Tahniah BERSIH 4. Tahniah Maria Chin. Wanita Amanah Bangga dengan Anda Semua.

8:49 PM 0 Comments A+ a-



TAHNIAH BERSIH 4. TAHNIAH MARIA CHIN. WANITA AMANAH BANGGA DENGAN ANDA SEMUA.




1. Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan besar penganjuran BERSIH 4, yang telah berlangsung selama 34 jam mulai 29 Ogos sehingga detik 12 malam sambutan kemerdekaan Malaysia kali ke-58 pada 31 Ogos yang baru berlalu.

2. Umum mengakui bahawa perhimpunan tersebut berlangsung dalam keadaan yang aman dan harmoni tanpa sebarang keganasan yang dilakukan oleh peserta-peserta himpunan, meskipun media proksi regim pada mulanya galak memainkan pelbagai propaganda bahawa BERSIH 4 akan dipenuhi dengan pelbagai insiden keganasan. Malahan propaganda perkauman juga diasak semahu-mahunya bahawa kononnya BERSIH 4 adalah didominasi oleh hanya satu kaum iaitu Tiong Hua. Fitnah ini terhakis sendirinya dengan kehadiran lebih ramai kaum Melayu menjelang hari kedua himpunan BERSIH 4. Ditambah pula dengan penguasaan aktivis-aktivis berketurunan Melayu yang mengisi program sepanjang acara berlangsung termasuklah Kugiran Anak Muda "BangsArts" yang berjaya menaikkan semangat para peserta dengan dendangan lagu-lagu perjuangan rakyat. Menakjubkan, lagu-lagu itu dilaungkan bersama dengan anak-anak semua bangsa dengan wajah penuh semangat!

3. Walaupun rakyat diugut dengan pelbagai cara oleh kerajaan, namun dunia menyaksikan ratusan ribu rakyat telah membanjiri Kuala Lumpur dengan warna kuning. Bahkan peristiwa bersejarah ini telah turut mendapat liputan media antarabangsa.

4. Justeru, Wanita Amanah Negara terpanggil mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan BERSIH 4 khususnya Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) BERSIH 2.0 yang dipengerusikan oleh seorang Wanita Besi, Puan Maria Chin.

5. Tidak syak lagi Maria Chin Abdullah adalah sosok yang bertungkus-lumus bagi memastikan perhimpunan ini berjalan lancar dan mesej kepada kerajaan dapat disampaikan dengan jayanya.

6. Sesungguhnya, bukanlah perkara yang mudah untuk menganjurkan perhimpunan raksaksa yang melibatkan ratusan ribu rakyat. Namun, pihak penganjur berjaya merealisasikannya dan sekaligus keupayaan wanita mengendalikan mobilisasi rakyat ke BERSIH 4 selayaknya diiktiraf.

7. Hal ini jelas menunjukkan keupayaan wanita dalam melibatkan diri dalam hal-hal melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

8. AWAN juga menyeru semua pihak agar dapat terus memberi kepercayaan kepada golongan wanita dalam menentukan halatuju negara kita.

9. Sesungguhnya, BERSIH 4 menjadi simbol kepada kesatuan rakyat berbilang bangsa yang ingin melihat Malaysia yang bersih daripada pemimpin serta kerajaan yang tidak amanah. Lebih manis, boleh disimpulkan bahawa yang hadir dalam BERSIH 4 itu adalah majoritinya kelompok anak-anak muda Malaysia yang BERJIWA MERDEKA.

Syabas dan Tahniah!

Amanah. Progresif. Peduli.

DR SITI MARIAH MAHMUD
Ketua Angkatan Wanita
Amanah Negara (AWAN)
1 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.