Bajet 2016: Mahu berjimat atau belanja? – Syahir Sulaiman
“Yusuf menjawab: Hendaklah kamu bertanam 7 tahun seperti biasa, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkai; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makanan. Kemudian akan datang selepas itu, 7 tahun yang bersangatan kemaraunya, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan bagi mereka; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan. Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah hasil.” (Yusuf: 47–49).
Bajet adalah pilihan
Bajet adalah instrumen penting kerajaan dalam memperincikan unjuran pendapatan dan perbelanjaan bagi tahun mendatang.
Komponen utama sesebuah bajet adalah sumber hasil (cukai, bukan cukai, pinjaman) dan agihan perbelanjaan (pengurusan, pembangunan, pembayaran hutang), demi mencapai objektif utama dasar ekonomi iaitu memacu pertumbuhan secara mampan dan inklusif, mengawal kadar inflasi dan kos sara hidup, serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di segenap peringkat.
Justeru, setiap peruntukan di dalam belanjawan dirangka mengikut keutamaan dan matlamat sosioekonomi negara dengan mengambil kira keperluan dan pertimbangan faktor dalaman dan luaran semasa.
Prinsipnya adalah sama, tanpa mengira samada anda seorang perdana menteri yang mengetuai sebuah kerajaan atau seorang bapa yang mengetuai sebuah keluarga, iaitu “berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan, bukan mengikut kemahuan”.
Bajet 2015 – defisit berkembar
Di dalam pembentangan bajet untuk 2015, kerajaan persekutuan mengunjurkan pendapatan sekitar RM235 bilion dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM274 bilion.
Kerajaan dijangka akan menanggung defisit sekitar RM36 bilion iaitu 3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan situasi ini berlarutan sejak 1998 (18 tahun berturut-turut), mengakibatkan kerajaan tiada lebihan dan simpanan malah terpaksa bergantung kepada hutang.
Pihak kerajaan menyedari paras hutang persekutuan menghampiri paras siling 55% kepada KDNK dan tiada pilihan selain mengurangkan perbelanjaan dengan cara paling mudah iaitu mengurangkan subsidi di samping mencari sumber pendapatan baharu dengan melaksanakan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April 2015.
Natijahnya, Bajet 2015 sedikit tersasar daripada unjuran awal, khususnya dalam aspek pertumbuhan ekonomi, kos sara hidup / inflasi, dan peluang pekerjaan.
Pertumbuhan KDNK 2015 diunjur malar pada 4%-5%, inflasi terus menjalar sekitar 3%, defisit kian melebar ke paras 3.5%, hutang kerajaan makin mengakar ke paras 53%, tabungan rakyat semakin sukar, dan nilai ringgit jatuh berbanding dolar Amerika pada kadar 20%.
Skandal yang melanda 1Malaysia Development Berhad (1MDB), khususnya berkenaan hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kiwa Wang Negara (PAC), Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap transaksi pelaburan 1MDB di dalam dan luar negara, di samping sumbangan derma RM2.6 bilion yang diterima perdana menteri, terus menghakis keyakinan rakyat dan pelabur kepada kerajaan, menyebabkan Malaysia berdepan dengan situasi defisit berkembar – defisit-fiskal (fiscal deficit) dan defisit-keyakinan (trust deficit).
Cabaran Bajet 2016
Sebagaimana disebut perdana menteri, tugas merangka Bajet 2016 adalah sangat mencabar, dengan tekanan dari dalam dan luar negara. Lanskap ekonomi global yang tidak menentu serta kejatuhan harga minyak dan nilai ringgit akan mencorak unjuran utama bajet, manakala kesempitan defisit dan hutang kerajaan akan menyukarkan usaha kerajaan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi.
Di samping fokus perlu diberi untuk agenda pembangunan modal insan dan generasi belia, meningkatkan tahap pendidikan dan kesihatan rakyat, penyediaan lebih rumah mampu milik, dan memperkasa dayatahan kuasa beli rakyat yang dibebani kos sara hidup, khususnya di kalangan kelompok B40 yang menjadi sasaran utama RMK11 yang bertemakan “pertumbuhan berpaksikan rakyat”.
Ironisnya, falsafah kerajaan dalam merangka bajet adalah, “Kerajaan akan membelanjakan RM12 daripada setiap RM10 yang diperoleh, dan akan membelanjakan RM120 daripada setiap RM100 yang diperoleh, menyebabkan kerajaan bukan sahaja defisit dan tiada simpanan, malah terpaksa menambah hutang setiap tahun’. Inilah punca permasalahan negara ini, dan tidaklah sukar untuk membaikinya. – 20 Oktober, 2015.-
PAS MEMASUKI FASA LONJAKAN BARU PASCA FASTAQIM
Himpunan FASTAQIM yang melebihi sasaran dengan menghimpunkan lebih 100,000 ahli PAS seluruh negara, menjadi petunjuk bahawa kemelut dalaman PAS hampir reda sepenuhnya. Serentak dengan itu, pasca FASTAQIM, PAS muncul sebagai sebuah parti politik yang padu dan mantap berbanding ketika sedang dalam kemelut enam tahun yang lalu. Ketika ini, berdasarkan pemerhatian awal Pusat Penyelidikan PAS (PPP), PAS mempunyai kelebihan berbanding parti-parti besar lain yang sedang bergelut dengan krisis dalaman.
PPP mengunjurkan mulai bulan November 2015, PAS akan memasuki fasa lonjakan baru, iaitu mula menumpukan kepada hal ehwal luaran parti dan kebersamaan yang lebih meluas bersama masyarakat. Sebagai sebuah agensi parti yang berkaitan dengan penyelidikan, PPP sendiri akan mula mengeluarkan dasar-dasar berteraskan Islam untuk ditampilkan kepada masyarakat umum, ke arah menyelesaikan krisis sosial, ekonomi dan politik yang sedang melanda negara hari ini. Yang terdekat, PPP akan menampilkan dasar-dasar Islam berkaitan percukaian sebagai maklumbalas kepada Bajet 2016 yang akan dibentangkan hujung minggu ini.
PAS diyakini akan dilihat lebih padu dan mantap ketika memasuki fasa lonjakan baru ini, apabila golongan profesional muda PAS yang sebelum ini kurang membuat penampilan mulai muncul untuk memberi sumbangan besar. Golongan ini adalah mereka yang mendapat pentarbiyahan dan perkaderan langsung PAS bermula pertengahan dekad 1980 an, yang kini rata-rata mereka berumur 50 tahun ke bawah. Mereka kini sedang diserapkan di kesemua lajnah dan agensi parti, malah mula menggerakkan NGO-NGO mewakili sektor-sektor tertentu.
Lebih memberansangkan pula, golongan berpendidikan Islam (asatizah) dalam PAS termasuk dari Timur Tengah yang berumur dalam lingkungan yang sama iaitu 50 tahun ke bawah, semakin menguasai sesuatu bidang profesional sebagai bidang tambahan mereka. Golongan ini yang ramai menganggotai Dewan Pemuda PAS selain barisan ulama pelapis bagi Dewan Ulama PAS, mempunyai kepakaran dalam bidang ekonomi, perbankan, kewangan, antropologi, sosiologi, psikologi, ICT dan lain-lain. Mereka menguasai bidang-bidang ini melalui pengajian ijazah lanjutan.
Gandingan golongan profesional dan asatizah yang dibina sendiri oleh PAS hampir 30 tahun lalu, telah menjadikan PAS cukup-cukup bersedia untuk memasuki fasa lonjakan baru. Kemelut dalaman PAS yang telah reda selepas lebih empat bulan proses pemulihan parti bermula selepas Muktamar PAS Jun yang lalu, telah menampilkan wajah PAS yang lebih padu dan mantap. Kepimpinan Ulama pula terus diberi kepercayaan mengemudi PAS agar tetap atas landasan perjuangan yang betul. Kesemua ramuan ini akan memberikan PAS momentum baru yang lebih kuat untuk membuat lonjakan baru pasca Himpunan FASTAQIM.
Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah PPP
19 Oktober 2015
6 Muharram 1437
Usul yang membenamkan imej PM
Ini kali pertama dalam sejarah politik negara, bilamana usul undi tidak percaya dibawa ke Parlimen bagi menyatakan isi hati rakyat terhadap kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Usul ini boleh diterjemahkan sebagai kekecewaan rakyat terhadap PM dalam mengurus isu utama seperti 1MDB, terasa tertipunya dengan penjelasan derma dana RM2.6 Billion dalam akaun peribadi PM, gaya kehidupan mewah serta kegagalan kerajaan mendengar rintihan rakyat berhubung imej negara yang semakin dikertawakan, bebanan kos hidup yang ditanggung seperti cukai GST, kenaikan tol terlampau dan kejatuhan nilai ringgit.
Usul ini agak sukar untuk diberi kebenaran oleh speaker sebagaimana jangkaan umum. Walaupun demikian, usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, samada diterima untuk dibahas atau tidak, telah membenamkan imej Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan yang semakin ditolak rakyat.
Usul ini tidak akan dibawa seandainya beberapa kritikan pelbagai pihak dapat ditangani oleh PM sebelum ini.
Namun, hakikatnya kegagalan kerajaan hari ini ini bukan hanya terletak di atas bahu PM sahaja kerana sebagai sebuah pasukan pentadbiran semua ahli kabinet seharusnya bertanggungjawab. Memandangkan kebanyakan fokus terletak pada isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion, maka semua ahli kabinet kelihatan semua berlepas tangan dan membiarkan PM keseorangan kerana tiada siapa selain PM sahaja yang tahu skrip atau jawapan sebenar kepada 1MDB dan dana derma RM2.6 bilion. Tidak mengejutkan jika ramai ahli BN yang bakal menyokong usul ini untuk menyelamatkan diri dan parti daripada terus dicemari pelbagai skandal PM sekiranya usul ini dikemukakan.
Isu usul tidak percaya terhadap PM telah menyebabkan timbulnya pelbagai pandangan di kalangan pembangkang. Apakah perlu menukar PM sekarang atau menuntut perubahan parti yang menerajui kerajaan ini ditukarkan secara demokratik melalui pilihanraya ke 14 nanti? Siapa yang bakal mengganti PM sekiranya usul ini berjaya?
Keuntungan yang menyebelahi pembangkang dan kerosakan terhadap Malaysia sekiranya Umno-BN terus diterajui PM menjadi pertimbangan khusus di minda semua ahli parlimen termasuk BN. Namun, umum juga mengetahui, asalkan Umno-BN yang memerintah, segala permasalahan negara tidak akan selesai malah akan bertambah.
Dalam masa kita menanti perkembangan usul undi tidak percaya terhadap PM, usul ini akan terus dibahas dan dibincang secara awam. Walaupun kemungkinan besar usul ini tidak berjaya di parlimen, tapi saya percaya usul ini sudah berjaya mencapai matlamatnya di mahkamah rakyat.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
19 Oktober 2015
Department of Art, Culture and Sport (DACS) Dewan Pemuda PAS Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Samsuhaimi Che Mat yang telah meninggal dunia akibat kemalangan motosikal di LPT 2 semalam. Allahyarham meninggal dunia semasa kemalangan selepas menghadiri Himpunan 60K di Kota Bharu. Allahyarham Samsuhaimi juga merupakan Timbalan Komandan Jabatan Amal Maran.
DACS DPPM juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada Sdr. Farhan Bin Ruselan yang juga mengalami kemalangan motosikal ketika konvoi ARC Selangor ke Himpunan Fastaqim 60K di Kota Bahru,Kelantan. Beliau telah mengalami kecederaan tulang pinggul dan belakang yang serius.
Justeru, Lajnah Kebajikan DPPM akan melancarkan kutipan sumbangan melalui Tabung Pemuda Prihatin bagi membantu meringankan beban yang dihadapi oleh keluarga Allahyarham Samsuhaimi dan juga Sdr. Farhan.
DACS DPPM mendoakan agar roh Allahyarham Samsuhaimi ditempatkan di kalangan hamba-Nya yang soleh. DACS DPPM juga turut mendoakan buat Sdr. Farhan agar beliau cepat sembuh. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan kalian adalah terlalu besar untuk dinilai. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas segala-galanya.
Ir. Hj Khairil Nizam Khirudin
Naib Ketua Pemuda
merangkap Pengarah DACS
Dewan Pemuda PAS Malaysia
TOL NAIK: BAGAIMANA ISLAM SELESAIKANNYA?
Oleh: Zaharudin Muhammad.
Presiden Gerakan Selamatkan Ekonomi Malaysia (GESA).
Dalam dua tulisan saya yang lampau, saya telah menulis tentang bagaimana ekonomi Islam meletakkan target mengsifarkan kos perjalanan. Ia bukan sahaja ekonomi di dalam syariat nabi kita Muhammad saw, tetapi juga syariat nabi-nabi terdahulu. Fakta ini menunjukkan bahawa ia perkara penting justeru pensyaritannya tidak berubah dari dahulu sehingga sekarang. (Untuk maklumat lanjut, sila baca 2 link di bawah).
Apa yang lebih zalim pada hari ini, tanah rakyat digunakan untuk membuat lebuhraya, wang rakyat dijadikan modal kemudian rakyat juga yang kena bayar akhirnya? Persoalan, siapa untung dan siapa rugi? Apa kerja kerajaan yagn dilantik oleh rakyat?
Bagaimana tanah rakyat diambil? Sama ada namanya tanah kerajaan di mana dari perspektif Islam ia adalah milik rakyat dan kerajaan sebagai pengurus. Jika ia tanah milik orang ramai, kebanyakan yang berlaku ialah golongan negotiator (perunding) dan orang tengah yang akan makan banyak, harga yagn dibayar oleh pemunya tanah lebih rendah daripada harga yagn diterima daripada syarikat konsesi / pemaju-pemaju lebuhraya.
Bagaimana wang rakyat dijadikan modal? Ia melalui wang cukai dan hasilan bumi seperti hasil petronas dan seumpamanya. PLUS sebagai contoh, di mana sebahagian pemegang sahamnya adalah Khazanah. Sumber khazanah adalah daripada dana kerajaan, sumber cukai dan sumber petronas yang dipam dan berikan pinjam kepada pemaju lebuhraya dalam bentuk pinjaman dana (sukuk / bon).
Siapa yang untung? Yang paling untung ialah syarikat-syarikat konsesi dan pemegang-pemegang saham serta syarikat-syarikat yang diberikan kontrak pengurusan dan mantainance lebuhraya.
Siapa rugi? sudah tentu rakyat, wang mereka tanah mereka digunakan oleh 1% rakyat yang berkuasa, akhirnya mereka pula kena bayar.
Bagaimana penyelesaian? Kembali kepada Islam. Jika islam berkuasa, maka dasar monopoli (دولة بين الأغنياء) adalah sesuatu yang sangat ditentang oleh dasar ekonomi Islam. Justeru itu, 1 golongan daripada 8 golongan pemanfaat hasilan cukai dan 1 golongan daripada 6 golongan pemanfaat hasil bumi adalah untuk sifarkan kos perjalanan.
Maka, jika terbukti kerajaan telah mengambil hak rakyat ini, perundangan islam akan membatalkannya dengan pembatalah 'fasakh'. Dengan kata lain, jika terbukti ia mengambil hak rakyat, maka semua tol akan dibatalkan dengan cara tidak mengzalimi dan tidak dizalimi. Maksud tidak mengzalimi ialah semua syarikat konsesi akan dibayar semula wang mereka yang actual cost tanpa mengira projection income. Maksud tidak dizalimi ialah, pembatalan itu tidak merugikan kerajaan dan rakyat.
Penguatkuasaan pencegahan berlakunya monopoli dan pengambilan harta orang ramai termasuk di dalam kategori hukum takzir. Maka sangat malang jika orang berkata: laksanakan Islam setelah ekonomi stabil, sedangkan kita faham di atas bahawa hak rakyat dan hak orang ramai serta hak individu pemegang saham dan konsesi tidak akan dapat dibela melainkan dengan undang-undang ini.
Jom kembali kepada Islam, "Ke Arah Rakyat Malaysia Yang Lebih Bebas".
Sekian.
Sila rujuk tulisan saya yang lepas:
1. Kenapa Kita Menentang Kenaikan Minyak?
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=849572875073149&id=312456128784829
2. Sifarkan kos perjalan?
https://www.facebook.com/Zaharudin-Muhammad-312456128784…/…/
Apa selepas H60K FASTAQIM ?
01 Syukur alhamdulillah H60K Fastaqim berjaya diadakan dengan kehadiran di luar jangkaan yang membuktikan komitmen ahli dan penyokong PAS kepada jamaah Islam yang dicintai ini.
02 Ingat ikrar yang dilafazkan bersama-bersama untuk menerajui bahtera perjuangan ini membawa obor Islam ke persada tanahair.
03 Perkukuhkan tarbiyah di semua peringkat akar umbi parti kerana Tarbiyah adalah Teras Istiqamah.
04 Lebarkan da'wah Islam kepada segenap masyarakat. Kepada bukan Islam ketahuilah Islam yang diperjuangkan oleh PAS ini menjamin hak-hak mereka dari sudut berugama, adat dan muamalat. Kepada masyarakat Islam Melayu marilah bersama-sama PAS menyelamatkan negara dengan Islam bukan dengan perkauman Melayu sempit yang telah terbukti kegagalannya satu persatu. Bukan juga dengan golongan yang bertopengkan Islam akan tetapi hanya menjadi ' pak turut ' kepada golongan yang mempunyai agenda terhadap Islam.
05 Yakinlah bahawa kemenangan Islam adalah pasti kerana ianya janji Allah dan Dia sekali-kali tidak akan memungkiri janji-Nya. Bila dan bagaimana ianya berlaku itu bukan urusan kita. Kewajipan kita ialah untuk terus istiqamah memperjuangkan ugamanya dengan penuh keikhlasan kepada Allah.
Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua DPPM
5 Muharram 1437 / 18 Oktober 2015
Infaq Fi Sabilillah.
Alhamdulillah. PAS adalah sebuah gerakan Islam yang dibiayai sepenuhnya dari poket ahli dan penyokongnya. PAS menerima sumbangan derma dari ahli secara terbuka dan mengisytiharkannya juga secara terbuka. Pada kebiasaannya PAS akan umum jumlah penerimaan sumbangan itu diakhir majlis. Tetapi sumbangan di majlis Himpunan Fastaqim tidak dapat diumumkan kerana kelewatan kiraan untuk memuktamadkan jumlahnya.
Insyaallah keseluruhan wang sumbangan itu tidak akan masuk mana - mana akaun peribadi melainkan ianya adalah untuk membiayai kos penganjuran Himpunan Fastaqim serta kegunaan parti untuk aktiviti Amal Islami dan gerakkerja parti yang memperjuangkan Islam dan Syariatnya.
Suka saya maklumkan bahawa perkara ini tidak perlu menjadi polemik dan fitnah. Jumlah sumbangan yang diterima di Majlis Himpunan Fastaqim ialah RM209,577.00 sahaja.
Terima kasih kepada semua penyumbang dan yakinlah sumbangan anda akan digunakan sepenuhnya untuk aktiviti Amal Islami dibawah gerakkerja PAS.
Nasrudin Hassan
Setiausaha Fastaqim