Penjelasan Berhubung Dakwaan Arutchelvan PSM
Sehari dua ini telah keluar kenyataan dari Saudara Arutchelvan Ahli JK Pusat PSM menuduh saya dan YB Ong Kia Meng menipu berhubung pendirian PSM terhadap Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan. Salah faham ini timbul oleh kerana laporan media berhubung sebab mengapa PSM tidak dijemput ke sidang meja bulat parti-parti pembangkang tempoh hari. Dalam soal ini saya ingin menjelaskan keadaan yang sebenarnya supaya salah faham ini tidak menjadi lebih parah.
Pada hari Rabu 23 September, saya ditanya oleh pemberita mengapa PSM tidak dijemput untuk sidang meja bulat. Saya menjawab dengan menyatakan bahawa soalan itu sepatutnya dituju kepada penganjur, bukan kepada saya. Ini adalah kerana bukan saya yang menentukan siapa yang dijemput dan siapa tidak.
Namun demikian, saya tambah lagi, soalan tersebut telah turut ditanya semasa sidang meja bulat diadakan. Jawapan yang diberi adalah kerana PSM telah tidak bersama dengan PR sejak dari dulu.
Apabila ingin mengimbau kembali mengapa PSM telah tidak bersama PR, maka timbul dua versi yang berbeza. Ini mungkin atas sebab soalan itu telah tidak dijangka dan oleh itu tiada persiapan untuk menjawabnya.
Versi pertama menyatakan bahawa ianya adalah atas sebab PSM tidak bersetuju dengan sebahagian dari ‘dasar bersama PR’, khususnya penerimaan artikel 153 Perlembagaan Persekutuan oleh PR. Versi kedua pula ialah bahawa penerimaan mereka sebagai anggota PR telah dibantah oleh PAS pada ketika itu.
Kedua-dua versi ini telah saya sebutkan pada pemberita berkenaan. Malangnya hanya satu versi dilaporkan dan ianya kononnya jawapan dari saya. Sedangkan, sepertimana yang telah saya jelaskan, saya hanya menyatakan jawapan yang diberi apabila soalan itu ditimbulkan semasa sidang meja bulat.
Walau apa pun, pada dasarnya sidang meja bulat diadakan untuk menghidupkan kembali PR yang telah berpecah. Oleh itu hanya parti yang terlibat dengan PR telah dijemput sebagailangkah permulaan. Parti Amanah Negara, walaupun parti baharu yang bukan sebahagian dari PR sebelum ini, anggota dan pimpinannya merupakan pimpinan PAS pada ketika itu. Kami dikenali sebagai pendokong tegar konsep PR dan atas sebab itu kami telah berbalah dengan pimpinan PAS sediada. Maka di atas dasar ini kami turut dijemput bersama. Hakikatnya kami telah sememangnya menjadi sebahagian dari PR sejak mula ianya ditubuhkan tetapi melalui wadah lain pada ketika itu.
Namun begitu, PSM boleh memanfaatkan peluang ini untuk menjelaskan pendirian mereka terhadap dasar bersama PR dan artikel 153. Melalui itu pendirian PSM akan lebih difahami semua. Ianya merupakan peluang yang boleh dimanfaatkan bersama di antara PSM, Pakatan Harapan dan rakyat jelata. Hanya tuduhan bahawa saya ‘menipu’ adalah tidak benar. Ini adalah kerana dalam melaporkan apa yang telah disebut sebagai kemungkinan sebab PSM tidak bersama PR sebelum ini, maka itulah dua sebab yang telah dinyatakan.
Sekian, terima kasih.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
PAKATAN HARAPAN: LANGKAH AWAL MENYATUKAN PARTI PEMBANGKANG, NGO DAN RAKYAT
Di atas kehendak rakyat, maka pada tahun 2008, berlakulah perpaduan di antara rakyat, parti-parti politik, NGO. Pada pilihan raya itu, keputusannya semua diketahui iaitu parti-parti pembangkang dapat menguasai lima negeri dan menafikan dua pertiga majoriti Barisan Nasional di parlimen.
Tanggal 1 April 2008, tarikh yang bersejarah bagi Malaysia, apabila wujudnya Pakatan Rakyat yang secara rasminya parti-parti pembangkang yang utama dapat bersatu dan disokong oleh orang ramai khasnya NGO.
Hasil kerjasama tersebut, pada pilihanraya 2013, Pakatan Rakyat dapat memperolehi undi majoriti rakyat Malaysia iaitu sebanyak 52% undi popular.
Berlaku perbalahan dingin di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan akhirnya ia berkecai pada muktamar PAS Jun lalu, apabila parti itu melalui satu usul, telah memutuskan hubungan dengan DAP.
Kesannya, persepakatan antara parti-parti pembangkang menjadi terumbang-ambing. Ia ditambah dengan perbalahan dingin yang berlangsung lebih daripada dua tahun, maka tiga bulan selepas Muktamar itu iaitu pada 22 September, lahirlah PAKATAN HARAPAN.
Ia merupakan satu langkah awal yang berani yang dilakukan parti-parti pembangkang yang mahu bersatu semula untuk membentuk muafakat politik baharu.
Langkah awal ini perlu diikuti dengan dialog dan perbincangan terus menerus dan serius dengan parti-parti politik yang ingin bersama PAKATAN HARAPAN dan perbincangan tertutup dan terbuka dengan NGO's yang ingin memberi pandangan, kritikan serta teguran kepada PAKATAN HARAPAN.
Sesungguhnya rakyat mahu melihat arah tuju PAKATAN HARAPAN dan yang paling penting manifesto rakyat menjelang PRU14. Maka pandangan semua pihak termasuk NGO, orang perseorangan atau kesatuan, perlu dikutip agar manifesto yang akan dihasilkan benar-benar mantap dan dijulang secara bersama.
Bagi Parti Amanah Negara (AMANAH), saya menyeru kepada semua ahli dan penyokong dan mereka yang bersimpati, untuk terus berusaha memantapkan PAKATAN HARAPAN dan melebarkan pengaruh serta menyebarkan segala maklumat yang betul dalam memberi pengharapan kepada rakyat untuk membuat perubahan, terutama dengan keadaan Malaysia sekarang yang cukup parah khasnya dari sudut ekonomi dan perkauman.
Kita juga mengharapkan semua parti-parti pembangkang yang lain dan juga NGO's agar turut bersama dalam usaha menyelamatkan Malaysia dan membebaskan penderitaan rakyat yang semakin menjdi-jadi akibat salah laku, rasuah yang menjadi budaya baharu di negara ini.
HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara (AMANAH)
26 September 2015
12 Zulhijjah 1436H
Isu NGO dan PSM
Saya agak terpesona dengan kemelut yang sedang berlaku selepas rundingan meja bulat Pakatan Harapan. Tetapi penulisan ini adalah pandangan peribadi saya.
Apa yang saya lihat masing- masing ada pendirian dan mempertahankan kenyataan mereka. Ya,nampak kalut tetapi bagi saya ianya tetap dalam kerangka politik yang akan,sedang dan sudah mereka hadapi dalam perhitungan politik negara Malaysia.
Banyak pandangan,perli,troll dan apa jua benda yang ahli parti masing2, atas pagar dan rakyat biasa mentafsir peristiwa ini. Siapa yang bersalah,siapa yang perlu jawab,siapa yang bertangungjawab....malah di serang pula oleh bekas rakan mahupun pesaing politik seperti UMNO dan rakan sekutunya. Hebat juga penangan meja bulat ini.
Saya pula melihat di sudut yang lain di mana politik Malaysia mampu berubah dengan laju dengan perkara2 di atas dari politik lama ke politik baru, samada mereka mahu berdamai dengan melakukan banyak lagi meja rundingan demi untuk menghadapi PRU atau mereka berhenti proses rundingan kerana sudah yakin mereka sudah cukup kuat. Agak2 kamu pula bagaimana? Saya optimis akan berlaku rundingan bersama dalam mencapai objektif yang sama. Kenapa mahu membuang masa menambahkan polemik dan janganlah pula jadi pentaksub parti masing2 tetapi jadilah ahli yang cuba selesaikan masalah.
PSM sudah meluahkan perasaan mereka menyangkal kenyataan dua ahli parlimen maka parti2 gabungan PH perlu menjawab dengan baik dan saksama kerana anda sudah berjanji untuk bawa perubahan politik baru di negara ini. Perselisihan tidak boleh tidak mesti akan berlaku cuma bagaimana proses kematangan anda semua akan di nilai oleh rakyat dan pengundi.
Saya optimis Presiden AMANAH bersama ketua pembangkang mampu menangani polemik ini dengan baik kerana hubungan baik mereka dengan semua parti yang terlibat dan saya sendiri yakin masih ada jalan cumanya kesabaran,ketekunan,keyakinan,kepercayaan,kefahaman,keilmuan mampu merobah segala permasalahan dalam politik Malaysia terutama dalam Pakatan Harapan yang perlu di lihat dari demografinya dan mentaliti rakyatnya Malaysia
Jangan sampai kelancangan mulut masing2 tidak membawa sebarang perubahan risau nanti rakyat yang mengharapkan kamu jemu dan bosan.
PEMUDA AMANAH NASIONAL MENYAMBUT BAIK GELARAN 'KERAJAAN PAKATAN HARAPAN PULAU PINANG', HARAPAN BESAR KEPADA KERAJAAN NEGERI LAIN - SANY HAMZAN
Pemuda AMANAH Nasional menyambut baik, bahkan menyokong penuh pengumuman oleh Y.A.B Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa Pentadbiran Pulau Pinang kini digelarkan sebagai 'Kerajaan Negeri Pakatan Harapan'.
Dengan penerimaan AMANAH sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri, ia menunjukkan bahawa semangat permuafakatan politik baharu ini benar-benar utuh dan ikhlas dalam meneruskan perjuangan menjatuhkan kezaliman dan penyelewengan pemerintahan Barisan Nasional.
Dengan pengumuman ini, AMANAH secara tidak langsung telah tertampil sebagai sebuah parti yang progresif dan mampu menjalankan amanah rakyat dengan baik dan berkesan sejajar dengan konsep urustadbir baik kerajaan negeri Pulau Pinang berdasarkan nilai integriti yang Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).
Pemuda AMANAH Nasional berharap langkah berani kerajaan Pulau Pinang ini menjadi 'precedent' kepada tindakan dan gerak kerja Pakatan Harapan di semua peringkat kerajaan negeri dan parti untuk berpegang kepada konsep kebersamaan dan akauntabiliti kepada setiap keputusan yang telah diputuskan bersama.
SANY HAMZAN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional
23 Sept 2015
PEMUDA-PEMUDA PAKATAN HARAPAN PERLU BERSAMA DAN KOMITED MENJADI EJEN PERUBAHAN.
PEMUDA AMANAH NASIONAL mengalu-alukan pembentukan permuafakatan pembangkang baru yang dianggotai oleh 3 parti utama pembangkang iaitu AMANAH, DAP dan PKR yang diberi nama PAKATAN HARAPAN.Sesungguhnya, harapan rakyat kepada Pakatan Harapan amatlah tinggi.
Kemunculan Pakatan Harapan di saat rakyat sedang bergelut dengan keperitan bebanan sara hidup dan krisis ekonomi negara akibat rasuah dan skandal penyelewengan kewangan negara terutama 1MDB serta pergolakan politik tanahair yang kian meruncing seolah-olah tiada kesudahannya adalah amat penting bagi rakyat dan negara. Harapan rakyat disandarkan kepada Pakatan Harapan untuk menyelamatkan dan membebaskan negara dan rakyat daripada cengkaman kezaliman, ketidakadilan dan penyelewengan pemerintahan Barisan Nasional serta untuk menyelamatkan rakyat daripada terus terperangkap dalam ketegangan perkauman yang cuba ditiupkan demi survival politik Barisan Nasional.
Pemuda AMANAH Nasional dengan ini mengusulkan 4 dasar utama yang perlu dijadikan asas kepada polisi bersama (common policy) Pakatan Harapan iaitu:
1) Menjunjung prinsip dan elemen asas Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara. Setiap dasar, rangka kerja (framework) dan manifesto hendaklah berdasarkan kepada perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
2) Segala dasar, rangka kerja dan manifesto hendaklah mengambil kira kebajikan, kepedulian dan keadilan kepada seluruh rakyat.
3) Segala dasar, rangka kerja dan manifesto hendaklah bertujuan bagi mempromosikan keharmonian kaum dan mendefisitkan jurang sosio ekonomi antara rakyat yang berbeza kaum dan geografi.
4) Segala dasar, rangka kerja dan manifesto hendaklah bertujuan bagi membentuk anak muda yang bermoral, berintegriti, berdaya saing, berilmu dan berkemahiran tinggi.
Barisan kepimpinan sayap Pemuda ketiga-tiga parti koalisi baru ini; Pemuda AMANAH, DAPSY dan AMK hendaklah sentiasa bermuafakat bersama, ikhlas, istiqamah dan komited dalam membawa mesej perubahan kepada negara. Sistem pemerintahan dan demokrasi yang korup ini hendaklah diubah dengan digantikan sistem yang amanah, adil, inklusif dan menjunjung prinsip-prinsip demokrasi dan keluhuran undang-undang. Kepercayaan rakyat kepada pembangkang lebih 52% bukan sahaja tidak boleh dikhianati, tetapi hendaklah ditingkatkan bagi meneruskan perjuangan suci untuk menguasai Putrajaya. Suara rakyat suara keramat pasti akan menjatuhkan rejim zalim Barisan Nasional. InsyaAllah.
Pemuda AMANAH Nasional bersama-sama sayap pemuda parti koalisi lain daripada DAPSY dan AMK mempunyai tugas berat dalam mengembeleng tenaga dan fikiran bagi mendapatkan kepercayaan pengundi muda yang dianggarkan melebihi 7 juta orang. Konsultansi, penyusunan strategi dan gerak kerja bersama amat penting untuk kita meneruskan agenda perubahan ini. Sebagai anak muda yang merupakan mata rantai perjuangan, kita adalah ejen perubahan yang diharapkan rakyat.
Faiz Fadzil
Timbalan Ketua Pemuda
AMANAH Nasional
23 September 2015
KENYATAAN MEDIA
MUAFAKAT PENUBUHAN PAKATAN HARAPAN
Krisis kepimpinan negara dan tekanan kewangan terhadap rakyat akibat kepincangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak memerlukan penyelesaian segera. Lebih lama krisis ini berlanjutan, rakyat biasa akan terus menjadi mangsa menanggung beban ekonomi seharian dan berhadapan permainan adu domba perkauman sesetengah pihak.
Krisis yang melanda negara ini juga mendesak parti-parti pembangkang bersatu untuk lebih berkesan dalam menentang Umno/Barisan Nasional. Harapan rakyat tinggi menggunung supaya sebuah pakatan pembangkan yang bersatu dan kuat dapat memainkan peranan mengekang salah tadbir dan kepincangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Mengambil kira kepentingan rakyat yang utama ini, parti-parti yang hadir bersidang di dalam Rundingan Mejabulat yang dipanggil oleh Ketua Pembangkang pada hari ini bersetuju untuk menubuhkan sebuah pakatan pembangkang yang baru bernama Pakatan Harapan dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (PAN) berkuatkuasa hari ini.
Sebuah Jawatankuasa Khas dengan diwakili oleh Setiausaha Agung dan wakil dari setiap parti akan ditubuhkan untuk memperhalusi terma-terma penubuhan Pakatan Harapan termasuklah perjanjian pakatan, dasar bersama, etika kerja sesama parti yang menganggotai Pakatan Harapan dan lain-lain.
Mulai dari hari ini, Pakatan Harapan akan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik yang jitu untuk membela rakyat dan berdepan dengan Umno/Barisan Nasional.
Langkah pertama Pakatan Harapan adalah mengumumkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). Kami yakin bahawa beliau adalah di antara pemimpin yang paling sesuai untuk menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang ditinggalkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Pakatan Harapan mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk bersama-sama Pakatan Harapan dalam misi menyelamatkan rakyat dan negara dari kepincangan Umno/Barisan Nasional tertakluk kepada persetujuan perjanjian pakatan, dasar bersama dan etika permuafakatan politik.
Kami yakin kewujudan Pakatan Harapan akan memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia ke arah sebuah negara yang adil, inklusif, berdaya saing, berkebajikan dan berpaksikan keluhuran undang-undang.
YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH ISMAIL
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN
YB SAUDARA LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP
YBhg HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH
22 September 2015
MEJA BULAT PEMBANGKANG HENDAKLAH IKHLAS DAN ISTIQAMAH TAMATKAN KETAMAKAN KUASA PERDANA MENTERI DAN KEZALIMAN UMNO DAN BARISAN NASIONAL.
Sokongan undi popular 52% yang diberikan rakyat kepada Pakatan Rakyat adalah satu sejarah penting demokrasi negara. Namun, kepercayaan rakyat ini telah dikhianati apabila terdapat pihak yang tidak amanah kepada persetujuan bersama. Konsultansi tidak lagi menjadi dasar, malah diambil alih perang mulut pemimpin. Rakyat menjadi muak dengan situasi itu.
Krisis ekonomi negara dan bebanan kos saraan yang tinggi menjadi isu pokok rakyat ketika ini. Penyusutan nilai mata wang adalah disebabkan oleh sentimen kewangan yang dikaitkan dengan kehilangan keyakinan terhadap integriti negara. Kenyataan Tan Sri Zetty Akhtar Aziz bahawa penyusutan nilai mata wang hanya dapat dipulihkan apabila skandal 1MDB diselesaikan mengiyakan keadaan ini.
PM setelah menghidu satu penyiasatan telah lengkap dan deraf kertas pertuduhan telah tersedia telah bertindak secara gerila dengan menukar Peguam Negara, menangkap pegawai SPRM, menukar Pegawai Polis dan membubarkan Special Task Force tersebut. Penukaran Peguam Negara adalah jalan terdesak bagi meyelamatkan kedudukannya kerana kuasa mendakwa adalah prerogative Peguam Negara menurut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan Tan Sri Zeti bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada Peguam Negara juga menunjukkan wujudnya kes jenayah dilakukan Perdana Menteri. Penjelasan kemudian (afterthought) bahawa wang RM2.6 billion tersebut adalah derma tanpa butiran siapakah penderma dan kemanakah wang tersebut dibelanjakan tidak melepaskan PM daripada pendakwaan jenayah ibarat di hadapannya duri di belakangnya api. Jika kenyataan Tan Sti Zeti tidak benar, maka seharusnya PM menafikan dan menyaman beliau. Rakyat mahu menjadi saksi kepada perbicaraan yang lebih besar daripada kes Anwar Ibrahim di mana keterangan dalam kes PM ini adalah ciptaan beliau sendiri.
Ketamakan kuasa PM yang tidak mengendahkan krisis ekonomi negara akibat penyusutan nilai mata wang menjadi semakin kronik apabila kuasa pemerintah semakin disalahgunakan. Tindakan menyiasat pemimpin rakyat yang didakwa hadir di dalam perhimpunan aman Bersih 4 menunjukkan demokrasi semakin terhakis teruk. Sebaliknya perhimpunan baju merah yang membela PM pula dipertahan oleh PM dan Menteri UMNO sedangkan yang mengkayakan seorang lelaki Cina bernama Jho Low adalah seorang lelaki Melayu bernama Najib Razak.
Hanya rakyat yang boleh mengubah nasib negara ini. Harapan Pakatan Rakyat baharu yang bakal dibentuk pada 22 September 2015 melalui meja bulat parti pembangkang dan NGO mampu membawa agenda perubahan ini. Harapan rakyat amat tinggi. Tiada lagi konflik dalaman dan terus mara demi negara dan rakyat. Keikhlasan dan komitmen bersama menjadi sandaran rakyat. Usah khianati lagi kepercayaan rakyat. Bersama menunaikan AMANAH rakyat.
Faiz Fadzil
Timbalan Ketua Pemuda
AMANAH Nasional
21 September 2015