Showing posts with label Kerajaan. Show all posts
Showing posts with label Kerajaan. Show all posts

Lanjutan Tarikh Akhir Penghantaran Penyata Pertama Gst-03 Dan Pembayaran GST Untuk Tempoh Bercukai Tiga Bulan Iaitu Dari 1 April 2015 – 30 Jun 2015


LANJUTAN TARIKH AKHIR PENGHANTARAN PENYATA PERTAMA GST-03 DAN PEMBAYARAN GST UNTUK TEMPOH BERCUKAI TIGA BULAN IAITU DARI 1 APRIL 2015 – 30 JUN 2015

29/07/2015




Adalah dimaklumkan bahawa tarikh akhir untuk penyerahan penyata pertama bagi tempoh bercukai tiga bulan adalah pada atau sebelum 31 Julai 2015 bagi perniagaan yang berdaftar GST yang mana tempoh bercukai pertama adalah dari 1 April 2015 – 30 Jun 2015 seperti yang dinyatakan dalam surat kelulusan pendaftaran. Tarikh akhir telah dilanjutkan sehingga 14 Ogos 2015. Jabatan kastam akan membuat taksiran cukai di bawah peruntukan Seksyen 43 Akta CBP 2014 sekiranya gagal mengemukakan penyata pada tarikh tersebut.

Tidak ada perlanjutan tempoh pembayaran atau penghantaran GST-03 kepada pendaftar GST yang mana tempoh bercukai secara bulanan.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia


Kenyataan Media YAB Perdana Menteri Mengenai Rombakan Kabinet



Pejabat Perdana Menteri

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI
MENGENAI ROMBAKAN KABINET


Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Fasal (1) Perkara 43A mengenai pelantikan Timbalan Menteri Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan berikut:

Menteri Persekutuan:

(i) YB Datuk Wilfred Madius Tangau;

(ii) YB Dato’ Hamzah bin Zainudin;

(iii) YB Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar;

(iv) YB Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid;

(v) YB Dato’ Sri Azalina binti Dato’ Othman Said;

(vi) YB Datuk Seri Ong Ka Chuan; dan

(vii) YB Senator Datuk Seri Panglima Dr. Mohd. Salleh bin Tun Said Keruak

(Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan YB Senator Datuk Seri Panglima Dr. Mohd. Salleh bin Tun Said Keruak sebagai Ahli Dewan Negara dan beliau akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara dalam masa terdekat).

Timbalan Menteri Persekutuan:

YB Dato’ Wira Mohd Johari bin Baharum;
YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin;
YB Datuk Nur Jazlan bin Mohamed;
YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato' Dusuki;

(v) YB Senator Tuan Chong Sin Woon;

(vi) YB Dato' Seri Reezal Merican bin Naina Merican;

(vii) YB Datuk Ahmad Jazlan bin Yaakob;

(viii) YB Tuan Masir anak Kujat; dan

(ix) YB Dato’ Johari bin Abdul Ghani.

Rombakan Kabinet hari ini dibuat bagi tujuan memperkukuhkan lagi barisan Jemaah Menteri dalam kita menghadapi cabaran menguruskan negara sebelum Pilihanraya Umum yang ke-14.

Keputusan saya menggantikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, menggugurkan empat orang Menteri dan seorang Timbalan Menteri serta perubahan portfolio,dibuat setelah mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentabiran

Ini bagi memastikan pentadbiran di bawah saya terus komited, sentiasa fokus kepada usaha pembangunan negara sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat pada pilihan raya umum yang ke-13.

Bagi tujuan ini, Jemaah Menteri perlu bertindak sebagai satu pasukan yang jitu dalam apa jua keadaan, melangsungkan agenda pembangunan Negara serta menguruskan isu-isu Negara yang berbangkit agar dapat bertindak dengan berkesan.

Saya boleh menerima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai sebahagian dari proses dalam membuat keputusan. Namun, sebagai anggota Kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap Kerajaan serta Negara. Ia juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama Kabinet (collective responsibility).

Keputusan menggantikan Tan Sri Muhyiddin merupakan satu keputusan yang amat sukar, tetapi terpaksa saya lakukan agar Jemaah Menteri dapat bergerak sebagai satu pasukan yang jitu.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh Tan Sri Muhyiddin. Begitu juga oleh Menteri dan Timbalan Menteri yang kini tidak lagi bersama saya di dalam pentadbiran Kerajaan.

Insha-Allah, saya yakin senarai Kabinet yang baru ini dapat meneruskan hasrat Kerajaan untuk menjayakan segala perancangan yang telah dijanjikan dan meningkatkan keyakinan serta sokongan rakyat kepada Kerajaan Barisan Nasional.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah juga memperkenankan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Baginda diadakan pada Rabu, 29 Julai 2015, jam 10 pagi di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Perdana Menteri
Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak
28 Julai 2015

 



--

Kenyataan Media : Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Pemerdagangan Orang(U.S. TIP REPORT) Bagi Tahun 2015

KENYATAAN MEDIA : LAPORAN TAHUNAN JABATAN NEGARA AMERIKA SYARIKAT PEMERDAGANGAN ORANG (U.S. TIP REPORT) BAGI TAHUN 2015

KENYATAAN MEDIA



MENTERI DALAM NEGERI

YB DATO SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI



MENGENAI



LAPORAN TAHUNAN JABATAN NEGARA AMERIKA SYARIKAT PEMERDAGANGAN ORANG (U.S. TIP REPORT)

BAGI TAHUN 2015





(28 JULAI 2015)


Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) telah mengeluarkan Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang (U.S. TIP Report) Tahun 2015 di Washington, Amerika Syarikat pada 27 Julai 2015. Penilaian oleh JNAS dibuat terhadap 188 buah Negara termasuk Malaysia dan merangkumi aspek pencegahan, pendakwaan dan perlindungan. Laporan tersebut telah meletakkan Malaysia di Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watchlist) bagi tahun 2015.

Peningkatan daripada kedudukan Tahap 3 (Tier 3) pada tahun 2014 kepada Tahap 2 Pemerhatian merupakan pengiktirafan kepada komitmen dan inisiatif Malaysia dalam menangani jenayah ini. Ini dapat dilihat daripada penubuhan High Level Committee (HLC) mengenai pemerdagangan orang yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri pada 3 Julai 2014 bagi membincangkan langkah-langkah penambahbaikan susulan daripada Laporan JNAS 2014. Menerusi pindaan kepada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 16 Jun 2015 dan Dewan Negara pada 7 Julai 2015, HLC akan menjadi mekanisme kekal sebagai jawatankuasa peringkat tertinggi dalam membuat keputusan dasar dalam menangani jenayah ini.

Pindaan ATIPSOM 2007 juga melibatkan pemerkasaan keanggotaan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran(MAPO) dengan penambahan anggota baru merangkumi Kementerian Pertahanan, Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi (MPIC), Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Belia dan Sukan. Dengan menjadi ahli Majlis, Kementerian/Agensi berkenaan akan turut sama menyumbang dan terlibat dalam usaha membanteras jenayah ini secara kolektif dan bersepadu mengambil kira kepakaran dan pengalaman dalam bidang masing-masing.

Aspek utama pindaan ATIPSOM 2007 adalah penambahbaikan kepada aspek perlindungan mangsa di mana akan memberikan kebenaran bagi mangsa pemerdagangan orang untuk bergerak bebas dan tinggal di luar rumah perlindungan serta diberi peluang bekerja. Di samping itu, MAPO akan membayar elaun kepada orang yang diperdagangkan.

Peruntukan khusus juga telah dimasukkan melibatkan pembayaran pampasan dan pembayaran gaji tertunggak kepada mangsa pemerdagangan orang. Ini merupakan pindaan signifikan memandangkan isu ini adalah kritikal kerana kebanyakan daripada mangsa-mangsa yang berstatus PATI tidak dapat membuat tuntutan ini disebabkan kekangan perundangan sebelum pindaan yang hanya membenarkan tuntutan penyelesaian tunggakan gaji kepada mangsa warga asing yang bekerja di Negara ini secara sah sahaja.

Penglibatan sepenuhnya Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menempatkan mangsa pemerdagangan orang di Rumah Perlindungan NGO dan petugas NGO bertindak sebagai Pegawai Pelindung adalah merupakan satu transformasi dan seiring dengan amalan terbaik yang telah dilaksanakan oleh kebanyakan Negara-negara maju seperti U.S., Australia dan United Kingdom.
Pihak U.S. amat prihatin mengenai aspek eksploitasi buruh dan buruh paksa terutama di sektor perladangan kelapa sawit, serta tekstil dan baru-baru ini pula merangkumi sektor elektrik dan elektronik. Bagi menangani kebimbangan ini, MAPO telah mengadakan kerjasama dengan empat (4) syarikat multinasional iaitu Seagate, Intel, Western Digital dan Hewlett Packard dalam menangani pemerdagangan buruh dan buruh paksa di mana Bengkel-bengkel telah diadakan pada 20 April, 2015 di Johor Bahru, 21 April, 2015 di Petaling Jaya dan 23 April, 2015 di Pulau Pinang. Bengkel-bengkel ini diharap dapat memberikan kesedaran kepada majikan, kontraktor dan syarikat pembekal pekerja asing mengenai amalan terbaik dalam pengambilan dan pengurusan pekerja.

Sebagai usaha berterusan untuk menangani pemerdagangan buruh dan buruh paksa terutamanya di sektor elektrik dan elektronik, Malaysia menerusi MAPO telah bekerjasama dengan Amerika Syarikat (U.S.) untuk menganjurkan The First Joint Malaysia - U.S. Electrical & Electronics (E&E) Best Labour Practices Workshop yang telah diadakan di Kuala Lumpur pada 17 Jun 2015. Kerajaan sedar rekod pemerdagangan orang yang baik penting terutamanya melibatkan penyertaan Negara ke Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA).

Komitmen dan ketegasan Negara untuk menangani aspek pemerdagangan orang bukan sahaja untuk mempertingkatkan tahap penilaian tahunan JNAS tetapi juga untuk memenuhi obligasi di bawah Proses Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodical Review – UPR) di bawah Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatua (PBB). Untuk itu, Malaysia telah menunjukkan sikap keterbukaan dengan menerima lawatan Pelapor Khas PBB mengenai Pemerdagangan Orang terutamanya wanita dan kanak-kanak, Ms. Maria Grazia Giammarinaro telah mengadakan lawatan ke Negara ini dari 23 hingga 28 Februari 2015.

Di peringkat serantau pula, penganjuran Mesyuarat Tergempar Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan bagi membincangkan Pergerakan Manusia Secara Tidak Sah di Rantau Asia Tenggara (EAMMTC) yang diadakan di Kuala Lumpur pada 2 Julai 2015 baru-baru ini, telah menunjukkan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015 dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang.







_______________________________________________________________________

Kementerian Dalam Negeri

28 Julai 2015











--

Pasukan Petugas Khas juga telah ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan dana 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri - Pejabat Perdana Menteri



KENYATAAN AKHBAR

1. Kerajaan telahpun mengambil tindakan yang sepatutnya bagi menangani tuduhan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Ini termasuklah arahan Kabinet untuk siasatan dibuat oleh Ketua Audit Negara dan Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Selain itu, satu dokumen “Fact Sheet” mengenai 1MDB telahpun diedarkan kepada semua Menteri-Menteri Kabinet sebelum ini.


2. Satu Pasukan Petugas Khas juga telah ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan oleh sebuah media asing bahawa dana 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, serta pendedahan bekas eksekutif kanan PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo, bahawa beliau telah menjual dokumen yang dicurinya kepada pihak tertentu yang dipercayai berkomplot untuk menggulingkan kepimpinan negara dan Kerajaan.

3. Siasatan sedang berjalan dan kita perlu memberi ruang kepada pihak yang terbabit untuk menjalankan tugas mereka. Oleh itu, semua pihak lebih-lebih lagi anggota Pentadbiran termasuk YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hendaklah menunggu hasil siasatan tersebut. Sewajarnya kita mengelak membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan persepsi rakyat terhadap kepimpinan Negara serta Kerajaan dan Umno.

4. Inshallah, jika kita tenang dan terus bersatu padu kita akan dapat menangani cabaran ini dan mempertahankan sokongan rakyat kepada Kerajaan dan parti. Sokongan rakyat terhadap Kerajaan dan parti akan terhakis jika kita berbalah sesama sendiri.

5. Dalam hal ini, tindakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang terus membuat pelbagai tuduhan yang tidak berasas termasuk kehilangan RM42 billion kepunyaan 1MDB walaupun penjelasan telah dibuat oleh Kerajaan turut menyumbang kepada terhakisnya kepercayaan terhadap Kerajaan dan parti.

6. Kerajaan berharap semua pihak bersabar menunggu hasil siasatan yang sedang berjalan terhadap 1MDB. Ini bagi menentukan kesahihan tentang pelbagai dakwaan yang wujud. Pada masa yang sama, kita elakkan membuat kenyataan yang boleh menganggu-gugat kestabilan Kerajaan dan perpaduan parti dan Negara.

Pejabat Perdana Menteri
27 Julai 2015

 




--

Recent Posts Widget

.

.