Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

Penguam Negara Yang Keliru Dan Mengelirukan - Mahfuz Omar



Kenyataan Media.

PENGUAM NEGARA YANG KELIRU DAN MENGELIRUKAN.

1. Kenyataan Peguam Negara yang berkaitan penahanan dan pendakwaan terhadap Datuk Seri Khairudin Abu Hasan dan Matthias Chang konon untuk mengelak kekeliruan, sebenarnya dengan sendiribya mendedahkan kekeliruan beliau terhadap SOSMA dan Kanun Keseksaan. Lebih menjadi masalah bilamana beliau cuba pula untuk mengelirukan rakyat atas kekeliruan beliau tersebut.


2. Peguam Negara dalam kenyataannya berkata Khairuddin dan Matthias Chang tidak didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tetapi mereka berdua didakwa di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan.

3. Saya hairan bagaimana Peguam Negara tidak menyedari bahawa Seksyen 124L tu adalah Kesalahan Keselamatan yang tertakluk di bawah SOSMA. Betul mereka tidak didakwa di bawah SOSMA tetapi kesalahan yang didakwa itu adalah kesalahan yang berkaitan dengan SOSMA.

4. SOSMA adalah akta prosedur bagaimana untuk menyiasat dan mendakwa apa apa kesalahan yang melibatkan kesalahan keselamatan.
Mengikut Seksyen 3 SOSMA, "kesalahan keselamatan" ertinya kesalahan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.

Jadual Pertama SOSMA menyatakan bahawa kesalahan keselamatan ialah kesalahan yang terkandung di dalam Bahagian VI dan Bahagian VIA Kanun Keseksaan.

Bahagian VI Kanun Keseksaan bermula dari Seksyen 121 sehingga Seksyen 130A. Seksyen 124L yang dituduh terhadap Khairuddin dan Matthias Chang berada di Bahagian VI Kanun Keseksaan justeru ianya tertakluk kepada SOSMA.

5. SOSMA ialah suatu Akta berkaitan prosedur bagaimana hendak menangkap, menyiasat dan membicarakan kesalahan orang-orang yang disyaki melakukan kesalahan kegiatan keganasan. SOSMA bukan Akta Kesalahan. Ianya Akta Prosedur. Kesalahan melibatkan SOSMA diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan di Bahagian VI dan VIA.

6. Justeru, saya minta Peguam Negara mohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kekeliruan beliau dan percubaan bodoh beliau untuk mengelirukan rakyat Malaysia atas isu ini. Saya juga meminta Peguam Negara membetulkan kembali kenyataan beliau dan membuat perakuan yang Khairudin dan Matthias Chang didakwa di bawah Kanun Keseksaan yang membabitkan kesalahan di bawah SOSMA atas tuduhan kononnya cuba sabotaj Perbankan Malaysia dan Sistem Kewangan Negara, dan memperakui yang Kerajaan telah menyalah guna kuasa di bawah SOSMA bagi melindungi PM Najib. Buat Tan Seri Peguam Negara cukup lah Malaysia ada seorang sahaja Dato' Ahmad Maslan.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
14 Okt 2015/1 Muharram 1437H

PAS Selangor Tolak Kerjasama Dengan Perkasa.



KENYATAAN AKHBAR

PAS SELANGOR TOLAK KERJASAMA DENGAN PERKASA.

PAS Selangor telah menerima penjelasan daripada PAS Pusat bahawa PAS Pusat hanya menerima kunjung hormat daripada Perkasa.


Mereka telah membincangkan 3 perkara iaitu 1MDB, SOSMA dan TPPA. Tidak ada persetujuan untuk mewujudkan sebarang kerjasama seperti yang dilaporkan oleh media.

Sehubungan itu, ingin ditegaskan di sini bahawa PAS Selangor tidak bersetuju dengan sebarang bentuk kerjasama dengan Perkasa.

Walaupun PAS Selangor bersedia mewujudkan kerjasama untuk menentang Barisan Nasional dengan mereka yang menghormati prinsip-prinsip dan dasar perjuangan PAS tetapi kami menolak sama sekali mana-mana pihak yang membawa sentimen perkauman.

Seluruh tenaga rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan sosial perlu digembelingkan untuk berhadapan dengan penyelewengan dan salahguna kuasa Barisan Nasional.

YB Dato' Iskandar A. Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
13 Oktober 2015

Kenaikan Tol Lebuhraya Bandar Menyesakkan Golongan Pekerja - Mahfuz Omar



Kenyataan Media.

KENAIKAN TOL LEBUHRAYA BANDAR MENYESAKKAN GOLONGAN PEKERJA.

1. Kenaikan tol lebuhraya bandar yang akan bermula Khamis ini, 15 Oktober 2015 sangat tidak wajar ketika rakyat sedang menanggung beban sara hidup yang begitu tinggi. Kenaikan antara 17%-80% ini menyesakkan kehidupan kaum pekerja selepas mereka menghadapi sesak nafas akibat jerebu.

2. Kerajaan seperti tidak langsung mengambil kira masalah kehidupan rakyat bandar khususnya golongan pekerja yang sedang bergelut dengan kenaikan harga minyak, barangan, perumahan, kenderaan, GST dan lain-lain kos kehidupan yang ditanggung oleh rakyat. Kalau Kerajaan ambil kira sudah tentu Kerajaan tidak menaikan tol. Sudah tahu rakyat sedang memikul beban di bahu, Kerajaan sepatutnya membantu membuang sebahagian beban berat yang ditanggung itu, bukannya menambahkan lagi beban berat ke atas bahu rakyat.

3. Tindakan Kerajaan tidak ubah seperti penzalim yang menyeksa orang yang dizalimi tanpa ada rasa belas kesihan dan peri kemanusiaan.

4. Persoalannya, ke mana perginya janji Kerajaan yang berikrar menjelang PRU13 lepas untuk mengurangkan tol antara bandar? Ke mana hilangnya janji Kerajaan yang hendak runding semula perjanjian dengan syarikat konsesi tol? Kenapa dibiarkan perjanjian yang bersifat pro syarikat dan tidak pro pengguna? Apakah jika tidak dinaikkan tol dan tidak dibayar pampasan, syarikat konsesi akan bankrap?

5. Kerajaan memberi alasan adalah lebih baik wang pampasan diguna untuk pembangunan yang lain untuk membina hospital dan sekolah. PM menyatakan dengan GST Kerajaan boleh membina hospital, sekolah dan jalanraya. Kini Menteri Kerjaraya pula berkata dengan kenaikan tol, Kerajaan boleh bina hospital dan sekolah. Jadi Kerajaan hanya mampu bina sekolah dan hospital dengan menaikan tol dan kenakan cukai GST ke atas rakyat. Kerajaan begitu lemah dalam mencari sumber pendapatan bagi membangunkan negara tanpa membebankan rakyat.

6. Berhentilah membohongi dan menindas rakyat.Sebaliknya belanjawan negara perlu dibentangkan dengan kenaikan gaji kakitangan awam beserta peruntukan khas bayaran elaun tol bagi kakitangan awam di Lembah Klang bagi meringankan beban golongan pekerja yang terkepong pegerakan mereka dengan tol.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
13 Okt 2015/29 Zulhijjah 1436H


Isu TPPA : Awas ! Jika Kerajaan Khianati Rakyat. - Nasruddin Hassan



Kenyataan Media Penerangan. 38

Isu TPPA : Awas ! Jika Kerajaan Khianati Rakyat.

Oleh: Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tarikh : 29 Zulhijjah 1436 / 12 Oktober 2015

1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah membuat kenyataan lebih awal dengan menyatakan kebimbangan kemungkinan Kerajaan Malaysia telah mengadakan pra perjanjian dengan negara-negara anggota TPPA sebelum substantif perjanjian tersebut dikemukakan kepada rakyat pada bulan hadapan.

2. Kenyataan akhbar PAS yang bertajuk “Isu TPPA : Adakah Mungkin Wujud Pra Perjanjian Bulan Ini?” bertarikh 11 Syawal 1436 / 27 Julai 2015. PAS menegaskan bahawa proses pendebatan di Parlimen berhubung TPPA tidak patut dijadikan rubber stamp semata-mata sedangkan pra perjanjian telah disepakati lebih awal.

3. PAS merujuk kepada laporan portal akhbar Utusan Malaysia, ruangan rencana bertarikh 11 Oktober 2015 yang bertajuk, “Timbang Buruk Baik TPPA”. Berdasarkan mukaddimah transkrip temubual tersebut, portal tersebut telah melaporkan bahawa Malaysia tidak memerlukan kelulusan Parlimen sebelum tandatangan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

4. Ini bermakna kuasa tandatangan hanya tertakluk kepada kuasa eksekutif iaitu Perdana Menteri sahaja. Maka, kerajaan perlu memberikan jaminan adakah kerajaan bersedia untuk menolak dan keluar daripada keanggotaan TPPA sekiranya majoriti rakyat menolak perjanjian ini. Malangnya, sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang dokumen rasmi dan laporan cost benefit analysis dikeluarkan.

5. PAS memberi amaran supaya kerajaan tidak mengkhianati rakyat. PAS bersedia untuk bersama memimpin kebangkitan rakyat besar-besaran bersama pelbagai pihak yang berkepentingan jika kerajaan terus menandatangani perjanjian kontroversi ini.

Sekian.

Peratusan Kenaikan Tol yang Melampau - Tuan Ibrahim Tuan Man



Peratusan kenaikan tol yang terlampau

Semalam, kerajaan dengan bangganya mengumumkan kenaikan harga tol di tahun rakyat masih dengan bergelut menyesuaikan hidup akibat inflasi yang dicetuskan oleh GST, kejatuhan nilai Ringgit dan penarikan subsidi.

Peratusan kenaikan tol kali ini agak melampau – di mana ada lebuhraya yang menyaksikan kenaikan setinggi 80% seperti SILK, 67% seperti Akleh, 54% seperti Besraya, 50% LKSA dan Smart, manakala 10 lebuhraya lain menyaksikan kenaikan antara 17% ke 44%.


Terhadap rakyat, kerajaan berani melaksanakan GST, memansuhkan subsidi dan memekakkan telinga terhadap kos sara hidup yang semakin naik. Mengapa kerajaan tidak menggunakan keberanian yang sama untuk menyemak kembali semua perjanjian konsesi serta cadangan kenaikan tarif tol sedangkan keuntungan syarikat konsesi tol terus melipatganda?

Kini, dengan kebanyakan lebuhraya menjadi lebuhraya menggunakan sistem kutipan tol berelektronik, beban rakyat meningkat kerana terpaksa menanggung kos kad TouchNGo dan juga SmartTag.

Dengan kenaikan kadar tol, apa pula faedah yang diberikan kembali kepada rakyat sebagai pelanggan lebuhraya? Tidak. Malah beban bertambah kepada pengguna lebuhraya kerana TouchNGo adalah jenis perniagaan pembayaran awal ‘advance payment’. Bayangkan ratusan ribu diperolehi melalui pembayaran awal ini namun pelanggan tidak memperolehi sebarang manfaat dari sistem tersebut.

Oleh itu, PAS mencadangkan syarikat konsesi tol memberi rebat kepada pelanggan yang terpaksa buat pembayaran awal (advance payment ) melalui sistem pembayaran SmartTag dan TouchNGo.

Sebenarnya syarikat konsesi tol dan kerajaan tiada sebarang alasan ekonomi yang kukuh untuk menaikkan kadar tol. Apakah ada syarikat konsesi tol yang sedang mengalami kerugian meskipun perniagaan ini mempunyai risiko kerugian menghampiri sifar? Tidak.

Kenaikan kadar tol hanya semata-mata mengikut nafsu tamak yang dimeterai di dalam perjanjian konsesi tol yang tempang. Yang lebih menyedihkan ialah fakta bahawa sebenarnya kerajaan sendiri mempunyai banyak saham pegangan di dalam syarikat konsesi ini. Dengan ‘advantage’ sebegini, kerajaan masih memilih untuk tidak memihak kepada rakyat.

Inilah hasil kerajaan BN yang sering mengingatkan rakyat sentiasa didahulukan, terutamanya apabila melihat keputusan mengambil duit daripada rakyat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
13 Oktober 2015

---------------------------



Kenaikan Kadar Tol : Malaysia Darul Jibayah - Syarhan Humaizi Halim



Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Selangor

Kenaikan Kadar Tol :
Malaysia Darul Jibayah


1. Apa malang nasib rakyat Malaysia berada dibawah kerajaan UMNO yang zalim. Di saat semua masyarakat merasa terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, kerajaan mengambil keputusan untuk menaikkan kadar tol berkuatkuasa Khamis ini 15 Oktober 2015.

2. Lebuhraya yang terlibat adalah lebuhraya utama yang menjadi kegunaan harian masyarakat di Lembah Klang. Kenaikan kadar tol antara 20 sen dan RM3 melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Sungai Besi dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

3. Disamping kenaikan kadar tol yang terkini, rakyat Malaysia silih berganti terbeban dengan kenaikan cukai-cukai yang melampau seakan Malaysia tiada sumber pendapatan melainkan cukai. Sedangkan Negara kita memiliki hasil bumi yang banyak sepatutnya menjadi pendapatan yang mampu menampung segala kos tersebut. Amaran Allah di dalam Al-Quran sepatutnya menjadi kegerunan pada pihak kerajaan.

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

"Ketetapan yang demikian supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksanya bagi orang yang melanggari perintahnya".

4. Darul Jibayah adalah jawapan yang tepat kepada tindakan serta keputusan kerajaan Malaysia berhubung kenaikan kadar tol tersebut. Darul Jibayah atau Negara "pemeras cukai" adalah nama dan slogan yang paling tepat bagi menggantikan segala slogan yang dibawa oleh pihak kerajaan ketika ini. Kenaikan kadar tol disaat ini adalah bentuk "pemeras cukai" yang amat zalim. Walaupun sepatutnya semakan perlu dibuat terhadap konsesi yang sudah mengenakan kadar tol bagi menampung pembinaan lebuhraya supaya rakyat tidak terus menjadi mangsa.

5. Dewan Pemuda PAS Selangor melihat keadaan ini sebagai satu musibah besar melanda rakyat Malaysia. Rakyat perlu bangkit bersama memberi desakan kepada kerajaan supaya tidak sewenang-wenangnya menzalimi rakyat dengan kenaikan semua yang melibatkan keperluan harian rakyat. Pemuda PAS Selangor akan menggerakkan rakyat agar berhimpun serta membantah keputusan kenaikan kadar tol ini agar kerajaan membatalkan keputusan tersebut.

Syarhan Humaizi Halim
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
12 Oktober 2015

Kesunyian PM yang memekakkan - Tuan Ibrahim Tuan Man



Kesunyian PM yang memekakkan

Selepas pemecatan mengejutkan terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz telah diserang blog-blog misteri.

Apakah keberanian Bank Negara Malaysia untuk bertindak membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) terhadap pelaburan di luar negeri bernilai US$1.83 bilion (RM7.52 bilion) sejurus Pejabat Peguam Negara mendapati pegawai-pegawai 1MDB yang disiasat di bawah ECA tidak membuat sebarang kenyataan palsu akan memghidupkan kembali serangan terhadap Tan Sri Zeti?


Tanda-tanda serangan terhadap Tan Sri Zeti sudah kelihatan seperti yang disiarkan laman pro-Umno MyKMU.net – terutamanya tajuk sebuah artikel berbunyi “Perilaku Gabenor Bank Negara Berbahaya Kepada Ekonomi Negara”.

Namun, serangan terhadap Tan Sri Zeti tidak setajam blog-blog misteri sebelum ini. Ini barangkali hasil daripada teguran Majlis Raja-Raja terhadap 1MDB yang menuntut agar masalah 1MDB diselesaikan secepat mungkin. PAS tidak menolak bahawa kemungkinan Tan Sri Zeti sudah diserang habis-habisan sekiranya tiada saranan Majlis Raja-Raja yang menggesa isu 1MDB diselesaikan secepat mungkin.

Selain memerhati gerak-geri serangan yang bakal dihadapi Tan Sri Zeti, kesunyian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap tindakan Bank Negara Malaysia dan saranan Majlis Raja-Raja terus mencetuskan tanda tanya dan memperkuatkan persepsi terhadap sikap tidak bertanggungjawab PM terhadap 1MDB.

Sebagai penghormatan, sepatutnya PM boleh membalas kepada Majlis Raja-Raja bahawa beliau sudah berjanji depan Umno dan rakyat pada 14 Jun 2015 bahawa masalah 1MDB akan selesai dalam 6 bulan. Dan jika dikira dari hari beliau berjanji, masalah 1MDB akan selesai dalam dua bulan lagi. PM juga boleh berjanji beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Bank Negara Malaysia dan memberi kuasa sepenuhnya kepada Pejabat Peguam Negara melakukan dakwaan mengikut saranan agensi siasatan yang terlibat dalam menyiasat 1MDB.

Dan sekiranya masalah 1MDB masih juga tidak selesai dalam masa dua bulan akan datang, PM boleh berjanji untuk melepaskan jawatan Menteri Kewangan atau Penasihat 1MDB umpamanya.

Itu sikap bertanggungjawab yang sepatutnya dilakukan PM dan bukan dengan terus bersunyi.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
12 Oktober 2015

Recent Posts Widget

.

.