Derma RM2.6 Billion Yang Diterima Oleh Najib Razak Adalah Jenayah Rasuah Sec 3 MACC Act - Mohd Fitri Asmuni

7:40 PM 0 Comments A+ a-



Semalam semasa program Forum Santai Rakyat: Derma RM2.6 bilion, moderator program ada melontarkan satu soalan kepada saya, adakah derma RM2,600 juta yang masuk ke dalam akaun Najib itu merupakan satu jenayah rasuah.

Saya dengan terus terang dan jelas mengatakan "Ya, ia merupakan satu jenayah rasuah!". Saya tidak ragu-ragu dengan jawapan saya.

Saya tidak menuduh DS Najib sebarangan, tetapi fakta dan undang-undang yang menjelaskannya.

Hakikatnya DS Najib yang telah mengesahkannya apabila beliau sendiri mengakui bahawa RM2.6 bilion tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan menjelaskan bahawa duit tersebut adalah hasil sumbangan derma seorang hartawan dari Timur Tengah.

Sec. 3 Malaysian Anti-Corruption Commission Act 2009 (MACC Act) mentafsirkan "Officer of a Public Body" itu termasuklah "..a member of the administration, a member of parliament..". Kita semua tahu ketika DS Najib menerima derma tersebut, beliau merupakan seorang ahli Parlimen dan Perdana Menteri Malaysia yang mengetuai pentadbiran kerajaan dan negara. Oleh itu, kedudukan beliau itu memang tidak boleh dinafikan tergolong sebagai "Officer of a Public Body" sebagaimana yang ditafsirkan oleh Sec. 3 MACC Act 2009. Ini fakta !

Sec. 3 MACC Act 2009 juga ada menafsirkan perkataan "Gratification" di mana Sec. 3 tersebut mengkategorikan derma, sumbangan atau hadiah sebagai sebahagian daripada pengertian Gratification. Istilah ini penting kerana ia adalah "subject matter" yang akan membawa kepada penentuan samada perbuatan menerima atau memberi objek tersebut adalah rasuah atau sebaliknya. Berbalik kepada perkataan Gratification yang ditafsirkan sebagai derma, sumbangan atau hadiah oleh Sec. 3 MACC Act, ia selari dengan kenyataan DS Najib yang mengesahkan siasatan SPRM bahawa duit RM2.6 bilion yang berada di dalam akaun peribadinya itu adalah wang derma dan sumbangan. Bermakna, RM2.6 bilion yang dikatakan derma itu termasuk di dalam pengertian Gratification seperti yang ditafsirkan oleh Sec. 3 MACC Act tersebut. Ini fakta !

Sec. 16 MACC Act 2009 selanjutnya menjelaskan bahawa menerima Gratification (Baca: derma, sumbangan atau hadiah) adalah merupakan satu kesalahan. Perbuatan menerima derma, sumbangan atau hadiah tersebut menjadi satu kesalahan apabila "dia menerimanya untuk dirinya atau untuk pihak lain sebagai dorongan atau upah bagi mana-mana orang melakukan atau tidak melakukan apa-apa tindakan berkenaan dengan apa-apa perkara atau transaksi, yang sebenar atau yang dicadangkan atau yang mungkin akan berlaku." Dalam kata lain, menerima derma, sumbangan atau hadiah dari seseorang dengan orang itu tidak mengharapkan sebarang balasan atau timbal balik atau bukan sebagai satu dorongan ke arah melakukan sesuatu perkara atau transaksi daripada orang yang memberi itu tidaklah dianggap satu kesalahan di bawah Sec. 16 MACC Act. Tetapi sekiranya elemen-elemen tersebut wujud, maka ia secara prima facienya merupakan satu kesalahan di bawah MACC Act. Merujuk kepada beberapa kenyataan terdahulu yang dibuat oleh DS Najib, duit sebanyak RM2.6 bilion tersebut didermakan untuk kegunaan UMNO.

Persoalannya, mengapa ada pihak yang sanggup derma duit berbilion ringgit itu kepada Najib? Sanggupkah orang yang waras mendermakan jumlah wang sebanyak itu kepada Perdana Menteri tanpa mengharapkan apa-apa balasan?

Najib sebagai pemegang amanah? Persoalannya, kalau duit itu memang untuk UMNO dan Najib hanya pemegang amanah, mengapa Majlis Tertinggi UMNO sendiri tidak tahu tentang duit itu sedangkan ia telah didermakan sebelum PRU-13 lagi?

Bagaimana penderma itu boleh benar-benar yakin dan percaya bahawa duit yang dimasukkan ke dalam akaun Najib itu akan benar-benar digunakan untuk UMNO? Siapakah saksi lain di kalangan MT UMNO yang menjadikan saksi diantara Najib dengan penderma itu?

Adakah "naive" sangat penderma itu sehingga tidak tahu bahawa akaun pemegang amanah adalah lebih terjamin dan selamat jika duit itu hendak didermakan untuk UMNO? Adakah penderma itu tidak tahu risiko berlakunya "breach of trust" jika duit yang didermakan untuk UMNO itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi seseorang?

Persoalan-persoalan atau keraguan di atas perlu dijawab dengan segera oleh DS Najib.

Yang terakhir adalah Sec. 50 MACC Act. Section inilah yang membuatkan saya berani untuk mengatakan bahawa DS Najib, apabila menerima derma sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya itu sebenarnya telah DIANGGAP melakukan kesalahan rasuah menurut Sec. 16 MACC Act kerana Sec. 50 MACC Act jelas menyebut bahawa, "..jika dibuktikan bahawa dia telah menerima apa-apa derma, sumbangan atau hadiah, maka derma, sumbangan atau hadiah itu hendaklah dianggap telah secara rasuah diterima sebagai dorongan atau upah bagi perkara yang dinyatakan dalam seksyen 16 MACC Act, melainkan jika orang itu membuktikan sebaliknya".

Sec. 50 MACC Act meletakkan beban kepada DS Najib untuk menafikan ANGGAPAN rasuah yang dilakukannya itu. Persoalan-persoalan yang saya bangkitkan di atas tadi merupakan persoalan-persoalan penting yang secara prima facienya boleh mengesahkan DS Najib kepada salah laku rasuah jika beliau gagal untuk menjawab dan menjelaskannya kepada rakyat.

Maka dengan sebab itu kita mendesak DS Najib menjawab kesemua persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat dan rakyat mahukan ketelusan berkaitan perkara tersebut dari mulut beliau sendiri, bukannya dari badut-badut yang berada di sekelilingnya seperti Rahman Dahlan, Azalina Othman dan lain-lain.

Sudah tentu sekiranya beliau enggan atau gagal untuk menjawabnya, maka rakyat berhak untuk menghukum beliau sebagai "the most corrupt Prime Minister" dan sekiranya beliau masih terus bebas dalam keadaan beliau gagal meyakinkan rakyat terhadap persoalan-persoalan tersebut, maka DS Najib dan UMNO/BN berhak menerima hukuman daripada rakyat pada PRU-14 yang akan datang.

Rakyat teruskan desakan !

‪#‎HarapanBaru‬

MOHD FITRI ASMUNI
Timbalan Ketua Pemuda
Gerakan Harapan Baru
Negeri Perak


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.