Showing posts with label GHB. Show all posts
Showing posts with label GHB. Show all posts

Mantan Pesuruhjaya PAS Sarawak umum sertai GHB Sarawak



KENYATAAN MEDIA

31 Ogos 2015

Mantan Pesuruhjaya PAS Sarawak umum sertai GHB Sarawak


Ustaz Othman Bin Mustapha @ Mos iaitu Mantan Persuruhjaya PAS Sarawak yang pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya PAS dari tahun 2009 sehingga 2011 telah mengumumkan menyertai Harapan Baru Sarawak berkuatkuasa hari ini.

Dalam pertemuan di sidang media pagi tadi bersama saya,beliau menyatakan untuk bersama dengan HB kerana yakin dengan pendekatan Islam yang lebih inklusif dan progresif.

Ustaz Othman pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum pada 1999 di P174 Batang Sadong dengan undi sebanyak 2,438 undi.

Ustqz Othman pernah menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam Bidang Pengajian Usulludin dibawah Jabatan Akidah dan Falsafah.

Dengan kehadiran Ustaz Othman yang memiliki pengalaman yang luas ia mampu membantu HB Sarawak melangkah lebih jauh dalam usaha dakwah di negeri Sarawak dengan lebih berkesan dan progresif.

Sekian.

Selamat Menyambut Hari kemerdekaan ke 58

Andri Zulkarnaen Hamden@Hud abusiraj almuner
Pengerusi HB Sarawak


BERSIH , Harapan Baru dan Merdeka - Mujahid Yusof



BERSIH, HARAPAN BARU DAN MERDEKA

Ada apa dalam faktor kesamaan perkataan Bersih, Harapan Baru dan Merdeka?

Kesemuanya membawa kepada satu nilai iaitu KEBEBASAN.

Jika Diambil perkataan Bersih secara bahasa contohnya, berlawanan dengan kotor dan bolehlah dikatakan Bersih adalah kebebasan dari kekotoran dan ia adalah sesuatu yang sangat didambakan oleh manusia.

Perkataan Harapan pula membawa konotasi anti kekecewaan dan apabila dikaitkan dengan deskripsi 'Baru' ia seolah-olah KEBEBASAN dari rasa kecewa dan senantiasa melihat masa depan yang cerah.

Apa pula tentang Merdeka?

Perkataan Merdeka lebih 'direct' kepada makna KEBEBASAN sebagai kata lawan daripada sifat kongkongan dan menjajah.

Ketiga-tiga perkataan adalah sinergi kepada kelahiran entiti baharu dan stimulus kepada impian yang mahu dicapai bersama.

Tetapi faktor kesamaan ini secara operasionalnya jauh lebih realistik dan mencabar sifatnya.

BERSIH sudah terbukti sebagai gerakan massa yang mencipta sejarahnya tersendiri apabila tuntutan Pilihanraya Bersih telah mengubah cara SPR mengendalikan Pilihanraya dan membebaskan sikap SPR yang dilihat berat sebelah sebagai pengadil demokrasi berpilihanraya.

BERSIH merakamkan tiga perhimpunan besar sebelum ini (2007, 2011 dan 2012) melibatkan seluruh rakyat Malaysia yang inginkan demokrasi dan cara pengendaliannya yang adil dan telus.

BERSIH tidak berhenti sekadar isu pilihanraya, kini ia menuntut ketelusan pemerintahan, hak berdemo, mengukuhkan sistem berparlimen serta menyelamatkan ekonomi negara.

Usah dikira susah payah yang terpaksa dilalui berhadapan dengan polis anti rusuhan yang satu ketika memalukan dunia reaksi berlebihan dan salah guna kuasa untuk menyuraikan perhimpunan aman.

BERSIH adalah perjuangan mempertahankan Artikel 10 Perlembagaan Negara serta menguji keberkesanan pihak polis mengawal hak ini bagi melahirkan sebuah masyarakat yang matang dan bertamadun dalam mengendalikan penentangan secara sivil.

Negara tidak terkecuali dari dinamika parti politik yang membentuk sebahagian dari proses demokrasi.

Politik kepartian adalah tonggak terbentuknya sebuah kerajaan, walaupun di negara dunia yang lain parti politik boleh sahaja berubah asalkan mereka menang pilihanraya tetapi di Malaysia kenyataan ini nampaknya masih taboo pada amalan politik Malaysia.

Parti pembangkang sejak sekian lama cuba untuk membentuk pakatan politik yang kuat dan rekod terbaiknya ialah pada PRU ke-13 dengan jentera Pakatan Rakyat atau PR.

PR memperkukuhkan kedudukannya sehingga meraih 52 peratus undi popular dan BN haya mampu mengekalkan kemenangan dengan kerusi yang dimenanginya di Timur Malaysia.

Namun harapan untuk melihat PR bertambah kukuh berkecai kerana parti komponennya masih berbalahan sehingga 52 peratus undi yang diperolehinya seolah tidak dihormati.

PAS, DAP dan PKR sudah tidak dilihat bersatu lagi walaupun jaminan demi jaminan diberikan namun keretakan hanya menanti belah.

Peluang dalam krisis PR tercipta dengan lahirnya sebuah HARAPAN BARU yang mahu mengekalkan momentum pembangkang mengambil alih pentadbiran negara dari UBN.

Kelahiran Harapan Baru adalah dari kehendak gelombang rakyat terbentuk daripada kelompok pelbagai yang mahu bebas dari politik lama dan harapan lama.

Kini Harapan Baru akan muncul sebagai entiti politik menyatukan kekuatan pembangkang dalam kelahiran PR 2.0 yang dinanti-nantikan.

MERDEKA menjadi kebanggaan setiap anak watan negara ini malah lagu Bahtera Merdeka sudah cukup menaikkan semangat menambahkan kecintaan kita pada negara ini.

MERDEKA adalah sebuah perjuangan membina dan mewarisi amanah besar tanpa sebarang syarat dan siap berkorban supaya negara ini kekal merdeka.

Setelah perginya penjajah perjuangan kemerdekaan mengambil bentuknya yang lebih rumit iaitu merdeka daripada korupsi, merdeka dari pemimpin berkepentingan, merdeka dari kongkongan akta yang menyekat, merdeka dari ideologi sempit agama dan kaum serta merdeka minda dan cita-cita.

BERSIH akan berhimpun di ambang kemerdekaan bagi menuntut sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar mengibar Jalur Gemilang atau melaungkan kalimah keramat Merdeka!

Perhimpunan penuh makna ini adalah dalam semangat kemerdekaan yang padat dengan patriotisme kepada negara.

Harapan Baru akan mengumumkan pada pelancaran awalnya 31 Ogos ini tentang parti baharu bagi meneruskan gelombang rakyat dan cita- cita membentuk kerajaan baharu.

MERDEKA akan tetap datang tanpa BERSIH ataupun HARAPAN BARU namun kali ini MERDEKA akan senyum kerana kedatangannya disambut oleh dua pengawal kiri dan kanannya untuk menyuntik semangat pada kita semua bahawa Bahtera Merdeka akan tetap terus melayari lautan bergelora demi memenuhi impian ke Pulau Idaman, destinasi seluruh rakyat Malaysia.

Itulah kebebasan yang dicari, erti sebuah kemerdekaan hakiki.

SALAM BERSIH!
SALAM HARAPAN!
SALAM MERDEKA!

Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia

29 Ogos 2015

Syabas dan Tahniah Rakyat Malaysia di BERSIH 4.0! - Dr Dzulkefly Ahmad



KENYATAAN MEDIA

Syabas dan Tahniah Rakyat Malaysia di BERSIH 4.0!

www.harapanbaru.net


1. Gerakan Harapan Baru terpanggil untuk memberi reaksi terhadap propaganda perkauman yang sedang ditiupkan bahawa himpunan‪#‎Bersih4‬ kurang mendapat penyertaan daripada orang Melayu.

2. Umum maklum bahawa himpunan #Bersih4 kali ini dianjur ditengah-tengah ugutan dan ancaman oleh pihak kerajaan BN yang mengisytiharkannya sebagai himpunan haram.

3. Kesemua saluran media perdana digunakan seluasnya dengan membawa hujah pemimpin, tokoh agama dan pihak berkuasa untuk menakut-nakut serta memomokkan rakyat khususnya orang Melayu agar tidak menyertai himpunan ini.

4. Kita juga tahu bahawa himpunan #Bersih4 kali ini tidak mendapat partisipasi secara penuh oleh semua komponen parti pembangkang apatah lagi dari parti-parti komponen barisan pemerintah, yang diharapkan pihak penganjur untuk turut terlibat.

5. Pada masa yang sama, suka untuk saya tegaskan bahawa Gerakan Harapan Baru yang masih berstatus NGO telah berusaha untuk memobilisasi ahli-ahli dan jenteranya seumpama ARif dan Pro-Guam untuk membantu.

6. Pun begitu, ucapan jutaan tahniah dan syabas buat seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum; Cina, Melayu, India dan etnik-etnik dari Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asal yang telah turun sejak semalam menyertai gelombang himpunan rakyat #Bersih4 kali ini.

Disebalik semua propaganda, penyertaan etnik Melayu tetap signifikan khasnya generasi anak muda Melayu yang ketara, meyakinkan dan membanggakan.

7. Alhamdulillah, anda semua warga Malaysia yang patriotik telah berjaya menunjukkan bahawa himpunan ini aman tanpa sebarang provokasi. Terima Kasih juga kita rakamkan buat pihak Keselamatan.

8. Saya ingin menyeru agar sikap profesional yang tinggi ini dikekalkan sehingga ke akhir himpunan ini malam ini.

Kita adalah rakyat Malaysia yang sayangkan negara dan mahukan perosak negara dibersihkan segera.

Kami, Harapan Baru, tetap bersama anda,

Amanah Progresif Peduli

Dr Dzulkefly Ahmad
Setiausaha
Gerakan Harapan Baru
30 Ogos 2015

G.A.M Harapan Baru Melaka kesal dan dukacita dengan tindakan Menteri (KDN) berhubung pengharaman baju kuning @ berlogo BERSIH



KENYATAAN MEDIA
(Untuk Sebaran Segera)

Gerakan Anak Muda Harapan Baru Melaka berasa kesal dan dukacita dengan tindakan Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pengharaman penjualan & pemakaian baju kuning @ baju berlogo BERSIH 4 sepertimana yang dilaporkan oleh media cetak & media elektronik pada 28 OGOS 2015.


Tindakan dari Menteri KDN ini jelas menunjukkan bahawa Najib & kerajaannya kini berada dalam ketakutan & kebimbangan apabila melihat rakyat yang berbilang kaum di negara ini semakin jelek dan marah dengan kegagalan Najib & kerajaannya menguruskan ekonomi negara yang semakin parah dari hari ke hari.

Kejatuhan nilai ringgit yang paling teruk dalam dekad ini, kenaikan kos sara hidup yang semakin membelenggu kehidupan rakyat, skandal 1MDB yang masih menjadi tanda tanya serta isu derma RM 2.6 bilion jelas membuktikan bahawa rakyat Malaysia berhak bangkit dan menyuarakan kemarahan mereka melalui sebuah perhimpunan aman yang dibenarkan oleh Perlembagaan di negara ini.

Justeru itu, Gerakan Anak Muda Harapan Baru Melaka telah mengerahkan kesemua pimpinan, ahli & para penyokong kami untuk terus hadir ke Perhimpunan Bersih 4 biarpun terdapat provokasi & juga halangan dari pihak berwajib kerana kami berasakan bahawa misi untuk MENYELAMATKAN MALAYSIA adalah menjadi hak dan tanggungjawab kami daripada menyelamatkan individu yang gila kuasa dan zalim kepada rakyat di negara ini.

Sekian, terima kasih.

Adeysham Nor
Pengarah Komunikasi,
Gerakan Anak Muda Harapan Baru Negeri Melaka.



Pemberhentian Pekerja NAZA Automtive Manufacturing Sdn Bhd - KGAM HB Kedah



KENYATAAN MEDIA

PEMBERHENTIAN PEKERJA NAZA AUTOMOTIVE MANUFACTURING SDN BHD (NAZA)

Gerakan Anak Muda (GAM) Harapan Baru Kedah melihat pemberhentian pekerja NAZA seramai kira-kira 294 orang seperti yang telah dimaklum dan dilaporkan kepada media massa adalah satu kesan langsung daripada kemerosotan ekonomi yang melanda negara ini.


GAM Kedah telah difahamkan bahawa pihak pengurusan NAZA setelah mengambil pelbagai tindakan untuk menghadapi cabaran semasa bagi memastikan syarikat terus beroperasi akhirnya terpaksa membuat pengstrukturan semula pekerja besesuaian dengan jumlah pengeluaran mereka yang menyebabkan pekerja perlu dikurangkan dan natijahnya pekerja-pekerja terpaksa diberhentikan. Dari sudut ekonomi GAM Kedah melihat perkara ini adalah salah satu dari kesan kemerosotan ekonomi dimana mengikut kaedahnya apabila permintaan terhadap sesuatu barangan berkurangan pengeluaran terhadap suatu barangan akan dikurangkan. Ini secara tidak langsung menunjukkan kuasa beli rakyat adalah berkurangan. Situasi ini diburukkan lagi oleh kejatuhan nilai Ringgit berbanding US Dolar.

GAM Kedah amat bersimpati dengan nasib yang diterima oleh pekerja-pekerja yang diberhentikan oleh NAZA yang mana GAM Kedah difahamkan bahawa kebanyakan mereka adalah terdiri dari anak muda berbangsa melayu. GAM Kedah juga difahamkan bahawa kebanyakan mereka ini isteri mereka adalah suri rumah. GAM juga mencadangkan kerajaan negeri Kedah berbuat sesuatu bagi mengurangkan beban pekerja NAZA ini. Nasib mereka perlu dibela, Pihak berwajib seperti kementerian sumber manusia perlu membantu pekerja NAZA ini mencari pekerjaan lain.

Kegagalan Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dalam mentadbir dan mengurus ekonomi negara telah menyebabkan negara dilanda kemerosotan ekonomi yang amat membimbangkan disamping nilai Ringgit yang semakin menurun dan tidak menentu. Perdana Menteri Malaysia tidak harus lagi menyembunyikan bahawa negara ini menghadapi kesan dari kemerosotan ekonomi.

Jesteru itu GAM Kedah mendesak Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan untuk meletak jawatan disebabkan kegagalan beliau mengurus ekonomi negara dengan baik, dan akibatnya rakyat yang menerima kesan diatas kegagalan beliau.

GAM Kedah menggesa satu sidang Parlimen khas perlu dipanggil dengan segera bagi menyelesaikan kemelut ekonomi negara ini sebelum terlambat. Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri perlu menjadi agenda permulaan bagi merealisasikan agenda perubahan ini.

Ridzwan Abu Bakar,
Ketua Gerakan Anak Muda
Harapan Baru Kedah.l

Perhimpunan Aman BERSIH 4.0 Penting Untuk Pertahakan Kuasa Moral Rakyat - Mat Sabu



PERHIMPUNAN AMAN BERSIH 4.0 PENTING UNTUK PERTAHAN KUASA MORAL RAKYAT.

1. Negara kita sedang berhadapan dengan pelbagai skandal yang sangat menjolok mata, pembohongan melampau, pemerkosaan hak rakyat, dan salah urus kekayaan negara, seolah tiada lagi batasnya.

2. Pemimpin negara bertindak sesuka hati, para pegawai pelaksana undang-undang disingkir, suara yang menegur diugut dan ditekan, dan rakyat dibohongi saban hari.


3. Ekonomi negara pula sangat tenat. Nilai Ringgit merudum tiada kawalan. Harga rumah, barang keperluan harian, dan kos perniagaan meningkat di luar tahap kemampuan kebanyakan rakyat. Sedang harta negara diratah sesuka hati oleh para penguasa. Amanah hilang entah ke mana.

4. Kebejatan ini tidak mungkin berlaku di dalam negara yang punya KUASA MORAL yang tinggi. Tetapi, kuasa moral rakyat kelihatan cuba dihakis terus. Dhamir rakyat yang masih punya kuasa moral sangat terluka dengan keadaan ini. Mereka mesti bangkit menyatakan sikap dan pendirian.

5. Gerakan Harapan Baru menyeru semua pendokong dan penyokongnya, serta seluruh rakyat negara ini, agar turut serta dalam Perhimpunan Aman Bersih 4.0, yang akan berlangsung pada 29hb hingga 30hb Ogos ini, bermula jam 2.00 petang di ibu negara.

6. Himpunan ini sangat penting bagi mempertahankan kuasa moral rakyat sekaligus demi menyelamatkan Malaysia daripada segala kebejatan yang tidak berpenghujung ini.

Amanah. Progresif. Peduli.

Hj Mohammad Bin Sabu

Pengerusi
Gerakan Harapan Baru

27 Ogos 2015.

HB Sarawak akan meletakkan calon bagi bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang



Sidang media

26 Ogos 2015

Harapan Baru (HB) Sarawak telah selesai mengadakan mesyuarat pemilihan Ajk bagi persediaan parti baru yang akan dilancarkan seterusnya bagi memulakan langkah dalam arus politik di Bumi Kenyalang.


Mesyuarat memutuskan dengan sebulat suara memilih saya sebagai peneraju HB negeri Sarawak dan akan dibantu oleh Ajk yang terdiri daripada berbagai bangsa dan agama serta berbagai latar belakang profesional dan aktivis.

Dalam mesyuarat itu juga bersetuju sebulat suara HB Sarawak akan meletakkan calon bagi bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

Dun yang menjadi sasaran HB bukan hanya kerusi pengundi melayu malah kerusi majoriti bukan Islam juga menjadi sasaran.

Antara kerusi yang disasarkan HB Sarawak ialah di dun lambir, Samalaju,Semariang, Muara Tuang, kedup, Triboh, Batang Sadong, Sebuyau, Beting Maro,belawai; Dalat,demak laut dan dalat.

Namun pembahagian kerusi ini hanya akan diputuskan selepas berunding dengan rakan-rakan dari DAP dan PKR serta kelulusan dari HB pusat untuk semakan.

Kita sudah mempunyai calon yang berwibawa, berpotensi serta bersedia untuk di letaklan di kawasan fokus tersebut.Rata-ratanya adalah dikalangan anak tempatan yang sudah tentu diberi keutamaan.

GHB Sarawak percaya bahawa sampai masanya untuk rakyat Sarawak memilih alternatif yang lain selain Barisan Nasional (BN) yang gagal memperbaiki sosio ekonomi, taraf pendidikan dan kehidupan penduduk khususnya mereka yang tinggal di luar bandar.

Seiring dengan kepercayaan kita dalam sebuah Persekutuan yang bersatu padu, kita juga dapat membantu menangani isu-isu kebangsaan dan antarabangsa yang membabitkan rakyat dan negara kita.

Kami akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat ini untuk memberikan gambaran secara lebih terperinci.

Andri Zulkarnaen Hamden @ hud abusiraj almuner

Pengerusi HB Sarawak
26 Ogos 2015

Recent Posts Widget

.

.