Nilai Ringgit akan menjunam jika kerajaan timbul curiga pada Bank Negara - Tuan Ibrahim Tuan Man
Nilai Ringgit akan menjunam jika kerajaan timbul curiga pada Bank Negara
Akibat krisis hutang 1MDB, pelabur telah mula meragui integriti kepimpinan negara. Keadaan bertambah parah selepas tindakan polis menyiasat terhadap SPRM dan Jabatan Peguam Negara dan sidang Jawatankuasa Kira-kira Awam ditangguhkan tatkala siasatan terhadap 1MDB rancak dijalankan.
Ura-ura sedang rancak bahawa tindakan seterusnya akan disasarkan kepada Bank Negara. Tun Dr Mahathir Mohamad juga dapat menghidunya. Ia bermula sejak kemunculan blog-blog misteri sejurus pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri yang cuba membangkitkan keraguan terhadap Bank Negara dan Gabernornya Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hangat dipromosikan di sosial media.
Jika kerajaan melakukan apa-apa yang mencemar dan menimbulkan curiga terhadap Bank Negara dan juga Gabernornya Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tanpa asas yang kukuh, nilai Ringgit dijangka akan menjunam lebih teruk, dan kemungkinan melepasi paras krisis kewangan 1998.
Fikir sebelum bertindak. Utamakan kepentingan rakyat dan negara. Apa yang diperlukan waktu ini ialah ketelusan dan siasatan diteruskan tanpa gangguan dan bukannya tindakan membalut kertas dengan api untuk mengembalikan keyakinan pelabur.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
11 Ogos 2015
Sila kongsi artikel ini...