Kadar Muflis Golongan Muda Merisaukan - Nik Nazmi

10:39 AM 0 Comments A+ a-



KADAR MUFLIS GOLONGAN MUDA MERISAUKAN

Laporan Reuters baru-baru ini berkenaan peningkatan kadar muflis golongan muda di Malaysia adalah sesuatu yang merisaukan.

Laporan tersebut memetik data daripada Standard & Poors dan
menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai kadar hutang persendirian tertinggi di antara 14 ekonomi Asia. Angka ini telah meningkat kepada 88% daripada jumlah KDNK negara, daripada 60% pada tahun 2008.


Tambahan pula, data Jabatan Insolvensi Negara menunjukkan bahawa 5547 individu muflis adalah di bawah umur 35 tahun pada tahun lepas, lebih dua kali ganda daripada tahun 2005.

Pada tahun 2014. jumlah orang muflis bagi di bawah golongan umur 25 adalah seramai 635, tiga kali ganda daripada jumlah tahun sebelumnya.

Perkara ini amatlah mengecewakan kerana begitu ramai golongan muda Malaysia yang baru sahaja hendak mengorak langkah ke alam pekerjaan sudah digelar muflis.

Jika ini berlangsungan, ia akan memberi kesan kepada kadar
kepenggunaan domestik yang amatlah diperlukan di dalam keadaan ekonomi yang kurang stabil.

Kita juga tidaklah sepatutnya sewenang-wenangnya mempersalahkan golongan muflis ini, kerana seperti yang dikatakan di dalam laporan tersebut, keadaan terjadi sebegitu akibat mereka mencuba untuk menceburi sesuatu bisnes atau terpaksa berhutang kerana keadaan begitu terdesak.

Jabatan Insolvensi Negara juga mengaku ketika ditemuramah oleh Reuters bahawa ramai golongan muda ini yang dibebankan oleh hutang pelajaran dan juga perbelanjaan seperti pengangkutan dan tempat tinggal.

Data yang dibentangkan ini jelas menunjukkan kegagalan polisi kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang mengutamakan kepentingan politik beberapa individu sahaja dan bukan rakyat keseluruhannya.

GST, peningkatan kos sara hidup dan harga perumahan yang semakin tinggi sehinggakan kebanyakan orang tidak akan mampu membeli mengisyaratkan kegagalan pentadbir untuk menyediakan peluang yang mampan dan sejahtera serta adil untuk setiap rakyat Malaysia.

Perdana Menteri Najib Razak menyatakan bahawa pentadbirannya mendapatkan sokongan daripada golongan "Gen Y". Tetapi siapa yang benar-benar percaya akan pengakuan itu?

KEADILAN dan rakan-rakan seperjuangan kami akan terus berjuang agar setiap rakyat Malaysia memperoleh kehidupan yang lebih baik. Ia perlu dilakukan terutamanya dengan memerangi rasuah serta kepincangan.

Kita juga perlu merombak semua ekonomi negara, dan memberi fokus kepada perkhidmatan dan modal insan, mempertingkatkan penyelidikan dan pembangunan serta produktiviti.

Kebankrapan belia merupakan satu tragedi untuk Malaysia yang mana sudah tentu kita perlu elak. Untuk itu, sesuatu perubahan politik diperlukan supaya kita boleh bergerak maju ke hadapan.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.