Pindaan Akta Komunikasi Dan Media Cubaan Mendiamkan Rakyat Yang Marah Tentang Isu 1MDB - Fahmi Fadzil
KENYATAAN MEDIA
PINDAAN AKTA KOMUNIKASI DAN MEDIA CUBAAN MENDIAMKAN RAKYAT YANG MARAH TENTANG ISU 1MDB
Akhir-akhir ini, serangan terhadap institusi media semakin hebat. The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily telah digantung lesen penerbitan, manakala akses kepada laman Sarawak Report telah disekat. Ini semua berlaku akibat liputan yang dibuat media tersebut terhadap isu 1MDB dan beberapa dakwaan terhadap Dato’ Sri Najib Razak.
Malah sekarang bagaikan berjalan satu “operasi” untuk mendiamkan media, anak muda dan pimpinan politik yang lantang bersuara meminta penjelasan serta menggertak agensi-agensi kerajaan yang melakukan siasatan.
Oleh itu, dalam konteks ini, pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998 yang bakal diusul Oktober nanti merupakan usaha untuk mendiamkan rakyat yang begitu marah akibat pelbagai skandal dan kepincangan yang melanda negara.
Dato’ Sri Najib sebagai Perdana Menteri sepatutnya lebih demokratik dan terbuka dalam menerima kritikan rakyat terutama melalui media sosial. Beliau perlu sedar bahawa media sosial merupakan perhubungan dua hala; zaman perhubungan satu hala sudah lama terkubur.
Beliau tidak patut menggunakan retorik “trial by social media” sebagai alasan membuat pindaan terhadap akta-akta ini, lebih-lebih lagi kerana rakyat hanya mengharapkan penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkan. Kekangan dan tindakan keras hanya mengukuh persepsi bahawa ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
Berdasarkan laporan berita, pindaan-pindaan ini bertujuan untuk:
1. memperluas kuasa SKMM dan menambah berat hukuman kesalahan-kesalahan terutama yang berkaitan pengguna media sosial; dan
2. mengarah pendaftaran laman-laman web berita, seperti model di Singapura.
Dalam isu kuasa SKMM dan menambah berat hukuman, yang menariknya SKMM sendiri memperakui bahawa undang-undang sedia ada mencukupi. Berikut merupakan “pop-up screen” yang muncul apabila anda melayari laman web SKMM. Ia menyenaraikan undang-undang serta agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab menangani masalah kandungan online seperti fitnah, ancaman terhadap keselamatan negara dan sebagainya. Oleh itu, SKMM sendiri bagai berkata pindaan tidak diperlukan.
Dalam isu pendaftaran laman web berita pula, mengapa perlu kita ikuti jejak langkah negara yang berada enam anak tangga lebih rendah dari kita dalam 2015 World Press Freedom Index? Jelas undang-undang sedia ada amat mencukupi. Paling tidak, sebuah majlis media (media council) boleh diwujudkan agar media dapat melakukan pengawalseliaan sendiri. Kerajaan sebagai eksekutif perlu mengakui tugas dan tanggungjawab media sebagai estet ke-empat dalam memastikan wujudnya sistem semak dan imbang (checks and balances) demi menjamin kesihatan demokrasi di Malaysia.
Putrajaya wajib sedar bahawa rakyat sedang tekun memerhati; jangan kerana hendak menyelamatkan beberapa individu maka hak asasi ditekan dan masa depan negara tergadai.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN
7 Ogos 2015
Sila kongsi artikel ini...