Pasca Muktamar PAS Menjadi Lebih Inklusif - Dr Mohd Zuhdi Marzuki

9:43 PM 0 Comments A+ a-



PASCA MUKTAMAR PAS MENJADI LEBIH INKLUSIF
Selepas lebih dua bulan berlalu Muktamar PAS Kali ke 61, di Kuala Selangor, Pusat Penyelidikan PAS (PPP) mengunjurkan PAS akan menjadi lebih inklusif dari sebelumnya. Malah keputusan Majlis Syura Ulama (MSU) memutuskan hubungan tahaluf dengan DAP, diyakini akan membuka ruang lebih besar untuk PAS berhubung langsung dengan rakyat khususnya kaum Cina. Apa yang penting organisasi PAS di semua peringkat perlu kreatif mencipta ruang bersama dan menutup ruang bermusuh dengan mana-mana pihak kecuali terhadap mereka yang jelas chauvinist dan bersifat anti Islam.


Sebelum ini keterangkuman (inclusiveness) PAS dalam masyarakat Malaysia adalah melalui parti-parti komponen PR dan NGO-NGO yang condong kepada gabungan tersebut. Hubungan PAS dengan kaum Cina sebelum ini dibuat melalui DAP yang bertindak sebagai jambatan penghubung. Hari ini PAS telah mencipta ruang bersama sendiri tanpa memerlukan lagi perantaraan DAP, PKR dan NGO-NGO. Sebagai contoh, fenomena ini mulai kelihatan apabila majlis-majlis sambutan hari raya PAS telah menjemput semua pihak sama ada PR, BN atau lain-lain berbanding sebelum ini hanya di kalangan mereka yang mesra PR.

PPP juga melihat keterangkuman PAS melalui PR hanya wujud di peringkat atasan atau pusat, sedangkan PR sendiri tidak inklusif di peringkat rakyat akar umbi. Lebih daripada itu, persepakatan politik dalam PR sendiri hampir sukar diperhatikan di peringkat cawangan dan kawasan, dengan sebab itu tidaklah nenghairankan mengapa PR tidak mampu menjadi inklusif di kampung-kampung tradisional, Felda, Felcra dan lain-lain. Kelemahan ini semakin disedari dan mula diperbaiki oleh organisasi akar umbi PAS. PPP sedang mengusahakan program-program untuk menjadikan organisasi akar umbi PAS lebih berdikari dan kreatif mencipta ruang bersama tersebut.

Salah satu pendekatan yang akan diterapkan kepada organisasi akar umbi PAS ialah berikhtiar menutup ruang bermusuh atau ruang bersaing bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, "janganlah kamu bercita-cita menemui musuh". Pendekatan ini sejajar dengan Strategi Lautan Biru dalam pengurusan awam dan pengurusan perniagaan pada masa kini. Sebagai contoh PAS kawasan dan cawangan akan membuka Markaz PAS untuk aktiviti masyarakat awam termasuk penempatan sementara sekiranya berlaku bencana, berbanding sebelum ini hanya program-program ekslusif ahli-ahli PAS.

Jelas sekali, Presiden PAS dan kepimpinan baru selepas muktamar sedang membawa PAS menjadi lebih inklusif. Hari ini, pendirian PAS dalam banyak isu kritikal seperti yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, bukan bercakap bagi pihak PAS tetapi bercakap bagi pihak rakyat. Walaupun ada antara isu itu merupakan kesempatan terbaik untuk menyerang sesuatu pihak, tetapi pendirian yang dibuat oleh Presiden PAS adalah untuk menyelamat negara dan mensejahterakan rakyat. Sikap yang ditonjolkan seperti ini menjadi satu lagi petunjuk penting PAS semakin menjadi inklusif berbanding sebelumnya.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah
Pusat Penyelidikan PAS (PPP)

7 Ogos 2015
22 Syawal 1436


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.