Tahniah Lee Chong Wei. Wake up call kepada BAM. - DACS Selangor

8:37 PM 0 Comments A+ a-



Tahniah Lee Chong Wei. Wake up call kepada BAM.
Tahniah kepada Lee Chong Wei, pemain perseorangan badminton negara yang telah mendapat tempat kedua dalam aksi final Kejohanan Dunia 2015 di Istora Senayan, Jakarta. Pertarungan sengit dipamerkan oleh kedua-dua pemain sebelum Lee Chong Wei tewas kepada Chen Long dengan kiraan mata 14-21, 17-21 dalam masa 65 minit. DACS Selangor berasa amat bangga dengan pencapaian yang dicapai oleh Lee Chong Wei. Beliau menunjukkan satu contoh yang baik kepada semua atlet sukan di Malaysia bahawa kita boleh mencapai sesuatu yang luar biasa jika kita berusaha bersungguh-sungguh. Beliau bangkit daripada isu doping yang dialami beliau tahun lepas dengan amat baik sekali. Tanpa menoleh kebelakang beliau menjuarai beberapa siri kejohanan badminton tahun ini dan kini tempat kedua dalam Kejohanan Badminton Dunia 2015. Satu pencapaian yang amat membanggakan bagi seseorang atlet.

DACS Selangor berpendapat keputusan yang dicapai oleh Lee Chong Wei dalam Kejohanan Badminton Dunia 2015 ini merupakan satu “wake up call” kepada BAM selaku badan induk badminton negara untuk melahirkan lebih ramai lagi pemain seperti Lee Chong Wei. Dengan umur beliau sudah menginjak ke 33 tahun, negara masih ketandusan pemain-pemain pelapis yang mampu menandingi beliau. BAM sepatutnya kini telah melahirkan 2, 3 orang pemain pelapis yang mampu menggantikan tempat Lee Chong Wei, tetapi malangnya perkara tersebut tidak berlaku. Lee Chong Wei masih lagi menjadi sandaran utama BAM setiap kali kejohanan badminton peringkat antarabangsa.

DACS Selangor berharap satu kerjasama yang jitu dan mantap daripada Kementerian Belia Sukan (KBS) dan BAM dalam merangka strategi untuk melahirkan pelapis-pelapis badminton negara. Kita boleh ambil contoh Jepun dalam aspek pembangunan badminton negara mereka apabila kini Jepun menjadi salah satu kuasa besar dalam arena badminton dunia. Ramai pemain-pemain badminton lelaki dan perempuan yang mereka telah hasilkan seperti Kenichi Tago, Kento Momota dan ramai lagi. Ketepikan masalah dalaman yang sering melanda BAM, fokus kepada agenda utama iaitu memperkasakan pelan pembangunan badminton negara. Hentikan politing dalam pengurusan sukan yang akhirnya pemain yang akan menjadi mangsa. Luaskan usaha untuk mencari bakat-bakat baru di seluruh negara. Perbanyakkan program-program di akar umbi dan kenal pasti potensi-potensi baru di luar sana. Ketengahkan bakat-bakat baru yang meningkat naik seperti Zulfadli Zulkifli dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa.

Akhir kalam, DACS Selangor mendoakan agar Lee Chong Wei terus berjaya dalam kariernya selaku pemain badminton negara dan seterusnya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. DACS Selangor sekali lagi menyeru agar semua badan-badan berkepentingan dalam sukan badminton negara agar dapat mengembeling tenaga bersama-sama dan bersungguh-sungguh dalam meningkatkan martabat sukan badminton negara. BAM selaku badan induk badminton negara haruslah berfikiran terbuka dalam menerima sebarang idea bagi membangunkan sukan badminton di negara ini. Kami DACS Selangor akan turut serta dalam usaha ini dengan menganjurkan siri kejohanan-kejohanan badminton di peringkat akar umbi agar bakat baru dapat dikenal pasti. Seperti sabda nabi, maksudnya : "Sesungguhnya Allah S.W.T. suka apabila seseorang diantara kamu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh" (Riwayat At-Tabrani).

Majulah sukan untuk negara.

MUHAMMAD FADZLI BIN ABU BAKAR
Pengarah,
Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Selangor.

Dewan Pemuda PAS Selangor.



Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.