Showing posts with label PAN. Show all posts
Showing posts with label PAN. Show all posts

Bersama Memikul TanggungJawap Memelihara Keharmonian Kaum - Faiz Fadzil



BERSAMA MEMIKUL TANGGUNGJAWAB MEMELIHARA KEHARMONIAN KAUM.

Keunikan negara ini adalah latarbelakang sosialnya yang berbilang kaum dan agama. Islam menuntut keamanan, keharmonian, kemajuan, kekayaan dan hormat-menghormati.

Insiden memijak gambar 2 pemimpin utama parti Melayu negara ini mencetuskan kemarahan ahli-ahli kedua-dua parti tersebut, sedangkan tuan mangsa tidak pula bersuara. Insiden tersebut menjadi lebih panas kerana ia berlaku dalam himpunan aman Bersih 4.0 dan orang yang memijak pula bukanlah Melayu.


Kedudukan gambar diletakkan sebegitu rupa seolah-olah dirancang pihak tertentu bagi memburukkan nama baik himpunan aman yang dihadiri ratusan ribu rakyat Malaysia pelbagai kaum. Insiden tersebut juga seolah-olah satu usaha pihak tertentu bagi mencetuskan ketegangan kaum demi survival politik dan pemerintahan.

Bukankah lebih baik dan bermakna jika mereka menyuarakan kemarahan mereka terhadap pemerintah yang tidak pedulikan rakyat terutamanya Melayu. Hutang 1MDB sebanyak RM42 billion pasti akan ditanggung bebannya oleh rakyat dan wang akaun peribadi Perdana Menteri sebanyak RM2.6 billion tidak pula dikongsi bersama semua Melayu. Bebanan gst dan kos sara hidup yang tinggi tidak dipedulikan dalam keadaan 40% pendapatan Melayu di bawah RM2000 sebulan.

Bangkitlah wahai Melayu mengubah sistem pemerintahan yang korup ini dan bebaskan negara ini daripada cengkaman penindasan, penyelewengan dan ketidakadilan. Insiden memijak gambar pemimpin tersebut biarlah diselesaikan di antara pihak yang terbabit. Usahlah insiden tersebut dijadikan api perkauman yang merugikan rakyat dan negara.

AMANAH kepada rakyat dan negara dengan memelihara keharmonian kaum dan bersama membina ekonomi negara yang lebih mampan dan berkebajikan.

FAIZ FADZIL
Pengarah Komunikasi
Pemuda AMANAH
3 September 2015

Isu Bai'ah: Ahli Diminta Bersabar, Rujuk Ulamak Muktabar - Mat Sabu



KENYATAAN MEDIA

ISU BAI'AH: AHLI DIMINTA BERSABAR, RUJUK ULAMAK MUKTABAR

www.harapanbaru.com


Saya selaku Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) meminta semua ahli, khususnya mereka yang berasal daripada PAS dan kini menyertai parti Amanah, supaya mempunyai kesabaran paling tinggi terutama dalam menghadapi isu bai'ah ini.

Dalam menghadapi isu ini, saya menasihatkan ahli supaya berpeganglah kepada pandangan mana-mana ulamak atau mazhab atau perbezaan pandangan selagi ia ada kelonggaran.

Janganlah kita berpegang kepada satu-satu pandangan sahaja. Rujuklah kepada pandangan ulamak muktabar di Malaysia dan juga dari luar negara.

Bagi saya, pandangan Sheikh Dr Yusof Al-Qaradhawi, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abdul Ghani Samsuddin dan juga pandangan daripada Mufti Perlis dan Pulau Pinang harus diambil kira dalam hal bai'ah ini termasuk isu menceraikan isteri.

Sekali lagi saya menyeru kepada mereka yang terlibat dalam hal ini, agar meletakkan kesabaran paling tinggi dan bertawakal kepada Allah, dan pada masa yang sama, berpeganglah kepada pandangan yang paling ringan di antara pandangan-pandangan ulamak yang boleh diterima pakai.

Sesungguhnya, ini adalah sebahagian ujian kecil yang sedang kita lalui bersama, dan banyak lagi ujian besar yang kita akan hadapi.

Paling penting adalah, untuk kita melepasi ujian-ujian ini dan pada masa sama mencapai keredhaan Allah sebagai matlamat tertinggi kita.

HJ MOHAMAD BIN SABUPengerusi
Parti Amanah Negara3 September 2015

Mengapa PAS Tak Sesuai Berada di Pakatan Rakyat 2.0? - Hanipa Maidin



MENGAPA PAS TIDAK SESUAI BERADA DI PAKATAN RAKYAT 2.0

1. Saya dan rakan rakan dari Parti Amanah Negara sesungguhnya amat gembira dan terharu dengan sikap yang ditunjukkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim yang memberikan sokongan yang padu kepada wujudnya parti Islam baru atas nama Parti Amanah Negara sepertimana perutusan beliau dari penjara Sg Buluh bertarikh 1 hb September 2015.

2. Sudah tentu perutusan DSAI tersebut memberi suntikan baru kepada parti islam baru yang kami tubuhkan ini kerana semua tahu DSAI adalah satu figur dan nama besar dalam politik negara ini yang telah membawa satu reformasi politik yang menakjubkan kepada rakyat negara ini sekaligus berjaya mengubah lanskap politik negara ini.

3.Amat malang kerana politik balas dendam,kotor dan jijik Barisan Nasional rakyat dijauhkan secara fizikalnya dari DSAI bagi terus mengemudi kebangkitan rakyat menumbangkan BN. Namun jiwa, semangat dan ruh perjuangan beliau tidak mampu BN penjarakan dan ia terus menyalakan obor perjuangan bagi menentang kebobrokan dan salah guna kuasa BN.

4. Semasa kami berada dalam Pas dan semasa Pas masih berada dalam Pakatan Rakyat ,kami tidak pernah sangsi dan ragu dengan kepimpinan DSAI menerajui PR. Meskipun wujudnya elemen elemen tertentu dalam Pas dalam waktu waktu tertentu cuba menyemai keraguan terhadap kepimpinan beliau kami yakin keraguan itu tidak berasas sama sekali. Sejak Anwar diperlakukan secara kejam dan brutal oleh rejim BN saya sendiri telah menulis, berceramah, berforum ,berdemo dan melakukan banyak lagi perkara bagi mempertahankan DSAI. Saya pohon dari Allah dari sifat riya' namun sejarah boleh membuktikan di Parlimen banyak kali saya bersuara menentang kezaliman Umno/BN ke atas DSAI hingga saya dan kawan kawan digelar oleh parti sendiri sebagai Anwarinas dan pelbagai label lagi.

5. Saya dan kawan kawan juga sanggup dilabel ,difitnah dan dicerca oleh rakan rakan sejemaah atau parti sendiri kerana bersuara lantang mempertahankan Anwar, sahabat sahabat PKR dan Dap demi menjaga kelangsungan Pakatan Rakyat. Ianya berakhir dengan kami semua dinyahkan secara hina daripada saf kepimpinan Pas dalam Muktamar Pas yang lalu.

6.Pokoknya kami telah lakukan apa sahaja di dalam dan luar parti bagi mempertahankan PR. Namun gelombang dalam Pas yang mahukan elemen elemen dalan Pas yang pertahankan PR dinyahkan amat kuat dan malangnya disokong oleh mereka yang duduk di kepimpinan tertinggi Pas sendiri.

7. Apa yang boleh saya simpulkan bila kami mencetuskan Harapan Baru yang mencetuskan pula Parti Amanah Negara ianya dilakukan atas penuh kesedaran bahawa Pas, melalui pengalaman yang panjang dalam Pas, tidak benar benar menghayati tahaluf siyasi dengan Dap dan Pkr dalan wadah PR . Malahan Pas sebenarnya tidak begitu selesa kerana merasakan tidak dapat atau mampu mendominasi PR. Sedangkan bagi kami, isu pendominasian tidak seharusnya wujud dalam PR kerana "we are equal partners ( rakan kongsi yang setara )

8.Ini bermakna jika sekalipun Parti Amanah Rakyat tidak wujud dan andaikata PR masih wujud antara Pas, Pkr dan Dap, kewujudan PR itu bukan sahaja tidak akan memberi nilai tambah kepada PR dalam pilihanraya umum akan datang malahan saya berani katakan PR akan reput dengan gaya dan stail politik Pas dan kesannya rakyat bukan sahaja akan menghukum Pas ,malahan Dap dan PKR juga akan dihukum bersama.

9. Bertolak dari situ, kami percaya sekiranya PR baru atau Pakatan Rakyat 2.0 ingin diwujudkan semula , maka amat perlu parti parti yang membentuk komposisi PR tersebut menghayati prinsip prinsip dan pendirian pendirian bersama yang telah diputuskan secara konsensus. PR 2.0 mesti memfokuskan kehendak rakyat bukan kehendak parti parti yang menganggotai PR 2.0.Apa yang lebih penting segala keputusan yang diambil mestilah dibuat secara konsensus dan tiada mana mana parti yang cuba mendominasi PR tersebut.

10. DSAI atas kebesaran jiwanya dan sikap keterbukaanynya menyeru supaya permuafakatan politik yang baru hendaklah merangkumi PKR,DAP, Parti Amanah Negara dan PAS. Meskipun semua tahu bagaimana sikap Pas terhadap Anwar dan PKR seperti isu kerusi Dun Kota Damansara dan Dun Sg Acheh, isu pelantikan MB Selangor,isu kritikan Presiden Pas atas Datin Seri Wan Azizah , isu pemboikotan Pas piliihanraya kecil Permatang Pauh dan banyak lagi,Anwar masih mampu menunjukkan jiwa besarnya terhadap Pas. Malangnya Pas dalam program program tertutup masih terus menyalahkan DSAI khususnya dalam isu Kajang Move.

11. Apa pun, dengan penuh hormat kepada DSAI, saya dengan rendah diri memohon berbeza pendapat dengan beliau dalam soal keperluan melibatkan Pas dalam permuafakatan baru politik pembangkang.

12. Saya tidak yakin permuafakatan politik baru yang melibatkan PKR, DAP , PARTI AMANAH NEGARA dan PAS akan wujud. Saya tidak pernah berdendam atau benci dengan Pas , namun saya percaya kita harus realistik. Maka saya penuh yakin, mengambil kira realiti politik sekarang, keberadaan PAS dalam permuafakatan politik baru atau PR 2.0 bagi menggantikan PR tidak akan menguntungkan mana mana parti dalam PR 2.0 itu nanti. Bagi saya dengan sikap, gaya politik dan stail saf kepimpinan Pas yang ada sekarang saya tidak rasa Pas adalah aset kepada PR 2.0. Gaya dan stail politik Pas ,dengan penuh hormat, bukan gaya dan stail politik berkawan sebaliknya ia stail politik " lone ranger". Kenyataan ramai pimpinan Pas adalah jelas Pas tidak kisah menang atau kalah pilihanraya jadi bagaimanakah nak ditubuhkan satu pakatan politik yang ingin memenangi pilihanraya jika ada parti dalan komponen pakatan itu tidak kisah menang atau kalah pilihanraya ?

13. Saya juga tidak nampak bagaimanakah DAP boleh menerima keberadaan PAS dalam PR 2.0 setelah apa yang DAP rasai dalam PR dulu. Saya juga tidak nampak bagaimanakah pengundi pengundi bukan Islam boleh menyokong PR 2.0 jika Pas berada dalam PR 2.0 tersebut. Pendirian Pas dalam Bersih 4, pada hemat saya,menjadi suatu testimoni baru kepada rakyat bukan Islam untuk terus menolak Pas dan apakah jaminan mereka tidak akan menolak PR 2.0 jika Pas berada di dalamnya.

14 Ya ,benar PR 2.0 perlukan lonjakan beberapa peratus lagi undi melayu bagi mendapat kuasa di Putrajaya atas andaian status quo pengundi bukan Islam khususnya cina akan terus menyokong PR. Maka mungkin atas dasar itu ada yang melihat Pas perlu dilibatkan dalam PR 2.0' kerana tradisinya Pas disokong oleh orang melayu dan bertanding di banyak kerusi bermajoriti orang melayu.

15. Hakikatnya , Pas banyak menang di kerusi yang campuran kerusi melayu dan bukan melayu kecuali di Negeri Kelantan.Di kerusi yang majoriti orang melayu calon calon Pas masih sukar untuk menang. Justeru itu jika Pas dilibatkan dalam PR 2.0 dan turut bertanding di kerusi yang jumlah peratusan pengundi bukan melayunya agak substantif maka bukan sahaja di atas kertas ia akan kalah kerana sikap pengundi bukan melayu yang jelas ke atas Pas malahan yang lebih membimbangkan kerusi kerusi Dap dan PKR juga akan menerima kesan yang besar melalui hukuman yang pengundi bukan melayu kenakan kerana melibatkan Pas dalam PR 2.0

16. Saya menyimpulkan Pakatan Rakyat atau PR 2.0 hanya viable jika Pas tidak dilibatkan sebaliknya ianya hanya meliputi PKR, DAP dan Parti Amanah Rakyat sahaja. Biarlah Pas dengan politik solonya dan tidak diganggu untuk membawa agenda solonya secara solo .

17. Maaf DSAI dan sahabat sahabat PKR yang saya amat sayangi ,saya mohon berbeza pandangan .

MOHAMED HANIPA MAIDIN

PARTI AMANAH NEGARA

Kaitkan BERSIH 4 dengan Perkauman Bukti UMNO Berniat Jahat - Salahuddin Ayub



KAITKAN BERSIH 4 DENGAN PERKAUMAN BUKTI UMNO BERNIAT JAHAT

Saya terpanggil untuk memberi reaksi kepada kenyataan pemimpin Umno yang cuba mengaitkan himpunan Bersih 4 pada 29 hingga 30 Ogos lalu, dengan isu perkauman.

Saya dengan tegas menjelaskan bahawa tidak timbul langsung isu perkauman dalam Bersih 4 seperti yang cuba diapi-apikan oleh pemimpin Umno itu.


Saya sendiri tidak akan mengikuti himpunan bermula Bersih 1 hingga Bersih 4, jika dengan jelas atau berselindung ia bertujuan mahu menjatuhkan kerajaan dengan kekerasan, menghapuskan kuasa aja-raja Melayu atau mempertikai hak dalam Perlembagaan.

Tetapi, semua rakyat termasuk saya sendiri, turun menyertai Bersih atas kesedaran yang tinggi dan sebab yang jelas, iaitu menuntut pilihan raya yang adil dan ketidakadilan dalam urus tadbir kerajaan seperti rasuah dan salah guna kuasa.

Ingin saya tegaskan bahawa, rakyat yang turun ke himpunan Bersih tidak boleh dikaitkan dengan isu perkauman kerana yang turun itu terdiri daripada pelbagai kaum.

Adalah tidak benar sama sekali untuk mendakwa Bersih 4 cuba mencetuskan isu perkauman dengan melatarbelakangkannya dengan tragedi 13 Mei.

Bagi saya, tuduhan yang dibuat oleh pemimpin ini sangat jahat dan rasis.

Jika kita masih ingat, ketika himpunan Besih 1, ramai orang Melayu menyertainya, namun pemimpin Umno yang sama jugalah ketika itu menuduh bahawa Melayu yang turun ke himpunan itu adalah barua kepada orang Cina, kononnya Cina sibuk berniaga, orang Melayu pula hendak menjatuhkan negara.

Oleh yang demikian, saya daripada Parti Amanah Negara (Amanah) ingin menjelaskan sikap kita bahawa penyertaan dalam himpunan Bersih 4 adalah untuk bersama tuntutan rakyat dan tidak timbul langsung isu perkauman seperti yang cuba dimainkan.

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Pengerusi
Parti Amanah Negara (Amanah)
2 September 2015

BERSIH 4.0 : Tahniah Kepada Rakyat Malaysia - AMAN Perak



KENYATAAN MEDIA
ANAK MUDA AMANAH (AMAN)
PARTI AMANAH NEGARA NEGERI PERAK
1 SEPTEMBER 2015


BERSIH 4.0: TAHNIAH KEPADA RAKYAT MALAYSIA

Anak Muda Amanah (AMAN) Parti Amanah Negara mengucapkan sekalung tahniah kepada seluruh rakyat yang hadir menjayakan Himpunan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Himpunan ini ternyata mencapai sasarannya apabila dihadiri ratusan ribu rakyat daripada pelbagai kaum yang hadir daripada seluruh negara.

Walaupun ada yang mengatakan himpunan tersebut majoritinya dihadiri oleh kaum Tionghua, namun kehadiran orang Melayu dan India tidaklah mengecewakan.

Bagi kami, peserta yang hadir ke himpunan itu adalah dari kalangan rakyat Malaysia yang cakna kepada perkembangan semasa dan sayang kepada negara Malaysia tercinta.

Himpunan kali ini menampilkan kelainannya apabila berhimpun selama dua hari. Ada yang kekal di Dataran Merdeka hingga tamat himpunan dan tidak kurang yang hadir pada salah satu hari himpunan.

Secara keseluruhannya, Himpunan Bersih 4.0 berlangsung dengan penuh aman tanpa berlaku sebarang keganasan dan kekacauan.

Adapun berlakunya insiden yang tidak diingini, AMAN melahirkan rasa dukacita dan mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku.

Namun insiden-insiden yang tiada dalam tentatif serta matlamat himpunan itu tidak menggagalkan himpunan yang mempunyai objeltif yang lebih besar daripada itu.

AMAN tidak bersetuju dan mengutuk sekerasnya tindakan yang tidak bertamadun di dalam himpunan tersebut seperti memijak gambar pimpinan, lontaran mercun dan sebagainya.

Kami yakin semua pihak boleh berfikiran rasional untuk menghukum tindakan bersifat peribadi itu kerana ia bukanlah membawa hasrat dan perjuangan Bersih 4.0.

Himpunan secara beramai-ramai ini akan memberi tamparan hebat kepada kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila melihat kepada kesatuan rakyat yang tidak lagi membisu terhadap perkembangan negara.

AMAN mengharapkan momentum perubahan dan kesedaran ini tidak berhenti sebaliknya terus disemarakkan hingga tuntutan Bersih 4.0 dilaksanakan!

USTAZ HAJI MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Ketua
Anak Muda Amanah (AMAN)
Parti Amanah Negara Negeri Perak

Tahniah BERSIH 4. Tahniah Maria Chin. Wanita Amanah Bangga dengan Anda Semua.



TAHNIAH BERSIH 4. TAHNIAH MARIA CHIN. WANITA AMANAH BANGGA DENGAN ANDA SEMUA.




1. Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan besar penganjuran BERSIH 4, yang telah berlangsung selama 34 jam mulai 29 Ogos sehingga detik 12 malam sambutan kemerdekaan Malaysia kali ke-58 pada 31 Ogos yang baru berlalu.

2. Umum mengakui bahawa perhimpunan tersebut berlangsung dalam keadaan yang aman dan harmoni tanpa sebarang keganasan yang dilakukan oleh peserta-peserta himpunan, meskipun media proksi regim pada mulanya galak memainkan pelbagai propaganda bahawa BERSIH 4 akan dipenuhi dengan pelbagai insiden keganasan. Malahan propaganda perkauman juga diasak semahu-mahunya bahawa kononnya BERSIH 4 adalah didominasi oleh hanya satu kaum iaitu Tiong Hua. Fitnah ini terhakis sendirinya dengan kehadiran lebih ramai kaum Melayu menjelang hari kedua himpunan BERSIH 4. Ditambah pula dengan penguasaan aktivis-aktivis berketurunan Melayu yang mengisi program sepanjang acara berlangsung termasuklah Kugiran Anak Muda "BangsArts" yang berjaya menaikkan semangat para peserta dengan dendangan lagu-lagu perjuangan rakyat. Menakjubkan, lagu-lagu itu dilaungkan bersama dengan anak-anak semua bangsa dengan wajah penuh semangat!

3. Walaupun rakyat diugut dengan pelbagai cara oleh kerajaan, namun dunia menyaksikan ratusan ribu rakyat telah membanjiri Kuala Lumpur dengan warna kuning. Bahkan peristiwa bersejarah ini telah turut mendapat liputan media antarabangsa.

4. Justeru, Wanita Amanah Negara terpanggil mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan BERSIH 4 khususnya Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) BERSIH 2.0 yang dipengerusikan oleh seorang Wanita Besi, Puan Maria Chin.

5. Tidak syak lagi Maria Chin Abdullah adalah sosok yang bertungkus-lumus bagi memastikan perhimpunan ini berjalan lancar dan mesej kepada kerajaan dapat disampaikan dengan jayanya.

6. Sesungguhnya, bukanlah perkara yang mudah untuk menganjurkan perhimpunan raksaksa yang melibatkan ratusan ribu rakyat. Namun, pihak penganjur berjaya merealisasikannya dan sekaligus keupayaan wanita mengendalikan mobilisasi rakyat ke BERSIH 4 selayaknya diiktiraf.

7. Hal ini jelas menunjukkan keupayaan wanita dalam melibatkan diri dalam hal-hal melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

8. AWAN juga menyeru semua pihak agar dapat terus memberi kepercayaan kepada golongan wanita dalam menentukan halatuju negara kita.

9. Sesungguhnya, BERSIH 4 menjadi simbol kepada kesatuan rakyat berbilang bangsa yang ingin melihat Malaysia yang bersih daripada pemimpin serta kerajaan yang tidak amanah. Lebih manis, boleh disimpulkan bahawa yang hadir dalam BERSIH 4 itu adalah majoritinya kelompok anak-anak muda Malaysia yang BERJIWA MERDEKA.

Syabas dan Tahniah!

Amanah. Progresif. Peduli.

DR SITI MARIAH MAHMUD
Ketua Angkatan Wanita
Amanah Negara (AWAN)
1 September 2015

Pasca AMANAH: Selangor Perlu Wajahkan Pakatan Rakyat 2.0 - AMAN Selangor



Kenyataan Media

31 Ogos 2015

Pasca AMANAH: Selangor Perlu Wajahkan Pakatan Rakyat 2.0

Anak Muda Amanah Selangor (AMAN Selangor) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia yang turun berkampung di Kuala Lumpur selama 34 jam dalam Himpunan Bersih 4 tempoh hari.

Di kala tarikh keramat 31 Ogos ini disambut, para pemimpin Islamis, pemimpin-pemimpin NGO, anak-anak muda, wanita dan mahasiswa telah mengambil langkah tuntas menubuhkan sebuah parti batu yang diberi nama Parti Amanah Negara atau ringkasnya disebut 'AMANAH'.

Sesuai dengan penubuhan parti ini yang dilihat sebagai usaha meneruskan kelangsungan sistem dwi parti dalam politik negara, Selangor sebagai sebuah negeri yang dipimpin oleh koalisi Pakatan Rakyat yang telah berkubur, harus memulakan satu langkah politik berani dalam mengekalkan momentum perubahan yang diingini rakyat.

Koalisi baru melibatkan AMANAH, KEADILAN, DAP (malah mungkin juga melibatkan Parti Sosialis Malaysia, NGO-NGO dan gerakan sivil) perlu menjadi eksperimen baru dalam politik di Selangor. Walaupun diakui tidak mudah dan mungkin berdepan cabaran, hakikatnya rakyat memerlukan anjakan baru untuk menumbangkan Barisan Nasional.

Selagi pentadbir-pentadbir di Selangor masih selesa mengekalkan status quo tanpa apa-apa usaha baru dalam melonjak kepercayaan rakyat kepada kepimpinan negeri, usaha menumbangkan Barisan Nasional seakan-akan sudah boleh dilupakan. Malah lebih ngeri, Selangor bakal jatuh ke tangan Barisan Nasional dengan rizab negeri melebihi RM3 billion!

Justeru, satu langkah berani perlu diambil. Selangor memerlukan eksperimen politik baru dalam memperkukuh kepercayaan rakyat. Lebih penting, Selangor perlu memastikan khazanah rakyat yang sedemikian banyak tidak jatuh ke tangan kelompok manusia yang kini sedang merajalela di Putrajaya!

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN

Ketua

Anak Muda Amanah Selangor

(AMAN Selangor)

Recent Posts Widget

.

.