AMAN Siap Berjuang Dan Realisasi Impian Perubahan
Kenyataan Media
31 Ogos 2015
AMAN Siap Berjuang Dan Realisasi Impian Perubahan
Sayap muda Parti Amanah Negara (AMANAH), Anak Muda Amanah atau ringkasnya disebut 'AMAN' telah bersedia untuk menggalas hasrat besar seluruh anak muda negara untuk berjuang dan keluar daripada kemelut ekonomi, politik dan sosial yang semakin membarah.
Melihat kepada sokongan dan dokongan yang diberikan rakyat dalam Bersih 4 yang lalu, AMAN berpendirian bahawa perubahan perlu didesak secepat mungkin kerana rakyat tidak mampu lagi untuk terus menunggu lebih lama.
Setiap detik yang dibazirkan hanya memendekkan lagi hayat negara yang kita cintai. Pemimpin yang telah terbukti gagal, samada dari sudut kepimpinan mahupun integritinya tidak wajar lagi memimpin negara. Frasa 'turun Najib' seakan-akan sudah berdenyut lama di laman-laman sosial dan kedai-kedai kopi.
Maka dengan penuh takzim dan rendah diri, AMAN menyatakan komitmen untuk merealisasikan impian perubahan yang didambakan seluruh rakyat. Ya, risiko mungkin wujud dan kami siap 'membayar' betapa mahal pun harga perubahan ini. Negara sudah tidak boleh tunggu dan rakyat telah jelek untuk terus 'memikul bangkai biawak' bernama pemimpin!
'Selamatkan Malaysia'
SANY HAMZAN
Ketua
Anak Muda Amanah (AMAN)
Parti Amanah Negara
Sila kongsi artikel ini...