Rakyat Malaysia Menyokong Sepenuhnya Usaha SPRM Menyiasat Kes Rasuah, Peguam Negara Kena Dakwa Mereka Yang Terlibat Dan Dalang Yang Menghalang Sisatan SPRM. - Mahfuz Omar

9:12 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

RAKYAT MALAYSIA MENYOKONG SEPENUHNYA USAHA SPRM MENYIASAT KES RASUAH, PEGUAM NEGARA KENA DAKWA MEREKA YANG TERLIBAT DAN DALANG YANG MENGHALANG SISATAN SPRM.

1. Dalam tempoh seminggu kebelakangan ini, kita menyaksikan bagaimana pihak polis bertindak menangkap, menggeledah dan menyoalsiasat beberapa orang Pegawai-Pegawai Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dipercayai terlibat di dalam siasatan kes penyaluran wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi yang dikatakan milik Perdana Menteri dan secara khususnya dakwaan penyaluran wang sebanyak RM40 juta yang berpunca dari SR International ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.


2. Ternyata tindakan menggila pihak polis ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan seolah-olah pihak polis membenarkan diri mereka dijadikan alat oleh pihak tertentu untuk cuba mengagalkan siasatan yang dijalankan oleh SPRM. Pihak tertentu ini amat takut dengan proses penyiasatan yang telah dan sedang dijalankan SPRM bersama dengan Pasukan Petugas Khas 1MDB kerana penyiasatan ini dipercayai telah berjaya merungkai ke mana perginya wang RM40 juta dari akaun SRC International. Hasil penyiasatan inilah yang dikatakan menghasilkan Kertas Pertuduhan sebagaimana yang disebarkan secara meluas pada minggu lepas.

3. Tindakan jahat menggangu dan menghalang siasatan SPRM ini harus dihentikan serta merta. Sebarang tindakan menghalang, mengganggu atau cuba menakut-nakutkan Pegawai-Pegawai SPRM yang sedang menjalankan tugas mereka adalah suatu kesalahan serius di bawah Seksyen 48, Akta SPRM 2009. Tindakan sebegini juga boleh dianggap satu kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam daripada menjalan tugasnya.

4. Dalam hal ini, saya menyeru kepada Peguam Negara supaya mendakwa kesemua mereka yang terlibat termasuk dalang di belakang usaha menghalang siasatan SPRM ini. Hanya dengan cara ini sahaja Peguam Negara dapat membuktikan bahawa pelantikan beliau secara tiba-tiba sebagai Peguam Negara menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail bukanlah bertujuan untuk menjadi alat melindungi segala kesalahan Perdana Menteri.

5. Dalam kesempatan ini, saya ingin menyatakan kepada SPRM bahawa seluruh rakyat Malaysia menyokong dan berdiri teguh di sisi SPRM di dalam perjuangan jihad SPRM memerangi rasuah terutama di dalam kes-kes yang melibatkan 1MDB dan penyaluran jumlah besar wang ke dalam akaun peribadi. Jangan takut dan gentar dengan ugutan manusia di hujung hayat kuasa yang sekarang ini hanya bertahan kerana berpaut kepada sedikit kuasa yang ada padanya. Saya dan rakyat Malaysia yang lain mendoakan agar SPRM dan seluruh kakitangannya diberikan kekuatan oleh Allah dalam saat-saat getir ini.

DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR

Ahli Parlimen Pokok Sena

7 Ogos 2015/22 Syawal 1436H


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.