Kebebasan Akademik dan Minda Negara Maju - Dr Maszlee Malik
Kebebasan Akademik dan Minda Negara Maju
Hanif Mahpa dan Afiqah Zulkifli merupakan nafas baru penyambung tradisi intelektualisme dan usaha pemugaran aktivisme mahasiswa.
Saya mengenali mereka melalui aktivisme yang mereka terlibat samada yang bercorak akademik mahupun kemanusiaan. Selain bersikap non-partisan, kedua mereka konsisten di dalam membawa budaya berfikir dan minda jiwa merdeka di kalangan siswa dan siswi UIAM selari dengan ruh kebebasan akademik yang sepatutnya menjadi tunjang mana-mana institusi pengajuan tinggi yang bermaruah dan berintegriti.
Keberanian mereka menganjuran forum GST yang melibatkan wakil UMNO dan PKR adalah cerminan terhadap minda siswa kelas dunia. Adalah sesuatu yang lazim dan normal bagi mana-mana IPT di negara-negara maju dan dunia pertama untuk menganjurkan program-program pertukaran ide, debat ataupun forum yang melibatkan semua pihak agar tahap intelektualisme siswa dan siswi tidak di'Pandir'kan. Kedua mereka mempunyai jiwa siswa negara maju dan juga minda kelas dunia di atas penganjuran forum seumpamanya.
Malangnya minda kelas pertama dan juga negara maju mereka tidak dihargai. Sebagai balasannya kedua mereka telah dikenakan hukuman yang berat oleh pihak pentadbir UIAM. Hal ini amat dikesalkan dan sekaligus menambahkan lagi rekod reputasi negatif UIAM di mata masyarakat akademik antarabangsa. Lagak seumpama ini hanya membariskan UIAM setaraf dengan mana-mana universiti dunia ketiga dari segi ruang kebebasan akademik.
Pihak pentadbir wajib mengkaji semula keputusan mereka dan telah sampai masanya untuk mempertingkatkan cara fikir dan cara bertindak. Usah kerana ambisi peribadi individu tertentu yang rakus keduniaan dan dangkal mindanya, nilai intelektualisme dan kebebasan akademik diperkosa.
Siswa dan siswi perlu bangkit dengan minda masyarakat negara maju yang berjiwa merdeka dan berdaya saing di dalam segenap lapang kehidupan.... Sapere aude!
Dr Maszlee Malik
Presiden
Academic Staff Association (ASA)
UIAM
.
Sila kongsi artikel ini...