Bagaimana Jika RM2.6 Bilion Adalah Duit Derma Kepada UMNO? - Zulhazmi Shariff

3:00 PM 0 Comments A+ a-




BAGAIMANA JIKA RM2.6 BILION ADALAH DUIT DERMA KEPADA UMNO?

RM2.6 bilion telah semua maklum dimasukkan ke dalam akaun Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, merangkap Presiden Umno, merangkap Presiden Barisan Nasional merangkap suami Rosmah Mansur. Walau bagaimana pun tiada siapa tahu untuk siapa dan atas tujuan apa duit RM2.6 bilion itu didermakan dan dimasukkan ke dalam akaun Mohd Najib.

Ada yang mengatakan bahawa RM2.6 bilion itu dimasukkan ke dalam akaun Mohd Najib sebagai pemegang amanah bagi dana pilihanraya Umno/BN. Itu kenyataan dari badut-badut Najib. Tetapi dalam masa yang sama Shahrir Samad salah seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno kata Majlis Tertinggi tidak pernah dimaklumkan hal itu.

Bagaimana Jika RM2.6 Bilion itu Adalah Duit Derma Kepada Umno dan Najib adalah pemegang amanah?

Kita perlu rujuk Perlembagaan Umno. Ahli-ahli Umno mesti tahu dan faham Perlembagaan parti mereka berkaitan kewangan parti.

Fasal 24 Perlembagaan Umno menyatakan :

FASAL 24 PUNCA PENDAPATAN

24.1 Kewangan UMNO adalah diperolehi dari:-
24.1.1 Wang pendaftaran dan Yuran.
24.1.2 Derma-derma dan
24.1.3 Ikhtiar-ikhtiar lain di semua peringkat dipersetujukan oleh Majlis Tertinggi.

24.2 Tahun Kewangan UMNO ialah dari 1hb. Januari hingga 31hb. Disember.

24.3 Pejabat Setiausaha Cawangan, Bahagian dan Perhubungan hendaklah menghantar ke Pejabat Setiausaha Agung, Penyata Kira-Kira bagi sesuatu tahun kewangan yang telah diperiksa dan disahkan oleh Pemeriksa Kira-kira.

Peruntukkan Fasal 24 Perlembagaan Umno dengan jelas menyatakan bahawa antara punca pendapatan Umno ialah derma, justeru derma RM2.6 bilion jika benar adalah derma kepada Umno, ianya adalah sesuatu yang sah.

Derma itu sah tetapi bagaimana pula cara mengendalikan wang derma tersebut? Perkara ini disebutkan dalam Fasal 26 Perlembagaan Umno.

FASAL 26 CARA MENYIMPAN DAN MENGGUNAKAN WANG UMNO

26.1 Tertakluk kepada Fasal 26.6 Badan Perhubungan, Jawatankuasa Bahagian dan Jawatankuasa Cawangan boleh menentukan cara-cara mengutip, menyimpan dan menggunakan wang UMNO di peringkat masing-masing.

26.2 Wang UMNO, kecuali wang tunai dalam tangan hendaklah disimpan dalam Bank Perdagangan atau Bank Simpanan.

26.3 Cek-cek dan borang-borang mengeluarkan wang dari Bank hendaklah ditandatangani oleh sekurang-kurangnya dua orang ahli di peringkat masing-masing.

26.4 Majlis Tertinggi berhak dan berkuasa di atas semua wang dan harta benda Badan Perhubungan dan Bahagian-bahagian yang termasuk di dalam Badan-badan Perhubungan yang telah dibubarkan.

26.5 Jawatankuasa Bahagian adalah berhak di atas semua harta benda, wang tunai di tangan ataupun wang simpanan dalam Bank atau simpanan di bank bagi sesebuah Cawangan yang telah dibubarkan.

26.6 Majlis Tertinggi berkuasa membuat sebarang peraturan berkenaan dengan kewangan UMNO bagi semua peringkat.

Fasal 26 ini menjelaskan tatacara menyimpan dan menggunakan wang Umno. Jika wang RM2.6 bilion itu adalah wang derma kepada Umno, maka Fasal 26 ini akan terpakai. Apabila wang sebanyak RM2.6 bilion didermakan kepada Najib iaitu Presiden Umno, maka ianya adalah wang Umno Malaysia, bukan Umno Negeri, Umno Bahagian atau Umno Cawangan. Apabila ianya wang Umno Malaysia, maka tatacara penyimpanan dan penggunaannya adalah mengikut Fasal 26.6 iaitu ditentukan oleh Majlis Tertinggi. Sekarang, yang diketahui ialah Shahrir Samad, salah seorang Ahli Majlis Tertinggi berkata Majlis Tertinggi tiada pengetahuan tentang duit tersebut. Ini bermakna duit RM2.6 bilion tersebut tidak disenggara oleh Najib mengikut Perlembagaan Umno kerana sepatutnya Majlis Tertinggi mesti mempunyai pengetahuan.

Fasal 26.2 pula menyatakan wang Umno kecuali wang yang di dalam tangan hendaklah disimpan dalam Bank Perdagangan atau Bank Simpanan. Jadi tindakan memasukkan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib di bank adalah betul tetapi bagaimana wang tersebut dikeluarkan sehingga akaun tersebut telah ditutup.?

Fasal 26.3 menyatakan segala pengeluaran wang dari bank hendaklah ditandatangani oleh sekurang-kurangnya dua orang ahli di peringkat masing-masing. Dalam hal duit RM2.6 bilion di peringkat Umno Malaysia, maka sepatutnya dua orang ahli Majlis Tertinggi yang menandatangani pengeluaran. Siapa mereka? Adakah Najib dan Bendahari Umno atau Najib dan Rosmah atau siapa? Ini perlu disoal oleh ahli-ahli Umno akar umbi jika mereka adalah ahli yang bertanggungjawab.

Kemudian kita lihat pula peruntukkan Fasal 27 Perlembagaan Umno.

FASAL 27 HARTA ALIH DAN TAK ALIH

27.2 Tiap-tiap harta alih hendaklah dipegang dan didaftarkan atas nama Pemegang Amanah. Majlis Tertinggi dan peringkat-peringkat lain boleh melantik mana-mana ahli atau syarikat sebagai Pemegang Amanah dan mereka boleh diberhentikan
pada bila-bila masa jua pun.

Harta alih ialah termasuk wang. Fasal 27.2 menyatakan harta alih hendaklah dipegang dan didaftarkan atas nama pemegang amanah yang dilantik oleh Majlis Tertinggi. Adakah Najib telah dilantik sebagai pemegang amanah bagi duit RM2.6 bilion tersebut? Kenapa Najib dan bukannya Bendahari Umno yang juga Timbalan Menteri Kewangan?

Selain itu, kita juga perlu lihat peruntukkan Fasal 28 Perlembagaan Umno.

FASAL 28 PEMERIKSAAN KIRA-KIRA
28.1 Perhimpunan Agung Tahunan hendaklah melantik sebuah Syarikat Juruaudit yang diakui oleh Kerajaan untuk memeriksa kira-kira wang dan harta parti.

Semua ahli Umno perlu mendesak agar sebuah juruaudit yang diperakui dilantik dan memeriksa kira-kira wang Umno dan dibentangkan untuk pengetahuan ahli.

Jika didapati Najib Tun Razak telah melanggar Perlembagaan Umno dengan bertindak menerima derma RM2.6 bilion dan menggunakan tanpa pengetahuan parti dan tanpa mengikut Perlembagaan parti maka beliau sudah melanggar disiplin Umno di bawah Fasal 20.8 dan boleh diambil tindakan mengikut Fasal 20.9 Perlembagaan Umno.

Lebih dari itu Najib juga boleh dituduh pecah amanah jenayah kerana menggunakan wang parti secara tidak sah.

Beberapa pemimpin Umno mahukan Umno dilakukan perubahan bagi mendapatkan keyakinan semula rakyat, maka tindakan perlu diambil.

Rakyat memang sudah TIDAK PERCAYA kepada Umno tetapi rakyat akan lebih tidak percaya jika Umno terus-terusan membiarkan perlaku salah sebegini berleluasa.

BERANI BERUBAH KE ARAH MALAYSIA YANG LEBIH BAIK.

ZULHAZMI SHARIFF
07082015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.