Showing posts with label Pemerhati. Show all posts
Showing posts with label Pemerhati. Show all posts

Sejak seminggu yang lalu saya difitnah, dimalukan, dicaci, dihina - Baharuddin Mohamed



Assalammualikum buat semua sahabat.
.
Sejak seminggu yang lalu saya difitnah, dimalukan, dicaci, dihina tanpa pembelaan di media social FB. Sejak itu menyebabkan hidup saya sekeluarga tertekan, murung dan kecewa. Disaat kami sekeluarga ditimpa kedukaan dan penghinaan ini, Allah sahaja tempat kami mengadu nasib. Saya menutup sementara FB saya bukan sebab saya membenarkan perkara ini benar. Saya memerlukan masa memujuk hati saya.
.
1. Perlaburan
.
Saya mengaku saya ada mengambil perlaburan. Saya mengambil pelaburan dari bank dan orang perseorangan. Saya percaya ramai orang bisnes juga mengambil pinjaman untuk menjalankan bisnes mereka. Saya bangunkan bisnes saya sejak 2009 yang lepas. Beberapa tahun itu bisnes saya berkembang dengan maju dan baik dengan bercambah beberapa cawangan.
.
Disaat itu beberapa perancangan bisnes baru bermula. Saya menerima beberapa perlaburan untuk membangunkan bisnes baru. Tujuan asal saya adalah untuk membantu dan sama-sama maju, mereka setuju. Saya diberi kepercayaa. Ekonomi pada masa itu sedang memuncak. Semua pinjaman dan pelaburan dibayar dengan baik. Saya diraikan kerana berjaya membuatkan bisnes maju dan mereka suka. Saya ditawarkan perlaburan dan pinjaman yang lebih besar. Ada yang saya ambil dan ada yang saya tolak.
.
Bermula tahun 2012, bermulanya kemelesetan ekonomi. Syarikat yang mula terasa adalah syarikat yang besar. Malahan syarikat MAS, Media Prima mula terjejas. Kami masih lagi berharap ekonomi boleh pulih dengan terus berkerja lebih kuat. Tetapi dari hari ke hari sebaliknya berlaku. Lebih lagi dalam bisnes perkhidmatan seperti perhotelan mula merundum. Polisi kerajaan tidak membuat event di hotel.
.
Bayaran bank mula lambat, bayaran pelaburan mula lambat. Bank mula mendesak dan pelabur mula mengancam. Ada yang mula meminta dibayar semua pelaburan mereka. Saya terangkan yang pelaburan mereka telahpun dilaburkan untuk bisnes. Pelaburan mereka telahpun digunakan untuk membangunkan bisnes, membayar gaji, membayar keuntungan, renovation dan lain-lain. Saya bukan bermain saham , saya membuat bisnes. Saya kuatkan semangat, saya bekerja lebih kuat. Lebih 1 juta telah saya bayar secara berperingkat sebelum ini dengan bekerja sendiri. Ada beberapa pelabur yang belum dapat saya bayar. Mereka mula marah.
.
Bank mula menarik kemudahan, bank mula mengambil rumah kedai dan kereta. Beberapa bisnes mula ditutup untuk mengecilkan operasi. Staf mula berhenti. 7 hari 7 malam saya bekerja untuk membayar pelaburan dan bank untuk diselamatkan.
.
Walaupun sebenarnya prinsip perlaburan adalah untung sama-sama dan rugi sama-sama. Disebabkan saya mengambil perlaburan dengan kawan-kawan saya sendiri, saya bersetuju untuk membayarnya semula dan dianggap saya berhutang. Itu membuktikan saya bertanggungjawab.
.
Ramai yang tidak mahu menerima setiap perlaburan ada resikonya. Saya bayar sedikit demi sedikit. Saya terus berusaha dan isteri saya sahaja yang tahu. Membayar pelabur berpuluh ribu sebulan dan menjalankan bisnes yang rugi setiap bulan bukan perkara yang mudah.
.
Sekarang saya berhutang. Saya berhutang dengan bank, saya berhutang dengan pelabur, saya berhutang dengan pembekal. Sekarang saya tak mampu bayar.
.
Tetapi saya orang yang bertanggungjawab dan saya akan membayarnya. Sebahagiannya telah selesai. Bagaimana mahu saya membayarnya sekali gus jika bisnes dan ekonomi bermasalah. Saya terus didesak. Saya runding, mereka tak mahu dengar. Saya teruskan hidup dan terus berusaha.
.
Perkara yang lebih menyedihkan bila saya sedang tersepit dan susah saya terus dituduh dan difitnah untuk menjatuhkan saya. Lebih-lebih lagi serangan itu datang dari mereka yang saya sayang dan saya kenal. Apa yang boleh saya lakukan hanyalah bersabar dan memaafkan.
.
Saya mengaku salah. Saya ambil pinjaman. Saya mengaku salah saya tidak sebijak mana menguruskan bisnes. Tetapi adakah adil menuduh dan memalukn saya di media social. Menutup pintu rezeki saya. Apakah salah saya kepada beberapa orang yang saya tak kenal pun tetapi mula menabur fitnah kepada kita.
.
Untuk terus membayar hutang dan perlaburan saya membrandingkan coach bahar. Saya menjual seminar dan ebook. Dapatlah saya bernafas untuk membayar segalanya. Tetapi sekarang tidak lagi setelah saya di malukan. Sekarang semuanya tertutup, bagaimana saya mahu membayar hutang jika saya terus menerus ditekan.
.
Adakah mereka terlalu suci. Adakah anda tak pernah membuat salah. Ya saya gagal. Saya gagal dalam percubaan saya. Adakah anda sendiri pernah mencuba berniaga. Adakah anda telah berjaya?. Sekarang anda boleh berguru pada mereka yang hebat.
.
Tentulah tidak semua saya boleh dedahkan di sini. Seperti saya ditelanjangi diri sendiri. Ramai yang sedang ketawa terbahak-bahak dengan kejatuhan saya. Jika dalam kalah saya akan sentiasa di pandang salah. Ke kiri pun salah dan ke kanan pun salah.
.
2. Personal coaching
.
Salah satu program yang saya tawarkan adalah personal coaching. Ini adalah program yang saya rasa terbaik kerana mengambil masa yang lama. Jika anda ke seminar sehari dua, balik ke seminar anda punya masalah semula. Saya tawarkan 9 bulan dengan beberapa kelebihan.
.
Bagaimanapun saya juga dituduh mengambil duit orang. Ada juga yang telah berjaya. Ada juga yang kecundang. Hampir setiap minggu saya adakan seminar. Seminar itu berbayar dan ianya percuma kepada mereka yang mengambil personal coaching. Datanglah sesuka hati sampai anda puas hati. Jumpalah berapa kalipun bila anda mahu. Tetapi masalahnya saya diminta mencari mereka. Mereka tidak mencari saya.
.
Biasanya mereka mengadakan beberapa pertemuan awal. Saya kongsikan ilmu bisnes. Ada antara mereka yang bukan 9 bulan tetapi sampai sekarang mereka bersama saya setelah lebih 3 tahun. Saya inginkan mereka jadi keluarga.
.
Masalah mula timbul bila peserta tidak menghubungi saya lebih 6 bulan atau setahun. Selepas itu dalam tempoh yang mereka mula minta refund sedangkan mereka telah mengikuti dan dapat beberapa kelebihan sebelum itu. saya berikan contoh. Jika anak anda anda hantar ke kolej selepas itu anda tak hadir ke kolej dan gagal. Adakah anda boleh meminta yuran dikembalikan. Saya sentiasa ada di muar. Datanglah sini..
.
Mereka membuat group .Mereka mengadu pada abang besar kononnya saya menipu. Abang besar suka dan mulakan serangan dan membuat tomahan. Ada yang duitnya saya kembalikan pada awalnya. Tiba-tiba saya tersedar, saya dibodohkan sedangkan mereka telah mula dan saya telah melakukan beberapa perkara. Dalam masa yang sama, ramai pula yang berjaya dan berulang alik ke muar atau ke seminar saya di KL atau berjumpa saya secara personal dimana-mana. Saya mohon maaf kepada semua peserta personal coaching saya. Silalah datang ke muar dan berjumpa saya jika sudi. Saya taka da apa yang nak beri kecuali berkongsi ilmu. Saya taka da duit untuk memulangkan duit anda.
.

3. Tuduhan lain.
.

Saya tak membaca FB dalam beberapa hari. Yang lain adalah ditokok tambah menambahkan rasa. Tujuannya untuk mengaibkan dan menjatuhkan saya.
.

Saya tak pernah memburuk kan orang lain di FB. Tetapi melalui FB dan masej ada yang sanggup menyebarkan masej peribadi kepada rakan dan tersebar dan berniat menjatuhkan saya. Apa salah saya kepada mereka. Apa yang mereka sakit hati sangat dengan saya dan keluarga ?.
.

Kesimpulan
.

Umur saya 40 tahun. Nama saya Baharuddin Mohamed. Saya di sini memohon maaf kepada semua yang mengenali saya. Ya jika saya bersalah itu adalah kelemahan diri saya. Saya memang bukan yang terbaik, tetapi saya perlu bangkit membetulkan kesalahan saya. Kita tak tahu nasib kita esok hari. Hari ini kita diaibkan dan esok lusa tak tahu lagi nasib kita. Saya pasrah dan serahkan pada Allah. Anda tidak merasa betapa sakitnya.
.

Buat saudara mara dan sahabat handai.
.

Dunia berubah. Kini semuanya ada FB. Dalam FB ada isteri, anak, kakak, abang, ipar, saudara mara, kawan, dan lawan saya. Saya sungguh terkesan dengan tuduhan ini. Saya sungguh tertekan satu keluarga. Saya memohon maaf dan terimalah saya seadanya.
.

Saya cukup-cukup tertekan dengan keadaan ini. Berilah saya peluang untuk membetulkan kesilapan saya. Maafkan segala dosa saya. Halalkan segala makan dan minum saya. Hutang tetap saya bayar. Matikanlah api kemarahan, berilah saya berusaha untuk menyelesaikan masalah saya sendiri.
.
Ini adalah percubaan berani saya. Saya tidak ada apa-apa lagi segalanya telah hancur. Asset, bisnes saya juga telah terkubur sekelip mata. Terpulanglah dengan anda untuk menerimanya atau tidak. Saya memohon pada Allah ampunkan segala kesalahan saya. Saya insaf dan melihat beberapa perkara yang saya terlepas pandang sebelumnya. Jadikanlah pengajaran.
.
Selepas ini saya tidak akan menjawab sebarang tuduhan dan tomahan. Saya tidak akan menjawab komen dan saya tak akan menjawab masej. Beri saya masa. Saya manusia biasa seperti anda.
.
Saya tidak boleh hidup ditekan dengan perkara yang negative. Saya memaafkan pada mereka yang memburukan nama saya. Saya lupakan segalanya. Saya memaafkan staf saya yang membocorkan rahsia syarikat, saya memaafkan sahabat yang menikam saya dari belakang. Saya tidak akan buat apa-apa dengan anda. Saya berlapang dada dan ini ujian berat bagi saya.
.
Ini adalah percubaan saya untuk bangkit dengan memberi penjelasan. Jika ianya lebih buruk saya akan membuat keputusan untuk pergi dalam dunia FB buat selamanya. Mungkin itu yang anda mahu. Saya mohon maaf sekali lagi.
.
Jika pun saya bersalah, tetapi saya tetap ada maruah. Saya perlu teruskan hidup untuk ibu, isteri dan anak-anak. Saya pastinya tidak dapat memuaskan hati semua orang.
.
Segala yang baik datang dari Allah, yang buruk adalah dari kelemahan saya sendiri..
Allahua’lam.
.
Baharuddin Mohamed

Najib - Tun Dr Mahahir



1. Saya telah bekerja keras untuk menjadikan Najib Perdana Menteri Malaysia.

2. Tetapi sekarang saya mahu dia disingkirkan, meletak jawatan daripada menjadi Perdana Menteri.

3. Ia bukan hal peribadi.

4. Ia adalah kerana dia telah gagal teruk sebagai Perdana Menteri.

5. Daripada awal lagi saya perhatikan perkara-perkara salah yang dia lakukan.

6. Kita telah merdeka semenjak 1957. Kita sepatutnya dapat mentadbir negara kita sendiri. Sesungguhnya kita telah pun berbuat demikian selama beberapa dekad sebelum Najib, dan kita telah melakukannya dengan cemerlang.

7. Tetapi Najib melantik beberapa pegawai British sebagai penasihatnya.

8. Najib telah melantik ramai perunding asing untuk menasihatinya bagaimana mentadbir negara.

9. Orang-orang ini melibatkan kos berbilion-bilion ringgit tetapi nasihat mereka secara amnya tidak baik untuk negara ini. Mereka tidak tahu apa-apa tentang politik, ekonomi dan sensitivi Malaysia. Akibatnya pembangunan Malaysia lembab dan bangsa-bangsa berada dalam keadaan menentang satu sama lain.

10. Kerajaan di bawah pimpinan Najib menjadi sangat tidak popular. Walaupun memberi banyak wang kepada rakyat, mereka menolak beliau dalam Pilihan Raya 2013. Prestasi beliau lebih buruk daripada Abdullah, yang juga telah ditolak oleh rakyat. Orang Cina menolaknya sama sekali walaupun beliau mengisytiharkan dirinya sebagai saudara mereka.

11. Dia menimbulkan kemarahan kakitangan awam dengan menubuhkan Pemandu untuk mengambil alih tugas EPU. Kakitangan Pemandu yang bukannya pegawai Kerajaan telah dibayar gaji yang tinggi, jauh lebih tinggi mengatasi Skim Gaji Kerajaan. Begitu marah, sebilangan pejawat awam sebaik sahaja bersara mereka telah menyertai parti pembangkang dan bertanding sebagai calon pembangkang, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

12. Pertumbuhan ekonomi jatuh di bawah paras pertumbuhan ekonomi Filipina dan Indonesia.

13. Mata wang telah susut dan harga saham susut dengan teruk mengakibatkan masalah untuk perniagaan, pengimport dan pengeksport. Kos sara hidup meningkat terutama selepas GST.

14. Kemudian datangnya pula skandal 1MDB. Suatu dana yang sama sekali tidak perlu telah diwujudkan yang akan dibiayai oleh pinjaman yang besar. Kerajaan telah memberi satu juta Ringgit sebagai modal tetapi 1MDB (1Malaysia Development Berhad) telah meminjam 42 bilion Ringgit daripada pasaran. Ia membayar faedah yang tinggi sebanyak 5.9% dan memberikan komisen 10% kepada Goldman Sachs. Kerajaan tidak pernah meminjam begitu banyak atau membayar kadar yang begitu tinggi itu.

15. 1MDB membeli loji kuasa elektrik pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran. Ia juga membeli/mengambilalih hutang piutang syarikat-syarikat janakuasa. Jumlah kos adalah 18 bilion Ringgit. 1MDB kehilangan begitu banyak wang sehingga ia tidak boleh membayar faedah ke atas pinjaman.

16. 1MDB membeli tanah Kerajaan pada 60 Ringgit kaki persegi sedangkan harga sebenarnya adalah lebih daripada RM3,000 kaki persegi. Dengan menilai semula tanah itu sebanyak 50 kali ganda, ia mendakwa asetnya adalah lebih besar daripada hutangnya. Ini adalah seperti menjual permit import yang didapati secara percuma daripada Kerajaan.

17. Kemudian 1MDB telah menyertai perniagaan yang mencurigakan dengan Petro Saudi sebagai rakan usaha sama. Ia membayar USD1 Bilion bagi saham 40 peratus miliknya itu. Enam bulan kemudian usaha sama ini telah dibubarkan. Akan tetapi USD1 Bilion itu bersama dengan USD700 juta yang lain telah ditukar menjadi pinjaman kepada Petro Saudi. Wang ini kini telah lesap.

18. Satu-satunya aset yang dipunyai oleh 1MDB sekarang adalah loji kuasa dan tanah di Kuala Lumpur. Lebih daripada RM20 Bilion daripada 42 Bilion ringgit itu tidak dapat dikesan atau dihitung.

19. Kemudian tiba-tiba Wall Street Journal melaporkan bahawa Najib mempunyai USD700 juta dalam akaun peribadinya di Bank Arab-Malaysia (bersamaan RM2.6 bilion pada masa itu).

20. Tidak ada PM Malaysia atau Presiden UMNO yang boleh mempunyai wang sebanyak itu. Semua sumbangan kepada UMNO biasanya diterima dan dibankkan oleh Bendahari UMNO. Semua aset diletakkan di bawah nama tiga pemegang amanah.

21. Tidak pernah dalam sejarah UMNO terdapat lebih daripada RM250 juta secara tunai. Semua aset lain adalah dalam bentuk saham, tanah dan bangunan. Presiden adalah bertanggungjawab untuk menyerahkan semua sumbangan kepada Bendahari untuk perbankan. Presiden tidak pernah menyimpan wang UMNO atau wang didermakan kepada UMNO, untuk pilihan raya misalnya, di dalam akaun peribadinya. Tiada peruntukan untuk akaun UMNO dikendalikan oleh Presiden.

22. Najib dan isterinya terkenal dengan gaya hidup yang mewah. Jelas sekali jutaan telah dibelanjakan untuk pertunangan dan pelbagai majlis perkahwinan di Malaysia dan Kazakhstan. Anak tiri Najib membelanjakan ratusan juta dolar membeli hartanah di London, New York dan California. Beliau juga membiayai pembikinan filem Hollywood, “The Wolf of Wall Street” dengan perbelanjaan melebihi USD100 juta.

23. Dengan gaji Najib sebagai Perdana Menteri, adalah mustahil baginya untuk membelanjakan jutaan ringgit bagi semua ini. Ada satu kenyataan oleh PMO yang mendakwa bahawa wang bagi harta-harta luar negara dan filem itu telah diwarisi. Adalah mustahil bagi Tun Razak, atau Haji Noah atau bapa Rosmah untuk memiliki dan mewariskan ratusan juta Ringgit. Malah mereka tidak dikenali sebagai jutawan pun. Adik beradik Najib menafikan dakwaan itu.

24. Jadi dari mana datangnya wang itu? Najib mendakwa 2.6 bilion Ringgit itu telah didermakan kepadanya oleh seorang Arab. Ini tidak masuk akal. Tiada siapa yang pernah memberikan wang sebanyak itu kepada sesiapa. Dan Najib tidak dapat membuktikan bahawa orang Arab itu telah memberinya wang.

25. Dan dengan itu sebuah pasukan petugas khas yang terdiri daripada Peguam Negara, Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah, Gabenor Bank Negara dan Ketua Polis Negara telah ditubuhkan untuk menyiasat punca RM2.6 bilion berada dalam akaun peribadi Najib di Bank Arab-Malaysia.

26. Jawatankuasa Kira-Kira Dewan Rakyat juga sedang menyiasat apa yang berlaku kepada RM 42 bilion Ringgit yang dipinjam oleh 1MDB. Begitu juga Ketua Audit Negara.

27. Tiba-tiba Najib memecat Peguam Negara dengan mendakwa dia sakit. Peguam Negara menafikan beliau sakit. Tidak ada sijil oleh doktor membuktikan dia sakit. Najib tidak mempunyai hak untuk mendakwa bahawa Peguam Negara sedang sakit.

28. Pada masa yang sama, ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dikatakan telah pergi bercuti. Gabenor Bank Negara membisu. Kemudian dia menyatakan dia takut ditangkap.

29. Dua daripada ahli-ahli Kerajaan PAC dilantik Timbalan Menteri dan dua lagi diberi pekerjaan lain. Mereka tidak dapat meneruskan kerja-kerja mereka sebagai ahli PAC. PAC adalah tanpa seorang Pengerusi dan siasatan 1MDB telah berhenti.

30. Dua anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah telah ditangkap, dibebaskan dan dipindahkan ke Pejabat Perdana Menteri. Selepas komplen dibuat mereka telah dipindahkan semula ke Suruhanjaya.

31. Penolong Ketua Cawangan Khas telah dipindahkan keluar. Beliau kemudian membuat kenyataan yang keras terhadap pemindahannya.

32. Orang yang bercakap mengenai 1MDB dan 2.6 bilion ringgit dalam akaun Najib, atau melaporkan mengenainya telah ditangkap, pasport mereka dirampas dan diancam oleh polis dengan soal siasat. Ianya seolah-olah sebarang soalan mengenai 1MDB dan Najib 2.6 bilion merupakan tindakan untuk melemahkan demokrasi dan menjatuhkan Kerajaan yang dipilih dengan betul. Orang boleh ditahan sehingga 28 hari tanpa perbicaraan di bawah undang-undang baru yang bertujuan untuk mencegah tindakan keganasan. Bercakap tentang 1MDB dan RM2.6 bilion kepunyaan Najib seolah-olah merupakan tindakan keganasan. Najib lupa bahawa beliau sendiri terlibat dalam penyingkiran pemimpin terdahulu yang juga dipilih secara demokrasi.

33. Kemudian datangnya sesuatu yang menggemparkan. Al Jazeera menayangkan kisah pembunuhan gadis Mongolia Altantuya. Adalah jelas daripada kisah itu bahawa Najib mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu.

34. Ramai rakyat Malaysia tidak mahu mempercayainya. Tetapi orang di seluruh dunia mempercayai cerita itu. Ia telah menjadi satu skandal antarabangsa. Ia telah memalukan Malaysia. Di mana-mana sahaja sesiapa pergi, ada yang bertanya, “Apa yang telah berlaku kepada Malaysia”.

35. Di antara 1MDB, 2.6 bilion ringgit dalam akaun peribadi Najib dan pembunuhan Altantuya, nama baik Malaysia benar-benar rosak. Tidak pernah sebelum ini, Malaysia menjadi begitu hina oleh Perdana Menterinya sendiri. Tidak pernah orang memandang rendah negara ini. Tidak pernah sebelum ini rakyat Malaysia begitu malu dengan negara mereka.

36. Najib telah membayar orang untuk menunjuk perasaan di jalan-jalan untuk menyokong beliau. Dengan sewenangnya beliau juga mengharamkan usaha orang-orang tunjuk perasaan bagi memecatnya.

37. Untuk mata wang dan ekonomi pulih, Najib mesti berhenti menjadi Perdana Menteri Malaysia. Rakyat Malaysia mesti menuntut penyingkiran Najib. Ianya sesuatu yang amat demokratik untuk menuntut penyingkiran beliau. Tindakan yang diambil beliau untuk menahan seseorang untuk mengadakan perhimpunan untuk menuntut penyingkiran beliau adalah apa yang tidak demokratik dan bercanggah dengan undang-undang negara ini.

38. Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk menuntut Najib membenarkan siasatan terhadapnya yang akan dijalankan oleh orang-orang bebas yang tidak dilantik olehnya. Najib mesti membenarkan proses undang-undang berjalan. Jika didapati bahawa dia telah melakukan kesalahan dia perlu didesak untuk
meletakkan jawatan.

39. Hanya dengan pengundurannya sebagai Perdana Menteri Malaysia barulah ekonomi akan pulih, nilai ringgit akan meningkat, dan kos sara hidup akan turun. Hanya selepas penyingkirannya rakyat Malaysia akan mampu berdiri semula.

Tun Dr Mahahir

Menjawab Balik Status Saiful Nang - Aib Tanah Haram - Mohd Danial Madani



MENJAWAB BALIK STATUS SAIFUL NANG - AIB TANAH HARAM

Saya telah berhubung dengan beliau di whatsapp sebelum melakukan status ini untuk meminta penjelasan terakhir sebelum saya menulis apa-apa tentang statement atas status beliau. Saya akan fokus tentang tanah haram dan Negara Arab Saudi secara umumnya. Seperti mana tulisan beliau yang saya copy terus dari status beliau:


"Tahukah anda, terdapat banyak rumah pelacuran di Tanah Haram? (Sila berjalan di kampung-kampung di sekitar Tanah Haram anda akan dapat lihat sendiri secara tersembunyi?"

Saya yakin ramai orang Islam yang membaca tulisan ini samada yang pernah datang ke tanah haram Mekah atau belum akan rasa terkilan kerana dengan berani beliau menyebut perkara seperti ini di depan orang awam dan dibaca oleh ratusan ribu orang. Persoalan awalnya untuk tujuan apa didedahkan kepada orang awam?

Saya telah bertanya beliau apa motif status ini?

Jawab beliau:

"Supaya manusia sedar Islam sudah sampai masa untuk dibangkitkan bukan terus menerus dalam kebatilan yang nyata di hadapan mata"

Persoalannya, apakah dengan cara menulis status itu adalah cara yang betul dan paling baik serta menjadi jalan untuk membangkitkan Islam? Apakah semua perkara yang kita tahu kita perlu beritahu? Dan apakah medan FB adalah tempat yang sesuai untuk menceritakan segala-galanya lebih-lebih lagi berkaitan tanah haram yang mulia?

Saya tanya lagi, apakah nama kampung yang banyak tempat pelacuran tu?

Jawab beliau:

"Tahan pemandu teksi badwi.. tanyakan sahaja tempat pelacuran di sekitar perkampungan (saya tidak tulis nama kampung) dan sebuah lagi kampung jika nak ke arafah akan melaluinya. Saya pernah dengar perkara itu dan saya tanyakan orang biasa di sana dan ramai mereka juga yang tahu"

Jika kita teliti tulisan beliau seakan-akan beliau pernah pergi sendiri dan melihat, walhal beliau hanya tanya orang biasa di sana (mekah) dan minta saya tanya pemandu teksi badwi. Ini jelas menunjukkan beliau tidak pernah pergi dan nampak sendiri, atau jika pernah pergi sekalipun atas tujuan apa? dan bagaimana tergamak boleh sampai ke sana dan ambil tahu keburukan-keburan tanah haram? Sepanjang saya bermuamalat dengan jemaah umrah dan haji tiada yang ringan mulut mereka mahu bercerita perkara-perkara buruk apatah lagi mahu mencari-cari keburukan dan menceritakan bila sampai ke tanah air. Na'uzubillah.

عن حفص بن عاصم رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: " كفى بالمرء كذبا أن يحدّث بكل ما سـمع

Daripada Hafs bin 'Asim radiallahu 'anhu, berkata Rasulullah saw: "Cukuplah seseorang itu dianggap seorang penipu jika dia menceritakan apa sahaja yang dia dengar. (HR Muslim)

Jika ia benar sekalipun, tidak wajar disebarkan kerana akan menimbulkan fitnah yang besar dan mengelirukan perasaan orang awam tentang kebaikan tanah haram.

الفتنة نائمة لعن الله من أيقظها

"Fitnah itu sifatnya seperti sesuatu yang tidur, dan laknat Allah atas mereka yang mengejutkannya"

Kami sebagai pelajar yang duduk tanah haram pun tidak sanggup nak tahu, dan dengar apatah lagi menceritakan kepada orang awam kerana tiada keperluan bahkan mewujudkan perasaan benci dan sangka buruk kepada tanah suci haram. Kami tahu ada kelemahan-kelemahan atau kekurangan yang berlaku di tanah haram atau Arab Saudi yang kami nampak di depan mata sendiri, tapi kami anggap itu ialah dosa atau keburukan yang tidak dapat dielak seperti sikap orang arab yang kasar dan lain-lain, tidak pula kami mahu tangkap gambar-gambar buruk atau menyibukkan dengan bercerita tentangnya. Ini tugas kita untuk menjaga aib ini dari orang Islam sendiri atau musuh-musuh Islam.

Saya tanya beliau kenapa ambil khabar hanya dari bertanya sahaja? JIKA benar apakah wajar untuk burukkan nama bumi haramain di status FB? Kenapa tidak bertindak memberi teguran terus kepada pihak berkuasa?

Jawab beliau:

"Saya berani cakap kerana saya takut memfitnah tanah haram jika itu tidak benar. "All the best kami ada cara kami untuk kembalikan islam pada islam, tuan buat cara tuan, jika tujuannya sama kita akan berselisih lagi nanti"

Apakah jika tidak berani memfitnah tanah haram menjadi harus dan perlu untuk mengaibkan tanah haram? Aib tanah haram itu kenapa boleh jadi berani? Kenapa tidak diadukan kepada pihak berkuasa, sama polis sendiri, badan-badan dakwah seperti badan amar makruf nahi mungkar, maktab-maktab yang berkaitan dan banyak lagi jalan untuk berkongsi maklumat dengan tujuan mencegah kemungkaran. Bukankah itu lebih baik? Menutup aib dan menegur secara senyap. Jika tidak lebih baik DIAM dan cegah dalam hati bukan beritahu semua orang! dan bukankah lebih MENDAMAIKAN dari menyibukkan lidah menceritakan keburukan. Saya tidak dapat nak pastikan tentang "banyaknya" rumah pelacuran seperti yang beliau dakwa, dan saya tak nak tahu perkara-perkara buruk seperti itu. Jika ada wajib untuk simpan dan berdosa memberitahu tanpa tujuan yang jelas.

Buat pengetahuan pembaca, kerajaan Arab Saudi telah melakukan terbaik dalam urusan dakwah, banyak buku-buku agam disebarkan secara percuma dan poster-poster dakwah ditampal serta pamplet-pamplet diedarkan secara percuma untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Situasi ini dirasai oleh kami sendiri yang hidup disini. Selain itu ada kereta yang meronda dikawasan pekan untuk mengajak masyarakat solat dan segera tutup kedai untuk menunaikan solat. Saya tidak pernah rasa situasi seperti ini di Malaysia malah beberapa negara yang saya pernah singgah, iaitu waktu solat dihormati sepenuhnya dan masjid dipenuhi dengan untuk menunaikan solat dan kedai-kedai ditutup kesemunya. Subhanallah. Apakah ini bukan sesuatu yang baik dan wajar ditiru dan diikuti dan dijadikan tauladan yang baik buat semua umat Islam?

Apakah sehingga sekarang kita masih tidak sedar bahawa SYIAH LAKNATULLAH selalu memburuk-burukkan nama ARAB SAUDI bagi kepentingan nafsu dan agenda mereka? Apakah kita masih jahil bahawa IRAN sentiasa mengambil peluang untuk memburuk-burukkan negara Ahlus Sunnah seperti Arab Saudi? Bacalah kenyataan-kenyaatan fasad dan batil mereka seperti yang dalam akhbar. MEREKALAH sebenarnya yang menjadi orang tengah yang memecah belahkan kaum muslimin sunni. Mereka mencara apa sahaja jalan untuk memburukkan Arab Saudi terutamanya Mekah dan Madinah agar kaum muslimin timbul rasa benci, sangka buruk dan bertelagah sesama sendiri. Hayatilah surah al-Hujurat ayat 6 yang mana Allah mengarahkan kita memeriksa (tabayyun) apa sahaja berita yang datang dari orang fasiq agar kita tidak menyesal kerana menyebarkannya.

PERSOALAN TERAKHIR:

1. Kenapa beliau menulis status di waktu ini yang mana dunia sedang mencari-cari keburukan Kerajaan Arab Saudi dalam isu haji, ini akan menyebabkan kemarahan orang lain yang susah memahami isu dengan baik dan menyebabkan ramai orang salah faham. Apakah beliau menyimpan sesuatu dendam?

2. Apakah tanah haram itu sifatnya mensucikan? apakah semua yang duduk di tanah haram mesti kena suci dari dosa? apakah langsung tiada pelaku maksiat di zaman Nabi saw, bahkan ramai melakukan syirik menyembah berhala di kota mekah ketika Nabi saw masih hidup? Apakah tugas dan yang dilakukan Nabi saw ketika itu?

Tidakkah beliau tahu di zaman Nabi saw ada seorang lelaki yang kuat minum arak dan telah dihukum tetapi Nabi saw melarang para sahabat melaknatnya kerana kata Nabi saw

لا تلعنوه فالله ما علمت أنه يحب الله ورسوله

"Janganlah kalian melaknati beliau, demi Allah aku mengetahui bahawa beliau mencintai Allah dan Rasul" (HR Bukhari)

3. Apakah Kerajaan Arab Saudi perlu jadi sempurna sentiasa di mata beliau tanpa sedikit pun kekurangan dan kelemahan yang pasti berlaku? Apakah tugas orang Islam bila mengetahui kekurangan seseorang? apakah mengaibkan? menambah rosak? menjatuhkan?

عن المبارك قال : كان الرجل إذا رأى من أخيه ما يكره أمره في ستر , فيؤجر في ستره , ويؤجر في نهيه , فأما اليوم فإذا رأى أحد ما يكره استغضب أخاه وهتك ستره

Berkata Ibn Mubarak:

"Dulu, seseorang apabila melihat pada saudaranya terdapat hal yang dibenci diapun memerintahkannya atau melarangnya dengan sembunyi, sehingga dia diberi pahala atas teguran secara sembunyi dan larangannya (dari sesuatu yang tidak disenangi). Adapun hari ini, apabila seseorang melihat apa yang dia benci, dia membuat saudaranya marah dan dia sebarkan aibnya (saudaranya)."

Persoalan saya apakah dengan status itu akan menambah baik? atau menambah kebencian sesama muslim?

4. Apakah wujud negara yang maksum atau sunyi dari segala maksiat, dosa, dan jenayah? Apakah Mekah dan Madinah telah dijamin maksum oleh Allah dan Rasul bahawa penduduknya akan bersih dari dosa!

5. Apakah beliau dikatakan tidak bertanggungjawab jika andaikata beliau ada pekerja-pekerja yang berdosa dan melakukan jenayah walhal beliau telah melakukan terbaik untuk menjaga pekerja-pekerja beliau. Situasi yang sama, maka apakah Kerajaan Arab Saudi tidak melalukan apa-apa tindakan, arahan dan gerak kerja bagi membasmi jenayah di Arab Saudi khususnya di Mekah dan Madinah jika wujud juga rakyatnya yang melakukan jenayah?

6. Tulisan beliau di status:

"Tanah itu dahulu pernah kotor dan pernah disucikan oleh nabi muhammad saw. Dan ia boleh sahaja kotor kembali pada hari ini. Suci bermakna tiada setitikpun kekotoran. Bagaimana air susu segelas dikatakan suci walaupun hanya sebutir tahi cicak jatuh ke dalamnya. Kita sendiri tidak sanggup minumnya walaupun nisbah tahi cicak dan susu itu hanya kurang dari 0.5% sahaja"

Ini adalah qiyas (anologi) yang fasid, bagaimana air susu boleh diqiyaskan dengan sesebuah negara? Apakah Tanah suci itu bermakna tiada kekotoran maksiat dalamnya? Jadi jika begitu cara fikirnya iaitu tidak sanggup minum susu yang jatuh tahi cicak, maka apakah beliau tidak sanggup juga ke tanah haram atas sebab rumah pelacur dan keburukan-keburukan lain?

7. Beliau menyatakan dengan jelas, Terdapat BANYAK rumah pelacuran ditanah haram. Di manakah bukti banyak tersebut?

Kesimpulan saya untuk isu ini, saya tidak menafikan kebaikan beliau dan ada kritikan-kritikan dalam status beliau sebelum ini yang baik dan boleh difikirkan oleh rakyat Malaysia tetapi TIDAK untuk status ini. Bahkan kami pernah berhubung sebelum ini untuk saya kongsi maklumat berkaitan Universiti Islam madinah kepada beliau TETAPI untuk isu ini saya anggap beliau tersasar jauh dan seperti yang saya sebutkan "BUKAN SEMUA PERKARA KITA KENA TAHU DAN BUKAN SEMUA PERKARA YANG KITA TAHU KITA KENA BERITAHU" - Jangan cuma jadi ahli untuk semua perkara! Contohilah akhlak lidah Imam Malik yang tidak malu untuk menjawab " Ana La Adri " saya tidak tahu walhal beliau adalah Imam Darul Hijrah!

Rasulullah saw bersabda:

من حسن اسلام المرء تركه ما لايعنيه

"Antara kebaikan Islam seseorang itu ialah ia meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat buatnya" (HR Termizi)

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر، فليقل خيرا أو ليصمت

"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata baik atau DIAM" (HR Bukhari dan Muslim)

Semoga Allah menjadikan kita dalam kalangan mukmin yang jauh dari hasad, dendam dan sukakan kebencian sesama muslim. Moga Allah pimpin terus hati kita untuk jadi 'agent' ISLAH dan sentiasa memberi nasihat demi Maslahat kepentingan kesatuan Umat Islam dengan cara yang betul. Saya bersedia berjumpa beliau untuk menyambung silaturrahim kerana kita masih ada banyak kerja untuk Islam dan Umat Islam kearah mengajak manusia kepada tauhid, akhlak dan Ilmu yang sahih. Wallahu'alama bissawab

"Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia" ( Ali-Imran: 96)

Mohd Danial Madani,
Sabtu 26 September,
Jeddah KSA

Sah Amerika Intip dan Korek Rahsia 1MDB - Wan Ahmad Fayhsal



SAH AMERIKA INTIP DAN KOREK RAHSIA 1MDB

"Washington, for its part, has said that it does not conduct cybertheft for the benefit of U.S. companies. The disclosures of a former National Security Agency contractor, Edward Snowden, about extensive U.S. cyberspying overseas have given Beijing ammunition to counter such assertions."

Dalam ni tak sebut pasal 1MDB tapi orang yang akal panjang boleh baca lapisan-lapisan makna dan hakikat yang tersirat berhubung "intelligence" dalam ekonomi.

Data. Data. Data. Macam mana data ini dikumpul?

1-Najib Razak macam Tun M bangkitkan ambil banyaaaak konsultan asing untuk PEMANDU.

2-Najib Razak ambil Paul Stadlen daripada APCO untuk 1Malaysia.

3-Najib Razak guna Goldman Sachhs untuk terbit kertas hutang.

4-Najib Razak dan Jho Low guna bank seperti BSI dan Falcon Private Bank untuk alirkan wang 1MDB ke akaun peribadi - seperti tegas Tun M, The Edge dan Sarawak Report yang lalu sistem SWIFT yang mana bank-bank ini memang Amerika ada laluan masuk untuk semak apa-apa aktiviti dan transaksi yang pelik.

Jho Low buat onar di New York. Najib bawa masuk jutaan USD dalam AmBank guna SWIFT. SUDAH TENTU AMERIKA TAHU DAN AMBIL PUSING.

Bila saya cakap 1MDB adalah cabaran geopolitik ada buggers macam Lim Sian See, CFO Azmi Arshad dan sekalian macai Najib mencabar dan memperbodohkan.

Yang bodoh bukan saya tapi mereka ini kerana akal pendek lagi sempit!

Baca berita penuh: https://www.washingtonpost.com/world/national-security/the-us-and-china-agree-not-to-conduct-economic-espionage-in-cyberspace/2015/09/25/1c03f4b8-63a2-11e5-8e9e-dce8a2a2a679_story.html?tid=sm_fb

PAS Tanpa Pakatan: Bagaimana Politik Negara ke Depan? - Mohammad Agus Yusoff



PAS TANPA PAKATAN: BAGAIMANA POLITIK NEGARA KE DEPAN?

Itulah debat utama perbincangan bagi mereka yang prihatin kepada politik negara.

Ada yang berkata PAS akan semakin kuat kerana boleh terus memperjuangkan agendanya tanpa halangan dari rakan Pakatan lagi.


Ada juga yang kata PAS akan kalah teruk dalam PRU akan datang.

Tetapi bagi saya, untuk melenyapkan PAS dalam arus politik negara adalah mustahil kerana PAS adalah parti yang mempunyai asas ideologi perjuangan yang kukuh. PAS juga mempunyai cukup pengalaman dalam arus politik negara sejak tahun 1951 lagi.

Cumanya, bolehkah PAS menang sebanyak kerusi yang dimenanginya dalam PRU lalu tanpa Pakatan? Jawapan saya, susah untuk PAS mengekalkan kemenangannya kerana komposisi pengundi negara memerlukan PAS juga mendapat sokongan pengundi bukan Melayu—sesuatu yang sukar untuk PAS memperolehinya tanpa Pakatan.

Apa ruginya pula Pakatan tanpa PAS?

Pertama, Pakatan akan kehilangan sokongan pengundi Melayu konservatif. PAN, parti baru yang ditubuhkan tetap boleh mendapat sokongan pengundi Melayu progresif, tetapi tidak sebanyak sekiranya PAN kekal dalam PAS. Apatah lagi, jika PAS bekerjasama dengan UMNO, maka Pakatan akan kehilangan sokongan pengundi Melayu yang banyak.

Kedua, saya melihat Pakatan Harapan terlalu tergesa-gesa menubuhkan gabungan baru dan ia terlalu eksklusif. Sepatutnya Pakatan Harapan lebih berjiwa besar dengan merundingi terlebih dahulu kemasukan gabungan parti-parti baru dari Sabah dan Sarawak serta juga tidak meninggalkan PSM.

Bagaimana pula politik kita ke depan?

Saya mengharapkan parti-parti politik melupakan perbezaan masing-masing dan bekerja ke arah mewujudkan satu kerjasama yang holistik.

Fungsi pembangkang bukan sekadar untuk menentang kerajaan semata-mata, tetapi untuk menggubal satu dasar bersama demi kebaikan negara. Inilah yang mahu dilihat oleh rakyat Malaysia untuk kebaikan negara masa depan negara.

Persoalannya, bolehkah Pakatan memberikan harapan itu tanpa parti-parti dari Sabah dan Sarawak dan PSM?

Nampaknya, parti pembangkang juga masih kalut dalam keadaan BN juga sudah semakin lemah

Adakah Tragedi Korban Haji Disebabkan 'Ananiyah? - Mohammad Asraff Ayob





ADAKAH TRAGEDI KORBAN HAJI DISEBABKAN 'ANANIYAH'?
.
.Mohammad Asraff Ayob


Sungguh sedih apabila facebook dan wassap petang ini dipenuhi dengan berita korban tragedi haji di Mina. Setakat ini sudah lebih 700 jemaah meninggal.


Saya tidak pasti kali ini apa sebabnya tetapi saya merefleksi kejadian hari ini dengan kejadian sama di tempat sama pada tahun 2006.

Tahun 2006, seramai 346 jemaah haji meninggal kerana bersesak2 ketika melontar di Mina. Saya ada disitu. Saya menyaksikan sendiri 'madness', penyebabnya. Ia berlaku kerana terlalu ramai manusia yang sanggup bersesak-sesak untuk mengejar waktu afdhal melontar.

Hanya kerana mengejar waktu afdhal, ada segelintir manusia yang sanggup melakukan perkara haram. Ada yang menolak, menyiku & push org lain semata-mata nak cari kepuasan ibadah sendiri - nak lontar waktu paling afdhal.

Saya fikir mereka ni hilang something. Adakah mereka faham mengapa kita melakukan haji? Mengapa kita melakukan korban? Semua ibadah ini sebenarnya mengajak kita meninggalkan sifat pentingkan diri sendiri tapi yg berlaku sebaliknya.

Adakah masalahnya berpunca dari sikap sesetengah org islam yg memahami ibadah dari sudut ritual - nak kejar sangat 'afdhal' dan mereka fikir, inilah haji mabrur (melakukan haji ikut Rasul 'per se' sbb waktu afdhal melontar ikut waktu Rasul melontar) sedangkan pada masa sama mereka tidak pedulikan org lain?

Ia sama dgn usaha mengucup hajarul aswad. Berapa ramai jemaah yg nak kejar sunat (cium hajarul aswad) tapi melakukan perkara haram (tolak & sakiti jemaah lain dlm usaha cium)? Dalam buku hidup luarbiasa (www.bukuhidupluarbiasa.com) bab tawakkal kalau tak salah, ada saya ceritakan pengalaman betapa sukarnya cabaran mencium batu suci ini.

Klu salah perhitungan, boleh meninggal tau!

Sifat ananiyah. Sifat pentingkan diri sendiri. Ini yg perlu dikorbankan dahulu. Itulah hikmah yg Nabi Ibrahim ajarkan. Klu ia berterusan, tragedi sama akan berulang lagi.

Padanlah Tuhan berkata dlm surah 'aroaita' - ada org islam nampak beragama tapi mereka sebenarnya menipu sahaja. Sebab keagamaan mereka hanya utk penuhi sifat ananiyah.

Kerana bagi Tuhan, org yg benar2 beragama akan sentiasa peduli org islam lain.

Sekali lagi, saya tidak pasti apa punca kejadian kali ini cuma saya berharap, ia bukan berpunca dari tindakan segelintir yg selfish. Saya doakan mereka yg meninggal dunia disambut Tuhan dgn SyurgaNya.

Saya juga berdoa semoga kita benar-benar menghayati tujuan kita beragama, bukan setakat nak tengok berapa banyak amalan, tetapi kita sedang belajar mencapai tujuan utama ibadah : mempercantikkan akhlak diri, untuk Tuhan dan untuk sesama manusia.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Walillahil Hamd.
.
.
Us Asraff Mohammad Asraff Ayob

Bolehkah PM Menolak Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan? - Mohammad Agus Yusoff



BOLEHKAH PM MENOLAK PELANTIKAN HAKIM MAHKAMAH PERSEKUTUAN?

oleh :
Mohammad Agus Yusoff

Pertanyaan di atas menarik ramai penganalisis membincangkannya apabila bekas Hakim Kanan Mahkamah Rayuan, YAA Hakim Hishamuddin Yunos mendakwa kenaikan pangkat beliau disekat oleh Perdana Menteri.

Kata Hishamuddin, namanya dicadangkan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, tetapi PM tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan mengangkat nama lain untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.


Persoalannya, bolehkah PM menolak cadangan JAC tersebut? Pandangan saya boleh. Apa hujahnya? Mari kita lihat peruntukan undang-undang berikut:

Perkara 122B memperuntukkan pelantikan (1) hakim-hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Seksyen 21(1) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) dengan jelas menyebutkan "fungsi suruhanjaya adalah (a) untuk memilih orang yang berkelayakan yang sesuai yang wajar dilantik sebagai hakim mahkamah atasan untuk pertimbangan Perdana Menteri," dan disebut dalam Seksyen 27 pula bahawa "Perdana Menteri boleh, selepas menerima laporan di bawah Seksyen 26, meminta dua nama lagi untuk dipilih dan disyorkan bagi pertimbangannya...."

Peruntukan di atas menunjukkan PM tidak menyalahgunakan kuasa, tetapi menggunakan kuasanya menerima calon lain untuk diangkat bagi mendapat perkenan baginda Agong.

Ini perlu difahami kerana menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan kuasa adalah dua perkara yang berbeza.

Jika tidak mahu lagi hal ini berlaku, maka apakah remedinya?

Caranya ialah pihak yang tidak bersetuju hendaklah mempunyai suara majoriti di parlimen untuk meminda perlembagaan dan akta yang berkaitan. Jika tidak mempunyai suara majoriti, maka pihak yang tidak bersetuju bolehlah membawa kes ini ke mahkamah undang-undang untuk keputusan yang autoritatif.

Begitulah.

Recent Posts Widget

.

.