BERSIH 4.0 : Tahniah Kepada Rakyat Malaysia - AMAN Perak
KENYATAAN MEDIA
ANAK MUDA AMANAH (AMAN)
PARTI AMANAH NEGARA NEGERI PERAK
1 SEPTEMBER 2015
BERSIH 4.0: TAHNIAH KEPADA RAKYAT MALAYSIA
Anak Muda Amanah (AMAN) Parti Amanah Negara mengucapkan sekalung tahniah kepada seluruh rakyat yang hadir menjayakan Himpunan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos lalu.
Himpunan ini ternyata mencapai sasarannya apabila dihadiri ratusan ribu rakyat daripada pelbagai kaum yang hadir daripada seluruh negara.
Walaupun ada yang mengatakan himpunan tersebut majoritinya dihadiri oleh kaum Tionghua, namun kehadiran orang Melayu dan India tidaklah mengecewakan.
Bagi kami, peserta yang hadir ke himpunan itu adalah dari kalangan rakyat Malaysia yang cakna kepada perkembangan semasa dan sayang kepada negara Malaysia tercinta.
Himpunan kali ini menampilkan kelainannya apabila berhimpun selama dua hari. Ada yang kekal di Dataran Merdeka hingga tamat himpunan dan tidak kurang yang hadir pada salah satu hari himpunan.
Secara keseluruhannya, Himpunan Bersih 4.0 berlangsung dengan penuh aman tanpa berlaku sebarang keganasan dan kekacauan.
Adapun berlakunya insiden yang tidak diingini, AMAN melahirkan rasa dukacita dan mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku.
Namun insiden-insiden yang tiada dalam tentatif serta matlamat himpunan itu tidak menggagalkan himpunan yang mempunyai objeltif yang lebih besar daripada itu.
AMAN tidak bersetuju dan mengutuk sekerasnya tindakan yang tidak bertamadun di dalam himpunan tersebut seperti memijak gambar pimpinan, lontaran mercun dan sebagainya.
Kami yakin semua pihak boleh berfikiran rasional untuk menghukum tindakan bersifat peribadi itu kerana ia bukanlah membawa hasrat dan perjuangan Bersih 4.0.
Himpunan secara beramai-ramai ini akan memberi tamparan hebat kepada kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila melihat kepada kesatuan rakyat yang tidak lagi membisu terhadap perkembangan negara.
AMAN mengharapkan momentum perubahan dan kesedaran ini tidak berhenti sebaliknya terus disemarakkan hingga tuntutan Bersih 4.0 dilaksanakan!
USTAZ HAJI MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Ketua
Anak Muda Amanah (AMAN)
Parti Amanah Negara Negeri Perak
Sila kongsi artikel ini...