PARTI BARU GERAKAN HARAPAN BARU
Pas Selangor mengambil maklum tentang penubuhan parti politik yang baru dan kita juga maklum bahawa sebahagian besar dari jawatankuasa mereka adalah bekas ahli kita di Selangor.
"Kita menghormati keputusan mereka dan ini sekaligus menamatkan keahlian mereka menurut Fasal 13(1)(c) Perlembagaan Pas"
Pas Selangor mengarahkan agar semua jawatan yang pernah di sandang oleh bekas ahli kita, akan di pangku dengan serta merta menurut kaedah perlembagaan.
"Berkuatkuasa serta merta semua kepimpinan Selangor di peringkat kawasan dan cawangan agar mengambil dan memangku jawatan yang telah dikosongkan oleh mereka yang telah berpindah ke parti baru. Ini selaras dengan perlembagaan pas yang ada"
"Pas Selangor akan terus berperanan dalam dalam kerajaan Selangor. Dan kita yakin Pas akan tetap menjadi parti teras di Selangor dan Malaysia ini, dan sebarang kelemahan yang ada akan kita perbaiki"
Mohd Khairuddin Othman
Setiausaha Pas Selangor
13/7/15 @ 5.40 petang
UMNO JANGAN MIMPI UNTUK AMBIL ALIH NEGERI SELANGOR DARI PINTU BELAKANG.
UMNO diingatkan supaya tidak bermimpi untuk mengambil alih negeri Selangor melalui pintu belakang.
Baru-baru ini Pengerusi UMNO Selangor mencabar Exco-Exco PAS meletakkan jawatan dan DAP menarik diri dari kerajaan.
Kami melihat tuntutan ini seolah-olah satu helah agar UMNO dapat kembali menguasai kerajaan negeri Selangor.
Setelah ditolak oleh rakyat pada PRU12 dan PRU13, UMNO dilihat telah mengubah strategi di dalam usaha untuk kembali berkuasa di Selangor.
Nasihat kami kepada mereka adalah supaya menggunakan saluran yang betul untuk mendapatkan kuasa iaitu melalui proses pilihan raya.
Jangan mengulangi peristiwa di Perak di mana Ahli-Ahli Dewan Negeri Pakatan Rakyat telah dipujuk untuk bersama dengan Barisan Nasional.
Sila berpolitik secara bersih dan bermaruah.
YB Dato' Iskandar A. Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
13 Julai 2015
BELUM ADA PENGUMUMAN BERSAMA PAKATAN RAKYAT TELAH DIBUBARKAN.
PAS bertegas Kerajaan Negeri Selangor hari ini adalah masih kerajaan Pakatan Rakyat (PR).
Tidak pernah ada pengumuman dari YAB Dato' Menteri Besar bahawa kerajaan negeri PR tidak lagi wujud.
Tidak ada juga sebarang pengumuman bersama dari pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti PR bahawa pakatan ini tidak lagi wujud.
PAS masih komited terhadap PR dan perkara ini ditegaskan pada Muktamar yang baru lalu.
Keputusan Majlis Syura Ulamak (MSU) baru-baru ini juga tidak memutuskan PAS keluar dari PR.
Tetapi mungkin terdapat mereka yang tersilap membaca keputusan MSU sehingga menyangka dan mempercayai MSU mahukan PAS keluar dari pakatan ini maka dengan itu perlu keluar dari kerajaan.
Oleh yang demikian, tidak ada sebab kenapa PAS perlu keluar dari kerajaan di Selangor.
Sekiranya PAS telah keluar dari PR maka ketika itu PAS mungkin perlu menarik diri dari sebarang kerajaan pakatan tersebut.
YB Dato' Iskandar A. Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
13 Julai 2015