Showing posts with label KEADILAN. Show all posts
Showing posts with label KEADILAN. Show all posts

Kenyataan Media: Usul Tidak Percaya - Wan Azizah




Kenyataan Media: Usul Tidak Percaya

Dengan kapasiti saya selaku Ketua Pembangkang, saya telah mengemukakan suatu usul pada hari ini untuk mengambil ketetapan bahawa Dewan ini tidak ada kepercayaan terhadap Yang Amat Berhormat Pekan, Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Saya mempunyai sebab-sebab munasabah berkeyakinan bahawa majoriti dalam Dewan Rakyat, bererti bukan sahaja 88 orang Ahli Parlimen Pembangkang, tetapi juga bilangan Ahli Parlimen dalam Barisan Nasional yang mencukupi, yang telah hilang kepercayaan terhadap pimpinan Yang Amat Berhormat untuk menerajui Kerajaan.

Perlu dijelaskan bahawa Usul tersebut hanya berkenaan dengan kehilangan kepercayaan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak dan bukannya terhadap Kerajaan. Ini kerana saya dan banyak lagi, tanpa mengira fahaman politik, kami percaya bahawa krisis ekonomi, sosial dan politik yang tenat dan sedang dihadapi negara ini berasal daripada krisis kepimpinan dalam negara. Rakyat sedang menderita kos kehidupan yang semakin meningkat dan kesengsaraan ekonomi di bawah jagaan beliau di mana polisi-polisi beliau terbukti gagal. Transformasi yang dihebohkan itu sekadar retorik.

Sungguhpun terdapat faktor luaran yang menyebabkan kejatuhan nilai ringgit seperti penurunan harga minyak dan harga komoditi, ‘sentimen’ yang disebutkan oleh ahli-ahli profesional dan ekonomi sebagai salah satu sebab kejatuhan ringgit adalah akibat daripada cara menguruskan siasatan skandal 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Penyingkiran Dato’ Gani Patail sebagai Peguam Negara secara tergesa-gesa tanpa penjelasan, pelucutan YB Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan YB Semporna Datuk Shafie Apdal, pembubaran selanjutnya pasukan bertindak menyiasat skandal 1MDB, pemindahan atau penukaran pengarah-pengarah yang mengetuai penyiasatan dan pegawai-pegawai SPRM yang menjalankan tugas penyiasatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, merupakan satu percubaan untuk campur tangan ke atas penyiasatan. Keadaan bertambah buruk dengan pelantikan pengerusi dan tiga anggota PAC Dewan Rakyat (ke Kabinet) yang menghalang PAC daripada menjalankan penyiasatannya terhadap pengurusan dan pengarah-pengarah 1MDB yang sepatutnya didengar di hadapan PAC. Institusi-institusi kita telah diganggu-gugat daripada melaksanakan tugas-tugas tanpa rasa takut.

Kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak semakin bertambah rakus dengan timbulnya pelbagai perundangan menindas yang disegerakan menerusi parlimen dan lebih dari seratus ahli aktivis, cendekiawan, wartawan dan pelajar disiasat, didakwa atau dihadapkan pertuduhan. Meskipun terdapat jaminan di dalam parlimen, SOSMA dan undang-undang lain yang berkaitan dengan penahanan tanpa bicara telah diperalatkan terhadap mereka yang tidak ada kena-mengena dengan keganasan. Perbicaraan dan pemenjaraan mantan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim dikutuk oleh badan kehakiman antarabangsa (contohnya ICJ) sebagai satu perbicaraan yang songsang dan penganiayaan politik.

Tokoh-tokoh tersohor dalam persidangan anti-rasuah antarabangsa (IACC) telah menggesa Perdana Menteri menjelaskan ‘derma’ RM2.6 bilion. Mereka mempersoalkan siapa membayar wang itu dan kenapa? Dan ke mana wang itu pergi? Tidak ada penjelasan yang munasabah diberikan. Oleh yang demikian, tidak memeranjatkan untuk melihat pelabur-pelabur dalam dan luar negara mengeluarkan pelaburan mereka dari negara kita. Mantan Perdana Menteri dan para pimpinan kanan kerajaan kini menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kepimpinan Dato’ Seri Najib.

Ratusan ribu rakyat biasa telah memberanikan diri selama 34 jam dalam keadaan hujan dan panas bagi mendesak peletakan jawatan Dato’ Seri Najib. Tinjauan-tinjauan terkini menunjukkan bahawa populariti beliau telah menjunam ke tahap paling teruk dalam sejarah, dan beliau ditolak oleh rakyat.

Majlis Raja-raja telah mengeluarkan kenyataan yang tiada tolok-banding yang menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat dan menghukum dalang-dalang yang terbabit dalam skandal 1MDB. Seluruh negara menyokong penuh tanpa kecuali gesaan Duli-duli Raja-raja Melayu.

Saya yakin Ahli-ahli Parlimen akan mengundi menurut hati nurani. Kita mesti mengetepikan perbezaan politik dan meletakkan kepentingan negara mengatasi segala. Kita tidak harus mengekalkan satu manusia berjawatan dan membiarkan beribu-ribu yang lain hilang pekerjaan.

Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen
Ahli Parlimen Permatang Pauh
22 Oktober 2015


Ucapan YB Ketua Pembangkang di Majlis Pelancaran Belanjawan Pakatan Harapan 2016



Ucapan YB Ketua Pembangkang di Majlis Pelancaran Belanjawan Pakatan Harapan 2016

Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis,
Barisan pimpinan parti KEADILAN, DAP dan Amanah,
Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.


1. Izinkan saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan Belanjawan Negara Pakatan Harapan yang telah bertungkus-lumus merangka dan seterusnya menerbitkan Belanjawan Pakatan Harapan 2016 ini. Kerjasama berterusan di antara pakar-pakar dalam beberapa bidang ekonomi daripada parti Keadilan, DAP dan Amanah ternyata telah berjaya memastikan penghasilan dokumen Belanjawan ini.


2. Saya amat berharap agar komitmen dan semangat kesatuan yang diamalkan oleh pasukan Belanjawan ini dapat terus dipupuk dan dicontohi di dalam segala kerjasama bersama kesemua parti-parti komponen dalam keluarga besar Pakatan Harapan. Kerjasama dan kesatuan yang erat ini akan memastikan kejayaan kita berdepan dengan kerajaan Barisan Nasional, seterusnya mengukuhkan keyakinan rakyat akan kebolehan kita merangka dasar-dasar utama negara seperti Belanjawan Negara ini.


3. Terlebih dahulu kita harus sedar bahawa Maqasid atau tujuan Belanjawan adalah untuk merancang dan merangka kutipan Hasil Pendapatan Kerajaan dan Perbelanjaan Kerajaan untuk mencapai Pembangunan Sosio-Ekonomi yang mampan dan inklusif (sustainable and inclusive socio-economic development).


4. Ia mesti berpandukan kepentingan bersama memenuhi prinsip keadilan sosial (social justice) dan mengambil kira keutamaan (priority) dan penyesuaian (adjustment) sesuai dengan realiti ekonomi global semasa untuk:
terus membina keupayaan ekonomi negara untuk berdaya-saing (competitiveness capacity building) terus memperkukuhkan daya ketahanan ekonomi (economic resilience) untuk menghadapai cabaran ekonomi global yang tidak menentu mengurangkan jurang atau kesenjangan pendapatan dan kekayaan rakyat (reduce income and wealth inequality).

5. Selaras dengan itu, pelaksanaan segala perancangan pembangunan sosio-ekonomi mesti berpaksikan Tata Kelola Urus Tadbir Baik dengan Timbang Tara dengan penuh adil, bertindak professional dan amanah (Good Governance with Check and Balances based on fairness, professionalism and integrity)


6. Kita wajib melaksanakan reformasi politik dan ekonomi yang menyeluruh agar kita tidak kekal dengan ‘status quo’ yang terus memerangkap negara dalam ekonomi berpendapatan menengah sahaja. Satu pendekatan reformasi politik dan ekonomi baru dapat dilihat di dalam konsep Agenda Ekonomi Malaysia atau Malaysia Economic Agenda (MEA-2008).


7. Agenda Ekonomi Malaysia (MEA-Malaysia Economic Agenda) dilancarkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim pada Mei 2008 sebagai kenyataan dasar-dasar pembangunan sosio-ekonomi membangunkan negara secara mampan dan inklusif. Dasar-dasar ini telah mendahalui Model Ekonomi Baru (NEM-New Economic Model dan Economic Transformation Program - 2010) yang dibentangkan oleh kerajaan Barisan Nasional.


8. Malaysian Economic Agenda (MEA -2008) sudah pun mengenal pasti matlamat dan halatuju dalam membentuk negara maju dan berpendapatan tinggi. Hal ini termasuklah menggariskan strategi utama serta mengenal pasti halangan-halangan struktural kepada pembangunan negara secara jelas dan jitu.


9. Pasca-1998 selepas krisis ekonomi Asia 1997, menyaksikan unjuran trajektori pertumbuhan KDNK 9.4% tersasar dan jatuh merudum ke paras unjuran kadar pertumbuhan purata 5.7% setahun sehingga sekarang. Satu anjakan regresif telah berlaku dan berterusan sehingga ke hari ini. Malah unjuran pertumbuhan KDNK ETP juga gagal mencapai kadar purata 6% setahun yang diperlukan untuk Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.


10. Defisit Fiskal kita pula sudah berlanjutan 18 tahun semenjak 1998. Ini juga memperlihatkan hutang kerajaan menghampiri 54% KDNK. Namun, ini tidak termasuk ‘contingent liability’ yakni hutang yang dijamin kerajaan jika diambil kira meletakkan beban hutang melebihi 70% KDNK.


11. Pelaburan Asing atau FDI juga mendatar. Purata pelaburan sebagai peratusan KDNK (investment per GDP) sebanyak 42.32% pada 1994-1997 berbanding purata 25% sahaja dari 2010-2014. Ini perlu diubah dengan meningkatkan daya tarikan pelaburan luar negara oleh warga asing dan kemasukan kembali pelaburan dari luar negara (capital return) yang dimiliki rakyat Malaysia. Tanpa pertambahan pelaburan, potensi pertumbuhan ekonomi negara akan terjejas.


12. Justeru itu, sebagai permulaan analisa masa depan ekonomi negara, kita harus ‘muhasabah’ yakni menilai kembali dan belajar daripada sejarah mengenai kelemahan pengurusan sosio-ekonomi semenjak merdeka. Segala pencapaian ekonomi negara apabila diukur daripada kekayaan sumber asli dan sumber manusia adalah dibawah paras potensi yang mampu (underperforming economic potential).


13. Prestasi di bawah paras potensi boleh dinilai daripada ‘Jurang-KDNK’ (GDP-Gap) berbanding beberapa negara Asia lain seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura seperti yang pernah dihuraikan mantan Ketua Pembangkang Saudara Anwar Ibrahim dalam Agenda Ekonomi Malaysia (Malaysia Economic Agenda) pada 2008.


14. Contoh jurang KDNK antara Malaysia dan Korea Selatan di mana pada tahun 1970 KDNK adalah hampir setaraf. Malah Malaysia dengan KDNK per kapita sebanyak USD 400 mengatasi Korea Selatan dengan USD270. Tetapi pada hari ini kita telah jauh ketinggalan apabila untuk 2014 Korea Selatan yang tiada sumber asli seperti petroleum mendahului Malaysia sebanyak USD26,205 berbanding USD10,060; iaitu melebihi 260 peratus atau 2.6 kali ganda. Bila dibandingkan dengan KDNK per kapita Singapura USD 56,319, ia melebihi kita sebanyak 500% atau 5 kali ganda.

15. Ini yang maksudkan oleh saya didalam Ucapan Perbahasan RMK-11 bahawa kita sudah mengalami ‘Kehilangan Potensi KDNK Malaysia’ (Malaysia GDP Potential Loss) sebanyak 500 peratus. Maka kita boleh andaikan bahawa, KDNK per kapita rakyat Malaysia sepatutnya adalah USD50,000 dan bukan USD10,060 sekarang.


16. Analisa pembangunan sosial pula menyaksikan kesenjangan pendapatan dan kekayaan masih melebar. Indeks atau Pekali GINI Pendapatan pada 0.401, GINI Kekayaan pada 0.518 dan GINI Aset Kewangan pada 0.90 menjadi pengukur bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menjadikan pembangunan negara lebih inklusif dan bukan eksklusif yang menguntungkan segelintir kecil rakyat sahaja.


17. Apabila 3.85 juta isi rumah hanya memperolehi pendapatan purata bawah RM4,000 sebulan dengan kadar hutang isi rumah negara mencapai 86% KDNK mencecah lebih RM900 billion dan peratusan gaji pekerja hanya 32% KDNK (berbanding 43% KDNK Korea Selatan dan 41% KDNK Singapura) adalah menjadi petanda pendekataan sedia ada atau ‘business as usual’ tidak boleh diteruskan.


18. Oleh demikian, usaha merangka belanjawan jelas menunjukkan bahawa cabaran besar adalah bukan untuk merangka dasar, strategi serta perancangan pembangunan sosio-ekonomi sebuah negara tetapi adalah dari faktor pendekatan pelaksanaan.


19. Cabaran dan kunci kejayaan terletak kepada pelaksanaan dasar serta strategi dan perancangan yang bergantung kepada dua (2) prinsip asas yang membezakan pendekatan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional iaitu: Pertama, perlu wujud tata kelola urus tadbir baik (Good Governance), ketelusan (Transparency), akauntabiliti (Accountability) dan kejujuran (Honesty). Kedua, perlu dipandu Prinsip Keadilan Sosial (Social Justice).


20. Tanpa wujudnya prinsip asas seperti Tata Kelola Urus Tadbir Baik, Ketelusan, Akauntabiliti dan Kejujuran; akhirnya negara ini berdepan dengan krisis seperti 1MDB dan ketirisan sumber kewangan negara yang melampau.

21. Tanpa Keadilan Sosial untuk mengatasi kesenjangan pendapatan dan kekayaan; kita akan terus menerima BR1M yang tidak mampu merapatkan kesenjangan pendapatan dan kekayaan majoriti tanpa penstrukturan ekonomi berkesan untuk meningkatkan pendapatan secara mampan.


22. Justeru, perbezaan pendekatan perancangan dan pelaksanaan (planning and implementation) di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional ini menjadi faktor penentu utama mencapai status negara maju yang dinikmati semua dan bukan hanya segelintir rakyat.


23. Bilamana keadaan ekonomi negara dengan defisit fiskal saban tahun semenjak 1998 menuntut pengurusan ekonomi yang lebih baik. Pendekatan yang diambil Pakatan Harapan dalam merangka Belanjawan ini adalah untuk memastikan agar negara mempunyai ketahanan ekonomi (economic resilience) yang lebih baik dalam mengharungi rencam ekonomi dunia yang penuh ketakpastian. Keadaan ini ditambah lagi dengan norma baru penyusutan harga minyak mentah dunia yang bakal memberikan dampak negatif kepada pendapatan komoditi negara pada tahun 2016.


24. Kemelut politik semasa yang penuh dengan beberapa ‘mega-scandals’ juga menuntut penyelesaian segera untuk mengembalikan keyakinan para pelabur tempatan dan asing. Sekiranya perkara ini tidak diatasi, nilai ringgit dan penarafan kedaulatan negara (sovereign rating) akan terus terjejas dan boleh mengheret negara ke jurang kemelesatan ekonomi.


25. Pada hemat saya, tidak wajar sekiranya rakyat terbanyak dipaksa untuk menanggung kesilapan dan kecuaian pihak kerajaan ini menerusi langkah-langkah seperti GST 6% dan kenaikan kadar tol. Sebaliknya, dalam kemurungan ekonomi dunia kini, ekonomi domestik harus dirancakkan untuk memastikan kadar pertumbuhan ekonomi negara dapat dikekalkan.


26. Belanjawan yang memberikan tumpuan kepada pembinaan ketahanan ekonomi negara adalah bertepatan dengan objektif menyelamatkan Malaysia daripada terus terdedah kepada risiko kemelesetan ekonomi yang berkekalan. Pakatan Harapan telah menggariskan beberapa langkah penyelesaian segera di dalam belanjawan ini.


27. Di antara langkah segera untuk memulihkan keyakinan pelabur adalah menyelesaikan skandal 1MDB dengan menutup syarikat ini dan mengheret individu-individu yang berkaitan ke muka pengadilan. Portfolio Menteri Kewangan juga tidak boleh terus dikuasai oleh individu yang juga Perdana Menteri. Kami juga menggesa agar perkhidmatan Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank Negara disambung untuk tempoh dua tahun lagi.


28. Pakatan Harapan juga menyarankan agar reformasi Institusi Perundangan, Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah terus dilaksanakan untuk memastikan kebebasan institusi-institusi ini dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan kepada mereka dengan lebih berkesan. Ini akan memastikan segala ketirisan kewangan dan rasuah yang saban tahun dilaporkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara boleh diatasi dengan berkesan, seterusnya menjamin penjimatan kewangan negara yang boleh disalurkan kembali menerusi lebih banyak program pembangunan untuk rakyat.


29. Pakatan Harapan mencadangkan penghapusan GST dalam belanjawan alternatif ini untuk merangsang pengembangan ekonomi domestik. Walaupun pendapatan negara bakal terkesan dengan penghapusan GST, kami yakin dengan pendekatan perbelanjaan berhemah, dan penjimatan daripada ketirisan dan rasuah, akan membolehkan belanjawan kami mencatatkan defisit 2.42% pada 2016 berbanding defisit 3% unjuran pihak kerajaan.


30. Di samping itu, Pakatan Harapan juga mencadangkan beberapa langkah penstrukturan semula tahap cukai pendapatan untuk mengurangkan bebanan pembayar cukai kelas rendah dan menengah.


31. Pakatan Harapan menekankan bahawa kerajaan persekutuan telah melanggar Jadual 10 Bahagian 4 Perlembagaan Malaysia mengenai Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak, contohnya, pemberian khas setiap tahun yang berjumlah 2/5 daripada jumlah hasil bersih yang dikutip oleh kerajaan persekutuan dari Sabah. Walaupun Jadual tersebut telah menetapkan kadar 2/5, atau 40%, sebagai jumlah dari hasil bersih kepada Sabah, ia tidak pernah dilaksanakan dengan sepenuhnya. Justeru, Pakatan Harapan berpendapat bahawa kerajaan Barisan Nasional telah gagal mengimplementasikan Jadual 10 dan, secara tidak langsung, tidak berpegang teguh pada Perjanjian Malaysia 1963, yang jikalau ditepati, dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat Sabah.


32.Keupayaan tenaga kerja tempatan, wanita dan penduduk luar bandar juga perlu ditingkatkan bagi mengurangkan kesenjangan pendapatan yang semakin meruncing di antara kaum dan juga; di antara penduduk Semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak. Dalam belanjawan ini, Pakatan Harapan mencadangkan agar sebahagian daripada 20% royalti minyak dan gas Sabah dan Sarawak diuruskan menerusi suatu endowment fund yang bukan sahaja menyumbang kepada keperluan pembangunan jangka pendek seperti akses kepada elektrik, air bersih dan internet, tetapi juga melibatkan diri dalam beberapa pelaburan strategik untuk keperluan dana jangka panjang.


33. Pakatan Harapan menyarankan agar Skim Subsidi Harga Beras (Rice Price Subsidy, RPS) dihapuskan dan Skim Subsidi Harga Padi (Paddy Price Subsidy, PPS) distruktur semula untuk menaikkan pendapatan para petani padi dan juga menggalakkan penyertaan lebih ramai gologan muda ke dalam industri penting ini. Langkah-langkah ini penting untuk memastikan penyaluran subsidi yang lebih berkesan kepada golongan sasar di seluruh negara dan bukan dikecapi oleh beberapa orang kroni politik sahaja.


34. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini melancarkan Belanjawan Pakatan Harapan 2016. Terima kasih


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN
21 Oktober 2016


Peningkatan Harga Kereta Beban Tambahan Rakyat - Nik Nazmi



PENINGKATAN HARGA KERETA BEBAN TAMBAHAN RAKYAT

Laporan Malaysian Insider baru-baru ini berkenaan peningkatan kos kenderaan amatlah merisaukan.

Menurut laporan tersebut, golongan muda Malaysia sekarang berhadapan dengan dilemma sama ada hendak membeli kenderaan sekarang atau tunggu sehingga ekonomi pulih.


Laporan itu juga menyatakan bahawa pengenalan cukai GST telah menyebabkan kejatuhan permintaan di dalam sektor automotif.

Pada masa yangh sama, kejatuhan nilai matawang negara juga telah menyebabkan peningkatan harga. Contoh yang jelas adalah apabila UMW Toyota Motor Sdn Bhd mengumumkan kenaikan harga kereta-kereta jenama Toyota dan Lexus masing-masing sebanyak 4% dan 16% kerana kejatuhan nilai matawang.

Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) juga telah memberi amaran bahawa mereka juga mungkin terpaksa meningkatkan lagi harga kenderaan antara 25%-30%.

Sebuah kereta, pada masa ini, merupakan satu keperluan bagi kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya kerana pembangunan satu sistem pengangkutan awam yang komprehensif di seluruh negara masih tidak nampak bayang.

Ini juga menekankan antara perkara yang penting pada masa ini, iaitu kos sara hidup, kerana kos-kos pengangkutan juga menyumbang kepada beban kewangan rakyat khususnya generasi muda. Beban perbelanjaan lain termasuklah hutang pinjaman pendidikan dan perumahan.

Daripada melakukan perkara yang bermanfaat untuk seluruh rakyat, kerajaan ini sebaliknya membebankan lagi, terutamanya di dalam keadaan ekonomi yang kurang stabil ini, dengan meningkatkan kadar harga tol.

Ini bukanlah ciri-ciri kerajaan yang mendahulukan rakyat.

Kerajaan Najib Razak harus mengaku sahaja bahawa dasar mereka telahpun gagal dan sepatutnya melaksanakan polisi kami untuk mengurangkan harga kereta.

Kegagalan kerajaan BN untuk melakukan perkara ini jelas membuktikan kepada para pengundi gabungan mana yang lebih mementingkan rakyat.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

KEADILAN desak Kerajaan jelaskan mekanisme GST Kad Prabayar.



Kenyataan Media: KEADILAN desak Kerajaan jelaskan mekanisme GST Kad Prabayar.

20 Oktober 2015

Pengumuman Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkenaan GST kad prabayar menimbulkan pelbagai persoalan. KEADILAN mendesak kerajaan menerangkan mekanisme yang terbaru untuk menangani masalah ini. Sejak bulan April sehingga sekarang, 7 bulan telah berlalu, 3 menteri yang bertanggungjawab datang dan pergi, tetapi penyelesaian masalah masih belum ditemui. Ini membuktikan kegagalan pihak kerajaan UMNO/BN.

Dalam satu laporan media semalam, beliau berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan mengumumkan harga tambah nilai prabayar telefon kembali seperti sebelum pelaksanaan cukai GST pada 1 November 2015. “Macam mana Telco mahu caj, mereka kena fikirkan cara itu. Yang penting rakyat beli RM10 dapat nilai RM10” Beliau berkata. Kenyataan beliau memberi lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Kenyataan beliau penuh dengan pelbagai kontradiksi (contradictions).

Pertama sekali, dalam zaman SST, syarikat Telco menerap SST kad prabayar 6%, tetapi, sekarang dalam zaman GST, syarikat telco enggan menerap 6% GST. Pada bulan Jun yang lepas bekas Menteri KKMM Datuk Shabery Cheek berkata kerajaan tidak berkuasa untuk membolehkan syarikat Telco menerap GST 6%. Dan beliau mengakui bahawa GST memang akan dikenakan ke atas kad top up.

Keduanya, kerajaan enggan menyenaraikan kad prabayar sebagai barangan kadar sifar (zero rated), sebab GST kad prabayar akan membawa RM850 juta pendapatan kepada kerajaan setiap tahun. Datuk Seri Shabery Cheek juga berkata pengecualian cukai tidak harus diberi kerana akan menjejaskan keyakinan pelabur dalam isu GST.

Ketiga, dengan pengumuman yang terbaru bahawa pengguna beli RM10 dapat RM10 nilai, ini bermaksud pengguna juga tidak akan dikenakan cukai GST.

Jadi, persoalannya adalah siapa akan membiayai cukai GST RM850 juta? Ini soalan RM850 juta (This is a RM850 million question). Adakah duit akan turun dari langit? Adakah kerajaan akan dapat derma dari kawan-kawan Arab?

KEADILAN tidak yakin ada penyelesaian daripada kerajaan. Keyakinan rakyat terhadap janji-janji kerajaan telah terjejas kerana banyak pengumuman telah dibuat tapi rakyat masih kena GST. Ini amat tidak adil kepada golongan pendapatan rendah, pesara dan orang muda yang percaya kepada janji kerajaan.

Dalam soal GST kad prabayar ini, KEADILAN telah mencadangkan formula meletakkan kadar sifar terhadap kad prabayar. Ini sekali gus akan menyelesaikan masalah dan membantu golongan berpendapatan rendah. Tetapi kerajaan telah menolak cadangan tersebut kerana kerajaan perlukan duit GST tersebut.

Dari pihak kerajaan pula, beberapa menteri yang terdahulu telah cuba menyelesaikan masalah ini tetapi tidak berjaya. Pada bulan April, timbalan menteri kewangan yang terdahulu Dato Ahmad Maslan menjanjikan bahawa kad prabayar tidak akan dikenakan GST, tetapi sebaliknya yang berlaku. Pada bulan Mei, Perdana Menteri pula mengarahkan Menteri KKMM pada masa itu Datuk Seri Shabery Cheek untuk menangani masalah tersebut. Tetapi pada bulan Jun, GST tetap dikenakan. Selepas semua usaha gagal, apakah keyakinan rakyat terhadap pengumuman yang baru?

Walau bagaimanapun, KEADILAN mengalu-alukan usaha Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani mengambil initiatif menangani masalah GST dan kami mengucapkan selamat mencuba.


Sim Tze Tzin
Pengarah Strategi Parti KEADILAN

Kadar Muflis Golongan Muda Merisaukan - Nik Nazmi



KADAR MUFLIS GOLONGAN MUDA MERISAUKAN

Laporan Reuters baru-baru ini berkenaan peningkatan kadar muflis golongan muda di Malaysia adalah sesuatu yang merisaukan.

Laporan tersebut memetik data daripada Standard & Poors dan
menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai kadar hutang persendirian tertinggi di antara 14 ekonomi Asia. Angka ini telah meningkat kepada 88% daripada jumlah KDNK negara, daripada 60% pada tahun 2008.


Tambahan pula, data Jabatan Insolvensi Negara menunjukkan bahawa 5547 individu muflis adalah di bawah umur 35 tahun pada tahun lepas, lebih dua kali ganda daripada tahun 2005.

Pada tahun 2014. jumlah orang muflis bagi di bawah golongan umur 25 adalah seramai 635, tiga kali ganda daripada jumlah tahun sebelumnya.

Perkara ini amatlah mengecewakan kerana begitu ramai golongan muda Malaysia yang baru sahaja hendak mengorak langkah ke alam pekerjaan sudah digelar muflis.

Jika ini berlangsungan, ia akan memberi kesan kepada kadar
kepenggunaan domestik yang amatlah diperlukan di dalam keadaan ekonomi yang kurang stabil.

Kita juga tidaklah sepatutnya sewenang-wenangnya mempersalahkan golongan muflis ini, kerana seperti yang dikatakan di dalam laporan tersebut, keadaan terjadi sebegitu akibat mereka mencuba untuk menceburi sesuatu bisnes atau terpaksa berhutang kerana keadaan begitu terdesak.

Jabatan Insolvensi Negara juga mengaku ketika ditemuramah oleh Reuters bahawa ramai golongan muda ini yang dibebankan oleh hutang pelajaran dan juga perbelanjaan seperti pengangkutan dan tempat tinggal.

Data yang dibentangkan ini jelas menunjukkan kegagalan polisi kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang mengutamakan kepentingan politik beberapa individu sahaja dan bukan rakyat keseluruhannya.

GST, peningkatan kos sara hidup dan harga perumahan yang semakin tinggi sehinggakan kebanyakan orang tidak akan mampu membeli mengisyaratkan kegagalan pentadbir untuk menyediakan peluang yang mampan dan sejahtera serta adil untuk setiap rakyat Malaysia.

Perdana Menteri Najib Razak menyatakan bahawa pentadbirannya mendapatkan sokongan daripada golongan "Gen Y". Tetapi siapa yang benar-benar percaya akan pengakuan itu?

KEADILAN dan rakan-rakan seperjuangan kami akan terus berjuang agar setiap rakyat Malaysia memperoleh kehidupan yang lebih baik. Ia perlu dilakukan terutamanya dengan memerangi rasuah serta kepincangan.

Kita juga perlu merombak semua ekonomi negara, dan memberi fokus kepada perkhidmatan dan modal insan, mempertingkatkan penyelidikan dan pembangunan serta produktiviti.

Kebankrapan belia merupakan satu tragedi untuk Malaysia yang mana sudah tentu kita perlu elak. Untuk itu, sesuatu perubahan politik diperlukan supaya kita boleh bergerak maju ke hadapan.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

Some friendly advice for my friend YB Tony Pua - Sivarasa Rasiah



Media statement by Sivarasa Rasiah, Member of Parliament for Subang dated 18th October 2015.

“Some friendly advice for my friend YB Tony Pua”
From his recent Facebook postings I can see that my friend and colleague in Parliament, YB Tony Pua, member of Parliament for Petaling Jaya Utara seems quite upset, in particular, with two division level leaders of Keadilan from Kelana Jaya division naming them as “a Samy” and “a Murali” and calling them “gangsters” and “disgraceful thugs”. He also claimed that “this Samy and his gang ….charged exorbitant rentals to traders at the traditional site for the Deepavali bazaar in Sungei Way.

Tony also said that “a group of gangsters led by the same Samy and Murali” heckled him as he spoke to the Tamil press in front of the Easwari Temple in Sg. Way on Thursday. Having watched the videos of the incident ( in particular the Kinibiz video ) and read the Malaysiakini accounts dated 15.10.2015 and talked to some of those present, it seems to me quite clear that the heckling started after the crowd present which included traders understood that Tony had just said to the media present that he was opposed to any bazaar at the original site in Sg Way village and, second, that the move to Easwary Temples area was necessary to stop certain persons from committing extortion of the traders in the original site.

These unfortunate accusations are all arising out of a proposed relocation of the Deepavali bazaar traders in their original site in Sg Way village to the new site next to the Easwari Temple. Tony and his assemblyman YB Lau Weng San are in favour of this move. Many traders are strongly opposed to it saying that it jeopardizes their earnings from their stalls.

My advice to both Weng San and Tony is that such matters are best left to the best judgment of the Datuk Bandar of Petaling Jaya and his councillors. We should not interfere unless the decisions made at MBPJ are clearly unreasonable or obviously wrong or against stated policies of the Pakatan coalition.
Tony and Weng San would also know that a majority of the MBPJ councilors have in fact already proposed to the Datuk Bandar a win-win solution where the Deepavali bazaar for Sg Way would be conducted, for this year anyway, at both the original site ( where it has run for 15 years at least ) and the new site near Easwary Temple ( as a trial run for evaluation ). This would also be known to many of the traders involved. Therefore, my advice would be, rather than make controversial public pronouncements on the matter, let us leave this to the Datuk Bandar of MBPJ and his councilors to resolve.

I also wish to point out that the DAP is now again in a formal coalition with Keadilan and Amanah, a move which we have all welcomed. We must therefore manage complaints about one another ‘s members in the spirit of coalition building. If there is evidence of wrong-doing, we should present it to the leadership of the party concerned. I must make this clear - if there is evidence, Keadilan will not tolerate such misconduct and will take the necessary action.
However making unsubstantiated serious allegations that extortion is taking place without specifics ( as was discernible in the video ) does not assist at all. Name calling aggravates the accused persons further. The video shows some of those present demanding evidence from Tony and for which there seemed to be no immediate response. That has now resulted in those Tony accused and some other traders filing police reports at the IPD Petaling Jaya yesterday against Tony in defence of their reputation. This is also an unfortunate development.

The Deepavali bazaar in the original site in Sg Way has been operating there for at least 15 years. Since Pakaan took over from 2008, I am not aware of any specific complaints to MBPJ or police reports made by traders or others since 2008 alleging extortion of themselves by third parties. Last Thursday appears to be the first time such allegations are being made in public to justify moving the bazaar. If there is any such evidence implicating our members, then we would urge Tony to present it to the party.

Then, on Friday, certain DAP leaders organized a press conference where one Indian gentleman appears to be complaining that he has been prevented by from running his stall in the new site at Easwary Temple. He also complained that Samy had prevented him from getting a stall in the original site. Such allegations can and should be taken to MBPJ or even the police for them to investigate. On the other hand, I am told that traders at the Deepavali bazaar original site who were present at the IPD Petaling Jaya yesterday made statements to the media that they have no experience of any form of extortion and having to make exorbitant payments.

Keadilan will not tolerate any proven criminal conduct on the part of its members, especially the misconduct alleged by Tony that acts of extortion are being perpetrated.

Keadilan regrets very much that Tony was subjected to the angry and rude statements that were hurled at him when he went to the Easwary Temple to do his press conference on Friday. However as a experienced member of parliament regularly handling people’s grievances, I am sure that Tony would appreciate that people who perceive proposed changes as threatening their meagre incomes can react emotionally and aggressively. Some of these traders are having great difficulty understanding why Ton y and Weng San are insisting that the bazaar move to the new site when the majority of the MBPJ councilors have now proposed the win-win solution that it can operate in both sites. When one insistently waves the proverbial red flag at an angry bull, it is naïve to expect the bull to sit patiently and watch.

My friend YB Pua has done sterling work ( and continues to do ) on critical national issues such as IMDB. He should concentrate on those issues and leave more mundane issues, like as in this case, about where a Deepavali bazaar should be located, to the appropriate authorities to decide.
We have far bigger battles to fight. We need to remove Prime Minister Najib and end the corrupt oppressive and inefficient rule of UNMO and BN. Let us remain united and focused on that.


Sivarasa Rasiah
Member of Parliament for Subang. Member ofPolitial Bureau and Central Leadership Council, Parti Keadilan Rakyat.

Penyertaan Dato’ Saifuddin Abdullah Menguatkan Perjuanagan Rakyat - Wan Azizah



PENYERTAAN DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH MENGUATKAN PERJUANGAN RAKYAT
Krisis politik dan kegawatan ekonomi yang melanda Malaysia hari ini mendorong rakyat dan pemimpin berfikir betapa perlunya mengambil langkah berani dan membuat anjakan dalam pendirian untuk menyertai gerakan yang menerajui perubahan.

Kita telah menyaksikan bagaimana penjawat-penjawat awam di peringkat tertinggi institusi negara seperti SPRM, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Audit menampilkan keberanian yang luar biasa dalam pendirian mereka tentang keperluan ketelusan dalam penyiasatan terhadap skandal 1MDB.

Skandal 1MDB telah menyebabkan perpecahan yang dahsyat dalam UMNO. Timbalan Presidennya sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilucutkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan salah seorang Naib Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah disingkirkan dari kabinet.

Kecelaruan kepimpinan telah menyebabkan ramai pemimpin UMNO dan parti-parti komponen BN bukan sahaja hilang kepercayaan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak, bahkan terhadap masa depan UMNO dan BN sendiri. Persepsi wujudnya tangan eksekutif yang menghalang ketelusan dalam siasatan terhadap skandal kewangan 1MDB semakin menghakis keyakinan terhadap Perdana Menteri dan UMNO.

Sebelum ini saya telah membuat kenyataan bahawa pintu KEADILAN terbuka luas kepada semua yang komited kepada agenda perubahan untuk menyelamatkan Malaysia.

Pada hari ini, kami berasa gembira dan mengalu-alukan penyertaan Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam keluarga besar KEADILAN. Penyertaan beliau sudah tentu akan memperkukuhkan usaha KEADILAN untuk menggembleng perpaduan dan kekuatan rakyat demi perubahan dan pembaharuan.

Datuk Saifuddin adalah mantan Timbalan Menteri Pengajian tinggi. Beliau bersikap sederhana, terbuka dan konsisten mengungkap pendirian yang mesra pembaharuan. Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement of the Moderates beliau mempunyai jaringan yang kuat dengan NGO. Jaringan tersebut meliputi pelajar dan generasi muda kerana penglibatan beliau yang meluas dan lama dalam pergerakan pelajar dan belia.

Saya yakin beliau akan menguatkan kedudukan KEADILAN dan Pakatan Harapan dalam memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat. Penyertaan beliau bertepatan dengan strategi KEADILAN untuk memberi fokus kepada isu-isu khusus masyarakat Melayu/Bumiputra agar kebajikan mereka akan terbela. Saya bersyukur dengan kehadiran Dato’ Saifuddin Abdullah yang akan dapat bersama-sama mendepani isu-isu Melayu/Bumiputra ini dengan pimpinan KEADILAN yang lain.

Saya juga yakin beliau akan dapat memainkan peranan strategik di dalam Pakatan Harapan untuk memastikan gabungan baru ini menumpukan kepada gagasan idea baru untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia.

Doa saya supaya beliau terus diberi kekuatan dan dilindungi Allah SWT dalam memperjuangkan nasib dan membela hak rakyat.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
15 Oktober 2015

Recent Posts Widget

.

.