KENYATAAN MEDIA
KEADILAN KESAL PENANGKAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
KEADILAN kesal dengan tindakan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah membuat penangkapan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng, petang tadi sewaktu beliau mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
YAB Lim Guan Eng sebelum ini telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM. Kami berpendapat tangkapan petang tadi adalah tidak perlu, malah cara ia dibuat dengan kehadiran anggota yang begitu ramai seperti YAB Lim Guan Eng itu seorang penjenayah yang amat berbahaya.
Penangkapan dan pendakwaan YAB Lim Guan Eng mengukuhkan persepsi rakyat bahawa wujud satu usaha sistematik dan terancang untuk menakut-nakutkan dan mengganggu pimpinan politik tertinggi pembangkang sebelum tibanya PRU14. Malah, umum belum lagi melihat sebarang tindakan diambil SPRM berkaitan skandal-skandal kewangan besar seperti 1MDB dan "derma" RM2.6 bilion. Apakah hanya pihak pembangkang yang patut menerima layanan seperti YAB Lim Guan Eng, manakala mereka di pihak kerajaan pula menikmati kekebalan di sisi undang-undang?
Oleh itu, KEADILAN menggesa pihak SPRM melengkapkan siasatan dan membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat dalam skandal-skandal kewangan tersebut agar terbukti tahap profesionalisme SPRM dan tidak timbul persepsi di khalayak umum bahawa berlakunya pendakwaan terpilih dan terancang. Inilah peluang terbaik bagi Tan Sri Dr Abu Kassim, Ketua Pesuruhjaya SPRM, meninggalkan legasi buat SPRM dan membuktikan SPRM bukannya alat politik pemerintah sebelum beliau bersara.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN
29 Jun 2016
KENYATAAN MEDIA
Putrajaya Wajar Laksana Gaji Minima RM1,500 dan Kuatkan Kesatuan Sekerja Sebelum Gesa Anak Muda Ambil Alih Kerja Pekerja Asing
Gesaan Timbalan Perdana Menteri, DS Ahmad Zahid Hamidi, hari ini agar anak muda mengambil alih kerja-kerja yang diisi pekerja asing cukup menarik tetapi pra-matang.
Adakah Ahmad Zahid benar-benar memahami sebab kenapa anak muda hari ini enggan bekerja di sektor perladangan atau mana-mana sektor yang disebut "3D" atau "Dirty, Difficult and Dangerous" atau "Kotor, Susah dan Berbahaya"?
Sepatutnya beliau melalui mesyuarat Kabinet terdekat menggesa Putrajaya untuk melaksana langkah-langkah berikut, termasuk:
- meningkatkan gaji minima seperti yang dicadang Pembangkang iaitu RM1,500 sebulan;
- memastikan hak pekerja bukan sahaja terjamin tetapi diperkukuh terutamanya dengan menguatkan kesatuan-kesatuan sekerja;
- memastikan sistem pendidikan vokasional yang menyediakan golongan muda dengan rangkaian atau jaringan industri yang lebih menyeluruh; dan
- memberi insentif kepada pemodal, pemilik syarikat, dan paling penting anak muda untuk mengambil alih kerja-kerja yang dimonopoli pekerja asing, terutama melalui geran untuk meningkatkan teknologi yang diguna dalam bidang-bidang kerja tersebut.
Tanpa melaksana langkah-langkah di atas, gesaan Ahmad Zahid hanyalah retorik semata-mata dan bukannya niat ikhlas untuk membantu anak muda mengambil alih kerja yang diisi pekerja asing.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Naib Ketua AMK
14 Februari 2016
KENYATAAN MEDIA
12 JANUARI 2016
HASIL NEGARA DARI PERLOMBONGAN BAUKSIT TIDAK BERBALOI DENGAN KOS DAN BENCANA YANG DITANGGUNG RAKYAT
Perlombongan berleluasa bauksit di Kuantan, Indera Mahkota, Paya Besar dan kawasan sekitarnya yang memuncak sejak lewat 2014 telah membawa kesengsaraan kepada ratusan ribu penduduk di situ. Selain dari gangguan akibat dari debu merah yang menyelubungi Kuantan dan kawasan sekitar, saya telah berkali-kali menyuarakan kebimbangan mengenai kesan jangka panjang kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk setempat.
Saya juga berharap pimpinan Umno/Barisan Nasional yang bertanggungjawab sedia maklum bahawa industri perlombongan bauksit dan eksport bauksit Malaysia pada kuantiti sekarang (sekitar 20 – 25 juta tan setahun) tidak akan kekal lama atas faktor-faktor berikut:
1. Kualiti bijih bauksit adalah lebih rendah dan sekiranya diberikan pilihan, pengimport China lebih gemar membeli dari pengeksport yang boleh memberikan kualiti bijih bauksit yang lebih baik
2. Harga bijih bauksit yang melonjak sekejap dalam tahun 2014 hingga 2015 akibat dari larangan eksport bauksit oleh Kerajaan Indonesia akan mula stabil
3. Lombong-lombong baru dan pengeksport baru dari Australia dijangkakan mula mengeksport ke China bagi memenuhi permintaan dan kualiti bijih bauksit mereka adalah lebih baik
Laporan Sydney Morning Herald bertarikh 19 Ogos 2015 (http://www.smh.com.au/…/alumina-targets-bauxite-exports-des…) malah menyebut pengaruh Malaysia di pasaran bauksit China akan hilang menjelang tahun 2017.
Oleh itu saya menganggarkan bahawa hasil yang dikutip oleh Kerajaan Negeri Pahang tidak pun akan mencecah RM200 juta dari tahun 2014 hingga 2016 (RM47 juta dikutip dalam tahun 2015, kuantiti eksport dalam 2016 adalah lebih rendah dari 2015 kerana moratorium aktiviti perlombongan dan kutipan 2014 jauh lebih rendah dari kutipan 2015). Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan nampaknya tidak mengenakan sebarang cukai ke atas perlombongan bauksit. Maka hasil kepada Kerajaan Persekutuan adalah kosong.
Namun kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan terutamanya penduduk Kuantan dan sekitarnya sudah tentu jauh lebih tinggi dari RM200 juta. Kos-kos ini termasuklah:
1. Kos pemuliharaan kembali alam sekitar yang rosak akibat perlombongan
2. Kos membaiki jalan dan infrastruktur lain yang rosak akibat lori keluar masuk
3. Kos hilang pendapatan oleh penduduk kerana tanah mereka tidak boleh digunakan lagi
4. Kos rawatan kesihatan yang ditanggung oleh kerajaan dan penduduk akibat masalah kesihatan yang timbul kerana pencemaran alam sekitar
5. Kos hilang nilai hartanah yang ditanggung penduduk
dan lain-lain.
Oleh itu sudah sampai masanya perlombongan bauksit diharamkan terus kerana telah terbukti membawa kerosakan kepada majoriti penduduk sedangkan hasil kepada rakyat tidak berbaloi dengan kos yang ditanggung. Saya mendesak supaya moratorium aktiviti melombong yang diumumkan ditukar kepada pengharaman aktiviti melombong bauksit berkuatkuasa serta merta.
FUZIAH SALLEH
AHLI PARLIMEN KUANTAN
1MDB PERLU SAHKAN SAMA ADA PERBEZAAN NILAI URUSNIAGA SEBANYAK RM2.13 BILION MELIBATKAN PENJUALAN BANDAR MALAYSIA ADALAH BERSABIT PEMINDAHAN DAN NAIKTARAF 6 KEM TENTERA UDARA
Saya merujuk kepada laporan-laporan sebelum ini mengenai perbezaan nilai urusniaga melibatkan penjualan Bandar Malaysia oleh 1MDB yang diumumkan oleh 1MDB berbanding dengan nilai yang difailkan di Bursa Hong Kong oleh China Railway Group Limited iaitu syarikat induk kepada China Railway Engineering Corp.
Laporan The Malaysian Insider hari ini memetik kenyataan Presiden/CEO 1MDB, Arulkanda Abdullah bahawa perbezaan sebanyak RM2.13 bilion itu adalah melibatkan beberapa liabiliti dan kos melibatkan pemindahan kemudahan sedia ada yang perlu dirundingkan oleh 1MDB dan konsortium pembeli yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China itu yang akan dimuktamadkan menjelang Jun 2016.
Saya pasti ramai rakyat Malaysia yang tidak memahami betapa mengejutkan pengesahan yang dibuat oleh Arulkanda Abdullah hari ini.
Untuk pengetahuan umum, tanah yang ingin dibangunkan sebagai Bandar Malaysia dan dianugerahkan kepada 1MDB oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak sekarang ini menempatkan Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi. Sebelum ini 1MDB bersetuju untuk memindahkan kemudahan Kem TUDM itu dan menaiktarafkan 6 pengkalan TUDM yang lain dan satu kem polis udara sebagai pertukaran tanah di Sungai Besi itu dipindahmilik kepada 1MDB. Saya dimaklumkan kem-kem tersebut antara lainnya ialah Kem TUDM Kuantan, Kem TUDM Gong Kedak, Kem TUDM Senawang, Kem TUDM Butterworth dan Kem Polis Udara Ipoh.
Arulkanda Abdullah hari ini mengesahkan bahawa perbezaan RM2.13 bilion (iaitu nilai urusniaga yang diumumkan adalah RM2.13 bilion lebih tinggi dari apa yang difailkan oleh China Railway Group Limited) untuk mengambil kira kos-kos pemindahan dan kemudahan sedia ada di tanah tersebut.
Ini bermakna liabiliti 1MDB untuk memindahkan kemudahan sedia ada di Kem TUDM Sungai Besi belum disempurnakan oleh 1MDB. Apabila pegangan saham di dalam projek pembangunan Bandar Malaysia dijual kepada konsortium yang dianggotai oleh syarikat milik Kerajaan China ini, ada kemungkinan besar liabiliti untuk memindahkan kemudahan sedia ada di Kem TUDM itu turut ditanggung oleh konsortium pembeli itu.
Jika ini benar-benar berlaku, ini membawa implikasi besar kepada kedaulatan negara dan pertahanan negara seperti berikut:
1. Apakah konsortium yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China ini akan terlibat di dalam keputusan-keputusan yang membabitkan pemindahan kemudahan ketenteraan TUDM?
2. Apakah konsortium yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China ini berhak membuat keputusan mengenai kos yang membabitkan pemindahan kemudahan ketenteraan TUDM?
3. Apakah jika konsortium yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China ini enggan membayar jumlah RM2.13 bilion, itu akan menjejaskan proses pemindahan kemudahan ketenteraan TUDM sedia ada?
Hakikat bahawa syarikat China Railway Group Limited telah memfailkan nilai urusniaga yang lebih rendah sebanyak RM2.13 bilion bermakna ia telah pun memasukkan liabiliti kos pemindahan kemudahan sedia ada yang dirujuk oleh Arulkanda Abdullah di dalam kenyataannya hari ini.
Justeru, saya menyeru supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri memberi penjelasan kepada soalan-soalan di atas secepat mungkin kerana tidak ada mana-mana negara berdaulat yang wajar melibatkan syarikat yang dimiliki negara lain di dalam apa-apa keputusan yang membabitkan kelengkapan dan kemudahan ketenteraannya, terutamanya memandangkan Kem TUDM Sungai Besi adalah salah satu kem tentera udara paling penting di negara ini.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
5 Januari 2016
PERUTUSAN PRESIDEN KEADILAN
SEMPENA MAULIDUR RASUL 1437H
Allahumma solli 'ala Saiyidina Muhammad, wa 'ala alihi, wasahbihi, wabaarik, wasallim.
Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli-ahli keluarga baginda serta para sahabat dan tabiin yang bertaqwa.
Pertama sekali, marilah kita sama-sama panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana pada tahun ini kita dapat menyambut Maulidur Rasul buat kali yang kedua.
Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul tahun 1437H ini, saya bagi pihak keluarga besar KEADILAN ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, sama ada mereka berada di dalam mahupun di luar Negara.
Sesungguhnya Maulid merupakan hari dimana kita memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW telah diperutus untuk menyempurnakan akhlak manusiawi dan sebagai rahmatan lil ‘alamin (sebagai rahmat kepada ke seluruh alam).
Oleh itu, marilah kita beringat-ingat perutusan Nabi Muhammad SAW bahawa Islam membawa kepada keseimbangan penghidupan, menjamin keadilan untuk semua dan perdamaian di kalangan umat.
Islam itu sendiri menolak malah mengharamkan sebarang bentuk kezaliman dan penindasan. Malah pembunuhan yang dilakukan puak pelampau pengganas kononnya demi Islam langsung tidak mempunyai asas di dalam Ad-din yang suci ini.
Mengambil semangat Maulidur Rasul ini, KEADILAN mengajak rakyat Malaysia untuk mengetepikan kepentingan diri, kelompok mahupun fahaman kepartian, untuk bekerjasama menyelamatkan Malaysia yang kian hari bagai menghampiri tebing kemusnahan akibat kebobrokan dan salah urustadbir oleh kepimpinan Negara.
Demi menghayati perjuangan Nabi Muhammad SAW, kita harus kembali ke asas Ad-din, yang mengetengahkan perpaduan sesama pemimpin dan sesama rakyat selama mana mereka tidak berlaku zalim, tidak menindas dan tidak rasuah.
Salam Maulidur Rasul.
DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
12 Rabiul Awwal 1437
24 Disember 2015
RETORIK PERPADUAN MELAYU HANYALAH SANDIWARA ULANGAN UMNO
Angkatan Muda Keadilan yakin rakyat tidak lagi mudah termakan propaganda perpaduan Melayu yang cuba disampaikan oleh UMNO terutama pasca perhimpunan agung parti itu baru-baru ini.
Rakyat sudah maklum, setiap kali terhimpit, UMNO akan lebih lantang dan kerap menyuarakan perpaduan Melayu, dengan harapan ia akan dapat mengalih perhatian ramai daripada kepincangan parti itu.
Hakikat yang tidak dapat disembunyikan UMNO ialah parti itu sendiri kini berpecah kerana skandal penerimaan wang kira-kira RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Presiden UMNO Najib Razak serta keraguan dalam tadbir urus 1MDB di mana beliau merupakan pengerusi lembaga penasihatnya.
Jelas, meskipun perpaduan adalah sebuah idealisme unggul, ia mestilah atas prinsip keadilan dan kebebasan, bukan berkompromi dengan rasuah dan salah guna kuasa.
UMNO terus memainkan propaganda usang konon kuasa orang Melayu dan Islam kian terhakis, walhal bilangan ahli parlimen Melayu dan Islam terus bertambah meskipun penguasaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO merosot.
UMNO cuba meyakinkan orang Melayu kononnya tanpa UMNO mereka akan hidup susah dan ditindas. Hakikatnya, rakyat tanpa mengira kaum hari ini terbeban oleh pelbagai dasar kerajaan yang pentadbirannya dikuasai oleh UMNO. Orang Melayu yang merupakan majoriti dalam kumpulan 40 peratus rakyat berpendapatan paling rendah terpaksa bergelut dengan dasar-dasar tersebut.
Bantuan demi bantuan yang diberi, sebenarnya lebih memperkayakan golongan elit, yang ramai daripadanya mempunyai kaitan rapat dengan pemimpin UMNO.
Sebab itu, meskipun pelbagai bantuan telah cuba diberikan sejak sekian lama, jurang ekonomi antara orang Melayu miskin dan orang Melayu kaya semakin melebar.
UMNO akan terus mengulang retorik perpaduan Melayu untuk menyelamatkan diri tetapi orang melayu akan berpadu menolak kebobrokan parti itu, seterusnya nanti bersama-sama dengan rakyat Malaysia seluruhnya membina semula negara ini yang lebih bebas, adil dan bersatu.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
TINDAKAN TANAH TRX - TABUNG HAJI: BEBANKAN PENCARUM, MEROSAK IMEJ SERTA INTEGRITI AMANAH TABUNG HAJI
Sudah 4 hari berlalu semenjak Perhimpunan Agung UMNO 2015 bermula, namun tidak kedengaran mana-mana perwakilan dengan keberanian untuk membincangkan perihal institusi Negara yang tercalar dengan skandal yang melibatkan Presidennya.
Mahu tidak mahu, umum mengakui, Presiden UMNO sudahpun terpalit bukan sahaja dengan skandal 1MDB dan derma yang di poket akaun peribadi; malah kini menjalar kepada insitusi ibadah Tabung Haji.
Keputusan Tabung Haji (TH) dalam pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM 188.5 juta telah menimbulkan beberapa persoalan daripada pelbagai pihak, terutamanya kepada pendeposit.
Mereka mula memikirkan kemungkinan bebanan di masa hadapan dan terjejasnya kewangan untuk menjalankan ibadah haji.
Mengapakah keputusan pembelian dibuat secara tertutup dan tergesa-gesa? Sekali lagi kemelut pengurusan hutang 1MDB menjelma apabila keputusan pembelian tanah TRX dibuat TH.
Menerusi jawapan Parlimen, rakyat dimaklumkan pembelian tanah TRX sebanyak RM 2,773 per kaki (RM188.5 juta) memberi keuntungan yang besar kepada 1MDB yang membeli tanah TRX tersebut daripada kerajaan dengan harga hanya sebanyak RM 64 per kaki pada tahun 2011; iaitu lebih kurang RM4 juta sahaja! Adakah pendeposit Tabung Haji merelakan RM184 juta keuntungan kepada 1MDB; ataupun 47 kali ganda? Apa istimewanya 1MDB dibandingkan dengan TH?
Laba sebegini mengukuh persepsi bahawa dana pendeposit telah dikorbankan semata-mata demi kepentingan sebuah syarikat ‘kontroversi’ dan bermasalah; dengan Badan Penasihat yang dipengerusikan Perdana Menteri!
Ternyata, transaksi yang melibatkan TH merupakan pendekatan yang paling pantas untuk 1MDB mendapat keuntungan berlipat kali ganda mengikut ‘pintu belakang’; menggunakan dana awam dan agensi kerajaan tanpa memikirkan kesannya kepada imej TH dan wang pendeposit.
TH secara tidak langsung telah membelakangkan kepentingan pendeposit sebelum membuat keputusan ini. Orang awam turut mengkritik penglibatan CEO TH, Tan Sri Ismee Ismail yang juga lembaga pengarah 1MDB dalam membuat keputusan pembelian tanah tersebut. Isu ini membuktikan terdapat konflik berkepentingan yang ‘kritikal’ dalam transaksi pembelian tanah TRX dengan harga yang melambung tinggi.
Kerajaan yang diwakili pemimpin utamanya, Presiden UMNO perlu memberi perincian adakah keputusan ini bakal mempengaruhi peratusan dividen yang dinikmati oleh penyimpan TH, terutamanya sekiranya TH gagal menjual tanah tersebut dengan harga pasaran?
Apakah jaminan dan mekanisme TH memastikan pendeposit akan mendapat kesan yang positif dari penjualan semula tanah tersebut?
Kini, persepsi umum adalah TH menghadapi masalah untuk mencari pembeli tanah TRX tersebut. TH sebelum ini melalui laporan The Malaysian Insider [1] mengatakan bahawa sedang mempertimbangkan 3 pembeli berpotensi yang berminat untuk membeli tanah TRX pada awal bulan Mei 2015. TH juga menyatakan bahawa rundingan jual tanah TRX mengambil masa dua minggu, Malangnya, TH gagal menjual tanah tersebut dalam tempoh lapan bulan, iaitu hingga awal Disember 2015.
Adakah kegagalan ini merupakan bukti bahawa sebenarnya tanah TRX tidak mempunyai pembeli? Sebelum ini digemparkan bahawa TH akan membuat untung sebanyak RM5 juta jika tanah ini dijual. Bagaimana pula dengan kos pelaburan, kos pengurusan, kos kontrak perjanjian jual beli yang mungkin boleh melangkau sehingga melebihi RM5 juta untuk transaksi sebesar RM188.5 juta ini.
Lebih bermanfaat sekiranya 1MDB dan TH membatalkan transaksi jual beli tanah ini bagi mengembalikan semula wang tersebut kepada TH dalam usaha menambah baik perkhidmatan ibadah haji dan mengurangkan beban jemaah haji secara langsung. Kedua, Kerajaan tidak patut dimaafkan apabila membiarkan 1MDB membuat keuntungan besar seperti ini dengan memberi risiko serta tambahan kos kepada pencarum TH.
Jangan cemari nama baik TH dengan mainan politik parti. Kembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi ibadah kita dengan meletakkan keutamaan kepada kredibiliti TH dan keperluan pendeposit; bukannya talian hayat dan penerus dana bagi entiti kesayangan Perdana Menteri.
NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN MERANGKAP PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN