Kalau orang dewasa dan kanak-kanak boleh makan di tempat awam, kenapa tidak bayi?
Bayi pun boleh juga makan di tempat awam.
Makanan mereka adalah susu ibu.
Jadi salahkah saya menyusu di tempat awam?
Wahai ibu,
Berilah susu ibu kepada anak.
Itu memang tanggungjawab kita.
Namun, ada caranya.
1. Berlatih di rumah
Supaya kita rasa biasa. Tanya suami samada posisi kita sesuai atau tidak.
2. Pakai pakaian yang sesuai
Ada rahmat di sebalik anjuran supaya memakai tudung menutupi dada. Supaya orang tak perasan kita sedang menyusu. Supaya aurat kita terjaga ketika menyusu. Lebih baik jika ada ‘nursing cover’. Gunakan ‘shawl’ juga boleh sebagai ‘nursing cover’.
3. Pilih tempat yang strategik
Carilah bilik untuk menyusu. Tak ada? Tak jumpa? Tak sempat? Minta tolong suami untuk bantu menghadang kita yang sedang menyusu dan carilah tempat yang tertutup atau tersorok.
Menyusu adalah tindakan yang mulia. Lebih mulia jika kita menjaga adab sebagai wanita Muslim.
Ber’selfie’ ketika menyusu?
Kemudian ‘upload’ di ‘facebook’?
Jadilah wanita yang tahu malu.
Malu adalah sifat orang yang beriman.
Jika tiada malu, fitnah berleluasa. Seperti apa yang sedang berlaku sekarang. Ibu yang menyusukan anak menjadi bahan fitnah. Tempiasnya saya pun terasa.
Dari Abu Mas`ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri radhiAllahu `anhu, dia berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.”
(HR al-Bukhari)
Tak tau malu, buatlah apa hang suka.
Martabat wanita Islam diangkat kerana sifat malunya.
Istimewa.
Oleh:
Dr Yuliana Ayob
Ketua Wanita Isma Cawangan Samarahan
Kenyataan Rasmi Wanita Isma : Isu rokok dan vape

Wanita ISMA meletakkan kesejahteraan wanita, kanak-kanak, keluarga dan masyarakat sebagai agenda utama perjuangan.
Budaya merokok dan vaping yang semakin menular di sekolah dan pusat pendidikan mendatangkan kesan sosial yang ketara dari sudut budaya yang melekakan, ketagihan, pembaziran dan boleh mengancam kesihatan dan nyawa. Begitu juga kaum wanita yang boleh dilihat hilang nilai kewanitaannya akibat merokok dan vaping.
Islam adalah agama yang diturunkan untuk menjaga nyawa, harta, akal, keturunan dan maruah ummat.
Sehubungan dengan itu, Wanita ISMA menolak dan membantah sebarang usaha yang mengharuskan dan menggalakkan budaya merokok dan vaping yang dilihat boleh mengancam kesihatan dan nyawa, malah membazirkan duit itu sendiri.
Budaya merokok mempunyai komplikasi kesihatan yang besar seperti penyakit barah dan penyakit paru-paru kronik obstruktif atau COPD.
Manakala vape dan e-cigarette pula, mengandungi bahan-bahan kimia seperti nikotin yang menyebabkan ketagihan dan gangguan saraf otak, serta propylene glycol dan formaldehyde yang mengganggu sistem pertahanan paru-paru.
Kesan vaping, telah dikesan melalui kajian haiwan di makmal. Walaupun kesannya ke atas manusia masih di peringkat kajian, pengaruh ini sebagai gaya hidup yang “cool” dan “trendy” telah merebak dan dikhuatiri para ibu bapa yang mengamalkan vaping mendedahkan anak anak mereka kepada pelbagai risiko, termasuk ibu-ibu mengandung yang mungkin menyangka vape lebih baik dari merokok.
Wanita ISMA menyeru pihak kerajaan mengambilkira keburukan dan kesan negatif kepada tingkah laku anak-anak dan remaja sekiranya mengharuskan penggunaan rokok dan vape, yang jauh lebih merugikan negara dari sudut ekonomi, kesihatan dan nilai syakhsiyyah masyarakat.
Wanita ISMA juga menyeru seluruh masyarakat berbilang agama dan bangsa menolak habit merokok dan vaping menjadi budaya baru dalam masyarakat Malaysia hari ini.
Dr Nor Saleha Mohd Salleh
Ketua Wanita ISMA
5 Oktober 2015
Apa dah jadi kepada Filipina?
Dulunya Manila diperintah oleh Raja Sulaiman. Mindanao diperintah oleh Sultan Muhammad Kabungsuwan. Sekarang dah jadi negara Kristian. Disamping puluhan agama lagi di dalamnya.
Apa dah jadi kepada Vietnam?
Dulu namanya kerajaan Melayu Islam Campa (Panduranga, Kauthara, Vijaya, Inderapura, Simhapura). Sekarang dah jadi negara Buddha. Orang Malaysia tak tahu pun Vietnam tu dulu kerajaan Melayu Islam.
Apa jadi kepada Thailand?
Sebahagiannya dulu wilayah Melayu Islam dan tempat lahir ulamak Islam nusantara. Sekarang dah jadi negara Buddha. Orang Melayu dah tak reti cakap Melayu dan tak tahu tulisan jawi. Budak sekolah rendah Melayu dah percaya bahawa Kedah / Kelantan adalah asal Thailand yang dijajah oleh Malaysia.
Ada dah jadi kepada Singapura?
Dulunya diberi nama Temasek, tempat berdagang pelbagai rumpun Melayu. Tempat berlabuh sultan-sultan Melayu Riau Lingga. Sekarang jadi negara apa entah ... Anak kita kat Johor pun tak tahu Singapura negeri Melayu Islam dulunya.
Apa dah jadi?!
Kalau sejarah kita lupakan...
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden ISMA

--KENYATAAN MEDIA
Tarikh: 11 September 2015
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), melalui Tetuan Fuad Abi & Aidil, telah memfailkan writ saman ke atas peguam Eric Paulsen, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2hb September 2015 yang lalu.
Writ Saman ini difailkan berhubung tindakan Eric Paulsen yang mengeluarkan kenyataan yang bersifat fitnah terhadap ISMA melalui akaun twitternya pada bulan Januari tahun ini.
Kenyataan bersifat fitnah itu, sama ada dalam maknanya yang biasa dan lazim atau tersirat, antara lain membawa maksud ISMA adalah kumpulan ekstrimis yang cenderung melakukan tindakan keganasan seperti insiden Charlie Hebdo di Paris pada 7 Januari tahun ini.
Sebelum daripada memfailkan writ saman ini, ISMA melalui peguamnya telah terlebih dahulu mengeluarkan surat tuntutan kepada Eric Paulsen agar memadam kenyataan bersifat fitnah dalam akaun twitternya, serta menuntut permohonan maaf yang tiada berbelah dan tanpa bersyarat.
Walaubagaimanapun, Eric Paulsen telah menyatakan keengganan untuk memenuhi tuntutan tersebut.
Sehubungan itu dalam writ saman yang difailkan ini, ISMA menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta atas kerosakan dan kecederaan reputasi yang dialami, selain ganti rugi teruk dan ganti rugi tauladan yang terserah kepada taksiran Mahkamah, serta turut menuntut permohonan maaf yang tiada berbelah dan tiada bersyarat.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Tuan Azmil Muntapha telah mengesahkan melalui surat bertarikh 7 September 2015 bahawa Writ Saman ini telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Bahagian Sivil NCVC 10, dan telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 5 hb Oktober 2015 pada jam 9.30 pagi. Plaintif dalam tindakan ini adalah Salman al-Farisi bin Selamat, yang merupakan pegawai awam ISMA.
ISMA, melalui tindakan saman ini, mewakili umat Islam di negara ini bagi memberikan pengajaran kepada mereka yang sering mengeluarkan kenyataan celupar terhadap Islam serta badan-badan yang berjuang mempertahankan kedudukan istimewanya dalam Perlembagaan negara.
Mohd Hazizi bin Ab Rahman
Ketua Penerangan Isma
Kenyataan Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) dalam akhbar hari ini berkenaan perjanjian Perkongsian Trans – Pasifik (TPPA) menunjukkan kerajaan masih berusaha mahu menunjukkan sisi positifnya. Sedangkan rakyat tahu TPPA mempunyai kesan yang buruk pada jangka masa panjang.
Oleh itu, kerajaan perlu henti layan rakyat seperti kanak-kanak yang diselubungi perasaan takut kerana kurang pengetahuan terhadap sesuatu perkara.
Rakyat Malaysia sudah cukup bijak menilai hakikat di sebalik kerajaan imperialis Amerika yang ditunjangi syarikat multinasional Yahudi.
Perkataan takut digunakan hanya sebagai helah untuk mengalih fokus sebenar isu TPPA.
TPPA merupakan satu perjanjian pelbagai pihak yang memberi ruang sepenuhnya kepada kapitalisme, bukan sahaja dalam menentukan untung rugi sesebuah negara, bahkan identiti dan jatidiri negara terbabit.
Ia adalah soal persaingan tidak seimbang yang membuka jalan kepada penguasaan golongan kapitalis yang akan menggadaikan maruah dan kedaulatan negara.
Ustaz Hj. Mohd Hazizi Ab Rahman
Biro Penerangan Isma
Ikatan Muslimin Malaysia tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dengan penganjuran Himpunan Maruah Melayu yang dijangka akan diadakan di Jalan Bukit Bintang-Petaling pada 16 September ini.
Isma, sejak sekian lama, menyeru ke arah persepakatan Melayu sebagai solusi bagi menghadapi ancaman terhadap kedudukan Islam di negara ini dengan mengangkat slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat.
Apabila BERSIH 4.0 didominasi oleh satu kaum sahaja, ia suatu indikator jelas bahawa orang-orang Melayu sudah tidak mudah untuk mengikut arus ciptaan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.
Justeru persepakatan Melayu yang didambakan hendaklah diurus secara bijaksana dengan mengangkat agenda nasional, iaitu memelihara kemakmuran Malaysia berpaksikan tiga teras Perlembagaan, mengatasi kepentingan parti atau peribadi pemimpin tertentu.
Ustaz Hj Mohd Hazizi Hj Ab Rahman
Ketua Penerangan ISMA
…Langkah paling baik bukan ‘Langkah Kajang’ tetapi ‘Langkah Letak Jawatan’

BETAPA senang saja kata-kata beracun digunakan untuk menjatuhkan kerjaya politik dan maruah seseorang.
Kalimat minta maaf itu hanya satu perkataan yang terpaksa dilafazkan demi menyelamatkan masa depan politik sendiri dan supaya tidak pokai kerana diperintahkan bayar ganti rugi oleh mahkamah.
Tidak hairanlah ahli-ahli politik menduduki ranking yang paling bawah sekali dari segi kepercayaan masyarakat.
Sifat Hubbu Riyasah (Cinta/Haloba Kepada Kuasa @ Power Hungry) akan mendorong seseorang itu melanggar dosa dan akhlak, moral dan susila, tanpa rasa bersalah atau bertanggungjawab.
Dalam kedua-dua kes di atas, mahkamah telah membuktikan siapa yang bersalah dan siapa yang difitnah.
Justeru itu, langkah yang paling baik adalah supaya Nurul Izzah, Saifuddin Nasution dan sesiapa sahaja dari kalangan ahli politik (dari pihak mana sekalipun) yang didapati bersalah kerana memfitnah adalah supaya MELETAK JAWATAN – kalau kamu semua ada maruah la!
You don’t deserve to be there at all!
Kamu yang didapati bersalah kerana memfitnah insan lain telah mengkhianati amanah dan mandat dari rakyat dan umat, justeru, kamu tiada hak untuk menjadi wakil rakyat lagi. Rakyat tidak melantik kamu dan menghantar kamu ke Parlimen supaya kamu sewenang-wenangnya memfitnah orang lain yang kamu tidak bersetuju dengannya.
Jawatan-jawatan yang kamu sandang dengan jayanya hasil fitnah terhadap orang lain bukanlah hak kamu sebenarnya.
Bagaimana rakyat dan para pengundi telah diperdayakan dan diperbodohkan!
Demikian juga kalau nama dan kerusi hanya dijadikan sebagai batu loncatan untuk menjayakan agenda peribadi dengan membelakangkan mereka yang telah memberi kamu ruang dan kepercayaan secara ikhlas.
Bagaimana hendak percaya kepada sang oportunis dan penikam dari belakang ini?
Sekali lagi, MELETAK JAWATAN adalah langkah yang paling bermaruah dan gentleman sekali. Tunjukkan kejantanan kamu secara berterus terang dalam gelanggang terbuka!
Pulangkan kembali mandat kepada rakyat.
Dan kita lihat bagaimana pencak kamu semua nanti!
Tapi semua orang tahu bahawa ‘kuasa’ yang kamu pegang hari ini – itulah yang paling liat sekali untuk dilepaskan.
Punah negara di tangan manusia seperti kamu semua!
Muhammad Luttfi Abdul Khalid