Bajet 2016: Mahu berjimat atau belanja? – Syahir Sulaiman
Bajet 2016: Mahu berjimat atau belanja? – Syahir Sulaiman
“Yusuf menjawab: Hendaklah kamu bertanam 7 tahun seperti biasa, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkai; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makanan. Kemudian akan datang selepas itu, 7 tahun yang bersangatan kemaraunya, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan bagi mereka; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan. Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah hasil.” (Yusuf: 47–49).
Bajet adalah pilihan
Bajet adalah instrumen penting kerajaan dalam memperincikan unjuran pendapatan dan perbelanjaan bagi tahun mendatang.
Komponen utama sesebuah bajet adalah sumber hasil (cukai, bukan cukai, pinjaman) dan agihan perbelanjaan (pengurusan, pembangunan, pembayaran hutang), demi mencapai objektif utama dasar ekonomi iaitu memacu pertumbuhan secara mampan dan inklusif, mengawal kadar inflasi dan kos sara hidup, serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di segenap peringkat.
Justeru, setiap peruntukan di dalam belanjawan dirangka mengikut keutamaan dan matlamat sosioekonomi negara dengan mengambil kira keperluan dan pertimbangan faktor dalaman dan luaran semasa.
Prinsipnya adalah sama, tanpa mengira samada anda seorang perdana menteri yang mengetuai sebuah kerajaan atau seorang bapa yang mengetuai sebuah keluarga, iaitu “berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan, bukan mengikut kemahuan”.
Bajet 2015 – defisit berkembar
Di dalam pembentangan bajet untuk 2015, kerajaan persekutuan mengunjurkan pendapatan sekitar RM235 bilion dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM274 bilion.
Kerajaan dijangka akan menanggung defisit sekitar RM36 bilion iaitu 3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan situasi ini berlarutan sejak 1998 (18 tahun berturut-turut), mengakibatkan kerajaan tiada lebihan dan simpanan malah terpaksa bergantung kepada hutang.
Pihak kerajaan menyedari paras hutang persekutuan menghampiri paras siling 55% kepada KDNK dan tiada pilihan selain mengurangkan perbelanjaan dengan cara paling mudah iaitu mengurangkan subsidi di samping mencari sumber pendapatan baharu dengan melaksanakan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April 2015.
Natijahnya, Bajet 2015 sedikit tersasar daripada unjuran awal, khususnya dalam aspek pertumbuhan ekonomi, kos sara hidup / inflasi, dan peluang pekerjaan.
Pertumbuhan KDNK 2015 diunjur malar pada 4%-5%, inflasi terus menjalar sekitar 3%, defisit kian melebar ke paras 3.5%, hutang kerajaan makin mengakar ke paras 53%, tabungan rakyat semakin sukar, dan nilai ringgit jatuh berbanding dolar Amerika pada kadar 20%.
Skandal yang melanda 1Malaysia Development Berhad (1MDB), khususnya berkenaan hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kiwa Wang Negara (PAC), Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap transaksi pelaburan 1MDB di dalam dan luar negara, di samping sumbangan derma RM2.6 bilion yang diterima perdana menteri, terus menghakis keyakinan rakyat dan pelabur kepada kerajaan, menyebabkan Malaysia berdepan dengan situasi defisit berkembar – defisit-fiskal (fiscal deficit) dan defisit-keyakinan (trust deficit).
Cabaran Bajet 2016
Sebagaimana disebut perdana menteri, tugas merangka Bajet 2016 adalah sangat mencabar, dengan tekanan dari dalam dan luar negara. Lanskap ekonomi global yang tidak menentu serta kejatuhan harga minyak dan nilai ringgit akan mencorak unjuran utama bajet, manakala kesempitan defisit dan hutang kerajaan akan menyukarkan usaha kerajaan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi.
Di samping fokus perlu diberi untuk agenda pembangunan modal insan dan generasi belia, meningkatkan tahap pendidikan dan kesihatan rakyat, penyediaan lebih rumah mampu milik, dan memperkasa dayatahan kuasa beli rakyat yang dibebani kos sara hidup, khususnya di kalangan kelompok B40 yang menjadi sasaran utama RMK11 yang bertemakan “pertumbuhan berpaksikan rakyat”.
Ironisnya, falsafah kerajaan dalam merangka bajet adalah, “Kerajaan akan membelanjakan RM12 daripada setiap RM10 yang diperoleh, dan akan membelanjakan RM120 daripada setiap RM100 yang diperoleh, menyebabkan kerajaan bukan sahaja defisit dan tiada simpanan, malah terpaksa menambah hutang setiap tahun’. Inilah punca permasalahan negara ini, dan tidaklah sukar untuk membaikinya. – 20 Oktober, 2015.-
Sila kongsi artikel ini...