Showing posts with label Pemerhati. Show all posts
Showing posts with label Pemerhati. Show all posts

AS tidak mempunyai asas untuk mengganggu Najib walaupun dakwaan NYT dan WSJ - Shanti Ramachandran



AS tidak mempunyai asas untuk mengganggu Najib walaupun dakwaan NYT dan WSJ

OLEH: SHANTI RAMACHANDRAN

Penulis bertanya: Mengapakah 'The Wall Street Journal' terus menerbitkan artikel fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila asas artikel ini telah dinafikan oleh FBI?


SURAT DARIPADA RAKYAT:

Sejak beberapa hari lalu, New York Times (NYT) dan Wall Street Journal (WSJ) - yang kebetulan surat khabar adik-beradik dimiliki oleh baron media Sir Rupert Murdoch - telah menerbitkan cerita-cerita yang tidak berasas dengan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang menghadapi siasatan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan mungkin ditangkap oleh kerajaan Amerika Syarikat.

WSJ adalah yang pertama yang melaporkan bahawa FBI telah memulakan siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram, memetik sumber-sumber.
Akhbar ini, yang mendakwa diri mereka sebagai akhbar harian kewangan, melaporkan bahawa siasatan FBI itu ada kaitan dengan dakwaan kononnya dibuat oleh bekas Naib Ketua Bahagian Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan - yang telah ditahan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.

Kemudian, yang memeranjatkan, WSJ juga melaporkan dalam artikel yang sama: "Jurucakap pejabat FBI di New York berkata tiada ejennya telah diatur untuk bercakap dengan Encik Khairuddin atau mempunyai apa-apa hubungan sebelumnya dengan dia." Jika benar, mengapakah WSJ kemudian terus menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadap PM Najib apabila asas artikel ini telah dinafikan oleh FBI?

Keesokan harinya, NYT menerbit satu artikel mendakwa seorang juri besar persekutuan di Amerika Syarikat telah memeriksa dakwaan rasuah yang melibatkan PM Najib - mendakwa dua sumber yang tidak dinamakan berkata siasatan itu sedang dikendalikan oleh unit Jabatan Kehakiman yang menyiasat rasuah antarabangsa.
Kemudian, yang memeranjatkan, NYT juga melaporkan dalam artikel yang sama: "Seorang jurucakap Jabatan Kehakiman enggan mengulas."

Menariknya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - yang telah menjadi pengkritik hebat PM Najib - telah dilaporkan berkata Najib mungkin ditangkap oleh FBI. Namun begitu, Dr Mahathir mengakui: "Itu hanya suatu kemungkinan berdasarkan undang-undang antarabangsa ketika ini."
Dengan ketiga-tiga sumber yang dianggap berwibawa bercanggah sesama sendiri selepas membuat tututan yang sensasi- tetapi tidak berasas - ia membuat kita tertanya-tanya kenapa semua ini berlaku sekarang dan mengadu-domba sistem keadilan AS terhadap pemimpin pilihan rakyat di Malaysia.

Setakat ini, kerajaan AS telah bertindak di luar sempadannya hanya dalam dua jenis aktiviti - penyeludupan dadah dan jenayah perang, termasuk serangan keganasan.
Dan tiada seorang yang waras pun boleh mengaitkan Najib ke dalam aktiviti-aktiviti ini.

SHANTI RAMACHANDRAN
Kuala Lumpur

Skandal 1MDB di Amerika - Saya Dah Bagi Amaran Sejak Bulan Jun Lalu - Wan Ahmad Fayhsal



SKANDAL 1MDB DI AMERIKA - SAYA DAH BAGI AMARAN SEJAK BULAN JUN LALU

Sebelum Tan Sri Gani Patail dipencenkan,
Sebelum Tan Sri Muhyiddin dikorbankan,
Sebelum SPRM diporak-perandakan,
Sebelum The Wall Street Journal dedahkan,
Sebelum RM 2.6 Bilion "derma" dikantoikan,


Saya dah tulis dan bagi amaran awal kepada DS Najib Razak berhubung kemungkinan besar Amerika akan siasat 1MDB.

Terbukti ianya telah berlaku.

Sekarang semua sudah terlambat. Nasi sudah jadi bubur. Malah seperti dakwa Sarawak Report, pasuka siasatan khas FBI dan Justice Department sudah dapatkan dokumen dan bahan bukti di London dan siasat 1MDB semenjak bulan March 2015.

Negara kita sedang berada di tali gantung bilamana pemimpin tertinggi negara sedang disiasat secara terang-terangan.

Sekarang anda faham mengapa Tun Mahathir yang sudah hampir uzur itu berjuang habis-habisan?

Ianya bukan kerana soal peribadi tapi soal kedaulatan negara. Geopolitik.

-WAF-

Najib Razak Bakal Disiasat Oleh Pejabat Peguam Negara Amerika - Wan Ahmad Fayhsal



NAJIB RAZAK BAKAL DISIASAT OLEH PEJABAT PEGUAM NEGARA AMERIKA - THE NEW YORK TIMES

oleh: 
Wan Ahmad Fayhsal

Bulan Jun yang lalu, saya tulis satu artikel berhubung kemungkinan besar 1MDB dan Najb Razak akan dikenakan Akta RICO yang telah digunakan oleh Amerika ke atas FIFA. (rujuk artikel tersebut dalam B. Inggeris:http://goo.gl/lKQL7Q; dalam Bahasa Melayu: http://goo.gl/SD7yYv)

Saya telah pun maklumkan kepada salah seorang Setiausaha Politik DS Najib akan bahaya hal ini. Sebaliknya mereka menghantar beberapa "cyber trooper" untuk memperlekehkan dakwaan saya itu. Mereka layan saya seperti budak hingusan.


Hari ini "The New York Times" (NYT) melalui wartawannya bernama Louise Story telah melaporkan bukan saja FBI tetapi juga pejabat peguam negara (Justice Department atau DoJ) telah membuka siasatan ke atas orang-orang terdekat berhubung DS Najib dan 1MDB. Sudah tentu yang banyak tinggalkan bukti di Amerika adalah Jho Low dan anak tiri beliau, Riza Aziz. (capaian berita NYT: http://goo.gl/oYOlfo)

Siapa Louise Story? Saya dah tulis berbulan lalu bahawa beliaulah wartawan yang menjejaki jejak-jejak aliran tunai kotor (money laundering) di New York yang mana beliau terjumpa dengan bahan-bahan bukti bahawa Jho Low juga disyaki terlibat sama kerana Jho Low membeli beberapa buah apartment mewah disamping lukisan koleksi Basquiat yang pecah rekod. Malah artikel NYT tersebut turut diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dan Mandarin (http://goo.gl/28rtkk)! Sesuatu yang amat pelik seolah-olah NYT ingin beritahu kepada seluruh rakyat Malaysia silalah baca pendedahan ini!! (rujuk http://goo.gl/3X5isE)

Tiada syak lagi RICO akan dikenakan ke atas Najib Razak bermula dengan Jho Low dan Riza Aziz. Siasatan di Amerika sudah lama dibuat dibelakang tabir seperti kes FIFA.

Amerika dah ada rekod transaksi dan aliran wang tunai dalam USD yang dibuat oleh Jho Low, Riza Aziz dan 1MDB atas talian SWIFT khusus berhubung derma RM 2.6 bilion. Selama hari ini fail memang sudah wujud berhubung skandal 1MDB di Pejabat Peguam Negara Amerika (DoJ). It is a sealed document waiting for the right moment to be unsealed.

Mereka dah lama tunggu peluang ini dan sekarang bila satu dunia dah kecoh dan melibatkan banyak sistem perundangan negara lain maka Amerika terus masuk dan buka fail.

Ini bukan main-main. Tiada apa yang seronok melihat pemimpin tertinggi negara kita sedang diugut atas kesilapan dirinya sendiri yang bongkak kononnya dapat ditutup bangkai gajah ini.

Benarlah telahan dan teguran Tun Mahathir selama ini. Ianya berkenaan kedaulatan negara. Negara dalam bahaya. DS Najib harus undur.



Tan Sri Khalid Abu Bakar, Tolonglah Takut Pada Tuhan dan Jalankan Tugas Dengan Amanah - Khairuddin Abu Hassan


TAN SRI KHALID ABU BAKAR TOLONGLAH TAKUT PADA TUHAN DAN JALANKAN TUGAS DENGAN AMANAH!!!
1) Laporan mengenai 1MDB telah lebih awal dibuat di dalam negara tetapi Tan Sri Khalid dlm satu kenyataan akhbar bertarikh 18 Ogos menyatakan tiada sebarang laporan dibuat bg menjalankan siasatan.
2) Terbaru Tan Sri Khalid mengatakan penangkapan Dato Seri Khairuddin disebabkan beliau tidak memberi ruang kepada PDRM menyiasat dgn lebih lanjut dengan membuat laporan polis di Luar Negara dan perbuatan ini dianggap hendak "Mensabotaj" negara.
3) Mula mula kata tiada laporan kemudian kata tidak bg masa untuk siasat.
4) Jelas di kaca mata rakyat ini merupakan permainan wayang kulit yang dimainkan untuk menutup bangkai gajah yang berbau busuk.
5) Janganlah kita menzalami kerana takut dizalami. Takutlah hanya pada Yg Maha Esa dan bukan pada manusia.
5) Mudah mudahan Allah S.W.T melemparkan hidayah kedalam sanubari Tan Sri Khalid Abu Bakar agar jujur dan amanah dalam menjalankan tugas


Surat Terbuka Dari Anak Muda Kepada Pimpinan Parti Amanah Negara - Nur Hadi Mohamad



SURAT TERBUKA DARI ANAK MUDA KEPADA PIMPINAN PARTI AMANAH NEGARA.

oleh:  Nur Hadi Mohamad

Assalamu alaikum w.b.t.

Saya seorang anak muda yg mengikuti perkembangan 'Parti Amanah Negara' sejak awal pergerakannya.

Beberapa hari selepas Muktamar PAS 2015 berakhir, beberapa orang anak muda (berumur 30 tahun ke bawah) yang dilihat cenderung kepada kumpulan 'progresif' dalam PAS berkumpul di satu tempat bagi membincangkan ke mana hala tuju golongan 'progresif' dalam PAS dan ke mana pula hala tuju kami. Dalam pertemuan tersebut, kami menjemput Dr. Dzulkefly Ahmad utk memberikan maklumat terbaru berkenaan golongan 'progressif' yang kalah dalam pemilihan. Kesimpulannya, sebuah parti baru akan ditubuhkan.

Anak-anak muda dalam pertemuan malam itu berbincang dan berhujah dengan pandangan tersendiri. Akhirnya kami memutuskan untuk membawa haluan masing-masing. Ada yg memilih utk menyertai PKR & DAP, ada yang memilih untuk bergerak dalam NGO, ada yang memutuskan untuk kekal di dalam PAS dan majoriti di antara kami memilih untuk membantu penubuhan parti baru.

Kami dijanjikan dengan sebuah parti yang bersifat 'inklusif' untuk semua pihak, parti yang mengutamakan anak muda, parti yang terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan serta parti yang akan diterima oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Tidak perlu saya perincikan apa sumbangan kami anak-anak muda yang bergerak membantu gerak kerja penubuhan parti baru ini. Masing-masing kini berada dalam jawatankuasa pemuda pusat, negeri, kawasan dan ProGuam. Semuanya memainkan peranan di setiap peringkat.

Sekalipun sepanjang proses penubuhan parti baru ini terdapat pelbagai cabaran dan dugaan, kita menyaksikan kesungguhan pelbagai pihak untuk memastikan penubuhan parti berjalan dengan lancar. ‘Pelbagai pihak’ ini bukan semata-mata kumpulan ‘G18’ yang kalah semasa pemilihan Muktamar PAS, tetapi termasuk mereka yang bergerak dalam NGO-NGO dan kumpulan-kumpulan lain. Namun dalam tempoh tersebut, saya mempunyai pandangan saya sendiri. Bakal pemimpin dan pengikut parti baru bukanlah semuanya bersikap ‘progresif’. Hakikatnya masih ramai yang terbawa-bawa perangai semasa dalam PAS dan agak kabur apa 'pembaharuan' yang cuba dibawa. Terdapat ahli Kumpulan G18 yang kurang menghargai sumbangan kumpulan lain. Malah ada yang dengan bongkak merendahkan keupayaan kumpulan lain. Adakah ini yang dikatakan progresif?

Saya tanpa segan silu ingin mengatakan parti baru gagal menampilkan sebenar-benar sifat INKLUSIF sepanjang proses penubuhan parti baru sejak dari awal gerakannya sehingga hari pelancaran. Dari proses merangka perlembagaan, pemilihan logo sehinggalah pemilihan lagu tema parti.

Saya secara peribadi tidak bersetuju untuk meletakkan ‘Islam’ sebagai dasar parti kerana Islam itu luas, merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia dan rahmat sekalian alam. Islam tidak terperuk pada ruang lingkup politik kepartian semata-mata. Akhirnya matlamat kita untuk menubuhkan sebuah parti yg ‘inklusif' untuk semua rakyat Malaysia yg berbilang kaum dan agama telah gagal. Kita hanya dilihat sebagai 'PAS No. 2' atau satu lagi serpihan parti Melayu. Tidak perlu 'poyo' mengatakan "kita juga ada ahli bukan Melayu dan bukan Islam termasuk dalam AJK Pusat". Hakikat sebenarnya, penyertaaan kaum bukan Melayu dalam parti ini hanya kurang dari 1%. Tidak meletakkan ‘Islam’ pada dasar parti tidaklah menjadikan kita Muslim yang tidak berpegang pada Islam. Saya berlepas diri dari perkara tersebut dan berharap ianya akan memberi kesan yang positif satu hari nanti.

Saya masih tertanya-tanya. Adakah benar jalan yang saya pilih utk bersama parti baru ini. Katanya ia adalah 'parti masa depan' yang akan menjadi pilihan anak muda. Tetapi hakikat yg berlaku hari ini adalah sebaliknya. Berapa peratuskah bilangan anak muda yg tertarik dengan parti baru ini? Saya mempunyai ramai kenalan dalam kalangan anak muda yg mempunyai pelbagai latar belakang. Sungguh saya katakan, mereka kurang berminat dgn parti baru ini. Mungkin mereka berpendirian untuk 'tunggu dan lihat', apakah ianya benar-benar progresif atau bakal menjadi PAS 2.0 dalam arena politik tanah air? Di mana sebenarnya kegagalan parti baru untuk menarik anak muda untuk bersama?

Pada 16 September 2015, dengan rasminya 'Parti Amanah Negara' telah dilancarkan. Kemuncaknya ditampilkan logo parti. Namun tidak sampai sehari selepas majlis tersebut, timbul isu tentang logo parti yg dikatakan diciplak dari rekabentuk logo sebuah syarikat televisyen di Bangladesh iaitu logo Imayam. Orang awam menantikan apa respon dari Amanah. Kenyataan dari S/U Agung, Tn Hj Anuar Tahir sangat mengecewakan. Alasan 'kebetulan' adalah alasan yang tidak bijak dan menjadi bahan ketawa orang ramai. Malah ada pimpinan yang mendakwa dalam dunia ini banyak logo organisasi yang mempunyai persamaan. Bentuk bulat, segi tiga tepat, segi empat, segi lima (pentagon), segi enam (hexagon), segi tujuh (heptagon), segi lapan (octagon) dan seterusnya adalah bentuk yg tidak boleh diberi hak cipta kepada mana-mana pihak kerana ianya adalah bentuk asas. Namun bentuk logo Imayam adalah bentuk yg rumit. Lekuk, vektor dan arah yg sama menjadikan kemungkinan utk berlaku 'kebetulan' adalah mustahil. Logo merupakan perkara pertama yang diambil kira untuk proses penjenamaan. Jikalau logo pun diciplak, di mana definisi 'amanah' yang cuba dibawa?

Perkara yang menjadi kekecewaan anak muda seperti saya ialah 'pertandingan' mencipta logo tidak disebar luaskan. Saya sendiri yang mengikuti rapat perkembangan parti tidak mengetahui tentang wujudnya pertandingan mencipta logo ini. Siapakah panel penilainya? Adakah panel yang dibentuk tiada kemahiran dalam bidang penciptaan logo? Teknologi sekarang membolehkan kita membuat semakan sama ada logo yang dicipta mempunyai persamaan dengan logo yg sedia ada di seluruh dunia. Mengapa panel penilai begitu lemah sehingga perkara asas sebegini pun tidak boleh diselesaikan? Apabila isu ciplak ini timbul saya sekadar beranggapan jawatankuasa penilai bukan orang yang arif dan ahli tentang logo, tiada pembentangan, tiada perbahasan, tiada 'brainstorming' dan tiada perbincangan yang serius tentang pemilihan logo yang akan membawa imej parti. Tapi pemilihannya sekadar syok sendiri. Apa yang lebih mengecewakan apabila saya mendapat tahu 'pemenangnya' adalah anak kepada AJK Amanah Pusat. Adakah ini yang dinamakan pertandingan?

Begitu juga dengan lagu tema parti. Mengapa penciptaan lagu tidak dipertandingkan? Tahu-tahu sahaja pada majlis 16 September yang lepas sudah dilancarkan lagu rasmi Parti Amanah Negara. Apakah begitu sukar untuk membuka satu pertandingan mencipta lagu dengan membuka penyertaan pada semua pihak. Pilih satu tarikh utk semua peserta persembahkan lagu ciptaan mereka. Lantik satu jawatankuasa penilai yang terdiri daripada mereka yang benar-benar ahli dan mahir dalam bidang muzik. Bukan pilih panel dalam kalangan AJK yg buta seni dan syok sendiri. Sendiri buat lagu dan sendiri angkat jadi lagu rasmi. Adakah ini yang dikatakan inklusif?

Ini bukan cara anak muda. Cara seperti ini tidak menjadi pilihan anak muda pada hari ini. Anak muda lebih suka mereka dilibatkan dalam menilai dan membuat sesuatu keputusan. Sepatutnya pertandingan untuk mencari logo terbaik boleh melalui media sosial yg begitu dekat dengan anak muda. Sebagai contoh, paparkan semua logo-logo yg telah dipertandingkan di ‘Facebook’. 3 logo yang mendapat 'like' terbanyak akan dipilih untuk dinilai, dibincang dan dibahas dengan sebaiknya oleh jawatankuasa penilai. Sikap "KAMI lebih tahu apa yang KAMI buat" telah menghancurkan persepsi awam terhadap parti baru ini. Tidak rugi pun beralah dengan membuat kenyataan mengaku salah dan menarik semula logo yang ternyata diciplak dari logo lain. Kenyataan yang sombong dan bongkak hanya akan menjauhkan anak muda di luar sana dengan 'parti masa depan' ini.

Jadikan parti ini adalah parti yang benar-benar milik rakyat. Parti yang terbuka untuk membuka ruang dan peluang kepada rakyat Malaysia terutamanya anak-anak muda melibatkan diri dalam bersuara dan membuat keputusan. Bukan seperti mana sebahagian AJK Pusat yg awal-awal lagi menghancurkan istilah INKLUSIF yang dicanang-canang sejak awal. Tetapi sekadar membawa semula perangai EKSKLUSIF yang melekat semasa dalam PAS.

Para pimpinan pada hari ini juga pernah melalui usia muda yang agresif dan kritikal kepada pimpinan satu masa dahulu. Ini adalah suara hati saya sebagai anak muda. Jika ianya bersifat teguran, terimalah teguran saya sebagai anak muda kepada pimpinan pada hari ini. Saya mohon maaf jika bahasa dan tulisan saya tidak disenangi.

Saya sayangkan agama dan negara saya melebihi parti baru ini. Jika parti baru ini masih tidak boleh berubah, pada bila-bila masa saya boleh memilih jalan yang lain. Ketika itu jangan mimpi anak muda di luar mahu bersama parti baru ini. Malah anak muda yg di dalam tidak segan-segan mahu keluar meninggalkan parti 'so-called' PROGRESIF ini.

Terima kasih.

Nur Hadi Mohamad
21 September 2015

Sikap Pegawai MayBank Tanah Merah Yang Keterlaluan - Hilmi Ariffin

SIKAP PEGAWAI MAYBANK TANAH MERAH YANG KETERLALUAN !
.
Pada minggu lepas, saya telah mengambil borang untuk staf saya bagi membuka akaun simpanan peribadi memandangkan semua urusan pembayaran gaji syarikat melalui cek Maybank.
.
Dan semasa di kaunter pertanyaan. Saya dimaklumkan jika ada surat dari pihak syarikat yang dia bekerja, maka perlu deposit RM50 sahaja. Berbanding prosedur biasa RM250. Ini memudahkan staf saya memandangkan dia baru sahaja bekerja.
.
Selang sehari selepas itu, saya pergi sekali lagi ke cawangan tersebut dan berjumpa dengan seorang lagi staf maybank yang lain bertanyakan betul atau tidak kalau saya buat surat syarikat. boleh deposit RM50 sahaja. Beliau mengatakan "YA BETUL".
.
Pagi tadi 20hb September 2015. pukul 9 pagi. Staf saya pergi ke cawangan tersebut untuk menghantar borang yang sudah diisi. Staff lelaki di kaunter 1 merujuk ke pegawai wanita di belakangnya berserta surat dari syarikat saya.
.
Malangnya pegawai wanita tersebut mengherdik dengan mengatakan "Syarikat awak kerja bukanlah syarikat besar-besar macam di KL. Dia menambah, "bukan duit beribu-ribu pun masuk". Lalu beliau mengarahkan pekerjanya di kaunter tadi untuk mengekal seperti prosedur asal iaitu RM250.
.
Sikap pegawai wanita tersebut sungguh keterlaluan. Menghina syarikat kecil saya serta memalukan staf saya di hadapan orang. Saya agak kecewa dan terguris memandangkan semua syarikat dan anak syarikat saya merupakan pelanggan setia Maybank.
.
Staf saya terpaksa balik kerumah orang tuannya untuk meminjam RM200 bagi urusan tersebut. Ini menyusahkan staff saya yang menaiki motor jauh ke rumah.
.
Ini bukan soal RM50 atau RM250. Tapi sikap pegawai tersebut yang anguh, sombong, dan memalukan jenama besar seperti Maybank!
.
Jika kami salah, mohon diberitahu dengan cara baik. Apatah lagi sudah 2 kali saya bertanya dengan 2 orang staf maybank sebelum saya buat surat tersebut!
.
Jangan ingat kamu seorang pegawai, kamu boleh mengherdik syarikat kecil seperti kami. Kamu mungkin tidak tahu syarikat besar bermula dari syarikat kecil seperti kami.
.
Saya akan buat surat rasmi untuk dihantar ke ibu pejabat Maybank Kuala Lumpur.
.
Sekian,
Saya Hilmi Ariffin.

Dalam Mana-mana Tamadun Tiada Kebebasan Mutlak - Fathi Yusof



DEMONSTRASI DAN PERLEMBAGAAN
Dalam Mana-mana Tamadun Tiada Kebebasan Mutlak

oleh: Fathi Yusof

1. Perhimpunan jalanan menjadi pilihan rakyat untuk menyuarakan sokongan dan bantahan. Kenapa?

Saya tak pasti pandangan yang mengatakan bahawa perhimpunan jalanan menjadi pilihan rakyat ini satu pandangan yang benar atau tidak. Memanglah kita lihat beberapa minggu ini banyak terdapat perhimpunan besar. Ia nampak ketara kerana masing-masing dengan identiti sendiri, dengan warna yang tersendiri. Setiap perhimpunan ini pula mendapat perhatian meluas dari media baik media massa, atau media sosial.

Perhatian dan ulasan ada yang berbentuk positif, dan ada juga yang negatif.

Tapi, saya tidak fikir ia menjadi pilihan utama sebab zaman ini, kita boleh suarakan bantahan dan sokongan dengan macam-macam cara. Saluran internet memang sudah banyak digunakan, dan ia mudah, cepat dan meluas.

Mungkin kaedah perhimpunan jalanan ini menjadi pilihan beberapa kelompok kerana ia lebih mendapat perhatian ramai. Jadi suara mereka lebih didengari. Konsepnya berasaskan logik mudah, iaitu semakin besar perhimpunan itu, semakin kuat sokongan kepada perjuangan mereka. Sebab itu masing-masing cuba menghimpun seramai mungkin peserta. Bila satu pihak berhimpun, pihak yang bersaing akan cuba untuk membuktikan bahawa mereka lebih kuat dengan membuat perhimpunan yang lebih besar. Begitulah seterusnya.

Saya fikir, dorongan utama ialah politik. Untuk dapat sokongan politik.

Jangan lupa dari sudut lain, perhimpunan yang besar begitu bukan sahaja untuk menyatakan suara, bahkan juga untuk menguatkan semangat dan solidarity penyokong sesuatu kelompok atau parti. Mereka datang dengan semangat, dan pulang dengan semangat yang bertambah berganda-ganda. Itu hak mereka. Mereka boleh berhimpun, asalkan jangan buat kacau.

2. Minta Doktor terangkan hak berhimpun mengikut Perlembagaan Persekutuan?

Perlembagaan Persekutuan Malaysia menjamin kebebasan berhimpun melalui Perkara 10. Ia termasuk dalam tiga kebebasan politik iaitu berhimpun, bersuara dan berpersatuan. Kebebasan ini penting. Manusia secara semula jadi ada kebebasan untuk bertemu orang lain. Bertemu dalam kumpulan yang ramai dipanggil berhimpun. Jadi ia satu yang semula jadi.

Bahkan perkara yang biasa dibuat seperti pembelajaran di sekolah, kuliah-kuliah ilmu, kenduri kahwin, mesyuarat di dewan orang ramai, dan majlis rumah terbuka sebenarnya bentuk-bentuk perhimpunan. Bagi orang Islam solat lima waktu di masjid menjadi perhimpunan rutin. Seminggu sekali berhimpun hari Jumaat, dan himpunan besar di Arafah dan di Tanah Suci sekali setahun.

Maka, mustahil hak berhimpun ini dinafikan terus. Mustahil manusia dihalang untuk berhimpun.

Cuma dari konteks undang-undang isunya lebih menjurus kepada ‘perhimpunan tempat awam’ – dan sedikit sebayak berkaitan dengan keselamatan dan politik. Dalam hal ini kerajaan tetap tidak boleh nafikan hak rakyat untuk berhimpun. Bila bercakap dalam konteks demokrasi, hak berhimpun merupakan satu hak yang penting untuk mewujudkan persaingan politik yang adil dan sihat.

3. Apa keperluan wujudnya Akta Perhimpunan Aman 2011 jika Perlembagaan menjamin hak berhimpun?

Dalam mana-mana tamadun, tiada kebebasan mutlak. Pemerintah boleh mengawal kebebasan untuk kepentingan awam.
Perlu juga disebut, biasanya hak berhimpun dikaitkan dengan keamanan. Perhimpunan yang dibenarkan ialah perhimpunan aman. Kita biasa jumpa hak untuk berhimpun ini disebut sebagai hak untuk mengadakan perhimpunan aman atau ‘peaceful assembly’. Frasa ini digunakan dalam Perkara 20, Pengisytiharan Sejagat Hak-hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1948. Jadi nak pastikan sesuatu perhimpunan itu aman perlu ada garis panduan. Perlu ada undang-undang.

Jadi dalam Perlembagaan, kebebasan di bawah Perkara 10 ini tertakluk kepada sekatan-sekatan undang-undang yang boleh diluluskan oleh Parlimen jika didapati perlu dan sesuai untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Sekatan ini dibenarkan melalui Perkara 10(2)(b). Saya berpendapat, pengecualian ini perlu. Cuma mahkamah sewajarnya diberikan ruang yang lebih luas untuk menilai sama ada sekatan yang dibuat oleh Parlimen itu munasabah atau tidak.

Kalau dulu, kawalan utama ialah Akta Polis 1967. Sekatannya agak ketat. Perlu ada permit polis yang agak susah untuk dapat, dan kadang-kadang ada syarat yang pelik-pelik. Permit itu pula boleh batal saat-saat akhir tanpa sebab munasabah dan macam-macam lagi. Akta Polis ini juga agak keras dalam memberikan kuasa untuk menyuraikan sesuatu perhimpunan.

Kadang-kadang peserta tidak diberi masa yang munasabah untuk bersurai, lantas terus ditangkap atau disembur dengan asap pemedih mata. Akta ini ada unsur undang-undang drakonian, atau undang-undang zalim. Suhakam atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia pun ada buat beberapa bantahan.

Lalu sebagai gantinya, muncul Akta Perhimpunan Aman 2012 atau Akta 736. Apa yang menarik tidak seperti Akta Polis, akta ini menegaskan tentang hak berhimpun secara aman. Jadi akta ini ada dua fungsi utama iaitu memberikan hak berhimpun secara aman dan mengawal perhimpunan agar tidak menjelaskan keselamatan, ketenteraman awam dan hak orang lain. Menarik juga akta ini ada menyebut tentang demokrasi.

Secara keseluruhannya, akta ini banyak melonggarkan cengkaman Akta Polis. Satu langkah yang sangat baik. Tapi, kawalan tetap perlu. Saya kira kawalan yang disebut dalam akta itu munasabah.

Cuma, perhatian sekarang bukan pada peruntukan undang-undang yang ada dalam akta itu. Masalah utama kini ialah pada penguatkuasaan dan pendakwaan. Penguatkuasaan sepatutnya adil, tanpa berat sebelah atau pilih bulu. Jika satu kumpulan diberi amaran keras, maka kumpulan yang lain, walau pun mungkin pro kerajaan perlu diberikan amaran yang serupa. Penguatkuasa undang-undang seperti polis perlu profesional dan jangan kelihatan memihak. Keduanya ialah soal pendakwaan. Kuasa pendakwaan ada pada institusi Peguam Negara. Kuasa ini perlu digunakan secara saksama, berani, telus dan tegas.

4. Sekiranya satu pihak berhimpun mempertahankan hak kemudian pihak yang lain bertindak serupa. Adakah ia suatu amalan yang sihat dalam demokrasi?

Jika terlalu banyak perhimpunan dan masing-masing mahu tunjuk kuat, maka akhirnya rakyat menjadi mangsa. Kita lihat apa yang berlaku di Mesir dan Thailand. Demonstrasi jalanan mungkin boleh mencapai kehendak pihak yang berhimpun, tetapi ia mencetuskan masalah baru. Jika pihak yang dahulunya naik kerana himpunan jalanan dapat menjadi pemerintah, dia akan berdepan dengan risiko ditentang dengan cara yang sama. Jadi masalah semakin kusut.

Jadi, perhimpunan jalanan tidak sepatutnya digunakan untuk meraih sokongan politik untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan. Dalam konteks politik, ia hanya sesuai sebagai satu bentuk advokasi politik iaitu untuk menyatakan bantahan tentang sesuatu dasar atau untuk menyuarakan keperitan hidup rakyat. Jika pengajur himpunan letakkan matlamat himpunan untuk menjatuhkan kerajaan, maka bukan satu langkah yang sihat.

Cuma perlu diingatkan juga bahawa rakyat akan terdorong untuk berhimpun untuk membantah jika mereka lihat institusi demokrasi semakin terhalang. Misalnya, jika pilihan raya tidak bersih dan adil maka mereka merasakan bahawa penyertaan melalui kaedah biasa adalah sia-sia. Begitu juga bila media massa seperti televisyen, radio dan akhbar arus perdana terlalu berat sebelah dan terkongkong, mereka akan merasakan bahawa jalan raya adalah tempat terbaik untuk meluahkan rasa hati. Selain itu ruang penglibatan rakyat dalam proses membuat keputusan dalam negara juga perlu dilebarkan. Dasar-dasar negara tidak boleh dimonopoli oleh orang politik, tetapi perlu dirangka melalui penglibatan awam. Semua faktor-faktor ini perlu diambil kira.

Jadi jika wujud kecenderungan kuat rakyat untuk berhimpun, dan setiap perhimpunan berbentuk bantahan menjadi popular, maka langkah terbaik kerajaan bukanlah mengongkong dan menekan. Kongkongan dan penindasan sebenarnya lebih menguatkan alasan untuk mereka membantah. Langkah yang patut dibuat ialah segara membaiki kelemahan dan mengajak rakyat untuk memahami realiti yang ada.

5. Bagaimanakah perhimpunan atau demonstrasi jalanan boleh menjadi elemen penting dalam mengukur pelaksanaan demokrasi?

Kayu ukur demokrasi banyak. Hak untuk berhimpun adalah salah satu daripadanya. Kita tidak boleh hanya melihat perhimpunan atau demonstrasi jalanan, tapi kita perlu lihat hak berhimpun itu secara keseluruhan.

Biasanya ukuran tahap amalan demokrasi dalam konteks kebebasan berhimpun dibuat berasaskan empat elemen iaitu peruntukan Perlembagaan yang memberikan hak berhimpun, undang-undang yang mengawal himpunan, kawalan ke atas hak himpunan oleh badan penguat kuasa undang-undang termasuk kuasa pendakwaan dan hak-hak lain yang berkaitan dengan kebebasan berhimpun seperti kebebasan bersuara, bergerak dan berpersatuan.

Jadi jangan kita ukur demokrasi dengan banyak atau besarnya perhimpunan. Ini tidak betul. Kadang-kadang di negara demokratik, perhimpunan langsung tidak ada, atau terlalu kecil. Buat apa rakyat berhimpun di jalanan kalau kerajaan dah buat yang terbaik. Ada juga negara yang tidak demokratik, tapi rakyat berhimpun tiap-tiap hari – macam perhimpunan di Dataran Tahrir sebelum Husni Mubarak jatuh di Mesir.

6. Apa pandangan Islam berkaitan berhimpun membantah kerajaan?

Bila bercakap dalam soal hak asasi ini pandangan Islam agak menarik. Islam menekankan soal tanggungjawab atau amanah, bukannya hak atau kebebasan. Jika semua orang berfikir tentang amanah dan menunaikan amanah masing-masing, soal hak akan selesai dengan sendiri. Asas kepada amanah dalam Islam ialah kemuliaan manusia yang diberikan secara fitrah oleh Allah kepada manusia.

Jadi sebelum kita bercakap soal ‘berhimpun membantah kerajaan’, kita perlu ingat bahawa Islam meletakkan tahap akauntabiliti kerajaan yang sangat tinggi. Kerajaan mesti telus dan mesti sentiasa bersedia untuk ditegur. Ruang komunikasi dalaman dan luaran perlu luas. Sebenarnya jika ia benar-benar berlaku, rakyat tidak perlu langsung untuk berhimpun.

Kalau sesebuah kerajaan melakukan kesalahan, dan tiada ruang yang munasabah untuk menegur, atau ruang yang ada terlalu sempit maka tidak salah untuk menyatakan bantahan melalui perhimpunan aman. Tujuannya bukan untuk menimbulkan kekacauan tetapi untuk menyatakan rasa hati. Ia salah satu bentuk amar makruf dan nahi mungkar sebagai mana yang dianjurkan oleh Islam. Mereka sekadar bersuara, dan tidak boleh dianggap bughah atau penderhaka.

7. Adakah Islam membenarkan usaha menjatuhkan kerajaan melalui kaedah itu?

Islam mengutamakan keamanan. Jika ingin menukar pemerintah pun perlu dibuat secara aman. Hari ini kita ada pilihan raya. Ia satu kaedah yang sesuai untuk memilih atau menukar kerajaan. Walau pun banyak kelemahan, tapi saluran demokrasi ini membuka ruang yang luas bukan sahaja untuk menawarkan kerajaan baru bahkan juga untuk mendidik rakyat menjadi warga negara yang peka dengan perkembangan semasa.

Kaedah kekerasan seperti perang mendatangkan banyak kemusnahan. Dalam prinsip Islam terdapat kaedah memilih darurat yang ringan berbanding darurat yang besar. Jika seseorang tidak berpuashati dengan kerajaan yang zalim sekali pun, dia perlu mengukur dan menilai terlebih dahulu sebelum menggunakan sebarang bentuk pendekatan yang keras. Dia perlu tanya adakah tindakan mereka akan mendatangkan mudarat atau kerosakan yang lebih besar? Jika ya, dia perlu elakkan.

Biasanya tunjuk perasaan atau demonstrasi yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan secara revolusi mendatangkan banyak kemusnahan, kematian dan kerosakan. Perkara ini perlu menjadi pertimbangan. Tambahan pula dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum seperti Malaysia. Soal keamanan dan kemakmuran menjadi agenda penting.

Perhimpunan jalanan biasanya meningkatkan tahap emosi. Emosi marah, geram, sedih atau taksub. Semua ini boleh membawa kepada permusuhan.

Tapi pada hemat saya, perhimpunan jalanan yang berlaku hari ini bukan bertujuan untuk menggerakkan revolusi. Ia sekadar satu luahan perasaan dan bantahan. Ia termasuk dalam kategori amar makruf dan nahi mungkar. Cuma mereka yang terlibat perlu sentiasa menjaga adab dan tidak terbawa-bawa dengan ledakan emosi.

8. Kita melihat terdapat perbezaan cara negara-negara di seluruh dunia menangani perhimpunan seperti di Barat lebih terbuka sekali gus membuktikan mereka lebih demokrasi dari Malaysia. Komen doktor?

Kebebasan perlu bergerak seiring dengan pembangunan ilmu dan peradaban. Bagaimana mungkin kita memberikan kebebasan yang luas kepada kelompok yang jahil dan rendah nilai budaya. Rakyat yang jahil mudah dimanipulasi, dan mudah diperdaya. Jika mereka dapat kebebasan mereka mungkin menyalahgunakan kebebasan mengikut telunjuk orang yang memperalatkan mereka.

Oleh itu, kerajaan dan golongan cendekiawan dalam masyarakat mempunyai peranan besar untuk meninggikan tahap kesedaran dan membina budaya yang positif. Kebebasan diberikan secara bertahap sesuai dengan peningkatan dalam pendidikan dan tamadun.

Dalam hal ini, jika kita ingin mengambil pelajaran dari model dari negara lain, kita perlu melihat secara menyeluruh. Kita tidak boleh hanya ingin mengimport kebebasan dan hak asasi mereka, tanpa menyedari bahawa mereka telah membangunkan budaya ilmu, disiplin dan peradaban sekian lama. Orang Islam punya sejarah peradaban yang hebat, tapi bila orang Islam tidak mengamalkan agama sendiri, maka berlakulah kemunduran. Kemunduran yang saya maksudkan bukan kemunduran ekonomi, tapi kemunduran ilmu, peradaban dan budaya.

Jadi, kalau orang tanya, mana yang lebih penting? Kebebasan atau pendidikan atau ilmu. Jawabnya pendidikan. Jadi usah sibuk ingin mencontohi kebebasan Barat, mulakan dulu dengan perkara yang lebih penting iaitu pendidikan, kesedaran dan peradaban.

Manusia yang tinggi ilmu dan adab pasti bebas. Jika ditindas sekalipun mereka sentiasa ada jalan untuk bangkit. Jika mereka tidak diberi ruang untuk bangkit, mereka akan membina benih-benih kebangkitan.

9. Beberapa negara seperti di Timur Tengah jatuh bangun kerajaan berpunca dari demonstrasi jalanan seperti semasa 'Arab Spring'. Apa yang sepatutnya rakyat Malaysia ambil pengajaran daripada peristiwa itu?

Di zaman Hosni Mubarak, rakyat berhimpun besar-besaran di Dataran Tahrir. Selama beberapa hari. Ekonomi hampir lumpuh, aktiviti harian terjejas teruk. Rakyat berhimpun waktu itu kerana mereka percaya itulah satu-satunya jalan yang ada untuk menjatuhkan Mubarak, pemimpin yang korup dan menindas. Akhirnya Mubarak tumbang.

Tapi bila Muhammad Mursi menjadi Presiden baru, cara sama digunakan. Akhirnya tentera melucutkan kuasa Mursi. Di bawah pemerintahan tentera pimpinan Jeneral Fatah Al-Sisi, rakyat cuba menggunakan perhimpunan untuk menentang, tetapi Al-Sisi menggunakan kekerasan untuk menghentikannya. Apa yang berlaku di Mesir menunjukkan bahawa bantahan melalui perhimpunan mungkin boleh menyelesaikan satu masalah tetapi ia mendatangkan masalah yang lain selepas itu.

Begitu juga pengalaman di Thailand. Kumpulan baju kuning dan baju merah bersilih ganti mengadakan demostrasi dan bantahan jalanan. Bila kerajaan dipimpin pro baju merah, baju kuning ke jalan raya membantah. Begitulah sebaliknya.

Antara pengajarannya, perhimpunan jalanan himpunan jalanan tidak sepatutnya digunakan untuk meruntuhkan kerajaan, sebaliknya sebagai satu kaedah untuk menyatakan suara rakyat.
Oleh itu sebaik-baiknya perhimpunan ini mesti mempunyai tema khusus dan fokus dalam tuntutannya.

Keduanya, kebebasan berkait rapat dengan pembangunan ilmu dan peradaban. Jika kebebasan terlalu luas diberikan kepada rakyat yang rata-ratanya jahil dan tiada disiplin, mereka mudah dipergunakan untuk agenda politik golongan yang jahat.

Ketiganya, keamanan berkait rapat dengan tahap demokrasi. Jika sesebuah kerajaan membuka ruang demokrasi melalui pelbagai saluran, biasanya saluran himpunan jalanan kurang menjadi pilihan. Oleh itu, interaksi rakyat dan pemerintah perlu sentaisa berlaku dalam semua peringkat. Setiap rassa tidak puas hati perlu disalurkan dengan lancar, dan perlu dan tindak balas yang memuaskan.

Keempat, perhimpunan jalanan yang tidak terkawal punya kesan besar kepada kestabilan sesebuah negara. Dalam negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, kawalan yang munasabah amat penting.

10. Pandangan doktor sekiranya rakyat Malaysia memilih untuk mengasaskan kerajaan melalui perhimpunan atau demonstrasi.

Sistem pilihan raya negara kita masih beroperasi dengan baik, walau pun ada kelemahan-kelemahan tertentu. Jadi, mereka yang ingin memberikan sumbangan politik atau ingin membuat perubahan politik wajar menyertai sistem pilihan raya. Kemenangan parti yang berbeza di peringkat negeri menjadi bukti bahawa ruang pilihan raya merupakan kaedah yang berkesan.

Dalam masa yang sama kerajaan perlu meningkatkan tahap keadilan dan kebebasan dalam pilihan raya. Pada tahun 2011, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya. Saya fikir, jawatankuasa ini telah memberikan banyak cadangan yang bernas. Seeloknya kerajaan melaksanakannya secara menyeluruh. Buat masa ini terdapat beberapa cadangan seperti berkaitan Akta Parti Politik, kawalan dalam perbelanjaan parti, pengukuhan SPR sebagai badan bebas dapat dilaksanakan.

Begitu juga dalam urusan persempadanan. Perbezaan ketara antara peratusan jumlah undi popular dan peratusan komposisi kerusi dalam Dewan Rakyat perlu diberi perhatian. Jika tidak ditangani segera rakyat mungkin mempertikaikan kesahihan pilihan raya itu sendiri.

Saya percaya dengan keprihatinan dan kewibawaan kepimpinan yang ada sekarang, isu-isu ini dapat ditangani dengan baik. Semua ini adalah langkah-langkah perlu untuk melemahkan sebarang bentuk usaha untuk menjatuhkan kerajaan melalui pintu belakang, iaitu protes jalanan atau demonstrasi.

Kita tentunya tidak mahu negara kita terdedah dengan usaha menjatuhkan kerajaan secara kekerasan. Kita mahukan keamanan dan kedamaian. Apa yang perlu dipupuk ialah amanah, kasih sayang, disiplin dan saling memahami. InsyaAllah saya percaya jika elemen-elemen ini diutamakan Malaysia akan terus memacu pertumbukan menjadi negara yang dapat memayungi rakyatnya untuk mendapat kebahagiaan yang sebenar.

Recent Posts Widget

.

.