0. untuk bersetuju atau tidak, di atas konsep persetujuan bersama yang menjadi pegangan kepada kami.
Sehubungan itu, saya berharap pihak berkaitan segera memperbetulkan laporan berkenaan, agar ia tidak menimbulkan kekeliruan dan salah anggap di kalangan masyarakat terhadap pendirian kami.
HJ MOHAMAD BIN SABU
Pengerusi
Parti Amanah Negara
6 September 2015
Persoalan Sumpah Ta’liq Talak Tiga
Oleh USTAZ ABDUL GHANI SHAMSUDDIN
(Ahli Jawatankuasa Kesatuan Ulamak Sedunia)
Di antara sebab kegagalan beberapa gerakan reformasi Islam di dunia Arab dan bukan Arab, selaian daripada gangguan kuasa besar musuh dari kalangan penjajah baru dan lama serta Zionist ialah sifat "Ghuluw" atau melampau dalam bertindak dan mencapai tujuan tertentu. Sedangkan Islam mengajar umatnya bersifat sederhana , berhati-hati dan tidak gopoh dan tidak cenderung bersikap keras dan “tasyaddud”. ( Lihat hurain terpeinci dalam Kitab Dr Ala’ Mohamad Said “ Muhawalat Al Islah Wa Al Taghyir Fi Alam Al Arabi Al Mu’asir Thesis Phd Cet Muaassasah Al Syuruq , Mesir,2007)
Allah berfirman dalam Surah Al Maidah 77
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لاَ تَغْلُواْ فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلاَ تَتَّبِعُواْ أَهْوَاء قَوْمٍ قَدْ ضَلُّواْ مِن قَبْلُ وَأَضَلُّواْ كَثِيرًا وَضَلُّواْ عَن سَوَاء السَّبِيلِ
Hai orang Ahlul Kitab (orang yang beriman) jangan kamu bersikap melampau dalam agama dengan menyimpang dari kebenaran. Jangan kamu ikut hawa nafsu kaum yang sedia sesat dan telah menyesatkan ramai kalangan dari jalan yang lurus
Allah menegaskan lagi dalam Surah Al Baqarah 143
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُواْ شُهَدَاء عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا
Demikianlah kami jadikan kamu umat yang perdana (sederhana) agar kamu menjadi saksi kepada manusia lain manakala Rasul menjadi saksi terhadap kamu
Rasulullah bersabda :
اياكم والغلو في الدين
Awas kalian; jangan bersikap melampau dalam agama.
Rasulullah berpesan lagi :
هلك المتنطعون قالها ثلاثا
“Celakalah orang yang berdegar-degar melampau.”Baginda mengulangnya sampai tiga kali
Menurut Imam Al Nawawi “ "Al Mutanatti’un" ialah mereka yang beria-ia, melampau dan extrim dalam bertutur-kata dan bertindak.
Perjuangan Rasulullah adalah perjuangan yang paling utama dan penting untuk memastikan Islam survive atau tidak kecundang di peringkat awal Islam. Baginda memang menerima bai’ah positif dalam berbagai bentuk. Tapi baginda tidak pernah membuat bai’ah dan mengikatkan ketaatan pengikut baginda dalam perjuangan dengan sumpah ta’liq perceraian isteri dengan talak satu atau tiga apabila dilanggar sumpah berkenaan. Sedangkan kaedah itu bukannya tidak boleh dilakukan oleh baginda waktu itu demi memastikan kemenangan perjuangan baginda .
Oleh itu melakukan apa yang tidak dibuat oleh baginda bukan sahaja bid’ah tetapi menyusahkan diri , pengikut dan orang ramai. Lebih-lebih lagi dalam kajian mutakhir menyifatkan bahawa berbilang parti dalam politik Islam adalah suatu yang dibenarkan dengan beberapa syarat sampingan.
Parti bukan satu ketumbukan tentera yang berjihad di medan perang. Parti adalah produk dan instrument madani dalam kaedah politik demokrasi yang dibenarkan oleh para alim ulama Islam mutakhir .Asalkan dasarnya ialah Islam dan tidak bercanggah dengan asas-asas Islam samaada disebut perkataan Islam pada nama parti berkenaan atau tidak.
Oleh itu gambaran yang lumrah yang boleh disimpulkan ialah bahawa orang ramai boleh mengikut mana mana parti Islam yang baik program pembangunan atau manifestonya untuk merealisasi cita-cita Islam . Parti juga mempunyai perlembagaan atau undang-undang dasarnya yang tersendiri. Mana-mana parti yang tidak membenarkan ahlinya keluar dari parti berkenaan atau mengenakan cerai talak tiga kepada isteri orang berkenaan apabila keluar daripada parti adalah bercanggah dengan perlembagaannya dan menyempitkan pilihan orang ramai untuk membuat pilihan dalam suasana politik demokrasi atau shura seperti yang dijelaskan oleh ulama yang membincangkan politik Islam masa kini.
Tindakan ini juga adalah menghakis kebebasan asas warga negara dan menggugat kelansungan institusi keluarga. Ia memamirkan menifestasi ghuluw dan tasyaddud yang ditentang oleh Islam.
Ketelanjuran perbuatan seperti ini tidak boleh diperkukuh dengan dakwaan adanya Iijma’ Sukuti” . Bagaimana mungkin boleh dikatakan adanya kesepakatan ulama dalam hal ini pada hal ia adalah peraturan bid’ah yang tidak pernah dibuat oleh Rasulullah dalam perjuangan para sahabat leluhur silam. ( Kalau adapun mungkin di zaman Hajjaj yang zalim)Tidakkah kepentingan membina dan melindungi Negara serta pemerintahan Islam pada waktu itu memang sangat memerlukan instrument seperti ini demi kelangsungan perjuangan Islam. Tetapi mengapa hal ini tidak dilakukan oleh Rasulullah?
Untuk mengurangkan musibah ketelanjuran seperti ini – buat masa kini - maka pendapat yang menyebutkan perlunya penutur sumpah berkenaan membatalkan sumpahnya seperti yang dihuraikan oleh syara’ adalah lebih relevan dari yang lain. Manakala cerai ta’liq itu dianggap lagha kerana ia lebih merupakan tatacara yang dipaksakan untuk bertanding mewakili parti berkenaan dengan tidak ada niat penutur untuk menceraikan isterinya begitu rupa ketika itu dan Fiqh Islam tidak menjadikan kaedah seperti itu sebagai suatu kaedah yang normal dan rasmi dalam merungkai perkahwinan pasangan yang berkahwin dan malah kerana perbuatan tersebut bercanggah dengan perlembagaan parti itu sendiri. Ini adalah untuk mengutamakan kepentingan keluarga sebagai institusi yang amat dilindungi oleh Islam.
Pengertian Jama’ah dalam hadith Rasulullah perlu difahami dalam kontek perbincangan politik semasa . Selaras dengan pendirian gerakan Islam induk di Mesir bahawa Ikhwan hanyalah salah satu dari jamaah muslim dan bukan satu-satunya jamaah Islam di persada politik Mesir. Bahawa jamaah yang dimaksudkan oleh hadith berkenaan lebih kepada Imamul Uzma atau khalifah.
Trend semacam membolot sendiri perjuangan Islam dan ketaksuban terhadap sesuatu jamaah sebagai dia sahaja satu-satu satunya jamaah pembela dan pejuang Islam adalah bertentangan dengan pandangan ulama Islam mutakhir tentang boleh dan dibenarkan berbilang parti dalam perjuangan politik Islam demi memberi ruang kepada activist dan rakyat terlibat mengushakan kebaikan untuk umat Islam menurut lunas, kaedah-kaedah dan peraturan madani yang menyusun atur gerak kerja berpolitik.
Perkataan jamaah yang disebutkan dalam hadith rujukan lebih merujuk kepada keseluruhan umat dan pemerintah yang berlegitimasi yang sedang berkuasa berlandaskan Islam. Ia bukan merujuk kepada sesuatu parti yang bernama Islam atau tidak yang sedang terlibat dalam politik kepartaian.
Sikap ghuluw dan taassub dalam masyarakat lumrahnya tertunjul kerana kecenderungan membesarkan yang kecil, menyusahkan diri dan orang ramai , memaksakan sesuatu yang memeritkan umat dan tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ia juga disebabkan oleh fanatic terhadap pendapat sendiri dan kebanggaan diri. Dengan kata lain kerana sifat dan kecenderungan mahu menghukum kerana dendam " Al Tasyaffi" atau sifat mahu menang sendiri dan meremehkan orang lain.
Kalau pun isu sumpah ta’liq cerai talak tiga - dalam sosok seperti yang kita bincangkan ini - tidak termasuk dalam kategori bid’ah dhalalah" sebaliknya masuk dalam persoalan ijtihadiah; di mana ulama berbeda pendapat mengenainya maka dia bukan persoalan Qat’iatu al Thubut. Atau bukan pula persoalan Qat’iyatu al Dalalah. Dia adalah masalah ijtihadi di mana seseorang hendaklah memilih pilihan yang lebih melindungi maslahah umat berdasarkan kaedah “ Apabila bertembung maslahah Ibad dan Hak Allah maka hendaklah diutamakan maslahah Al "Abd” ( Lihat huraian terpeinci dalam Kitab Mausu’ah Fi Qawa’idil Fiqhiyah Tulisan As Syaikh Dr Mohd Sidqi Bin Ahmad Al Burno” ).
Oleh itu seseorang itu dilarang bersikap taassub untuk memilih yang memberatkan umat dalam perkara berkenaan. Dalam hal ini pendapat pilihan kita ialah pendapat yang menerangkan sumpah talak tersebut tidak menjatuhkan talak kerana alasan yang dinyatakan oleh ulama ulama yang membahaskan hal ini , juga demi melindungi institusi keluarga dan ketenteraman awam.
Andainya sumpah ta’liq cerai talak 3 itu hendak digunapakai dan dianggap jatuh talaq juga maka hakim kes boleh bertindak bijaksana seperti yang kita cadangkan atau menurut amalan pentadbiran sebelum ini yang menggap jatuh jatuh talak satu dan tentunya ia boleh dirujuk semula oleh suami dengan segera - samaada di hadapan hakim atau tidak - dan hubungan keluarga dengan itu boleh diselamatkan. Tapi yang kita anggap lebih arjah di sini ialah pandangan Presiden Persatuan Ulama Muslimin Sedunia Syaikh Yusuf Al Qaradhawi dan yang telah menjadi amalan oleh beberapa mahkamah Syariah di sesetengah Negara Arab.( Lihat kajian Fatwa dan tarjih dalam isu berkenaan dalam majalah Al Wa’yu Al Islami Online)
. Wallah A'lam
APA NIAT PRESIDEN PAS SEBENARNYA DALAM ISU BAI'AH TAKLIQ TALAK TIGA, SOAL AHLI PARLIMEN SEPANG, YB HANIPA MAIDIN
Saya mendengar dan menonton rakaman video ucapan Presiden Pas mengenai isu baiah yang melibatkan Yb Dr Hatta Ramli.
2. Setelah mendengar dan mengamati beberapa kali ucapan beliau tersebut nampaknya wujud jalan keluar ( exit route atau escape clause ) bagi isu kesan baiah tersebut yang mengandungi satu hukuman ( 'iqab) yang amat keras iaitu penceraian talak tiga ke atas pihak yang berbaiah sekaligus menghukum juga pihak ketiga yang bukan menjadi pihak dalam baiah tersebut iaitu isteri Ahli Parlimen dan sudah tentu juga dirasai kesannya oleh anak anak beliau.
3. Ada dua perkara menarik daripada kenyataan Presiden Pas tersebut yang menimbulkan tandatanya.
4. Pertamanya, beliau menukilkan pendapat Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan yang mengatakan jatuhnya talak 3 kesan daripada baiah tersebut dan berkemungkinan Mahkamah Syariah Kelantan akan "'ligan"'('kejar )'Dr Hatta untuk dibawa ke Mahkamah Syariah Kelantan.
5. Walaupun Presiden Pas tidak secara jelas menyatakan sokongan atas apa yang dikatakan oleh Ketua Hakim tersebut, namun sikap Presiden Pas yang tidak sama sekali mengkritik tindakan seorang Hakim yang mendahului menjatuhkan hukum sebelum pihak yang dihukum itu dibawa ke Mahkamah menimbulkan persoalan -adakah Presiden Pas merestui kaedah dan bentuk keadilan sebegitu ?
6. Bukankah prinsip sub judice ( tidak mendahului menjatuhkan hukum ) adalah satu prinsip asas dan fundamental dalam sistem keadilan Islam yang sudah tentu Presiden sebuah parti Islam yang berstatus ulama sepatutnya ke depan mempertahankan prinsip keadilan Islam itu?
7. Keduanya, Presiden Pas juga nampaknya bersetuju di sana wujudnya jalan keluar bagi mengelakkan kesan baiah yang keras itu iaitu dengan pihak Pas boleh membuat keputusan memecat Dr Hatta sekaligus kesan baiah tersebut tidak lagi wujud dan terpakai. Sudah tentu ini kaedah terbaik yang Pas patut lakukan demi menyelamatkan satu rumahtangga yang telah dibina sekian lama, dengan andaian baiah itu sendiri bukan baiah yang laghah. Sudah tentu jika baiah itu sendiri diputuskan laghah,saranan Presiden Pas itu tidak relevan lagi.
8. Mengambil kira wujudnya pelbagai pendapat tentang kesahihan baiah itu ,sudah tentu mencari jalan keluar dari masalah pertikaian tersebut ( al-khuruj min khilaf ) adalah satu cara yang baik yang para ulama anjurkan dalam situasi sebegitu.
9.Persoalannya kenapa Pas atau Presiden Pas enggan mengambil atau memilih jalan keluar itu demi menyelamatkan suatu rumah tangga seseorang? Keengganan Pas atau Presiden Pas menawarkan formula jalan keluar itu dengan memecat Dr Hatta mengundang spekulasi liar bahawa dendam menjadi asas kepada keengganan Pas tersebut. Di manakah Islam sebagai rahmat ( mercy ) yang Pas selalu canangkan selama ini ?
10. Bukankah 'Allamah Ibnu Al Qayyim menyatakan "Syariah itu adil keseluruhannya, rahmat keseluruhannya, hikmah ( wisdom ) keseluruhannya, maslahah keseluruhannya dan mana mana perkara yang keluar dari prinsip keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada sebaliknya, dari maslahah kepada kerosakan ( mafsadah ) dan dari hikmah kepada sia sia ia bukanlah syariah meskipun kita cuba masukkan ianya dalam kategori syariah.."
11. Saya tertanya, adakah ketika mana isu baiah ini dihebohkan serata dunia , adakah kita sedang tonjolkan syariah yang sebenarnya atau bagaimana?
Wallahu 'alam wa huwa al Musta'an
Mohamed Hanipa Maidin
Parti Amanah Negara