JUHAM PAS: Pemecatan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail Tidak Sah

11:09 AM 0 Comments A+ a-



PEMECATAN PEGUAM NEGARA TAN SRI GANI PATAIL TIDAK SAH

1. Pagi ini kita dikejutkan dengan berita penamatan perkhidmatan (pemecatan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkuat kuasa semalam, 27/7/2015. Tan Sri Apandi Ali (bekas Hakim Mahkamah Persekutuan) telah dilantik untuk sebagai Peguam Negara yang baru. Tan Sri Gani Patail, berdasarkan laporan berita online, dilaporkan sebagai tidak mengetahui tentang pemecatan tersebut sehinggalah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.


2. Apa yang jelas, pemecatan Tan Sri Gani Patail adalah langkah yang terburu-buru serta bercanggah dengan perlembagaan. Berdasarkan penelitian terhadap peruntukan Artikel 145(1) Perlembagaan Persekutuan, kedudukan dan status Peguam Negara adalah sama taraf dengan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

3. Perkara 145(6) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Peguam Negara tidak boleh dipecat melainkan berdasarkan sebab-sebab dan kaedah-kaedah yang sama sebagaimana pemecatan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan [..shall not be removed from office except on the like grounds and in the like manner as a judge of the Federal Court].

4. Manakala Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan dalam bab pemecatan Hakim Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa seseorang Hakim Mahkamah Persekutuan boleh dipecat - apabila terdapatnya representasi daripada Perdana Menteri, atau daripada Ketua Hakim Negara selepas berbincang dengan Perdana Menteri, kepada Agong, maka dalam keadaan sedemikian Agong hendaklah menubuhkan satu tribunal untuk merujuk representasi tersebut kepada tribunal, dan bolehlah selepas menerima rekomendasi tribunal tersebut, untuk memecat Hakim (Peguam Negara) dari jawatannya.

5. Secara umumnya sesuatu tribunal ditubuhkan untuk membicarakan isu perlanggaran kod etika dan masalah kesihatan. Anehnya dalam kes Tan Sri Gani Patail, tiada apa-apa tribunal ditubuhkan bahkan Tan Sri Gani Patail sendiri mengakui beliau tidak tahu menahu tentang pemecatan sehinggalah dimaklumkan sedemikian.

6. Justeru walau pun kita mungkin tidak mengenali atau menyukai Tan Sri Gani Patail atas apa sebab sekali pun, pemecatan Tan Sri Gani Patail adalah merupakan satu bentuk pencabulan Perlembagaan yang perlu dikecam. Pencabulan Perlembagaan dan penafian hak untuk dibicarakan (oleh tribunal) terhadap individu bernama Tan Sri Gani Patail ini, memburukkan lagi pencabulan amanah rakyat serta krisis kepercayaan yang sedang melanda negara. Pemecatan Peguam Negara yang bercanggah dengan Perlembagaan ini akan terus mengaibkan negara, dikala negara sedang lemas dengan skandal 1MDB.

Wan Rohimi Bin Wan Daud

Pengerusi,
Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham)
Dewan Pemuda PAS Malaysia







--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.