Zulhazmi Shariff: Rombakan Jemaah Menteri dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)

1:08 PM 0 Comments A+ a-



ROMBAKAN JEMAAH MENTERI DAN JAWATANKUASA KIRA-KIRA WANG NEGARA (PAC)

Semalam Perdana Menteri Malaysia mengumumkan rombakan Jemaah Menteri yang mana melibatkan perlantikan Pengerusi dan empat (4) orang Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebagai anggota Jemaah Menteri yang baru.

Ekoran daripada kemasukan Pengerusi PAC ke dalam Jemaah Menteri, beliau mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai Pengerusi PAC selari dengan peruntukkan Peraturan 77 (4) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Peraturan 77 (4) menyatakan bahawa seseorang ahli Majlis tidak boleh diangkat
atau dilantik memegang atau memangku jawatan Pengerusi atau jadi Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara semasa ia jadi seorang Menteri.

Beliau juga kemudiannya mengumumkan bahawa semua prosiding PAC akan ditangguhkan sehingga seorang Pengerusi dan ahli-ahli baru PAC dilantik di dalam sidang Dewan Rakyat bermula 19 Oktober 2015 nanti.

Perlu kita ambil perhatian bahawa mengikut Peraturan 77 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, PAC hendaklah mempunyai seorang Pengerusi, seorang Naib Pengerusi dan tidak kurang enam (6) dan tidak lebih dari dua belas (12) orang anggota yang dipilih oleh Jawatankuasa Pemilih pada setiap permulaan sesi Parlimen.

Sebelum rombakan Jemaah Menteri, PAC mempunyai sebelas (11) orang Ahli Jawatankuasa tidak termasuk Pengerusi dan Naib Pengerusi. Seperti yang diketahui, Pengerusi PAC ialah YB Datuk Nur Jazlan Mohamed manakala Naib Pengerusi ialah YB Dr. Tan Seng Giaw. Sebelas (11) Ahli pula ialah tujuh (7) daripada Barisan Nasional iaitu YB Datuk Seri Reezal Merican, YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin, YB Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, YB Hasbi Habibollah, YB Wee Jeck Seng, YB Liang Teck Meng dan YB Madius Tangau. Dua (2) orang ahli mewakili PKR ialah YB Datuk Kamarul Bahrain Abbas dan YB William Leong manakala PAS dan DAP diwakili masing-masing oleh YB Dato' Kamaruddin Jaafar dan YB Tony Pua.

Selepas Jemaah Menteri dirombak semalam, Pengerusi dan empat (4) Ahli PAC terlibat yang mana mereka dengan sendiri sudah tidak layak menganggotai PAC berdasarkan Peraturan 77 (4) di atas.

Walau bagaimana pun PAC masih boleh meneruskan agenda mereka dengan ketiadaan Pengerusi dan empat (4) ahli yang terlibat dalam rombakan Jemaah Menteri. Peraturan 77 (2) dan 77 (3) jelas bahawa PAC hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya enam (6) ahli yang tidak termasuk Pengerusi dan Naib Pengerusi. Peraturan 77 (3) jelas menyatakan bahawa dalam ketiadaan Pengerusi atau Naib Pengerusi, Jawatankuasa hendaklah memilih salah seorang daripada Ahli untuk diangkat sebagai Pengerusi untuk mempengerusikan mesyuarat.

Sekarang PAC masih mempunyai Naib Pengerusi dan lapan (8) orang Ahli Jawatankuasa yang seharusnya mampu dan berhak untuk meneruskan agenda menyiasat skandal 1MDB.

Pandangan YB Datuk Nur Jazlan bahawa semua prosiding PAC ditangguhkan sehingga Pengerusi dan Ahli PAC yang baru dilantik tidak boleh diguna pakai malah ianya dengan jelas menunjukkan bahawa tindakan mengambil mereka sebagai ahli Jemaah Menteri yang baru semata-mata untuk merencatkan proses siasatan PAC ke atas 1MDB dan lain-lain isu berkaitan.

Pandangan YB Datuk Nur Jazlan tersebut tidak perlu diambil kira lagi kerana beliau bukan lagi Pengerusi PAC dan sudah tiada apa-apa hubungan langsung dengan PAC. PAC sekarang terletak kuasanya di bawah Naib Pengerusi sedia ada.

Justeru seluruh Ahli Parlimen hendaklah memberikan sokongan dan dokongan kepada Naib Pengerusi PAC YB Dr. Tan Seng Giaw untuk menggunakan kuasanya sebagai Naib Pengerusi untuk memanggil mesyuarat PAC dan meneruskan agenda PAC menyiasat skandal 1MDB.

Jangan biarkan Perdana Menteri memperkotak katikkan PAC yang berada di bawah Parlimen. Jangan biarkan Perdana Menteri melarikan isu dan melengah-lengahkan sebarang proses penyiasatan.

PAC perlu teruskan agenda.

Jelas rombakan Jemaah Menteri sebenarnya adalah usaha Najib untuk memanjangkan hayat politiknya bukan untuk kebaikan negara sebaliknya lebih menjahanamkan masa depan negara.

BERANI BERUBAH.

ZULHAZMI SHARIFF
29072015

 



--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.