Wajib Sokong Usul Demi Selamatkan Negara - Fakhrulrazi Mohd Mokhtar AMANAH
Kenyataan Akhbar
Pemuda AMANAH Nasional
20 OKTOBER 2015
WAJIB SOKONG USUL DEMI SELAMATKAN NEGARA
1. Pemuda AMANAH Nasional menyifatkan usul undi tidak percaya yang akan dibawa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat adalah tepat dan sejajar dengan perkembangan mutakhir ini.
2. Kami menyambut baik usul tersebut dalam usaha menyelamatkan negara daripada terus 'dirosakkan' oleh BN dibawah pentadbiran perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Usul ini sangat penting kepada negara yang sedang berada dalam keadaan yang sangat tenat setelah menyaksikan Najib selaku ketua kerajaan gagal memimpin negara dengan bersih dan amanah.
3. Pentadbirannya menyaksikan berlaku pelbagai skandal besar terutama berkaitan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan sejumlah wang negara dengan nilai begitu besar. Kerajaan pimpinan Najib juga telah gagal meguruskan ekonomi Malaysia hingga berada di tahap cukup membimbangkan.
4. Najib telah mengheret kegagalannya ke atas rakyat, ini termasuklah dengan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menyebabkan kos sara hidup di semua kelompok rakyat meningkat. Ditambah lagi dengan kenaikan harga bahan bakar petroleum yang seolah-olah menjadi rutin bulanan.
5. Ada yang berpandangan, Najib tidak sepatutnya diseru meletakkan jawatan sebaliknya wajar menghadap rakyat di dalam pilihan raya umum yang akan datang. Kami turut menyokong agar beliau dihukum dan diadili melalui pilihan raya namun dalam suasana yang cukup kritikal seperti sekarang ini, usaha mendesak Najib meletakkan jawatan wajar disokong.
6. Jika dibiarkan Najib terus berkuasa, kami sangat risau ekonomi dan urus tadbir negara akan sampai satu tahap yang cukup teruk seterusnya rakyat terpaksa menanggung bebanan tersebut. Dalam keadaan ini, kami lebih memikirkan nasib yang akan dan terpaksa ditanggung oleh rakyat sekiranya Najib terus berkuasa.
7. Pengunduran Najib sangat penting dalam menyelamatkan negara. Tempoh untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang masih jauh, tidak mustahil keadaan akan menjadi semakin meruncing sekiranya Najib dibiarkan terus 'bermaharaja lela'.
8. Oleh yang demikian, kami menyeru dan merayu kepada seluruh wakil rakyat terutama wakil rakyat kerajaan agar menyokong usul yang akan dikemukakan. Fikirkan masa depan negara dan kesejahteraan rakyat melebihi segala-galanya. Kasihanilah rakyat di kawasan masing-masing yang sedang bergelut melalui kehidupan seharian dengan penuh bebanan!
#HarapanBaru
#IslamRahmatUntukSemua
USTAZ HAJI MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Naib Ketua,
Pemuda AMANAH Nasional
Sila kongsi artikel ini...