Kalau orang dewasa dan kanak-kanak boleh makan di tempat awam, kenapa tidak bayi?
Bayi pun boleh juga makan di tempat awam.
Makanan mereka adalah susu ibu.
Jadi salahkah saya menyusu di tempat awam?
Wahai ibu,
Berilah susu ibu kepada anak.
Itu memang tanggungjawab kita.
Namun, ada caranya.
1. Berlatih di rumah
Supaya kita rasa biasa. Tanya suami samada posisi kita sesuai atau tidak.
2. Pakai pakaian yang sesuai
Ada rahmat di sebalik anjuran supaya memakai tudung menutupi dada. Supaya orang tak perasan kita sedang menyusu. Supaya aurat kita terjaga ketika menyusu. Lebih baik jika ada ‘nursing cover’. Gunakan ‘shawl’ juga boleh sebagai ‘nursing cover’.
3. Pilih tempat yang strategik
Carilah bilik untuk menyusu. Tak ada? Tak jumpa? Tak sempat? Minta tolong suami untuk bantu menghadang kita yang sedang menyusu dan carilah tempat yang tertutup atau tersorok.
Menyusu adalah tindakan yang mulia. Lebih mulia jika kita menjaga adab sebagai wanita Muslim.
Ber’selfie’ ketika menyusu?
Kemudian ‘upload’ di ‘facebook’?
Jadilah wanita yang tahu malu.
Malu adalah sifat orang yang beriman.
Jika tiada malu, fitnah berleluasa. Seperti apa yang sedang berlaku sekarang. Ibu yang menyusukan anak menjadi bahan fitnah. Tempiasnya saya pun terasa.
Dari Abu Mas`ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri radhiAllahu `anhu, dia berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.”
(HR al-Bukhari)
Tak tau malu, buatlah apa hang suka.
Martabat wanita Islam diangkat kerana sifat malunya.
Istimewa.
Oleh:
Dr Yuliana Ayob
Ketua Wanita Isma Cawangan Samarahan
Kenyataan Rasmi Wanita Isma : Isu rokok dan vape
Wanita ISMA meletakkan kesejahteraan wanita, kanak-kanak, keluarga dan masyarakat sebagai agenda utama perjuangan.
Budaya merokok dan vaping yang semakin menular di sekolah dan pusat pendidikan mendatangkan kesan sosial yang ketara dari sudut budaya yang melekakan, ketagihan, pembaziran dan boleh mengancam kesihatan dan nyawa. Begitu juga kaum wanita yang boleh dilihat hilang nilai kewanitaannya akibat merokok dan vaping.
Islam adalah agama yang diturunkan untuk menjaga nyawa, harta, akal, keturunan dan maruah ummat.
Sehubungan dengan itu, Wanita ISMA menolak dan membantah sebarang usaha yang mengharuskan dan menggalakkan budaya merokok dan vaping yang dilihat boleh mengancam kesihatan dan nyawa, malah membazirkan duit itu sendiri.
Budaya merokok mempunyai komplikasi kesihatan yang besar seperti penyakit barah dan penyakit paru-paru kronik obstruktif atau COPD.
Manakala vape dan e-cigarette pula, mengandungi bahan-bahan kimia seperti nikotin yang menyebabkan ketagihan dan gangguan saraf otak, serta propylene glycol dan formaldehyde yang mengganggu sistem pertahanan paru-paru.
Kesan vaping, telah dikesan melalui kajian haiwan di makmal. Walaupun kesannya ke atas manusia masih di peringkat kajian, pengaruh ini sebagai gaya hidup yang “cool” dan “trendy” telah merebak dan dikhuatiri para ibu bapa yang mengamalkan vaping mendedahkan anak anak mereka kepada pelbagai risiko, termasuk ibu-ibu mengandung yang mungkin menyangka vape lebih baik dari merokok.
Wanita ISMA menyeru pihak kerajaan mengambilkira keburukan dan kesan negatif kepada tingkah laku anak-anak dan remaja sekiranya mengharuskan penggunaan rokok dan vape, yang jauh lebih merugikan negara dari sudut ekonomi, kesihatan dan nilai syakhsiyyah masyarakat.
Wanita ISMA juga menyeru seluruh masyarakat berbilang agama dan bangsa menolak habit merokok dan vaping menjadi budaya baru dalam masyarakat Malaysia hari ini.
Dr Nor Saleha Mohd Salleh
Ketua Wanita ISMA
5 Oktober 2015
Apa dah jadi kepada Filipina?
Dulunya Manila diperintah oleh Raja Sulaiman. Mindanao diperintah oleh Sultan Muhammad Kabungsuwan. Sekarang dah jadi negara Kristian. Disamping puluhan agama lagi di dalamnya.
Apa dah jadi kepada Vietnam?
Dulu namanya kerajaan Melayu Islam Campa (Panduranga, Kauthara, Vijaya, Inderapura, Simhapura). Sekarang dah jadi negara Buddha. Orang Malaysia tak tahu pun Vietnam tu dulu kerajaan Melayu Islam.
Apa jadi kepada Thailand?
Sebahagiannya dulu wilayah Melayu Islam dan tempat lahir ulamak Islam nusantara. Sekarang dah jadi negara Buddha. Orang Melayu dah tak reti cakap Melayu dan tak tahu tulisan jawi. Budak sekolah rendah Melayu dah percaya bahawa Kedah / Kelantan adalah asal Thailand yang dijajah oleh Malaysia.
Ada dah jadi kepada Singapura?
Dulunya diberi nama Temasek, tempat berdagang pelbagai rumpun Melayu. Tempat berlabuh sultan-sultan Melayu Riau Lingga. Sekarang jadi negara apa entah ... Anak kita kat Johor pun tak tahu Singapura negeri Melayu Islam dulunya.
Apa dah jadi?!
Kalau sejarah kita lupakan...
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden ISMA
--KENYATAAN MEDIA
Tarikh: 11 September 2015
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), melalui Tetuan Fuad Abi & Aidil, telah memfailkan writ saman ke atas peguam Eric Paulsen, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2hb September 2015 yang lalu.
Writ Saman ini difailkan berhubung tindakan Eric Paulsen yang mengeluarkan kenyataan yang bersifat fitnah terhadap ISMA melalui akaun twitternya pada bulan Januari tahun ini.
Kenyataan bersifat fitnah itu, sama ada dalam maknanya yang biasa dan lazim atau tersirat, antara lain membawa maksud ISMA adalah kumpulan ekstrimis yang cenderung melakukan tindakan keganasan seperti insiden Charlie Hebdo di Paris pada 7 Januari tahun ini.
Sebelum daripada memfailkan writ saman ini, ISMA melalui peguamnya telah terlebih dahulu mengeluarkan surat tuntutan kepada Eric Paulsen agar memadam kenyataan bersifat fitnah dalam akaun twitternya, serta menuntut permohonan maaf yang tiada berbelah dan tanpa bersyarat.
Walaubagaimanapun, Eric Paulsen telah menyatakan keengganan untuk memenuhi tuntutan tersebut.
Sehubungan itu dalam writ saman yang difailkan ini, ISMA menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta atas kerosakan dan kecederaan reputasi yang dialami, selain ganti rugi teruk dan ganti rugi tauladan yang terserah kepada taksiran Mahkamah, serta turut menuntut permohonan maaf yang tiada berbelah dan tiada bersyarat.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Tuan Azmil Muntapha telah mengesahkan melalui surat bertarikh 7 September 2015 bahawa Writ Saman ini telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Bahagian Sivil NCVC 10, dan telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 5 hb Oktober 2015 pada jam 9.30 pagi. Plaintif dalam tindakan ini adalah Salman al-Farisi bin Selamat, yang merupakan pegawai awam ISMA.
ISMA, melalui tindakan saman ini, mewakili umat Islam di negara ini bagi memberikan pengajaran kepada mereka yang sering mengeluarkan kenyataan celupar terhadap Islam serta badan-badan yang berjuang mempertahankan kedudukan istimewanya dalam Perlembagaan negara.
Mohd Hazizi bin Ab Rahman
Ketua Penerangan Isma
Kenyataan Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) dalam akhbar hari ini berkenaan perjanjian Perkongsian Trans – Pasifik (TPPA) menunjukkan kerajaan masih berusaha mahu menunjukkan sisi positifnya. Sedangkan rakyat tahu TPPA mempunyai kesan yang buruk pada jangka masa panjang.
Oleh itu, kerajaan perlu henti layan rakyat seperti kanak-kanak yang diselubungi perasaan takut kerana kurang pengetahuan terhadap sesuatu perkara.
Rakyat Malaysia sudah cukup bijak menilai hakikat di sebalik kerajaan imperialis Amerika yang ditunjangi syarikat multinasional Yahudi.
Perkataan takut digunakan hanya sebagai helah untuk mengalih fokus sebenar isu TPPA.
TPPA merupakan satu perjanjian pelbagai pihak yang memberi ruang sepenuhnya kepada kapitalisme, bukan sahaja dalam menentukan untung rugi sesebuah negara, bahkan identiti dan jatidiri negara terbabit.
Ia adalah soal persaingan tidak seimbang yang membuka jalan kepada penguasaan golongan kapitalis yang akan menggadaikan maruah dan kedaulatan negara.
Ustaz Hj. Mohd Hazizi Ab Rahman
Biro Penerangan Isma
Ikatan Muslimin Malaysia tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dengan penganjuran Himpunan Maruah Melayu yang dijangka akan diadakan di Jalan Bukit Bintang-Petaling pada 16 September ini.
Isma, sejak sekian lama, menyeru ke arah persepakatan Melayu sebagai solusi bagi menghadapi ancaman terhadap kedudukan Islam di negara ini dengan mengangkat slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat.
Apabila BERSIH 4.0 didominasi oleh satu kaum sahaja, ia suatu indikator jelas bahawa orang-orang Melayu sudah tidak mudah untuk mengikut arus ciptaan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.
Justeru persepakatan Melayu yang didambakan hendaklah diurus secara bijaksana dengan mengangkat agenda nasional, iaitu memelihara kemakmuran Malaysia berpaksikan tiga teras Perlembagaan, mengatasi kepentingan parti atau peribadi pemimpin tertentu.
Ustaz Hj Mohd Hazizi Hj Ab Rahman
Ketua Penerangan ISMA
…Langkah paling baik bukan ‘Langkah Kajang’ tetapi ‘Langkah Letak Jawatan’
BETAPA senang saja kata-kata beracun digunakan untuk menjatuhkan kerjaya politik dan maruah seseorang.
Kalimat minta maaf itu hanya satu perkataan yang terpaksa dilafazkan demi menyelamatkan masa depan politik sendiri dan supaya tidak pokai kerana diperintahkan bayar ganti rugi oleh mahkamah.
Tidak hairanlah ahli-ahli politik menduduki ranking yang paling bawah sekali dari segi kepercayaan masyarakat.
Sifat Hubbu Riyasah (Cinta/Haloba Kepada Kuasa @ Power Hungry) akan mendorong seseorang itu melanggar dosa dan akhlak, moral dan susila, tanpa rasa bersalah atau bertanggungjawab.
Dalam kedua-dua kes di atas, mahkamah telah membuktikan siapa yang bersalah dan siapa yang difitnah.
Justeru itu, langkah yang paling baik adalah supaya Nurul Izzah, Saifuddin Nasution dan sesiapa sahaja dari kalangan ahli politik (dari pihak mana sekalipun) yang didapati bersalah kerana memfitnah adalah supaya MELETAK JAWATAN – kalau kamu semua ada maruah la!
You don’t deserve to be there at all!
Kamu yang didapati bersalah kerana memfitnah insan lain telah mengkhianati amanah dan mandat dari rakyat dan umat, justeru, kamu tiada hak untuk menjadi wakil rakyat lagi. Rakyat tidak melantik kamu dan menghantar kamu ke Parlimen supaya kamu sewenang-wenangnya memfitnah orang lain yang kamu tidak bersetuju dengannya.
Jawatan-jawatan yang kamu sandang dengan jayanya hasil fitnah terhadap orang lain bukanlah hak kamu sebenarnya.
Bagaimana rakyat dan para pengundi telah diperdayakan dan diperbodohkan!
Demikian juga kalau nama dan kerusi hanya dijadikan sebagai batu loncatan untuk menjayakan agenda peribadi dengan membelakangkan mereka yang telah memberi kamu ruang dan kepercayaan secara ikhlas.
Bagaimana hendak percaya kepada sang oportunis dan penikam dari belakang ini?
Sekali lagi, MELETAK JAWATAN adalah langkah yang paling bermaruah dan gentleman sekali. Tunjukkan kejantanan kamu secara berterus terang dalam gelanggang terbuka!
Pulangkan kembali mandat kepada rakyat.
Dan kita lihat bagaimana pencak kamu semua nanti!
Tapi semua orang tahu bahawa ‘kuasa’ yang kamu pegang hari ini – itulah yang paling liat sekali untuk dilepaskan.
Punah negara di tangan manusia seperti kamu semua!
Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Kenyataan Rasmi Wanita ISMA berhubung isu Da’i – Pendakwah Milenia
Syabas dan tahniah kepada TV3 kerana berusaha untuk melahirkan daie milenia yg bakal menjadi qudwah kpd masyarakat. Walau bagaimanapun Wanita ISMA ingin menarik perhatian berkenaan episod terbaru rancangan Da’i – Pendakwah Milenia terbitan TV3 yg ditayangkan pada hari Ahad,16 Ogos 2015.
1. Di dalam kemelut masyarakat yang dibelenggu masalah sosial dan pergaulan bebas, masalah buang bayi, gejala konsert liar, rock dan k-pop, Wanita ISMA melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan episod Da’i – Pendakwah Milenia di mana berlakunya secara ketara pergaulan antara peserta lelaki dan wanita yang diharapkan menjadi pendakwah masyarakat.
2. Bagi seorang Muslim, terutamanya para pendakwah, qudwah seorang daie merupakan elemen utama dalam dakwah. Malah syarat amal itu diterima Allah dikaitkan dengan niat yang ikhlas dan tidak melanggar batas-batas syara’.
3. Aktiviti bercampur antara lelaki perempuan dalam keadaan yang agak gelap dan suram seperti yang dipaparkan oleh episode TV3 itu, TIDAK menepati syariat walaupun ditemani oleh ramai jurukamera dan pengurusan produksi rancangan membentuk daie tersebut. Apatah lagi aktiviti bersama seperti mengikat kaki daie lelaki dan daieah wanita adalah suatu yang bukan dari budaya Islam.
4. Objektif untuk melahirkan seorang daie, biarlah seiiring dengan aktiviti dan prosesnya, kaedah dan matlamatnya kerana ini berkait dengan reputasi dan imej daie yang mahu dilahirkan.
5. Kita tidak menafikan kepentingan ketahanan fizikal dan stamina dalam pembinaan daie tetapi elakkan dari menimbulkan kontroversi dan pandangan kurang selesa penonton di rumah.
6. Harus difahami, usaha membentuk seorang daie hendaklah seiring dengan usaha untuk mendapat kepercayaan masyarkat terhadap calon-calon daie tersebut. 7. Wanita ISMA sentiasa menyokong hiburan-hiburan dan program yang mendidik jiwa masyarakat. Semoga usaha yang baik ini tidak terhenti sekadar melalui Program Da’i – Pendakwah Milenia sahaja tetapi amat diharapkan dapat diperluaskan lagi pada rancangan-rancangan lain
KENYATAAN RASMI ISMA MENGENAI KEPUTUSAN KES MARINA SAMAN ISMA
1. Pihak ISMA telah menolak mentah-mentah permohonan maaf yang dituntut oleh Marina sejak awal proses mediasi yang diatur oleh mahkamah. Ini kerana ISMA konsisten, sedari awal, tidak setuju dengan tuduhan Marina dalam samannya bahawa ISMA telah menfitnahnya. Sehubungan itu, deraf awal yang disediakan oleh peguam Marina (seperti Lampiran 1 di bawah) telah dipinda hampir keseluruhannya, antara lain dengan menggugurkan perkataan “PERMOHONAN MAAF” pada tajuk deraf tersebut, serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Hal ini selari dengan hujah balas daripada pihak ISMA dalam menjawab saman fitnah Marina jika perbicaraan diadakan.
2. ISMA hanya menyatakan kekesalan (seperti Lampiran 2) sekiranya artikel dan risalah berkenaan (secara tidak langsung dan tanpa niat telah):
a. Menyebabkan kepayahan dan kesan buruk
b. Memberikan gambaran yang salah berkenaan Marina
3. Marina juga menuntut daripada ISMA dalam mediasi ini agar menanggung kos guamannya. Perkara ini telah ditolak oleh pihak ISMA mentah-mentah juga kerana pihak ISMA tiada melakukan sebarang kesalahan.
4. Kita telah menjangkakan laporan media yang berat sebelah, memandangkan mereka sedari awal telah mengerumuni Marina dan tidak sepatah pun kenyataan diambil daripada ISMA. Situasi ini amat mudah difahami bahawa sentimen media akan memihak kepada Marina. Tambahan pula deraf awal yang disediakan peguam Marina (Lampiran 1) telah diedar kepada wartawan lebih awal sebelum sesi mediasi bermula. Tidak dapat dipastikan apakah faktor sebenar yang menyebabkan laporan media begitu memihak kepada Marina, adakah kerana sentimen? Atau kerana gopoh? Atau masalah wartawan yang gagal memahami terma persetujuan dengan baik.
5. Kegagalan pihak wartawan melaporkan berita sebenar dan menyampaikan fakta yang betul adalah amat dikesali dan dikira suatu tindakan yang tidak beretika.
Ketua Penerangan Isma
__________________________________________________
LAMPIRAN 1 (deraf awal yang telah sampai ke tangan wartawan sebelum sesi mediasi)
PERMOHONAN MAAF UNTUK DIBACAKAN OLEH WAKIL ISMA DI DALAM MAHKAMAH TERBUKA DAN DITERBITKAN DI DALAM WEB ISMA
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mohon Maaf Kepada Datin Paduka Marina Mahathir
1. Pada 8/11/2013, kami Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah menerbitkan satu artikel bertajuk “ISMA edar 70,000 risalah dedah dalang COMANGO”(“Artikel”) di dalam laman web ISMA http://www.ismaweb.netdan dihubungkait dengan pautan laman web ISMA Facebook di hyperlinkhttp://www.facebook.com/isma.malaysia yang menyatakan ISMA telah mengedarkan 70,000 helai risalah yang menuduh Datin Paduka Marina Mahathir sebagai “Dalang COMANGO” (“Risalah”) di masjid-masjid sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur, Gombak, Shah Alam, Klang, Bandar Baru Pelangi, Bandar Baru Bangi, Putrajaya, Seremban, Samarahan (Sarawak), Melaka, Kuantan dan Kuala Terengganu.
2. Melalui Artikel dan Risalah tersebut kami telah membuat dakwaan yang tidak benar terhadap Datin Paduka Marina Mahathir seperti berikut:
a. bahawa beliau adalah dalang di sebalik COMANGO, sedangkan hal ini adalah tidak benar sama sekali;
b. bahawa beliau adalah tokoh Sister in Islam (SIS) di dalam COMANGO yang liberal dan anti-islam di Malaysia, sedangkan ini adalah tidak benar kerana beliau tidak mempunyai keanggotaan langsung di dalam COMANGO;
c. bahawa beliau adalah tokoh liberal yang membuat tuntutan melalui laporan COMANGO untuk menghalalkan seks songsang bagi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam, menuntut kebebasan untuk mengamalkan ajaran sesat Syiah, penghapusan hak Melayu dan apa saja yang menyentuh keutuhan agama Islam dan kedaulatan perlembagaan, sedangkan hal ini adalah tidak benar sama sekali kerana beliau tidak terlibat dalam menyiapkan laporan COMANGO yang merupakan laporan tahunan hak asasi manusia kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu;
d. bahawa sebagai dalang, beliau mempunyai watak yang meragukan yang bersembunyi di sebalik pihak lain, sedangkan beliau mempunyai watak yang sentiasa telus dalam apa jua bidang yang diperjuangkannya;
e. bahawa beliau adalah anti-Islam dan anti-Melayu, sedangkan ini adalah fitnah yang jahat kerana beliau adalah seorang Melayu beragama Islam;
f. bahawa beliau menggugat keutuhan agama islam dan kedaulatan Perlembagaan, sedangkan beliau adalah pejuang hak keagamaan, keluruhan undang-undang dan kedaulatan Perlembagaan;
g. bahawa sebagai dalang COMANGO beliau tidak mempunyai intergiti atau mempunyai nilai moral yang rendah, sedangkan ini tidak benar sama sekali kerana beliau adalah pemimpin masyarakat yang memperjuangkan intergriti, ketelusan dan kepimpinan bermoral;
h. bahawa sebagai dalang COMANGO beliau tidak mempunyai pegangan agama, sedangkan beliau dididik, dibesarkan dan mengamalkan hidup sebagai seorang Melayu beragama Islam; dan
i. bahawa sebagai dalang COMANGO beliau tidak betanggungjawab dan adalah melulu di dalam tindakannya, sedangkan tindakan beliau sebagai pemimpin masyarakat adalah sentiasa berhemah, berwaspada, bersusilah dan sentiasa mengambil kira masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama Negara Malaysia.
3. Kami menyesali perbuatan kami itu dan menyedari akan kesan buruk yang telah berlaku kepada Datin Paduka Marina Mahathir di mana Artikel dan Risalah tersebut yang dikarang dan disiarkan itu bersifat sensasi dan publisiti yang telah melampaui batasan kami sebagai NGO yang berusaha untuk menetang laporan COMANGO sehingga memberika gambaran yang salah kepada Datin Paduka Marina Mahathir sabagai seorang dalang yang anti Melayu, anti Islam dan mengamalkan gaya hidup bebas.
4. Kami, dengan sepenuh hati dan setulus ikhlas kini insaf dan memohon maaf yang tidak berbelah bahagi kepada Datin Paduka Marina Mahathir kerana kesusahan dan aib yang telah kami lakukan kepadanya dan berjanji untuk tidak lagi mengulangi perbuatan kami yang menyusahkan Datin Paduka Marina Mahathir.
__________________________________________________
LAMPIRAN 2 (deraf final)
1. Pada 8.11.2013, Media ISMA Sdn Bhd, telah menerbitkan satu artikel bertajuk “ISMA edar 70 ribu risalah dedah dalang COMANGO” (“Artikel”) di dalam laman web http://www.ismaweb.net dan dihubungkait dengan pautan laman web Facebook di hyperlink https://www.facebook.com/isma.malaysiayang menyatakan ISMA telah mengedarkan 70,000 helai risalah yang menggambarkan Datin Paduka Marina Mahathie sebagai “Dalang COMANGO” (“Risalah”) di amsjid-masjid sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur, Gombak, Shah Alam, Klang, Bandar Baru Pelangi, Bandar Baru Bangi, Putrajaya, Seremban, Samarahan (Sarawak), Melaka, Kuantan dan Kuala Terengganu.
2. Artikel dan Risalah tersebut memberikan gambaran berkenaan Datin Paduka Marina Mahathir seperti berikut:
(a) bahawa beliau adalah dalang di sebalik COMANGO; dan
(b) bahawa beliau adalah tokoh Sisters in Islam (SIS) yang liberal dan anti-Islam di Malaysia yang mebuat tuntutan untuk menghalalkan seks songsang bagi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam, menuntut kebebasan untuk mengamalkan ajaran sesat Syiah, penghapusan hak Melayu dan apa saja yang menyentuh keutuhan agama Islam dan kedaulatan perlembagaan.
3. Kami menyedari kedudukan beliau sebagai seorang pemimpin masyarakat yang memperjuangkan isu-isu semasa di dalam negara dan di luar negara dengan telus dan disegani ramai.
4. Artikel dan risalah tersebut tidak bermaksud untuk memberikan gambaran buruk berkenaan Datin Paduka Marina Mahathir seperti yang dinyatakan di bawah perenggan 2(a) dan 2(b) di atas.
5. Kami menyatakan kekesalan sekiranya Artikel dan Risalah tersebut telah menyebabkan kepayahan dan kesan buruk kepada Datin Paduka Marina Mahathir dan memberikan gambaran yang salah berkenaan Datin Paduka Marina Mahathir sebagai seorang dalang yang liberal dan anti-Islam.
r ·
Berikutan insiden di Plaza Low Yat malam tadi, puluhan ribu memaki dan menghamun orang-orang Cina di media sosial. Ribuan juga yang mengangkat budak Melayu berkenaan sebagai hero.
Perbuatan memaki dan menghamun, hatta perbuatan "melanggar" kedai Cina itu pun, tidak lain hanya tindak balas perasaan marah. Melayu memang terkenal dengan amuk. Tetapi marah orang Melayu ini, senang dipujuk. Lambat panas, cepat sejuk. Itulah masalahnya.
Kejadian ini hanya satu simptom kepada penyakit barah yang kronik; perniagaan yang dijayakan dengan menipu, dilindungi rasuah dan samseng.
Anak muda itu sudah tentu tidak akan bertindak "melepaskan geram" begitu, jika kita mempunyai pihak penguatkuasa yang berwibawa. Sudah jadi rahsia umum, peniaga chauvinis diaspora tidak berani diusik penguatkuasa, walau sekadar penjaja jalanan.
Chauvinis diaspora inilah saban hari membuat provokasi; memperlekeh ajaran agama Islam, mempersenda budaya orang Melayu, mempersoal kedudukan Islam, Melayu dan institusi Raja dalam kenegaraan Malaysia, menghasut orang Melayu agar membenci mufti dan ulamak, dan sebagainya.
Mereka juga terkenal mengotorkan dinding-dinding awam, papan-papan tanda, pintu-pintu premis perniagaan dengan iklan pinjaman "Along", menggoda orang Melayu yang suka berhutang atau yang terdesak.
Tetapi semua perangai jelik itu dan banyak lagi, tiada tindakan diambil oleh pihak penguatkuasa. Mereka seolah-olah kebal di sisi undang-undang.
Hakikatnya mereka dilindungi oleh pengkhianat bangsa Melayu sendiri, yang menjual maruah bangsa untuk mendapatkan sedikit laba di dunia.
Oleh itu tidak pelik jika rakyat mengambil tindakan sendiri.
Ustaz Hj Mohd Hazizi bin Hj Ab Rahman
Ketua Penerangan Isma