Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

Kerajaan Kepung Rakyat Dari Bergerak - YB Dr Izani Husin



Kerajaan Kepung Rakyat Dari Bergerak.

CETAK E-MEL Butiran Diterbitkan: 05 Disember 2015 Ditulis oleh YB Dr Izani Husin
1. Harga petrol yang tinggi dan keadaan jem luar biasa sungguh merimaskan rakyat dari segi masa dan kos petrol dan tol.


2. Bulan Mei 2015 kerajaan membenarkan kenaikan tambang bas sehingga 22% dan kenaikan tambang teksi sehingga 49%. Alternatif pengangkutan didera lagi oleh kerajaan BN.

3. 15 Oktober 2015 kerajaan membenarkan 18 syarikat konsesi lebuhraya mengenakan kenaikan kadar tol di laluan Lembah Klang,KL-Karak dan lingkaran luar Butterworth. Kadar kenaikan tol sehingga 80% sungguh membebankan rakyat.

4. Dijangka mulai tahun 2016 kerajaan membenarkan kenaikan tol antara bandar ( tol PLUS ). Kerajaan BN sungguh tiada rasa empathy terhadap kesusahan dan keperitan rakyat terutama golongan B40.

5. Untuk mengelak jem, harga tol yang tinggi, harga petrol yang tinggi,tambang bas dan teksi yang tinggi dan juga caj parking sehingga RM 46 sehari di KLIA. Rakyat memilih pengankutan LRT,ERL, Komuter dan monorel sebagai alternatif.

6. Tetapi kerajaan BN yang tiada hati perut terus mengepung rakyat dengan menaikkan kadar tambang LRT sehingga 102% pada 2 Disember 2015 lepas. Menaikkan tambang ERL sehingga 55% berkuatkuasa 1 Januari 2016.

7. Pendapatan RM5000 sebulan masih merana di bandaraya KL. Bagaimanalah nasib mereka yang bergaji minimum RM1200

8. Untuk pemimpin UMNO BN hayatilah sedikit kesusahan rakyat yang terkepung dan perit dalam negara sendiri.

9. Untuk rakyat, jangan melupai kezaliman kerajaan BN. Hukum mereka di PRU14.

YB Dr Izani Husin
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa
TYDP Pas Kawasan Pengkalan Chepa.

Rm 2.6 Billion - Penjelasan Yang Tiasa Penjelasan - Mahfuz Omar



Kenyataan Media.

ISU RM2.6 BILION -
PENJELASAN YANG TIADA PENJELASAN.


1. Penjelasan yang dibuat oleh TPM atas isu RM2.6 bilion di Parlimen sebenarnya tidak menjelaskan apa-apa yang boleh membantu merungkaikan segala kekalutan, kekusutan dan keraguan rakyat Malaysia terhadap PM Najib dalam isu penerimaan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau. Penjelasan ringkas Zahid yang tiada penjelasan betulkah RM2.6 bilion itu derma dan siapakah penderma.

2. Penjelasan yang tanpa menjelaskan itu sebenarnya terus meninggalkan persoalan demi persoalan yang cenderung mengesyaki bahawa PM Najib melakukan kesalahan rasuah dan salahgunakuasa menerima suapan daripada pihak yang menjadi rahsia.

3. Apakah TPM sengaja memberikan penjelasan yang bertujuan untuk Najib terus dipersoalkan rakyat? Apakah ini juga sebagai signal untuk perwakilan Umno pada PAU minggu depan jangan menjadi tunggul sebaliknya menekan Najib untuk berundur daripada jawatan Presiden Umno dan PM? Semua ini terus menjadi tanda tanya di sebalik rahsia besar Skandal RM2.6 bilion.

4. Apa pun terima kasih kepada TPM Dato'Zahid di atas penjelasan isu RM2.6 bilion yang terus menambah persoalan tanpa penyelesaian.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
4 Dis 2015/22 Safar 1437H

Tan Sri Muhyiddin Nak jadi mangsa atau PM? - Tuan Ibrahim Tuan Man



Tan Sri Muhyiddin – Nak jadi mangsa atau PM?

Kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk hadir di parlimen dan menjawab dana RM2.6 bilion di dalam akaun beliau telah membuka ruang luas kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Presiden Umno dan seterusnya Perdana Menteri seterusnya.

Bola kini di kaki TS Muhyiddin – apakah beliau mahu terus menjadi mangsa atau bangkit menjadi PM?


Jika TS Muhyiddin memilih untuk bangkit, maka beliau harus berhenti bermain isu yang memperlihatkan beliau sebagai mangsa. Beliau perlu menumpukan perhatian kepada pengumuman langkah-langkah yang bakal beliau ambil jika beliau ialah PM di saat rakyat kian tersepit dengan pelbagai pengumuman kenaikan harga secara mendadak yang turut dirasai ahli-ahli Umno biasa.

Antaranya TS Muhyiddin boleh berjanji:

1. Mengurangkan kadar kenaikan KTM, yang baru dinaikkan sebanyak 58% pada 2 Disember 2015.

2. Mengurangkan kadar kenaikan LRT, yang baru dinaikkan 102% pada 2 Disember 2015.

3. Mengurangkan kadar kenaikan ERL, yang bakal dinaikkan dari RM35 ke RM55 pada 1 Jan 2016.

4. Menghalang kenaikan tol PLUS pada tahun depan dan berjanji menyemak semula segala perjanjian konsesi lebuhraya

5. Menghidupkan semula subsidi elektrik, minyak masak dan beras ST15.

6. Membongkar misteri penderma dan asal-usul RM2.6 bilion

7. Mendedahkan hasil siasatan ke atas 1MDB

8. Mengurangkan pembelanjaan Jabatan Perdana Menteri dan memulangkan bajet pendidikan setara dengan peruntukan di 2015

9. Tidak akan memegang jawatan Menteri Kewangan

10. Tidak sesekali membalas dendam kepada sesiapa yang mengkhianatinya sehingga beliau hilang jawatan Timbalan Perdana Menteri

11. Berjanji tidak akan membenarkan isteri beliau mencampuri urusan negara mahupun Umno

12. Memecat semua penasihat-penasihat kontrak bergaji tinggi di Jabatan Perdana Menteri

13. Mengurangkan saiz kabinet

TS Muhyiddin sedar kegagalan untuk memecatnya dari Umno menunjukkan beliau masih mempunyai sokongan yang kuat di kalangan pemimpin dan ahli Umno. Beliau masih boleh bersuara di dunia digital hari ini meskipun digam. Beliau masih boleh memberikan amanat melalui rakaman video.

Dengan rakyat termasuk sebahagian besar ahli Umno yang kini terkesan dengan kenaikan kos sara hidup, tidak mustahil untuk TS Muhyiddin mendapat mandat yang besar dan diberi kepercayaan menerajui Umno selepas ini. Bola kini di kaki TS Muhyiddin.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
3 Disember 2015

Kerajaan BN Pro Perompak Jalanan. SPAD = Suruhanjaya Penghisap Darah - Mahfuz Omar



Kenyataan Media.

KERAJAAN BN PRO PEROMPAK JALANAN.
SPAD = SURUHANJAYA PENGHISAP DARAH.


1. Pengumuman kenaikan kadar tambang ERL untuk perjalanan satu hala dari KL Sentral ke KLIA dan KLIA2 daripada harga RM35.00 kepada RM55.00. Kenaikan sebanyak RM20.00 adalah suatu yang sangat membebankan pengguna. Kenaikan ini juga membabitkan perjalanan KL Sentral ke Putrajaya dan Cyberjaya.

2. Kenaikan ini sudah pasti akan membebankan pengguna kerana harga tambang ERL akan jadi lebih mahal daripada harga tambang murah untuk perjalanan dengan kapal terbang dari KLIA atau KLIA2 ke mana-mana destinasi. Kenaikan tambang ERL sudah pasti akan melipatgandakan keuntungan syarikat dengan peningkatan penumpang 40% sejak pengoperasian ERL 2002 dan selepas syarikat ERL Sdn. Bhd milik YTL Corporation juga menerima RM5.00 daripada cukai lapangan terbang untuk setiap penumpang penerbangan antarabangsa, melalui satu perjanjian selama 30 tahun.

3. Kenaikan ini berturutan sepanjang tahun 2015 walaupun kenaikan tambang ERL akan bermula 1 Januari 2016 tetapi keputusan kenaikan dibuat dalam tahun 2015. Sepanjang tahun 2015 berlaku kenaikan tambang teksi, bas ekspres, monorel, komuter dan LRT yang menjadikan pengguna di sekitar Lembah Kelang khususnya tiada pilihan lain untuk menggunakan perkhidmatan yang tidak membebankan. Untuk memilih mengguna perjalanan dengan kenderaan sendiri, para pengguna dikepung pula dengan tol dan kenaikan kadar tol baru-baru ini.

4. Kenaikan ini menjadikan SPAD sebagai Suruhanjaya Penghisap Darah dan bukannya suruhanjaya untuk menjayakan sistem pengangkutan yang yang selesa serta tidak membebankan rakyat.

5. Kenaikan ini juga menunjukkan Kerajaan membohongi rakyat bila menarik dan menghapuskan segala macam subsidi atas alasan kononnya untuk menyediakan sistem pengangkutan terbaik dan tidak membebankan rakyat. Kenaikan ini menjadikan Kerajaan BN pro perompak berlesen yang merompak di sepanjang perjalanan rakyat.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.

DATO' HJ MAHFUZ BIN HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
2 Dis 2015/20 Safar 1437H

1MDB-CGN, urusniaga rugi ke untung? - Tuan Ibrahim Tuan Man



1MDB-CGN, urusniaga rugi ke untung?

Kerajaan dan media kerajaan dilihat giat membuat kenyataan dan laporan menggambarkan tindakan 1MDB menjual Edra Global Ener­gy Berhad (Edra) kepada syarikat asing, China General Nuclear Power Corporation (CGN Group) sebagai satu kejayaan.

Apakah ini satu kejayaan? Bagaimana kejayaan ini diukur?


Apakah 1MDB untung daripada transaksi ini? Mengikut maklumat yang diberikan 1MDB kepada awam pada 3 Jun 2015, 1MDB telah melabur hampir RM12 bilion untuk membeli aset-aset penjana kuasa (RM8.5 bilion Powertek, RM2.3 bilion untuk KLPP, RM1.2 bilion untuk Jimah), dan ini tidak ditambah lagi dengan RM6 bilion hutang lapuk. Dan penjualan kepada CGN pada RM9.83 bilion. Bukankah perbezaan RM2.17 bilion itu satu kerugian?

Jika ya, mengapa penjualan ini diraikan sebagai kejayaan? Ia boleh disebut sebagai kejayaan jika 1MDB dapat mengurangkan hutangnya menggunakan keuntungan yang dijana sendiri. Ia juga boleh disebut sebagai kejayaan jika 1MDB mendapat untung daripada penjualan tersebut. Ini tidak. 1MDB mengurangkan hutangnya dengan menjual aset pada kadar merugikan.

Ini seolah-olah sama seperti tindakan seseorang menjual rumahnya dalam di bawah harga pasaran untuk melangsaikan hutang yang lain.

Soalan seterusnya, apakah aset-aset lain yang bakal dijual 1MDB untuk membayar hutangnya selain tanah-tanah yang diperolehinya dengan murah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang TUDM Sungai Besi?

1MDB berhutang untuk apa sebenarnya? Apakah 1MDB ada membayar cukai? Apakah 1MDB sudah membuat untung? Siapa yang mendapat untung daripada 1MDB?

Apa yang diperolehi negara selama ini melalui 1MDB selain terpaksa menanggung hutangnya? 1MDB ini urusniaga untuk apa sebenarnya selain membuat hutang, dan membayar hutang dengan penjualan aset-asetnya?

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
25 November 2015

Bantahan Terhadap Kenaikan Mendadak Cukai Tanah - Dr. Ahmad Fakhruddin



Kenyataan Media PAS Kedah

BANTAHAN TERHADAP KENAIKAN MENDADAK CUKAI TANAH

1. PAS Kedah merasakan kenaikan cukai tanah yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar dalam Ucapan Bajet 2016 pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini sebagai keterlaluan dan tidak kena pada masanya.


2. Sekalipun Seksyen 101 Kanun Tanah Negara 1965 memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk membuat semakan dan menyelaras semula cukai sewa tanah berkala selepas tempoh sepuluh tahun; tetapi ia tidak bermakna kenaikan menjadi pilihan wajib, apatah lagi kenaikan berlaku secara mendadak.

3. Kenaikan cukai sewa tanah keseluruhan, secara purata adalah sebanyak 72 peratus. Kenaikan itu sangat tinggi dan ianya pasti akan membebankan rakyat. Sepatutnya kenaikan tidak terlalu tinggi dan ia dibuat secara bertahap memandangkan rakyat kini terpaksa menanggung pelbagai kenaikan dalam perbelanjaan harian ekoran pelaksanaan cukai GST.

4. Kenaikan yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2016 itu juga tidak kena pada masanya memandangkan situasi meruncing rakyat yang tertekan dengan pertambahan kos sara hidup dan kegawatan ekonomi. Keadaan bakal menjadi lebih parah apabila TPPA menjadi kenyataan nanti.

5. Apa yang lebih mendera perasaan rakyat ialah kenaikan berlaku ketika pelbagai skandal kewangan melanda negara; seperti beberapa isu berkaitan 1MDB, derma politik RM2.6 bilion dan pembaziran wang YAPEIM. Rakyat merasakan, hanya mereka yang terpaksa berkorban sedangkan para pemimpin kerajaan yang dikaitkan dengan dengan onar, terkecuali dari bebanan.

6. Sepatutnya Kerajaan Negeri Kedah memikirkan alternatif lain untuk menambah hasil negeri bersesuaian dengan dakwaan bahawa mereka adalah yang terbaik seperti yang dicanangkan pada PRU13 lalu. Bukannya hanya tahu menyeluk poket rakyat untuk menambah pendapatan negeri.

7. Dengan itu PAS Kedah mendesak supaya kenaikan kadar cukai sewa tanah mulai 1 Januari 2016 ditangguhkan ke satu waktu yang sesuai serta dilaksanakan secara bertahap agar tidak membebankan rakyat.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Syeikh Fakhrurazi
Pesuruhjaya PAS Kedah
23 November 2015.

Tindakan Bangladesh Usaha Hapuskan Gerakan Islam - Khalil Hadi



Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

TINDAKAN BANGLADESH USAHA HAPUSKAN GERAKAN ISLAM

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki." [Surah Ali-Imran: 169]

1. Tindakan rejim Bangladesh di bawah Presiden Abdul Hamid melaksanakan hukuman mati kepada pimpinan Jamaat e-Islami Bangladesh adalah perbuatan kejam dan zalim.

2. Sekiranya dengan tindakan itu mereka menyangka akan melumpuhkan perjuangan Islam, kami di seluruh dunia mengimani bahawa itulah kemuncak kegemilangan perjuangan kami. Ia tidak akan sesekali mematikan Gerakan Islam sebagaimana ayat surah Ali Imran yang dinyatakan.

3. Dunia hari ini menjadi saksi, penggantungan mati Setiausaha Agung Jamaat e-Islami Bangladesh, Syeikh Ali Ahsan Muhammad Mujahid sebagai senarai rentetan usaha Kerajaan Bangladesh mengekang kebangkitan Islam di negara itu.

4. Kerajaan Bangladesh sebelum ini telah pun menggantung beberapa orang pimpinan Jamaat e Islami seperti As-Syahid Syeikh Abdul Qader Mullah pada 12 Disember 2012 dan As-Syahid Kamaruzzaman pada 11 April tahun ini.

5. Mereka telah dihadapkan dengan tuduhan jenayah perang, sedangkan yang diperjuangkan mereka adalah tuntutan kemerdekaan dengan Pakistan pada tahun 1971. Inilah adu domba, fitnah dan usaha memburukkan imej Islam di sepanjang zaman sebagai tindakan mengekang kebangkitannya.

6. Tindakan Bangladesh itu juga dilihat usaha mengekang pengaruh pihak-pihak yang tidak sealiran mereka lantaran turut menjatuhkan hukuman gantung tersebut kepada pemimpin pembangkang lain antaranya dari Parti Nasionalis Bangladesh, Salahuddin Quader Chowdhry.

7. Tindakan seperti ini hanyalah menggambarkan ketakutan rejim untuk mengekalkan kuasa, hakikatnya sebagaimana lakaran sejarah yang berulang, kebangkitan pasti berlaku menyah tirani dari singgahsananya.

8. Masyarakat dunia perlu melihat secara tenang dan adil betapa usaha menuduh Islam sentiasa diulang-ulang, tetapi hakikatnya Islam, umatnya serta pihak-pihak yang berjuang mempertahankan agama keamanan inilah menjadi mangsa kepada kezaliman dilakukan.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Ahad, 22 November 2015 | 10 Safar 1437H

Recent Posts Widget

.

.